Isnin, Jun 29, 2009

SEPATUTNYA KAU BERASA MALU

INGIN sahaja saya berkata kepada seorang ini betapa dia patut berasa malu kerana menyanggupi suatu tugas yang dia sendiri tahu tidak mampu dia laksanakan.

Itulah yang pertama kali muncul di benak saya ketika pagi itu saya menerima panggilan dari seseorang yang mengatakan dia ingin belajar ilmu deklamasi dari saya atas keperluan dirinya yang kini menjadi salah seorang tenaga pengajar di sebuah institusi belia.

Tetapi saya kenangkan seorang ini walau tidak saya kenal terlalu rapat tetapi saya kenal dia sebagai seorang yang berlemah lembut dan berhati baik, tidak sampai hati pula hendak saya menyebutkan kata-kata itu.

Saya tahu dia menerima tugas itu kerana ada pihak yang menawarkan.

Tetapi kalau bukan dia yang meminta mana mungkin akan ada yang menawarkannya? Begitu pula saya berlogik sendirian.

Jika demikian, jika sudah tahu tiada kebolehan di bidang itu, kenapa dia memohon dan meminta juga.

Kini logik yang lain meningkah hujah sebelumnya.

Saya tidak ingin berlamaan bermain dengan logik dan hujah begini. Isu sebegini bagi saya sudah terlalu banyak disebut dan disinggung orang lain sebelum saya secara terbuka di media.

Ini seperti kisah ayam dengan telor atau telor dengan ayam yang akan menjadi debat yang tidak berkesudahan dan sepuluh jong yang masuk anjing juga yang tetap menyalak sia-sia.

Bila sesuatu perkara melibat duit orang jarang lagi berfikir sejenak mengenai diri dan harga dirinya. Asalkan mendapat ganjaran berupa wang, orang jarang ambil peduli apakah ganjaran yang dia terima itu kerana sesuau yang dia berikan kerana dia benar-benar tahu dan kuasai atau sesuatu yang diberikannya secara palsu dan penuh dengan tipu daya.

Dan tentulah yang lebih memalukan adalah orang yang memutuskan untuk memilih siapa yang akan terlibat atau tidak terlibat, bila mana pilihannya bukan kerana pengetahuan orang yang dipilih, tetapi lebih kerana apakah yang dipilih itu seorang pengagguk setia atau seorang yang tegar berdiri di atas prinsip seninya sendiri.

Di sinilah sebenarnya puncanya. Manusia sebenar yang menjadi punca kerosakan dan kekeliruan adalah mereka yang kononnya berkuasa memilih, yang lebih mengutamakan emosi dan ego kuasanya ketimbang nilai seni yang luhur dan murni.

Tidak hairanlah jika yang bersekongkol di bawah ketiaknya adalah segerombolan orang yang mengaku dirinya seniman, budayawan, orang teater dan sebagainya, yang tidak pasti di mana umbi dan akarnya, yang tidak jelas di mana sumber rujukannya.

Seperti juga seorang yang saya maksudkan tadi, yang secara tiba-tiba mengaku dirinya seorang seniman di depan saya, walhal tidak pernah saya lihat bukti karyanya, setidak-tidaknya, sebagai pengabsahan pengakuannya sebagai seorang seniman itu.

Memang, kerana wang, orang sanggup membuang rasa malunya melakukan sesuatu kerja yang sebenarnya dia tidak tahu tetapi menerima upah kerananya.

Di dalam hati kecil, saya tidak marah, tetapi sebal dan sedih memikirkan sendiri.

Saya sedar ilmu yang saya sendiri miliki pun tidaklah sehebat dan sebanyak mana. Tetapi saya selalu bersyukur kepada Allah betapa dengan ilmu yang sedikit dan tidak terlalu tinggi ini, seingat saya, saya belum lagi tergamak hendak mengaku sesuatu yang jika saya benar-benar tidak tahu dan tidak mampu saya laksanakan.

Apa lagi untuk dan sampai tergamak memperdayakan orang lain agar mempercayai betapa saya adalah seorang tokoh seni dan seniman yang hebat!

Jun 14, 2009

3 ulasan:

Lily Abdullah berkata...

Salam

Adakah salah untuk mencuba sesuatu yang baharu;maksud saya belajar ilmu baharu(deklamasi puisi misalnya) sekadar ingin tahu tanpa mengambil mengira aspek kewangan.

Saya bagaimanapun cukup sedar kebolehan/kelebihan yang Tuhan beri berbeza untuk setiap kita.

Dan kadang-kadang saya benar-benar ingin melakukan perkara yang disukai. Tetapi segalanya terhenti,setiap kali terkenang potensi diri

Terima kasih.

HIDUP BAHASAKU!

MARSLI N.O berkata...

Salam kembali Sdr Water Lily: Berbeda dengan situasi Sdr. Belajar itu memang dituntut dan tidak ada sebab untuk tidak berbuat sesuatu yang diminati.

Isu saya adalah tatkala seorang yang tidak tahu tetapi berlagak tahu di depan orang yang tidak tahu dan menerima upah untuk sesuatu yang dia tidak tahu itu.

Sdr tidak punya sebab untuk berhenti berbuat sesuatu yang disukai kerana berasa diri kurang tahu atau kurang menguasainya. Mencuba dan belajar berdikit-dikit dari pengalaman tidak salah.

Yang saya isukan adalah situasi yang lain. Contohnya, seorang yang tidak mendalami dunia pantun tetapi mengaku tahu mengenainya dan memberikan ceramah kepada publik, yang diceramahkan itu adalah hasil cedokan nota dan tulisan orang lain yang dia dapat dari pelbagai sumber. Si anu ini bercakap dan mengaku sebagai dirinya seorang pengamal.

Kurang lebih begitulah yang saya maksudkan.

Marsli N.O

Naim berkata...

Mungkin tugas itu lebih kepada pengajar untuk kursus ....