Rabu, Julai 01, 2009

TIGA MANUSKRIP SAYA DITOLAAK

TIGA manuskrip saya ditolak. Tentu sahaja bersamanya diiring surat yang kandungannya tentulah menyatakan sebab dan kenapa manuskrip saya ditolak.

Sepanjang menulis, ini bukanlah kali pertama manuskrip saya ditolak. Kerana sudah sering ditolak itu jugalah maka saya tidaklah terlalu berasa terkilan atau kecewa. Lagi pula, saya tahu dan sedar bila mana kuasa menerima atau meluluskan sesuatu itu memang pun bukan di pihak saya, maka saya tidaklah perlu terlalu sangat berharap.

Pasti sahajalah pihak yang menolak punya segudang sebab dan alasan kenapa terpaksa dan mungkin juga perlu menolak sesebuah manuskrip yang tiba. Mereka yang berkenaan, tentulah punya selera, kehendak dan ketetapan tertentu mengenai sesuatu dan apa yang hendak serta perlu mereka diterbitkan. Katakanlah ini suatu dasar di sesebuah penerbitan.

Bagi saya itu adalah normal. Tiada apa yang hendak dikeluh serta dirusuhkan. Masing-masing pihak punya sebab dan kehendaknya sendiri. Penerbit dengan kehendaknya dan pengarang juga tentulah punya kehendaknya juga. Hanya setelah terjadinya jalinan persesuaian rasa dan kehendak di antara kedua belah pihak, baharulah tercapainya hasrat serta kehendak berikut dan seterusnya.

Itulah fahaman dan prinsip yang saya pegang. Walau mungkin ditawarkan duit secara mudah dan cepat, tetapi kiranya tiada rasa sesuai dan keserasian kehendak, sulit dan tidak hendak saya terima tawaran yang mungkin lumayan itu. Walau yang menerbit memiliki wang, tetapi bagi saya, wangnya itu tidaklah sampai bersifat mahu “membeli” pengarang atau sesuatu yang lain. Biarlah segala sesuatu itu bersifat saling memberi dan menerima secara adil dan ikhlas serta memenangkan kedua-dua belah pihak.

Kerana fahaman dan prinsip ini jugalah saya tidak begitu berasa terkilan atau kecewa bila telah acap kali manuskrip saya ditolak. Dan saya juga sedar, penolakan sesebuah manuskrip saya oleh sesebuah penerbitan itu ada juga hubungkait dengan sikap dan pendirian saya sendiri dalam berkarya. Sikap dan pendirian yang saya maksudkan itu tidak lain adalah disebabkan diri saya ini tergolong jenis manusia yang agak degil, yang tidak suka selamanya mengikut kehendak massa dan arus semasa atau dalam kata mudahnya selalu suka melawan arus.

Contohnya, kalau ada ketetapan yang meminta supaya sebuah manuskrip novel tebalnya tidak boleh kurang dari 200 halaman, saya akan kembali bertanya perlukah sebuah novel setebal demikian dan kerana itu saya melanggar peratruran yang sudah ditetapkan. Memanifestasikannya, saya akan mengirimkan manuskrip yang tebalnya mungkin hanya 100 halaman.

Atau kalau dalam sesuatu pertandingan menulis sajak menetapkan betapa sajak yang menyertai pertandingan mestilah sekian jumlah baris dan tidak boleh melebih sekian kata bagi setiap baris, saya biasanya akan menghantar sajak yang lebih pendek dan ringkas pula.

Tentu sahajalah kesudahannya sudah saya ramal. Namun rasa hendak melawan dan melanggar ketetapan itu memang tidak boleh hendak saya tahan. Walau tidak mendapat apa-apa, namun sebagai seorang yang menulis, saya rasa bebas, merdeka dan mandiri kerana tidak terlalu mahu mematuhi apa-apa ketetapan yang ditetapkan untuk suatu pertandingan menulis karya sastera dan seni.

Jadi kalau kerana itu manuskrip saya tidak diterima atau saya sendiri agak kurang disenangi, saya memang sudah bersedia untuk menerima risiko atas pilihan saya itu.

Saya sama sekali tidak berniat hendak menjadi pemberontak atau seorang yang secara membuta tuli hanya asyik hendak melawan dengan cara begini.

Saya sebenarnya hanya hendak menyatakan diri saya sendiri. Tidak lebih dari itu. Maksud saya diri saya yang sebagai seorang pekerja seni.

Kerana itulah saya tidak rasa terkilan, kecewa atau marah bila karya saya ditolak.

Saya tahu orang lain berhak untuk tidak menerima dan menolak sebuah karya saya. Tetapi saya yakin tidak semua orang yang akan menolak. Saya yakin tidak semua orang otak dan cara berfikirnya sama. Saya percaya dan yakin di samping yang menolak, masih ada walau segelintir yang sanggup dan sudi menerima karya saya. Saya yakin itu.

Saya berasa percaya dan yakin kerana saya percaya betapa seorang pekerja seni itu berkarya bukanlah kerana suruhan, kehendak dan batasan yang ditetapkan oleh orang lain terhadap dirinya.

