Rabu, Mei 23, 2007

SASTERA INDONESIA DAN MALAYSIA PADA AWALNYA BERAKARKAN MELAYU


Judul:
Akar Melayu: Sistem Sastra & Konflik Ideologi di Indonesia & Malaysia
Pengarang:
Maman S. Mahayana
Penerbit:
Indonesia Tera, Magelang
Tebal:
xiv + 302 halaman

Cetakan pertama: April 2001

JIKA diibaratkan dengan hubungan kekeluargaan, kesusasteraan Indonesia dan Malaysia bagaikan saudara kembar, kakak beradik sekandung. Demikian dinyatakan Maman S. Mahayana dalam pengantar bukunya yang mengkhususkan topik kajian sekitar persoalan akar, sistem dan konflik ideologi dalam sastera kedua negara serumpun ini.

Namun demikian, diakui Maman betapa pada akhirnya terjadi semacam pemisahan yang amat ketara sehingga akhirnya di Indonesia kesusasteraan Malaysia laksana kesusasteraan asing, yang lebih asing dari kesusasteraan Inggeris, Belanda, Jepun, China mahupun India. Seolah-olah di pihak Indonesia, kesusasteraan Malaysia itu kurang diambil peduli, sedangkan menurut pengamatan beliau lagi betapa di Malaysia kesusasteraan Indonesia tetap saja dibaca, dikaji dan sejumlah novelnya menjadi teks wajib di sekolah menengah. Sehingga dengan demikian seakan terkesan adanya sikap berat sebelah serta membutakan pandangan dari salah satu pihak terhadap pihak yang lain

Soalnya kenapakah kesusasteraan kedua negara yang dianggap sebagai saudara kembar, kakak beradik sekandung ini bergeser jauh dari akarnya dan semacam kurang lagi mahu dipedulikan oleh pihak yang satu lagi? Apakah yang menjadi punca atau penyebabnya?

Didorong oleh pertanyaan yang sedemikian inilah Maman S. Mahayan selaku seorang pensyarah di Fakultas Sastra Universitas Indonesia, Depok untuk melakukan kajian yang kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku.

Dalam kajiannnya, Maman melihat betapa kesusasteraan Indonesia dan Malaysia pada awalnya dari akar yang sama iaitu bahasa dan tradisinya ialah sastera Melayu. Sama-sama bermoyangkan Raja Ali Haji dan Abdullah bin Abdulkadir Munsyi. Lantaran inilah juga dapat difahami kenapa Hikayat Raja-raja Pasai, Tuhfat al-Nafis, Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah tetap dianggap sebagai karya sastera klasik Melayu milik kedua negara serumpun ini.

Namun demikian terjadi perubahan di mana dari akar yang sama ini terbentuk pula menjadi dua pohon yang berlainan dan karena itu cabang, ranting dan buah kreativitas kesusastraan Indonesia dan Malaysia pada akhirnya menjadi tidak sama.

Dalam keterpisahan itu, Maman turut mengesani betapa kesusasteraan Melayu moden pada awal pertumbuhannya, tidak secara penuh melepaskan diri dari tradisi kesusasteraan lama, tetap menerima dan mengolah pengaruh dari kesusasteraan Indonesia, khususnya di era gerakan pembebasan diri dari kekangan penjajah pada tahun 1950-an.

Dalam kajiannya juga, Maman mengakui menemui beberapa hal lain yang turut mencuri perhatian beliau. Antaranya ialah mengapakah di segi kedudukan serta status sosial sasterawan Indonesia kurang dihargai sedangkan di Malaysia sasterawannya cukup dihormati. Di samping itu juga timbul persoalan lain bagi beliau iaitu kenapa perkembangan kesusasteraan Malaysia agak perlahan jika dibandingkan dengan apa yang terjadi dalam kesusasteraan Indonesia.

Justeru itulah dalam kajiannya ini, di samping untuk mencari jawapan bagi keterpisahan dari akar yang sama itu, Maman turut memberikan tumpuan terhadap sistem sastera dan termasuk pertautan antara sastera serta isu sosial-politik yang mendominasi karya sastera kedua negara, ideologi, sistem penerbitan dan profesi pengarang, dengan memberikan penumpuan secara khususnya terhadap apa yang berlegar dalam perkembangan kesusasteraan kedua negara serumpun ini sekitar tahun 1950-an.

Menurut pengamatan Maman, punca awal terbentuknya dua pohon yang berbeza dari akar yang sama dalam perkembangan kesusasteraan kedua negara serumpun ini tidak lain berakibat dari kilah dan persekongkolan politik kolonial di antara Inggeris dan Belanda di London pada tahun 1824 yang membahagikan Melaka dan Singapura di bawah taklukan Inggeris sementara wilayah Sumatera kepada Belanda.

Pemisahan di bawah geografis politik ini kian diparahkan lagi begitu terbentuknya Balai Pustaka di Indonesia dengan dasar yang ditetapkan oleh pemerintah kolonial Belanda yang menyekat kemasukan penerbitan dari luar. Dengan begitu, menjadi kian jelaslah terputusnya keterkaitan sastera moden Indonesia dengan akar tradisi Raja Ali Haji dan Abdullah bin Abdulkadir Munsyi.

Bagi Maman, inilah asal mulanya keterpisahan dari akar yang sama tersebut dan dalam situasi yang demikian, kekuatan para penulis asal Sumatera menjadi pudar dan diambil alih oleh para sasterawan dari Jawa, sementara itu, pertautan antara tradisi sastra Melayu dan dinamika sastra modern Malaysia kelihatannya tetap terpelihara.

Namun demikian, di segi sistem, khususnya pertelingkahan ideologi sesama sasterawan di antara kedua negara terlihat adanya keselarian. Jika di Indonesia terjadinya pertelingkahan ideologi kelompok sasterawan Lekra yang menekankan gagasan "realisme sosialis" dengan kelompok sasterawan Manifes Kebudayaan yang menitikberatkan ide "humanisme universal", di Malaysia pun terjadi hal yang hampir sama di antara para sastrawan Asas 50, yang menyemboyankan gagasan "seni untuk masyarakat" dengan
sejumlah sasterawan lainnya yang mengemukakan konsep "seni untuk seni".

Di Indonesia, kelompok Lekra dengan nama antara lain seperti Sobron Aidit, Agam Wispy dan Pramoedya yang dianggap paling representatif bertembung dengan kelompok Manifes Kebudayaan seperti Taufik Ismail dan teman-teman lainnya. Di Malaysia, pertembungan itu diwakili oleh Asraf yang dianggap penghujat utama dari pihak Asas 50 dengan Hamzah di pihak yang lain.

Menariknya, dari kajiannya Maman mendapati betapa apa yang diperjuangkan oleh kelompok Lekra di Indonesia lebih condong kepada ideologi dan partai berbanding dengan kelompok Manifes Kebudayaan yang berusaha menegakkan kebebasan individu serta kemanusiaan sejagat. Lebih menarik lagi, Maman membuktikan betapa Pramoedya sendiri yang pada mulanya berpandangan betapa kesusasteraan yang dikorbankan untuk politik adalah kesusasteraan propaganda dan belum layak diberikan nama kesusasteraan pada akhirnya turut sama menjadi antek Lekra yang tegar.

Siaran: Utusan Malaysia, 16 April 2002

Khamis, Mei 10, 2007

SING KAYA NGENE: BUKU PUISI DUA PENYAIR "ORANG KAMPUNG"






MEMBACA kumpulan puisi "Sing Kaya Ngene" sepertikan membaca kisah kembara dan tamsil seadanya dari dua penyair "Orang Kampung". Dalam bahasa Jawa "Sing Kaya Ngene" bererti "Yang sepertinya" atau lebih tepat lagi "ya, beginilah" merupakan judul kumpulan puisi dua penyair yang menamakan dirinya sebagai "orang kampung" atau dalam bahasa Jawanya "wong kampung". Dua penyair yang dimaksudkan ialah Saring Sirad atau lebih dikenali dengan nama samarannya Ismas Saring (Foto Bawah) dan Ibrahim Ghaffar (Foto Atas). Kedua penyair ini bergabung tenaga serta modal menerbitkan sendiri kumpulan puisinya ini pada awal 1999.


Kedua mereka ini bukanlah orang baru di tanah sastera kita. Saring Sirad atau Ismas Saring sebagai contohnya, selain penyair juga dikenali sebagai penulis rencana umum, catatan perjalanan atau pelancongan, cerpen dan skrip drama. Antara skrip drama Ismas yang terkenal ialah "Seruan Damai" yang dipilih menjadi teks wajib bagi pertandingan drama anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sekitar tahuhn 1968-1969 dan di RTM pula skripnya "Senandung Pertiwi" sebanyak 32 siri disiarkan sepanjang tahun 1974-1975.


Ibrahim Ghaffar pula, selain penyair juga terlibat selaku seniman teater dan pelukis. Semasa menuntut di luar negara, Ibrahim pernah mengadakan pameran solo lukisannya "On Journey 83" yang bermula dari Berlin, Paris dan London sekitar tahun 1983-1984. Sebelumnya, pada tahun 1978, bersama kumpulan teaternya di bawah Persatuan Aktiviti Kulitkraf (AKRAF), Petaling Jaya beliau mementaskan drama "Demi Cinta" di Hari Puisi Nasional ke 6 yang berlangsung di Kuantan pada 14 hingga 16 April 1978.


Selaku seorang seniman yang banyak mengembara, Ismas Saring kelihatannya tetap tidak lupa untuk mencatatkan kesan perjalanannnya itu ke dalam puisi-puisi beliau. Di dalam kumpulan ini, kelihatan dominan puisi-puisi yang dihasilkan beliau di sepanjang kembaranya. Antaranya sebagai contoh ialah "Algojo vs Tante Girang" (hal. 1), "Di Hujung Pertemuan" (hal. 10), "Di Persimpangan" (11) dan "Memburu Salju Rontok" (hal. 27).


Jika di dalam puisi "Algojo vs Tante Girang" Ismas memaparkan peri kehidupan malam dan suram manusia yang segolongannya, di dalam puisi "Di Hujung Pertemuan" pula Ismas merakamkan betapa pun amat berat terasa perpisahan ketika sedang sesama mesra, tetapi tetap diakurinya betapa: "pertemuan dan perpisahan ini sebenarnya/ adalah garis permulaan/ erti kasih sayang insan/ antara kita tanpa penghujung jalan/ bertanda noktah."

Di dalam puisinya "Di Persimpangan" pula Ismas seakan kembali mencari makna kesetiaan di dalam suatu kembara: "Kita saling mencari kesetiaan/ dalam kembara yang bersimpang/ & lemas di bawah kata hati/ ternyata kehidupan membentuk manusia seperti kita/ & sayangpun sering terungkai/ meskipun/ mesra kian berputik."


Atau di tengah dingin salju di Mt Bernes, Switzerland Ismas merakamkan betapa beliau berlari dan: "dengan dada membara/ memburu salju rontok/ mencari pengertian/ kemanusiaan sejagat."


Jika Ismas Saring ketara lebih banyak merakamkan kesan kembara serta persepsi hidupnya di dalam puisi, Ibrahim Ghaffar pula kelihatannya lebih melihat hidup ini sebagai suatu ibarat dan justeru itu perlu sering dinisafi akan di mana kesudahannya.


Di dalam puisinya "Aduhai, Senandung Keketuaan" (hal. 69) dikatakan penyair sebagai suatu peringatan kepada setiap yang bergelar ketua betapa: "Janganlah tanah dijadikan/ hanya untuk kedudukan/ kerana siang makin menghampiri malam/ dan sinar akan terpadam."


Atau di dalam puisinya "Wayang Pak Dalang iii" (hal. 75), menyatakan betapa hidup ini tidak lain adalah: "Tamsil ibarat/ garam segenggam larut di laut/ pasti akan tenggelam hanyut/ kehilangan rasa/ kehilangan rupa/ kehilangan nama/ lautan tetap sediakala/ "Ikan hidup sepanjang hayat/ daging tak pula menjadi masin./ Kalau tak garam mengasinkan ikan/ jangan menjadi langau jahanam"


Lanjut menelaah kumpulan puisi ini akan kian terasa betapa apa yang dimaksudkan sebagai "ya beginilah" dari dua orang penyair yang mengakui dirinya sebagai "orang kampung" ini tidak lain merupakan pengakuan dan pernyataan rasa hati secara jujur oleh penyairnya. Memang, di dalam kumpulan puisi ini tidak akan kita temui banyak kata-kata atau ungkapan baru, namun dilihat di segi mesej yang cuba disampaikan penyairnya, kesan kejujuran itu akan tetap terasa. Terasa dalam erti kata dinyatakan secara apa adanya.


Ini misalnya dapat ditelaah dari puisi Ismas Saring berjudul "Prologue" (hal. 43): "Kasihnya/ kasih seorang ayah/ cintanya/ cinta seorang ibu/ setianya/ setia seorang anak/ tapi bilakah/ kasih ini berputik/ sayang ini berkembang/ setia berakar umbi/ dalam pengertian sejati."


Atau berikutnya pengakuan Ismas dalam puisinya "Perjalanan Syahdu" (hal. 39): "…di tengah perjalanan yang gersang/ tiba-tiba aku jadi termangu/ …. syurga bukan di sini/ juga bukan di rumahku/ kerana sebenarnya syurga/ milik pengembara bukan sepertiku/ milik bukan manusia/ yang memburu & diburu…."


Atau di dalam puisinya "Hadirku" (hal. 125), penyair Ibrahim Ghaffar pula mengakui: "Aku menulis bukan kerana nama/ demi kasihku kepada mereka/ dan mereka adalah aku/ yang menyanyikan lagu rindu./ Dan berdoa "Runtuhlah tembok ini,/ dan kita menjadi satu kembali."


Lanjut menelaah serta berusaha mengimbas makna dari kumpulan puisi ini, akan ditemu semacam pengakuan penyair yang mengaku dirinya sebagai orang kampung, yang tentunya masih tetap belum luntur sifat rendah hatinya namun memiliki semangat kental demi melanjutkan kembara kepenyairannya. Dalam puisinya "Kembara II" (hal. 128), Ibrahim Ghafar menyatakan: " Kembara ini masih belum sampai ke perhentian/ harga diri bukan penghujung perjalanan/ keakuanku bukan lagi pencarian/ dan kembara masih belum berakhir."


Sebagai insan biasa, siapa pun kita akan tetap bertembung dengan resah serta gelisah. Hakikat ini kelihatannya sangat diarifi penyair dan untuk itu tidak perlu untuk kembali dijadikan penghalang demi meneruskan perjalanan hidup yang masih berbaki. Secara terbuka ini dinyatakan Saring Sirad di dalam puisinya "Kerdipan Bintang" (hal. 18): "… sesekali kenanglah/ bahawa kita/ sering bermain resah. Hingga/ di akhir pencarian."


Memang pun demikianlah kenyataan hidup manusia. Siapa pun kita, tanpa mengira yang bernafas di tengah kota kosmo mahupun jauh hidup terperuk di pedalaman kampung, akan tetap mendepani duga di dalam hidup. Tinggal lagi sikap dan bagaimana kita menerima segala duga dan cabar itu sajalah yang membezakan apakah kita sudah berbuat atau sekadar mengeluh meratapi nasib malangnya.


Setidak-tidaknya selaku penyair, Saring Sirad dan Ibrahim Ghafar telah membuktikan. Betapa pun hidup terperuk jauh di pedalaman kampung, mereka tidak pernah merasa gagap dan silu untuk menyatakan sikap serta pendirian hidupnya di dalam puisi-puisi mereka. Dan lebih membanggakan lagi, jika sejumlah penyair yang miskin jiwanya sering merintih mengharapkan agar buku puisinya diterbitkan konon oleh penerbit yang lebih bermartabat, tetapi Saring dan Ibrahim tampil secara mandiri mengusahakan penerbitan buku puisi mereka.

Ahad, Mei 06, 2007

MENCARI ANTARABANGSA DAN KARYA INTI

Hari ini Ahad. Selamat Pagi Malaysia siaran TV 1 RTM memaklumkan hari ini hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC.

Hari terakhir? Terkenang aku dua hari dan kali aku menjengah pesta buku ini secara berturutan. Hari pertama pada tengah hari hingga malam 29 April dan berikutnya pagi dan tengah hari 30 April 2007.

Kesannya? Aku tercari-cari antarabangsanya pesta buku kali ini. Ingin menatap, membelek, menelaah dan jika bersesuaian dengan wang di saku, membeli yang datangnya dari antarabangsa di pesta buku kali ini. Mungkin ada terselit di mana-mana, tetapi aku mungkin tidak melihatnya. Yang selalu menghadang adalah petugas atau jurujual kaset/cd pelajaran bahasa Inggeris.

Bagi seorang pembaca buku yang kukira sudah semakin menjadi lebih pemilih dan mencari sesuatu yang lebih inti, aku berasa agak kecewa. Di gerai IKAPI dan DBP Brunei Darussalam memang kelihatan buku sastera dipajangkan. Namun kukira untuk pemula yang masih mencari jejak awalnya memang sesuailah buku sedemikian. Tetapi bagi yang galak bertanya dan bersoal seperti diriku, rasanya, buku yang ada seperti karya daur ulang sahaja.

Mei 6, 2007

Sabtu, Mei 05, 2007

PENYAIR ACEP BERDONGENG LEWAT PUISI

Tajuk : Dongeng Dari Negeri Sembako
Penyusun: Acep Zamzam Noor
Penerbit : Aksara Indonesia, Yogjakarta
Tebal : 81 halaman
Cetakan : 2001
Pengulas : Marsli N.O

KEPEKAAN seorang penyair terhadap segala macam isu yang berlaku di dalam masyarakat mudah menggetarkan hati nurani seorang penyair. Gugahan itu akhirnya yang mendorong penyair supaya segera memberikan reaksi. Kesegeraan tersebut, selain sebagai bukti akan kehadirannya, juga demi untuk menunaikan tanggungjawab utama kepenyairannya: menjadi saksi sejarah dan mengucapkan kembali suara hati nuraninya.

Dalam upaya untuk menyata dan memberikan reaksi itu, disebabkan oleh sesuatu peristiwa yang sangat menekan perasaan, tidak mustahil penyair menyuarakan suara hati nuraninya ini dalam bentuk yang sama sekali lain dari bentuk karya yang sudah menjadi identiti dirinya sebelum ini.

Tidak mustahil juga, selepas terlalu terhenyak dan tersentak oleh sekian banyak peristiwa yang sedemikian rupa, penyair akhirnya memilih untuk tidak mahu lagi menyeksa jiwa dan raganya dengan segala macam pertanyaan dan tanggapan yang serius.

Akhirnya, guyon atau gurau senda dijadikan alat untuk meredakan ketegangan di dalam jiwa. Malah bagi seniman murni yang selalu mengharapkan keadaan akan berubah, guyon atau gurau senda yang diucapkan secara serius ke dalam karya dijadikannya wadah menyatakan resah di dalam batinnya.

Inilah kelihatannya yang dialami oleh penyair Acep Zamzam Noor. Beliau yang sebelumnya terkenal sebagai salah seorang penyair liris generasi baru yang terkenal di Indonesia dengan kumpulan puisinya “Tamparlah Mukaku” (1982), Aku Kini Doa” (1986), “Kasidah Sunyi” (1989), “Dari Kota Hujan” (1996), “Di Luar Kata” (1996) dan “Di Atas Umbria” (1999) kini tampil dengan “Dongeng Dari Negeri Sembako ” yang sama sekali dengan jalur karya puisinya sebelum ini.

Malah dalam satu pengakuannya kepada penyuntng di dalam buku terbarunya ini, Acep sendiri mengaku ragu dengan apa yang dia tulis dalam hubungan dengan masalah estetika yang pernah ia buat sebelum ini. Acep sendiri tidak pasti mahu menamakan karya-karya terbarunya ini sebagai apa.


Malah dalam karya penutupnya (309) Acep sendiri mengakui: “Sehebat-hebatnya yang kutulis ini/ Ternyata bukan puisi”.

Karya-karya Acep dalam kumpulan terbaru ini sekali imbas kelihatannya seperti haiku tetapi pada sisi yang lain kelihatan lebih seperti pantun.

Namun yang pasti, karya-karya di dalam kumpulan ini yang dijuduli dengan nombor terakhir sehingga 309 menjadi semacam catatan sosiologis dan sejarah terhadap apa yang terjadi di Indonesia ketika ianya dicipta.

Ianya menjadi semacam potret sosial yang di samarkan sesekali dan pada saat yang lain sangat jelas dan gamblang. Sehingga dengan begitu pembaca mudah dapat menduga tokoh dan watak atau juga peristiwa mana yang dirujuk di dalam realiti.
Sebagai contohnya, dengan puisi: “Ada banyak cara/ Untuk bebas dari hukuman/ Salah satunya/ Pura-pura sakit (233). Puisi ini jelas merupakan sindiran yang merujuk kepada peristiwa penegakan hukum keadilan terhadap Tommy Soeharto, anak sang presiden Indonesia pada waktu itu.

Semua peristiwa dan pelbagai watak yang terlibat dan dirasakan Acep perlu diberikannya reaksi menjadi titik tolak pengkaryaannya di dalam buku ini: presiden, menteri, artis, wartwan, kiai, bupati dan bahkan beberapa teman seniman penyairnya sendiri.

Kes-kes politik, ekonomi, sosial, budaya, cinta dan malah hal-hal yang sulit diduga kerana bersifat lokal dan terlalu personal menjadi isi yang menguatkan bentuk dan kata-kata puisinya di dalam kumpulan ini.

Penyanyi turut menjadi watak di dalam senda Acep (109): “Para pengagum Desy Ratnasari yang patah hati/ Kini bahu membahu mendirikan Partai Tenda Biru”. Ini disusuli Acep dengan sindirannya terhadap terhadap para pemimpin (110): “Para pejabat yang sudah banyak merugikan negara/ Seharsnya berhimpun dalam Partai Koruptor Indonesia”.

Sebagai kesimpulannya, “Dongeng Dari Negeri Sembako” adalah sosok lain identiti kepenyairan Acep Zamzam Noor. Berbeza dengan karya-karya beliau yang telah dibukukan sebelum ini, karya Acep kali ini lebih merupakan sejarah simbolis dan penuh metafora yang disaluti dengan jenaka yang makna sebenarnya sudah diketahui umum oleh khlayak tetapi sekaligus membuat mereka berfikir sejenak dan tersentak.


Foto: Dongeng.JPG

SELESAI

KUMPULAN CERPEN SAPARDI DJOKO DAMONO (1)


Tajuk : Membunuh Orang Gila
Pengarang: Sapardi Djoko Damono
Penerbit : Kompas, Jakarta
Tebal : viii + 104 halaman
Cetakan : 2003
Pengulas : Marsli N.O

SEBAGAI penyair, Sapardi Djoko Damano diakui antara nama besar di tengah persada sastera Indonesia. Sebagai penulis esei dan pengkiritik pun demikian juga. Namun itu semua tidak menghalang Sapardi untuk memperkembangkan bakat dan kebolehan seni atau sasteranya yang lain. Selain giat menterjemah karya sastera, Sapardi juga turut menulis cerpen. Selepas menerbitkan “Pengarang Telah Mati” pada tahun 2001 kini menyusul pula kumpulan cerpen kedua beliau berjudul “Membunuh Orang Gila”.

Pada satu sisi, hadirnya Sapardi dengan kumpulan cerpen ini menambah jumlah penyair yang juga menulis cerpen seperti Asrul Sani, Sitor Situmorang, Sutardji Calzoum Bachri atau Seno Gumira Ajidarma. Namun ditinjau dari sisi keberhasilan pula, tidak semua penyair yang menulis cerpen sekaligus segera sama terpandang sebagai cerpenis.

Sitor Situmorang misalnya, walau telah menulis beberapa cerpen dan telah dibukukan tidak tercatat dalam sejarah sastra Indonesia sebagai cerpenis, tetapi lebih dikenal sebagai penyair.

Begitu juga sebaliknya bagi cerpenis yang sekaligus juga menulis puisi, sebagai contohnya Seno Gumira Ajidarma. Tidak semestinya dikenal juga sebagai penyair, tetapi kerana di genre cerpen kekuatannya didapati lebih menonjol, maka kekallah dia sebagai cerpenis.

Ini nampaknya agak berbeza dengan Sapardi. Kelahiran kumpulan cerpen keduanya “Membunuh Orang Gila” membuktikan betapa melalui lapan belas cerpen di dalam kumpulan ini, Sapardi didapati bijak mepermainkan logika serta mempergunakan kekuatan bermain dengan bahasa sebagai seorang penyair serta nilai-nilai puitiknya.

Untuk untuk mencapai ketinggian nilai seninya pula, Sapardi melakukannya dengan tema-tema yang sangat sederhana tetapi sekaligus juga memanfaatkan sebaik mungkin unsur-unsur di luar duga pembaca. Seolah-olah, membaca cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini merupakan satu proses untuk sentiasa berpapasan dengan sesuatu yang asing, yang tiba-tiba mengatakan sesuatu yang tak disangka.

Bertitik tolak dari sebuah kisah atau dongeng yang sudah terlalu biasa dihafal oleh semua, kisah seekor haiwan yang kononnya dikatakan paling cerdik di rimba belantara diterbalikkan setiap pengakhirannya dengan alasan betapa setiap haiwan lain yang bakal menjadi mangsa akal-akalannya juga turut mengetahui hujung kisah yang bakal terjadi.

Justeru itulah, seekor kancil di dalam “Dongeng Kancil” sentiasa ditimpa nasib malang dan kecerdika atau kelicikannnya “memangsakan” haiwan lain menjadi sia-sia. Hanya, untuk menampakkan adanya daya kreativiti sebagai seorang pengarang, di dalam kisah yang sudah dianggap biasa ini Sapardi telah memasukkan watak “aku” yang suka “menyaru” atau boleh merupakan diri sebagai apa saja yang ditemuinya dan tidak hentinya mencari Juru Dongeng.

Kisah batu tetaplah sebongkah batu. Namun di dalam “Batu di Pekarangan Rumah” yang menjadikan kisah ini bukanlah semata-mata kisah biasa mengenai sebongkah batu ialah bila batu tersebut di tangan Sapardi diberikan sifat bagaikan bernyawa.

Ungkapan tertentu dari cerpen ini dapat menimbulkan pertanyaan: sebenarnya batu apakah yang dimaksudkan pengarang? Misalnya dari petikan ini: “….Aku sangat menyayanginya dan merasai kehilangan kawan untuk berbagi perasaan ketika harus pergi meninggalkan rumah, mengembara dari kota ke kota.”

Benarkah ada bahayanya jika anak terlalu dididik menjadi insan mandiri? Jawabnya boleh jadi ya dan tidak. Tetapi itulah yang terjadi di dalam cerpen “Bingkisan Lebaran”. Mawar yang dididik dengan keras agar tidak bergantung kepada sesiapa pun, meski kepada ibunya, nekat memenuhi impian kanak-kanaknya untuk bebas bermain walau terpaksa bertukar status hidup dan keluarga dengan anak gelandangan yang sebaya.

Sapardi tidak melupakan juga memberikan perhatiannya kepada aspek-aspek psikologi dan persoalan kasih sayang. Di dalam cerpen “Ratapan Anak Tiri”, selain menggambar aspek psikologi seorang anak yang merindui ciuman di pipi dari ibu tiri dan ayahnya, secara tidak langsung Sapardi juga menyelitkan sindiran betapa wujudnya kasih dan sayang itu tidak lain kerana bertautnya hubungan dengan yang lain dan bukan dengan kesendirian.

Dialog ringkas ini setidaknya mengajak kita sejenak berfikir: “….Baru aku sadar bahawa memang tidak mungkin mencium pipi sendiri, bahkan di dalam cermin, sebab yang kena cium pasti bayangan bibir sendiri, bukan bayangan pipi.”

Sapardi meminjam dari hikayat untuk menyatakan kritik atau sindiran politiknya secara tidak langsung di dalam cerpen “Hikayat Ken Arok”. Ken Arok seorang remaja tengah naik yang tergilakan isteri Pak Bupati setelah melihat betisnya yang mulus di dalam satu perarakan di kota digambarkan muak melihat keadaan sosial politik yang serba tidak kena, benci melihat tingkah laku pihak berkuasa yang asyik memeras rakyat kecil serta bertindang sewenang-wenang dan sebagainya lagi. Lalu sebagai wakil tempat semboran amarah serta bencinya, Pak Bupati adalah sasaran yang paling tepat.

Namun bukanlah mustahil betapa Ken Arok hanyalah watak pinjaman untuk secara tersirat menyampaikan juga kritik atau amarah pengarang. Sehinggakan kritik dan “cercanya” terasa pedas: "Bupati itu memang bajingan asli. ... Apapun ditarik pajak. Tikus yang tinggal di rumah kita pun kena pajak karena dianggap binatang piaraan"

Cerpen “Membunuh Orang Gila” yang dipilih menjadi judul kumpulan cerpen, menghadirkan watak-watak yang amat biasa: aku dan orang gila. Tetapi di sebalik keberadaan aku dan orang gila yang hubungannya terjalin secara diam-diam begitu saja, menimbulkan satu persoalan yang mungkin penting: “Siapa sebenarnya yang dila? Aku atau dia? Dan puncanya, apa dan kenapa?”

Ada juga kisah biasa tetapi terkesan keabsurdannya di dalam kumpulan cerpen ini. Misalnya “Testamen” yang mengisahkan suatu ucapan rasa terima kasih dari yang telah tiada di muka bumi kepada seekor anjing kampung. Atau dari cerpen “Membaca Konsultasi Psikologi”, sesuatu yang membuat kita ragu apakah benar dari suatu kolom tanya jawab atau memang sebuah monolog

Secara keseluruhan, di dalam kumpulan cerpen ini, Sapardi tetap membuktikan betapa sebagai penyair dia bijak mengadunkan kepuitisan di dalam prosa. Rasa dan kesan puisinya itu, kalau pun tidak terkelibat secara utuh di dalam setiap cerita, namun tetap terkesan di antara baris dan larik tertentu. Ini dapat antaranya dapat ditelaah dari kisah berjudul “Jalan Lurus”, “Batu di Pekarangan Rumah” dan paling ketara di dalam “Sarang Angin”.


Foto: bunuh.jpg

SELESAI

Jumaat, Mei 04, 2007

DOA BUAT SAHABAT PENYAIR MUSTAFA JUSOH

Doa buat sahabat penyair Mustafa Jusoh di Kota Bharu, Kelantan. Beliau kini dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Krian untuk rawatan barah gusi. Kepada teman-teman yang berbaik hati memaklumkan khabar ini diucapkan terima kasih. Para sahabat sekalian, mari kita berdoa buat sahabat penyair kita ini.

Ya, Allah. Tuhan Maha Pengasih.
Hambamu yang kerdil dan hina ini
Memanjatkan doa ke hadiratMu
Berikanlah sahabatku, Penyair Mustafa Jusoh
Belas dan IhsanMu, Ya Allah
Berikanlah sahabatku, Ya Allah
Kesembohan dari penyakit yang mengujinya

Amin
Amin
Makbulkanlah, Ya Allah
doa hambamu yang kerdil dan hina ini

Mei 4, 2007

DUNIA GELAP KEHIDUPAN MANUSIA DALAM CERPEN

Tajuk : Logika Falus
Pengarang: Tommy F Awuy
Penerbit : PT Metafor Intermedia, Jakarta
Tebal : 166 halaman
Cetakan : 2001
Pengulas : Marsli N.O


TIDAK ramai pengarang yang berani menampilkan kisah gelap kehidupan manusia yang bergelumang dengan nafsu dan pelbagai perilaku amoral sebagai bahan penciptaan cerpennya.

Selain masih tetap tunduk terhadap rasa malu, gugahan dari masyarakat yang cepat membantah terhadap hadirnya kisah-kisah seumpama ini ke dalam cerpen antara yang menjadi penghalang.

Namun di jagat sastera Indonesia tidak semua pengarang memilih tunduk. Malah beberapa dari pengarangnya secara agak terbuka dan lantang memilih dunia petualangan nafsu dan segala permasalahan yang berkaitan dengannya dipaparkan di dalam cerpen.

Di antara mereka yang sedikit ini, yang selalu disebut-sebut namanya adalah Ayu Utami dan Djenar Maesa Ayu. Ayu Utami dikenal kerana novelnya berjudul “Saman” dan “Larung”. Djenar Maesa Ayu pula, yang bagi sebahagian pengamat sastera Indonesia dianggap “muncul mendadak” terkenal dengan kumpulan cerpennya “Mereka Bilang, Saya Monyet!” dan “Jangan Main-Main (dengan Kelaminmu)”.

Meski agak menghebohkan, namun bagi mereka dan sejumlah pendokongnya, kemunculan karya seumpama ini dianggap wajar dan sejajar dengan tuntutan zaman. Kewajaran itu menurut mereka tidak lain sebagai tanda protes terhadap pembungkaman dan pengeksploitasi kaum lelaki atas perempuan.

Di luar dari pertimbangan salah dan betul atau benar tidaknya perdebatan seputar soal ini di Indonesia yang kadang-kadang dibandingkan sebagai pertembungan di antara “sastera wangi” dengan “sastera lendir”, karya-karya sebegini tetap menjadi buruan pembaca dan tampil pula satu atau dua pengarang lain selepas Ayu Utami dan Djenar Maesa Ayu.

Walau secara tidak langsung kenyataan yang menyebutkan betapa kisah kelamin dan lendir yang dipaparkan secara agak terbuka oleh mereka telah melonjak geraf jualan sehinga beberapa kali diulang cetak cuba dinafikan oleh pengarangnya, namun inilah hakikatnya.

Selepas Ayu dan Djenar Maesa Ayu pula, muncul satu atau dua nama pengarang lain yang sealiran dengan mereka memilih dunia gelap kehidupan manusia dunia yang bergelumang dengan nafsu serta segala permasalahan yang berkaitan dengannya sebagai bahan penciptaan cerpen.

Di antara mereka yang sedikit ini, agak menariknya adalah terkait seorang pengarang lelaki bernama Tommy F Awuy. Kemunculan Tommy, seorang dosen filsafat di Fakultas Sastra Universitas Indonesia, Universitas Atmajaya dan Institut Kesenian Jakarta dengan kumpulan pertama yang memutakan sembilan cerpennya ini segera membuka mata banyak tokoh mapan dalam sastera Indonesia.

Di antara mereka ialah presiden penyair Indonesia Sutardji Calzoum Bachri yang memberikan komentar galaknya betapa kehadiran Tommy dengan cerpen-cerpennya pasti akan membuat para perempuan penulis iri.

Di luar dari pujian melambung Sutardji, secara umumnya cerpen-cerpen Tommy di dalam kumpulan ini walaupun bertolak dari dunia hitam kehidupan manusia, namun tidaklah selantang serta seberani Djenar Maesa Ayu menamakan dan menderetkan langsung sejumlah objek.

Sebagai contohnya cerpen berjudul “Lesbi”. Watak Gesty sebagai seorang lesbian digambarkan pengarang menjadi mangsa pemerkosaan ayahnya sendiri sehingga hamil. Walau digambarkan betapa kejamnya ayah yang sanggup secara terancang mengupah Rully dan Nina bagi mencapai niat busuknya, namun tiada sepatah pun kata yang sampai dapat menimbulkan rasa jijik atau geli pembaca yang meminati “sastera wangi”.

Malah, pada sisi lain kita selaku pembaca setidaknya membaca betapa semakin semrawutnya zaman dan kehidupan manusia yang cuba dipaparkan Tommy.

Persoalan ini juga kelihatannya cuba digambarkan Tommy dalam cerpen berjudul “Dollar”. Pak Toyib seorang pemandu bajaj yang sanggup bersusah payah mahu memulang barang yang tercicir di dalam bajaj kepada pemiliknya dan sekaligus seorang suami yang baik akhirnya menjadi manusia liar jjuga.

Segalanya berpunca dari dollar yang dihadiahkan penumpang asing terhadapnya dan desakan isteri agar Pak Toyib memulangkan rezeki yang dianggap tidak halal. Desakan isteri yang bertalu-talu dan dapat dianggap keterlaluan akhirnya menjadikan Pak Toyib bosan.

Akhirnya, setelah termakan bujuk Norma, pelacur langganan tetap bajajnya, Pak Toyib yang jujur dan lugu ahirnya berubah menjadi lelaki yang gatal dan miang.

Dalam cerpen “Protektor dan Agresor” watak aku yang pada mulanya suka melindungi kaum yang lemah akhirnya menjadi banduan. Kerana desakan suasana dan peluang yang ada, sekelip mata pula aku di penjara menjadi peliwat banduan baru.


Foto: logika.jpeg

SELESAI

CERPEN DARI TANGAN PENYAIR

Tajuk : Di Ranjangmu Aku Tahu Aku Mati
Pengarang: Soni Farid Maulana
Penerbit : Pustaka Latifah, Bandung
Tebal : 120 halaman
Cetakan : 2004
Pengulas : Marsli N.O


SONI Farid Maulana lebih dikenali sebagai penyair yang kerap menulis sajak-sajak mengenai kesepian, cinta, maut dan juga kritik sosial. Beberapa sajaknya telah diterjemahkan dalam bahasa Belanda dan Jerman, yang terbit dalam Winternachten Festival (Den Haag 1999) dan jurnal Orientierungen (2/2000, Universitas Bonn, Germany).

Sajak-sajak lulusan jurusan Teater, ASTI (kini STSI) Bandung ini antara lain termuat di dalam antologi bersama “Tonggak Puisi Indonesia Modern 4” (ed. Linus Suryadi AG, terbitan PT. Gramedia 1987), “Gelak Esai dan Ombak Sajak” (Kompas 2001) dan antologi besar Horison Sastra Indonesia (Horison & The Ford Foundation, 2002).

Secara persendirian Soni telah menerbitkan antara lain kumpulan sajak “Kita Lahir sebagai Dongengan” (2000) dan “Anak Kabut” (2002).

Soni juga seorang wartawan. Sejak 1989 Soni bekerja sebagai wartawan di Harian Umum (HU) Pikiran Rakyat. Sebagai wartawan, ia mendapat Anugerah Zulharman dari PWI Pusat (1999) dengan artikelnya “Taufiq Ismail Penyair yang Peka Terhadap Sejarah”.

Kesebokan sebagai wartawan tidak mengekang Soni melebarkan sayap kreatifnya. Selain puisi dan menulis pelbagai esei budaya, Soni menyempatkan juga dirinya menulis cerpen. Cerpen-cerpen inilah, yang dihasilkannya sepanjang tahun 1996 hingga 2003 telah dibukukan.

Melalui kumpulan lapan cerpen di dalam kumpulan ini, kita selaku pembaca berpeluang mengikuti dan sekaligus kalau mahu, menilai sejauh mana pula pencapaian Soni selaku seorang penulis cerpen.

Sebahagian cerpen di dalam kumpulan ini, sekilas dapat ditebak bagaikan bertolak dari pengalaman kesenimanan dan kepenyairan yang memang digulati pengarang. Sebagai contohnya cerpen “Wesel Terakhir” . Watak Karim yang selama ini menampung hidup dan ekonomi keluarga dengan menulis digambarkan tiba-tiba hilang mata pencarian.

Puncanya, akhbar tempat Karim mengirimkan tulisan terpaksa menutup ruangan sastera dan budayanya sebagai langkah berjimat akibat kenaikan harga kertas yang melambung. Kehilangan ruang tempat mencari rezeki, Karim sehingga sampai pada suatu keputusan untuk menjadi pengamen. Namun niat itu dibangkang isteri atas alasan maruah keluarga dan menjaga perasaan anak-anak.

Memang di sana-sini di dalam cerpen ini terselit juga tanya bernada protes yang dilontar pengarang. Cuma sebagai penyair, kata yang dilontar terasa lembut dan tidak membentak. Antara yang ditanyakan pengarang ialah kenapa yang pertama selalu menjadi mangsa adalah ruang budaya dan kesusasteraan dan bukan hiburan.

Apakah kerana kurangnya pihak yang sanggup menaja iklan atau lantaran semakin dangkalnya pemikiran manusia yang lebih mementingkan hiburan? Demikian sekilas dilontarkan tanya oleh pengarang.

Tanya yang mungkin juga secara sekilas memanifestasikan sama kegelisahan pengarang ini, dibiarkan tanpa sebarang jawaban bila kisah diakhiri dengan isteri mengajak Karim beradu.

Cerpen lain di dalam kumpulan ini yang juga bertolak dari dunia kesasterawanan adalah “Zabaza”. Cerpen ini memaparkan watak Zabaza seorang konglomerat yang juga seorang penyair kondang di negeri Katenga.

Sebagai seorang konglomerat, Zabaza menggunakan segala kuasa dan kekayaan yang dimilikinya untuk menternak kritikus bagi kepentingan dirinya sendiri. Harapan Zabaza, dengan cara menternak mereka, para kritikus ini boleh dikerah sesuka hati agar memuji karaya dan dirinya sendiri.

Namun apa yang diharapkan Zabaza itu tidak semestinya tertunai. Zigizi, kritikus yang diternak Zabaza masih punya pertimbangan waras dan tidak bersikap sembrono memuji. Apalagi bila diketahui benar betapa pun Zabaza ini seorang sasterawan, namun perbuatannya yang suka menindas para pekerjanya sendiri dianggap Zigizi tidak selari dengan suara kemanusiaan yang diucapakan Zabaza di dalam karya.

Jejak kepenyairan Soni terasa jelas di dalam cerpennya “Kegelapan” bila naratifnya bagaikan baris-baris ayat di dalam puisi. Di dalam cerpen ini, watak Aku digambarkan pengarang sering bersendirian di taman akhirnya menjadi mangsa tembakan melulu petugas keamanan yang menyangka Aku adalah penjenayah seks yang diburu.

Setidaknya masih ada juga bahagian lain dari cerpen ini yang dapat membuat kita berfikir bila Soni antara lain mencatatkan: “...Boleh jadi dunia benar-benar tengah gila, bunuh membunuh rupanya sudah jadi kewajaran hidup, seperti halnya korupsi yang tidak dipandang lagi sebagai tindakan kriminal yang berakibat hukum....”

Foto: diranjangmu.jpeg

SELESAI