Khamis, September 12, 2013
HEBAT
SAYALAH rasa saya orang yang paling bertuah dan beruntung yang hidup di dunia hari ini. Saya katakan begitu kerana saya diberikan Allah SWT keuntungan dan kesempatan untuk mengenal dan berbaik dengan ramai manusia yang hebat-hebat.
Dan kerana itu jugalah, agaknya, tempias kehebatan mereka yang saya kenal itu tertempias juga ke saya. Kerana tempias itulah maka saya selalu berasa dan terperasan, berbanding dengan mereka yang tidak berkawan atau mengenal orang-orang yang hebat itu, betapa hebatnya juga diri saya ini.
Misalnya, jika saya menulis sebuah puisi, walau pun pendek dan kontot, saya berasa puisi sayalah yang paling baik dan hebat. Begitu juga kalau saya sudah selesai menulis sebuah cerpen, novel atau baru sebentar turun dari pentas selepas membacakan sebuah sajak. Saya berasakan alangkah hebatnya juga karya dan bacaan saya itu, mengalahkan semua karya dan bacaan orang lain yang tentu sahaja pada anggapan saya tidaklah sangat hebatnya itu berbanding dengan karya dan bacaan sajak saya.
Memang seronok dapat mengenal dan berbaik dengan ramai manusia yang hebat-hebat. Walau pun kadang-kadang kehebatan itu tidak apa-apa atau setara mana pun dengan kehebatan dalam erti dan maksud yang sebenarnya.
Seperti juga diri saya yang selalu dan suka perasan ini. Konon-konon sayalah yang paling hebat. Walau pun hakikatnya tiadalah apa sangat yang hebatnya.
September 12, 2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan