Punca dan kenapa tuduhan itu dilempar ke batang hidungnya tidak lain kerana seseorang itu secara tegas dan berterus terang mengatakan betapa dengan hanya menuliskan karya sastera, di negeri yang makmur dan terlalu pantas memaju ini, penulisnya akan hidup miskin, sengsara dan payah.
Konon kerana itulah maka seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis itu melontarkan tuduhan.
Mungkin benar seseorang itu berbohong ketika mengatakan betapa hidup hanya dengan menulis di negeri ini tidak mungkin menjadi kaya.
Tetapi kalau pun benar seseorang itu berbohong, saya fikir biarlah itu menjadi urusan dia dengan Tuhan dan tiada sebab untuk seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis melenting marah dan menuduh seseorang itu sebagai pembohong di depan khalayak.
Bagi saya ini tuduhan yang sangat tidak adil dan melampau. Kalau saya di sana ketika kata-kata itu diucapkan oleh orang yang itu, saya mungkin akan kembali menempelak bahawa dia yang menuduh itu juga adalah pembohong.
Saya sanggup katakan demikian kepada seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis itu kerana saya tahu kalau dengan hanya benar-benar menulis sesuatu yang sastera dan inti di negeri ini, mana mungkin orang dapat menjadi kaya.
Tidak percaya? Lihat sahajalah nasib yang menimpa beberapa sasterawan yang dinobatkan atas nama negara itu. Hidup mereka seadanya sahaja dan memang tidak terlalu kaya. Malah pihak yang menobatkannya atas nama negara juga seperti kurang memperhatikan mereka. Lebih terhiris dan ironi, walau telah dinobatkan atas nama negara, tetapi karya mereka tiada yang sudi dipilih menjadi teks di sekolah.
Lainlah kalau selain menulis itu, disambil-sambilkan juga mengambil keuntungan dengan cara memeras orang lain secara tidak langsung atau dengan sesuatu cara dan muslihat yang licik. Atau misalnya atas nama penulis tetapi secara diam-diam mendapat projek-projek sampingan yang lain.
Atau katakanlah seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis itu memang menulis dalam erti kata telah melahirkan sejumlah karya dan karyanya itu laku keras sehingga sudah diulang cetak ribuan kali. Hasil dari royalti karya itu memungkinkan dia menjadi kaya sehingga mampu membeli kereta baru dan sebagainya.
Memang kayalah dia. Tetapi sepuluh tahun dari sekarang, atau selepas dia mati, apakah karyanya itu akan terus dikenang orang atau setidaknya, nama dia disebut orang sebagai seorang sasterawan?
Di situlah saya katakan dia berlaku tidak adil terhadap seseorang yang dia tuduh sebagai pembohong itu.
Saya rasa, dia menuduh seseorang itu sebagai pembohong semata-mata kerana tidak senang dengan cara seseorang itu yang melihat dunia penulisan dari perspektif seorang yang hanya sepenuhnya menulis karya sastera, sedangkan seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis yang menuduh seseorang itu sebagai pembohong itu pun memang pun bukan seorang sasterawan, tetapi berasa dirinya juga tetap seorang sastera dan mahukan supaya apa yang dia tulis itu diakui juga sebagai karya sastera.
Saya fikir tidak ada sebab untuk dia berasa marah atau tersinggung terhadap seseorang yang hanya bercakap dari perspektif penulis karya sastera itu sehingga tergamak dia menuduhnya pembohong.
Rasa saya, kalau pun benar dia menjadi kaya kerana memang menulis, walau bukan sesuatu yang sastera, dia tidak punya hak untuk menuduh orang lain sebagai pembohong.
Sebabnya ? Bukan dia seorang yang menjadi kaya kerana menulis. Tetapi yang ramai itu tidak pula tergamak hendak menuduh orang lain sebagai pembohong.
Kecuali dia sahajalah. Kerana saya agak dia marah sangat itu kerana terasa tercilikan sesuatu. Atau kalau tidak pun, dia pun memang ada niat juga hendak berbohong lantaran kerana sebelum ini memang sudah terlalu sering berbuat bohong.
Jun 4 , 2009
2 ulasan:
Salam Tuan,
Pada hari terakhir PPMN yg bersejarah itu.. saya berada di tepi manusia lantang menuduh panel di hadapan sebagai pembohong.. saya turut terhenyak dengan mulut celuparnya.. tiadakah lagi kesopanan dan kesusilaan dalam bicaranya.. setahu saya, sastera mengajar kita berbicara dengan penuh beradab sopan.. dalam bahasa Arab pun sastera namanya adalah 'ADABUN'. meskipun kita tidak puashati kita masih boleh menyusun ayat dengan penuh kreatif.. sungguhlah kata guru saya ~ilmu itu datangnya dengan adab, jika adab sudah tiada maka tiadalah nilai ilmu itu walaupun ada 3 PhD sekalipun..
ilmu pengetahuan yang terhenti sekadar pengetahuan dan maklumat semata-mata tidak mampu memanusiakan manusia yang berkemelut dengan kehaiwanan nafsu..
Saya kecewa kerana ada editor seperti ini..
Salam hormat.
Salam Sdr Hasmora: Saya kira bukan, sebab dia hanya bekas.
Catat Ulasan