Jumaat, Julai 27, 2012

BIARLAH


BIAR apa pun saya hanya ingin tetap menjadi diri saya begini. Hidup, berfikir dan menulis, seadanya. Saya tidak peduli kalau tidak dianggap yang hebat-hebat atau dianggap tidak mampu melahirkan sesuatu yang sampai  mampu mendorong para pemuji dan pemuja mengacungkan tinggi  jempolnya.

Anda boleh sahaja menjatuhkan apa sahaja  hukum dan penilaian anda sendiri terhadap saya. Itu tidak apa-apa dan tidak sangat mengganggu hidup saya. Sebabnya? Saya yakin dan percaya, segala rezeki, apa lagi hidup dan mati saya, bukan ditentukan oleh anda atau siapa sahaja yang bernama manusia. Hukumlah, nilailah. Hidup saya akan tetap begini-begini juga. Saya tidak takutkan sesama manusia, tetapi Dia, yang maha menentukan segala soal hidup mati serta rezeki saya.

Katakan apa sahaja. Itu hak anda. Saya tidak akan berlamaan memikirkannya. Apa lagi untuk terlalu bersedih  hati sehinggakan menjadikan diri saya senewen sendiri.

Biarlah. Gunakanlah segala kuasa yang anda ada itu: menilai, menentu, mengesah atau meluluskan. Itu hak anda. Gunakanlah semahu dan sekehendak anda.

Tetapi ingat ini.

Kalau saya meminta, bukan bermakna saya mengemis. Saya meminta hanya sesuatu yang memang hak saya sama ada atas nama sebagai rakyat, warga atau seniman.

Terserah anda. Anda punya segala kuasa. Gunakanlah sekehendak mahu dan hati anda.

Jangan lupa.

Keangkuhan anda itu, akhirnya, walau dilindungkan dengan pelbagai nama dan gelar yang muluk dan indah, pasti nanti akhirnya, akan memakan diri anda sendiri kembali.

Dan saya memang tidak meminta anda percaya.

Sebabnya? Saya sudah terlalu lama benci melihat segala lakon dan sandiwara kewalian anda.  Berlakonlah, bersandiwaralah terus. Teruskanlah.

Julai 27, 2012
 

Tiada ulasan: