Khamis, Jun 25, 2009

Sebuah Satira Politik


PEAH DAN KISAH-KISAH LAIN
Oleh MARSLI N.O
1
PEAH, DAHULU AYAH SUDAH LARANG BUKANKAH?

HARI ini, di depan kamera tv, tanpa sedikit pun lagi berbaki rasa segan dan silu, Peah teresak-esak menangis kerana mahu luahkan segala rasa tertekan serta sedih di dalam hatinya.

Sungguh. Sedihnya rasa di hati Peah tidaklah tertanggung dan tertahan lagi. Malah, sudah bertahun-tahun sebelum ini, Peah sebenarnya sudah pun lama menangis dan meraung di dalam hatinya. Namun kerana di luarnya Peah selalu berlagak ceria dan berseri pula dengan senyum manis serta ketawa hilai, tidaklah sesiapa pun yang tahu gundah dan gulana Peah di dalam jiwanya.

Itulah padahnya yang terjadi dan tertimpa ke atas diri Peah. Kalau dahulu nasihat dan larang ayah dia akur serta terima, Peah tahu pasti nasib dia tidak akan berkesudahan begini.

Tetapi itu dan begitulah. Kini Peah kena mengaku walau itu bagaikan membalingkan pentong ke batang hidung Peah sendiri. Semua itu kerana salah dan degil Peah juga. Semua itu kerana Peah sudah jadi mabuk dan maksyuk sangat dengan jejaka yang satu itu.

Sungguhnya kerana itulah Peah jadi yang sehingga demikian. Kerana mabuk dan maksyuknya itulah maka Peah menjadi tidak peduli akan nasihat ayahnya. Kerana bagi Peah, jejaka berhidung mancung, berambut ikal, berkulit putih dan ada iras-iras wajah pelakon Tom Cruise itu sungguh telah amat menawankan hati dia dan kerana itu Peah sanggup dan rela berbuat apa sahaja agar dapat bersama.

Apalah lagi lebih terbuai-buainya hati Peah bila jejaka yang pertama kali dia temui ketika sedang terkial-kial di kaunter borang imigresen dan meminta nombor telefon Peah setelah Peah dengan niat ikhlas telah membantu jejaka itu mengisi maklumat di dalam borangnya, telah berjanji setia dan sanggup sehidup semati dengan Peah semata-mata kerana cinta dan sayangnya yang tidaklah berbelah bahagi terhadap diri Peah.

Sungguhnya kerana itulah. Peah berasa dirinya sangatlah bertuah bertemu kasih dan berteman dengan jejaka yang ada iras-iras wajah pelakon Tom Cruise itu. Kerana itulah. Walau berpuluh kali ayah melarang dan memberi kata nasihat namun niat dan tekad Peah sudahlah nekad. Peah tetaplah akan berjodoh serta berkahwin juga dengan jejaka tambatan kasih di hatinya itu.

Peah sudah tidak mahu dengar dan peduli apa-apa lagi nasihat ayah. Bagi Peah berjodoh dan berkahwin dengan jejaka tambatan kasih dihatinya itu adalah segala-gala. Tiada siapa lagi yang dapat membujuk atau mampu mengendurkan niat serta hasrat Peah yang satu ini.

Bagi Peah jejaka itu adalah segalanya. Jejaka itulah. Dialah langit, bulan, matahari dan bintang. Bagi Peah jejaka itulah tanah, air, api atau angin. Bagi Peah jejaka itu adalah segala-galanya. Segala-galanya.

Manakan tidak. Jejaka itulah yang mampu membuat Peah gembira dan rasa seronok sampai terawang nun jauh ke langit nan tinggi. Hanya mendengar tutur dan lembutnya kata dari bibir jejaka itu hati Peah boleh menjadi luluh. Dan ketika diusap serta dibelai oleh jejaka itu, semakinlah Peah berasa terawang-awang bagaikan berada nun jauh di angkasa. Bagi Peah lembut dan romantisnya jejaka itu tidaklah menyamai jejaka di negeri sendiri.

Akhirnya, di tengah sedih dan sesal ayah yang sedikit pun tidak Peah peduli serta hirau, berkahwinlah sudah Peah dengan jejaka idaman kasih di hatinya itu. Dan tidak pun sampai seminggu, selamatlah juga Peah melahirkan seorang anak lelaki yang tentulah comel dan montel kerana campuran bangsa keturunannya dengan bangsa berkulit putih dan berhidung mancung itu.

Kerana hadirnya seorang cucu, sejuklah juga hati ayah Peah yang berkobar marah bercampur sesal itu kerana anaknya Peah tidak mendengar kata mahu dan tetap juga hendak berkahwinkan dengan jejaka dari negeri luar. Walau ikut rasa dan gerak hatinya, akan anak perempuan kesayangan dia itu tetaplah dia sebagai ayah berasa akan beroleh susah di kemudian hari kerana akan perangai bangsa sedemikian itu sudah sangat dia faham dan maklumi.

Namun begitulah. Apa daya dan apa ikhtiar kerana anak kesayangan sendiri sudahlah tersangat suka akan dia dan hendak atau tidak direstui juga nikah dengan berwalikan dia sebagai ayahnya.

Sehingga tibalah juga kepada saat yang sangat mengguris hati ayah tatkala jejaka yang kini sudah menjadi suami Peah secara sah itu menyatakan hasrat hendak kembali ke negeri asalnya dan mengajak sekali Peah mengikut. Sangatlah gundah hati si ayah hendak melarang atau menegah kerana sekarang Peah sudah menjadi isteri dan kepada suaminyalah Peah sepatutnya patuh. Di dalam hati si ayah berasa sangatlah tidak senang hendak melepas anak jauh dari mata mengikut suami ke negeri asalnya.

Apa yang dibimbang si ayah kini menjadilah sudah. Hanya setahun di negeri asal suami, Peah mengirim surat kepada ayah menyatakan sering menjadi mangsa seksa dan sepak terajang suami yang dulu Peah sangka sangatlah romantis lagi menyayangi diri dia.

Lalu dengan segala susah dan payah pergilah ayah ditemani orang kedutaan mengambil Peah dan anaknya membawa kembali ke negeri sendiri.

Namun itulah susah dan payahnya tidak selesai sudah. Datang lagi si lelaki yang memang bermulut manis tetapi berhati celaka itu mengungkit dan menuntut mahu juga memelihara anak kononnya walau dia kini bermastautin di negeri asalnya sendiri.

Setelah sekian minggu dan bulan berulang naik dan turun mendengar putusan hukum akhirnya hukum memutuskan anak dijaga secara bergilir oleh Peah dengan bekas suami yang kini di mata Peah tidak lain dan tidak bukan adalah bajingan.

Eloklah memang giliran pada mulanya dipatuhi si bekas suami yang kini di mata Peah telah berubah menjadi bajingan itu. Namun itu hanyalah sementara waktu sahaja.

Dan kerana itu jugalah Peah hari ini sedikit pun tidak berasa segan dan malu hendak meratap dan meraung-raung di depan kamera tv. Dia tidak kisah kalau semua orang tahu kisah dan cerita dia yang telah kehilangan anak kerana dilarikan bekas suaminya kembali ke negeri sendiri itu.

Peah tahu dan sedar itu semua memang salah dia kerana sedikit pun dahulu dia tidak tidak mahu mendengar larang dan nasihat ayah dia.

Dahulu ayah dia sudah berkata betapa berkahwin dengan orang dari negeri luar itu amatlah banyak masalah serta duganya. Namun sedikit pun Peah tidak mahu dengar dan ambil peduli kerana hati Peah sudahlah tersangat lekat dan cintanya kepada jejaka berhidung mancung itu.

Dan sekarang inilah sudah bencananya yang menimpa diri Peah. Bak kata orang tua-tua meraung dan meratap sehingga keluar air mata darah sekalipun sudahlah tidak berguna lagi.

Itulah jadinya apabila nasihat dan larang ayah tidak didengar dan dipeduli oleh gadis seperti Peah yang kerana asyik dan ma’syuk bila hati telah ditawankan cinta serta kasih terhadap jejaka dari negeri luar yang berhidung mancung, berambut ikal, berkulit putih dan ada iras-iras wajah pelakon Tom Cruise atau kalau tidak pun seiras Shah Rukh Khan itu.

Itulah, Peah. Dahulu ayah sudah larang bukankah?

Mac 29, 2009

2
JANGAN TINGGALKAN DAKU, DUHAI KEKASIHKU

MENDAYU sungguh. Kalau kurang sabar dan bertahan memang boleh cair secair-cairnya.Tetapi semaunya memang sudah pun terlambat. Ketika hati ini dibuka seluas-luasnya tidak pula dia hendak melayan dan menyinggahkan sayang atau cintanya.

Tetapi sekarang? Untuk apa lagi sendu dan merayu-rayu?

Sudahlah. Jangan bazirkan suara dan air mata. Segalanya sudah tidak berguna.Kautahu kenapa?

Orang tua kata, kalau lelaki masih juga tidak sedar dan insaf walau berkali-kali sudah dipermainkan makhluk bernama wanita, lebih baiklah dia gali sendiri lubang kubur dia.

Tetapi soalnya sekarang bukan soal cinta atau wanita. Ini soal dan perkara yang lebih besar. Soal cinta itu perkara kecil. Sedikit tidak menjadi kudis atau luka.

Tetapi kalau hati menjadi luka dan koyak rabak kerana harapan yang tidak tertunai, selepas kauletakkan harap dan menanti janji-janji yang dikoarkan oleh mereka yang bergelar itu ketika berkehendakna sesuatu, memang itulah yang buat kau akan rasa sangat-sangat kecewa dan tertipu.

Hingga tidak sedar, bila kaudengar mendayu-dayu rayuan-rayuan begitu, tanpa sedar kau boleh akan kata: “Cis!”

Januari 31, 2009

3
HATIKU KECEWA, TIADA TEMPAT BERMANJA

HENDAK termuntah pun ada rasa.

Memang dasar tidak sedar dan kadarkan diri. Sudah tua bangka sebegini konon hendak bermanja-manja lagi.
Kalau orang sudah tidak suka, biarlah dia terus menerus tidak suka. Untuk apa lagi hendak dibujuk dan dirayu-rayu?

Hendak cari tempat bermanja-manja apa lagi?

Meluatlah. Sudahlah. Kenapa hendak salah-salahkan diri sendiri hendak pikul segala silap dan kesalahan. Kononlah.

Woi, siapa berak dialah yang basuh sendiri. Kenapa pula kau yang sebok-sebok hendak tolong pergi basuh.

Malulah. Sudah tua-tua bangka masih lagi begini.

“Hatiku kecewa, tiada tempat bermanja…”

He, hendak termuntah adalah.

Januari 29, 2009

4
KAUDATANG DAN KAUPERGI SEPERTI ANGIN

DEMIKIANLAH. Kaudatang dan kaupergi sesuka hati. Seperti angin. Ketika datang kau hanya berpuput dan ketika pergi tidak sedikit pun kau membekas. Pergi dan datang kau tidak merubah dan mendatangkan apa. Apa lagi kerana pergi kau dahulu konon lantaran membawa lara hati nan rajuk ketika tidak bersua sesuai kehendak.
Memang pun kini kau kembali datang. Dengan segala lagak dan aksi yang memang pun sudah terbukti untuk membangkit rasa mual dan benci di hati yang bersaksi. Ketika kau ulang berkali kata-kata basi dan imej yang dilusuhkan dengan wajah-wajah palsu.

Kau datang dan kau juga akan pergi. Seperti selalu kiranya ada yang terbuku dan tidak memenuh kehendak serta pinta.

Kerana seperti juga angin, kau adalah angin dari segala angin yang tidak mustahil boleh menghadirkan ribut dan taufan kiranya nanti kehendak terhalang oleh mereka yang tidak sudi bersekongkol dengan segala kedurjanaan.

April 7, 2009

Sumber siaran: Berita Harian, Sabtu 20 Jun 2009


2 ulasan:

Nur Fatiha Fadila berkata...

Tahniah dan syabas. Semoga kejayaan diiringi keberkatan.

Penagih Cinta berkata...

FESTIVAL TEATER KL 2009:

http://img8.imageshack.us/img8/2344/festivalteaterkl2009.jpg