Bagi saya, seorang pekerja seni yang luhur adalah seorang yang berkarya kerana semata-mata mahu memenuhi kata hati dan nuraninya sendiri. Dan kalau ada juga kadang-kadang persamaan dengan kehendak atau tuntutan yang di luar dirinya, itu hanyalah kebetulan dan kerana kebenaran tuntutan itu sendiri, yang tidak menyalahi atau bertentangan dengan nilai moral dan keyakinannya sendiri.

Kerana itu juga bentuk atau genre tidak menjadi persoalan yang besar. Apakah itu sebuah novel pop, apakah itu sebuah sajak yang polos, atau cerpen yang melanggar segala konvensi, yang penting adalah inti dan kejujuran pengucapannya.

Yang disanggah adalah kehendak dari sebelah pihak yang terlalu dipaksakan dan tentu sahajalah yang memaksakan itu kerana berasa dirinya punya kuasa penentu terhadap pihak yang lain.

Apa lagi kini semakin banyak cara untuk menjadi lebih mandiri dan merdeka. Menerbitkan karya juga tidak semestinya menantikan ihsan sepihak yang bergelar penerbit semata-mata.

Bagi saya, walau pun tidak menjadi kaya, mampu membeli kereta atau membayar pendahuluan untuk sebuah rumah, namun menerbitkan karya dengan keringat dan modal sendiri tentulah lebih bererti dari sekadar meratapi nasib diri lantaran tiga manuskripnya telah ditolak.

Saya meyakini cara ini kerana sejak mula memang saya lebih tertarik hanya ingin menjadi diri saya sendiri. Biarlah apa pun anggap dan gunjing orang. Saya akan terus dengan cara dan keyakinan ini.

Walau tidak terlalu kaya kerana berkarya secara begini, tetapi saya tidak menyusahkan sesiapa dan berasa tetap menjadi diri saya, yang dalam erti kata tetap menghormati hak-hak orang lain dan tidak menyusahkan orang lain.

Saya yakin itu dan seorang pekerja seni tentulah bukan hanya seorang yang berkarya dan bekerja kerana suruhan dan kehendak orang lain semata-mata, sehinggakan demi melihat karyanya diterbitkan, misalnya, sanggup dia korbankan hasrat dan jiwa dirinya sendiri di dalam karya.

Tentu sahaja saya juga tidak perlu terlalu berasa sesal ataupun sedih sehinggakan berguling-guling menghempaskan diri di atas tanah jika antara sebab dan alasan penolakan manuskrip saya itu, antaranya ialah dikatakan kononnya kerana kandungannya seiras dengan suatu projek yang sedang diusahakan oleh sepihak yang lain, yang saya agak tentulah dengan restu dan lindungan pihak yang berkenaanlah. Walhal manuskrip saya sudah lama saya siap kerjakan bertahun sebelum itu dan terperam kerana menunggukan waktu yang sesuai untuk dikirim ke penerbitan.

Saya tidak pasti sejauh mana benar dan tepat kekononan dakwaan itu. Tetapi di dalam hati saya, saya menyebut juga.

Masyaallah. Rupanya itu pun menjadi kesalahan juga, ya?

Dan seperti selalu saya diam-diam mentertawakan diri saya sendiri.

Mei 30, 2009

6 ulasan:

benuasuluk berkata...

Saya datang, saya datang hanya untuk membaca; dan melihat potret seorang sahabat yang berwarna-warni.

Penagih Cinta berkata...

Kakiseni Playwright Competition 2009.

http://www.kakiseni.com/articles/features/MTM2NA.html#top


Sekiranya saudara Marsli No berminat. ;]

ali atan berkata...

Kumpulan puisi atau cerpen?Kalau saudara berada di Indoensia sudah lama rasanya saudara sebaris dengan Donarto, Agus Noor dan serangkaian penulis surealis dan absurd yang lain yang menjadi pemangkin dan tanda aras sastera Indoensia.Sayangnya...negara kita ini perjalanan sastera tanah air telah ditentukan oleh orang yang rata-ratanya bukan pengarang kreatif..andai kata mereka menjadi marsli no pasti mereka mengerti..mengapa aku mengetawakan diriku sendiri diam-diam...heheh

MARSLI N.O berkata...

Sdr Benuasuluk: Bacalah. Silakan.

Sdr Edu: Saya telusur. Terima kasih atas maklumat.

Sdr Mohd Ali Atan: Ha. ha. Ha. Kita ketawa untuk sedikit melegakan rasa tertekan. Termasuk juga tatkala mentertawakan orang lain.

Marsli N.O

Naim berkata...

dan saya pun terfikir, kalau tuan yang sudah banyak kumpulan cerpen dan puisinya diterbitkan, masih ditolak manuskripnya, mcm mana pula dengan nasib saya yang belum ada apa-apa lg...?

@Naimisa

MARSLI N.O berkata...

Salam Sdr Naim: Bertahanlah dan usah gusar. Kita ikhtiarkan cara-cara yang lain ke arah penerbitan. Janji lawan tetap l;awan.

Marsli N.O