Khamis, Jun 30, 2011

BENARKAH KITA PEDULI


PERCAKAPAN yang pada mulanya santai tiba-tiba menjadi gelisah dan panas bila menyentuh soal bahasa dan maruah.

Banyak mulut ghairah menyebut itu dan ini. Memberi saran dan cadangan. Menuding dan menunjuk. 

Saya yang lebih memilih menjadi pendengar sendiri berfikir dan tidak ingin terlibat dengan perdebatan sebegini. Saya tidak ingin "membazirkan" waktu dan tenaga memandu kenderaan ratusan kilometer pergi dan pulang ini hanya untuk berdebat mengenai isu yang sudah jenuh dipercakapkan, namun seolah tidak kelihatan jalan selesainya.

Ya, nasib Melayu yang didakwa memiliki ketuanan dan hak di bumi sendiri tetap begitu-begitu juga.

Bahasanya, di antara tempik pejuangnya dan pelbagai helah serta dalih menteri, tetap juga dipersenda dengan pelbagai cara.

Misalnya yang mudah, hanya kerana seorang wakil atau peserta dari luar negara, yang memang pun boleh mengerti bahasa Melayu, maka seboklah menteri atau sang tokoh di depan hendak bercakap bahasa yang didakwa internasional, walau biji butir sebutannya lucu dan memualkan.

Kita selalu berasa rendah diri untuk menjadi diri sendiri dan untuk berasa gagah  serta yakin diri, kita berasa perlu menyunglap dirinya menjadi orang lain.

Kita kelihatannya  memang malu untuk menjadi diri kita sendiri.

Jadi untuk apa perdebatan seperti senja ini diteruskan lagi?


Saya fikir mereka yang ghairah bercakap itu tentu lebih bijak dan lebih maklum ketimbang diri saya.

Siapa sebenarnya yang ambil peduli semua ini?

Di luar sana, di tengah hidup yang nyata, mereka yang bergelar pemimpin apakah benar-benar mengambil peduli semua ini?

Saya menjengah keluar jendela.  Di deretan kedai lama dan baru, semakin ramai pemiliknya bertukar wajah.

Di manakah ketuanan yang dilaung dan didendangkan?

Saya bertanya sendiri di dalam hati. Walau saya tahu, mungkin tiada siapa yang ingin ambil tahu dan peduli lagi semua ini.

Kecuali membuncitkan perut dan mengembongkan poket sendiri.

Jun 30, 2011

Tiada ulasan: