Jumaat, Mei 30, 2008

FOTO UNTUK YANG EMPUNYA DIRI

Sepanjang April dan Mei 2008 ini, ada sejumlah foto yang dirakam. Kepada sesiapa yang berkenaan, diizinkan memindah turun mana-mana foto yang melibatkan dirinya. Kepada sesiapa yang berkenaan juga, jika kebetulan telah merakam foto penulis, sudi kiranya mengirim foto berkenaan ke email penulis marslino@yahoo.com

Sinaganaga


Bersama Sdr Alang Kelana




Sdr Mohamad Kholid bersama Sdr Alang Kelana



Bersama Sdr Penyair Saiie Dris dan Sasterawati Nisah Haron

SELEPAS PERCAKAPAN: KESAN AWAL

sendiri aku
memetik kecapi

mendendangkan lagu
bernama kenang

di depan bayang

kerana ingin kubunuh
ini kesenyapan


Mei 26, 2008

Selasa, Mei 27, 2008

TEMAN YANG MENGILHAMKAN

SEMAKIN lama hidup, semakin usia meningkat, semakin saya berasa betapa bertuahnya diri dan hidup saya.

Dan rasa bertuah itu berlebihan lagi saya rasakan tatkala semalam seorang teman telah menghimbaukan ingat saya kembali kepada sesuatu yang seakan sudah saya lupakan.

Sebuah sajak. Ya, sebuah sajak.

Kalau tidak kerana teman ini kembali mengingatkan saya, saya mungkin semakin melepaskan jauh sajak itu dari ingatan saya.

Kerana teman ini, saya seolah digerakkan kembali dari lelap. Saya seoalah dikejutkan oleh teman ini agar segera menghentikan lenanya yang panjang.

Kerana teman ini, saya kembali teringatkan sajak itu. Sebuah sajak yang secara tidak langsung mengajak saya kembali melihat makna sahabat dan persahabatan, dan merenung dalam diam-diam segala yang sudah saya hadapi di dalam hidup ini.

Memang, hasad dan dengki selalu terjadi.

Dan kerana teman ini, saya kembali diperingatkan mengenainya agar tidak mudah takut dan resah bila dihasadi oleh sesiapa dan apa.

Kepada teman yang tidak saya sebutkan nama ini, saya harap dia memahami bahawa tulisan ini memang saya tujukan khusus kepada dia.

Terus terang saya katakan, betapa dia, sahabat yang saya maksudkan di dalam tulisan ini, seorang sahabat yang mengilhamkan.

Dan kepada Tuhan, saya berterima kasih kerana menghadiahkan saya teman-teman sedemikian.

Ya, selain dia sahabat yang saya maksudkan itu, memang saya memiliki sejumlah sahabat yang selalu mengilhamkan. Yang mengajak, mencabar dan memperingatkan saya. Bahawa saya tidak sendirian di dunia dan dunia saya adalah dunia resah dan gelisah yang selalu membawa bahagia.

Tidak pedulilah meski bahagia itu cuma sedetik.

Terima kasih, kau, kau dan kau para sahabatku yang mengilhamkan.


Mei 27, 2008

Sajak Marsli N.O

PEMILIK HASAD

Selalu kau suburkan hasrat
di dalam senyap
dengan baja kesumat

kemenangan bagimu adalah
tenteram yang berkocak
dengan adu dan domba

kau adalah si lidah bercabang
yang menjaja kata atau kisah
mudah membujuk
peminat sengketa
mudah memukau
pencari puji dan puja yang palsu

tetapi kau selalu tumpas di mata pengamat
yang selalu bersandar kepada bukti
dan mempercayai kejujuran manusia

di matanya kau adalah si tolol yang hina
kerana hasadmu tak mampu menjerat
si bisu yang bijak
atau menipu
si buta yang celik.


Kuantan,
Mei 7, 2004



Sumber Siaran: Dewan Sastera, November 2006

Isnin, Mei 26, 2008

KEPADA PAK, ABANG, DATUK, TAN SRI, PROFESOR, DR DAN LAIN-LAIN

ORANG boleh kata saya kurang ajar atau tidak pandai hendak hormat orang bila saya hanya membahasakan mereka yang punya sederet gelar di depan namanya, tetapi sekaligus hidup dan saya kenal dia sebagai sasterawan hanya dengan sapaan pak, bapak, saudara atau abang atau haji dan puan (bagi yang sudah berkahwin) sahaja.

Mereka boleh kata dan tuduh saya begitu. Saya tidak ambil kisah.

Entah kenapa, saya rasa geli hendak berdatuk, bertansri, berprof atau berdr dengan siapa sahaja mereka yang saya temui dan kenal sebagai sasterawan di negeri ini.

Saya sedar mereka berhak untuk berasa tersinggung atau marah bila saya tidak ber-ber demikian dengan mereka. Sebabnya? Tentulah bukan mudah dan senang mereka hendak mendapat gelar-gelar tersebut.

Tetapi hendak dikatakan apa lagi. Memang saya berasa geli hendak menyebut dan ber-ber begitu dengan mereka.

Sebabnya? Sejak dulu saya percaya dan meyakini betapa sebagai sasterawan kita sepatutnya tidak perlu berkasta dan mesti tertunduk-tunduk sehinga melampau-lampau, semata-mata untuk menujukkan hormat kepada seseorang yang bergelar seperti di zaman feudal.

Saya juga berasa rimas dan geli bila ada yang menyapa saya sebagai tuan atau memberikan gelar-gelar pemanis tertentu di pangkal nama saya dalam setiap awal perbualan. Saya tidak suka dan memang tidak suka.

Untuk diri saya sudah memadai jika disapa sebagai saudara atau adik, atau anak.

Itu bagi saya lebih menunjukkan hakikat kemanusiaan sebenar sesama kita dan bukan kerana pangkat dan kasta.

Lainlah kalau kita bukan berada di dunia sastera dan memilih hidup bukan sebagai sasterawan.

Bagi saya, menyapa seorang yang lebih tua dari saya dan amat saya hormati sebagai sasterawan dengan sapaan pak, bapak, saudara atau abang atau haji dan puan (bagi yang sudah berkahwin) lebih terasa tulus berbanding menyebutnya sebagai tan sri anu, datuk ane, dr unu atau prof huhu.

Untuk hal yang inilah saya secara terbuka berasa perlu minta maaf dengan mereka yang menjadi sasterawan tetapi tidak sanggup untuk saya ber-ber dengan mereka.

Dan kepada mana-mana sasterawan yang memilih untuk berbangga-bangga dengan segala macam gelar di pangkal namanya, itu hak mereka.

Saya? Akan tetap begini dan terus begini.

Kalau ada sesiapa hendak marah atau tersinggung kerananya, lantaklah.

Mei 26, 2008

Selasa, Mei 20, 2008

SELEPAS MASKARA: EDISI LENGKAP

Kembali aku bertemu
syahdu yang dulu
di bibir gadis pemalu

tetapi aku bukan lelaki pemburu
atau si gelisah yang berpura malu

walau denganmu
aku tak ingin bertangguh
mengenalmu seluruh sungguh

tetapi aku rela tidak berkata
kerana renung dan senyum
yang selalu berahsia
di luar kata
lebih kuarif makna

dan kau
kubiar kembali
ke dalam malam

kerana kutakut rindu
berubah menjadi dendam yang kejam


Puchong jaya,
Mei 3, 2008




Sumber Siaran: Mingguan Malaysia, Ahad 18 Mei, 2008

Jumaat, Mei 16, 2008

DARI LUGU KE MUTU



LUGU di dalam bersajak antara lain memberi pengertian sesuatu yang diucapkan secara apa adanya, langsung, berterus terang dan tanpa bumbu atau perhiasan bahasa yang berlebihan.

Allahyarham Arifin C Noer, tokoh teater tersohor dari Indoensia konon dikhabarkan pernah menghasilkan sebuah kumpulan sajak berjudul “Kerana Jajang” sebagai maskahwin buat sang isteri bernama Jajang.

Salah satu sajak di dalam kumpulan itu berjudul “Kerana Jajang” terkesan nada lugunya yang amat polos tetapi mulus:

tuhan
saya minta duit
buat beli sugus
kerana jajang
lagi doyan sugus.

(Arifin C. Noer, 1978)


Sebagai contoh sendiri, sajak berikut juga dapat dikatakan sebagai sajak lugu:

Sajak
Aku sukakan sajak
Ketika dadaku berasa sesak
Dan diriku semakin
Kehilangan jejak.

Memang pun, dalam bersajak, tiada sangat terpakai istilah atau kehendak benar dan salah, logik atau tidak logik.

Kerana, puisi adalah apa yang dirasai oleh perasaan dan kemudiannya dipertimbang serta diperhaluskan dengan pemikiran.

Sebuah sajak yang hanya menyatakan perasaan dan meremehkan fikiran akhirnya hanya menjadi wadah meluahkan kecengengan. Sedangkan sebuah sajak, jika pun tidak terlalu, secuil tetap juga berselit kebijaksanaan.

Jadi kalau suka, marah dan rindu, atau benci, bukan lagi suka, marah, rindu atau benci yang melulu.

Di samping itu semua, ada yang dapat dijadikan ruang untuk sekejap merenung: kenapa dan mengapa atau selepas itu apa?

Namun sebuah sajak tidak selalunya menyediakan jawapan dan kesimpulan.

Malah seringkali terjadi, sebuah sajak hanyalah sesuatu yang sekilas melintas, seperti secercah cahaya, berlalu sudah namun tetap terkesan dan terasa di dalam gaung ingatan.

Bersajak secara lugu bukan suatu kesalahan.

Tidak mengapa. Dari lugu tidak mustahil nantinya berhasil sesuatu yang lain yang lebih bermutu.

Setidaknya, membaca sajak-sajak lugu dari teman-teman yang lebih muda, saya peribadi membaca kembali dunia yang sudah sejak lama yang saya tinggalkan dan sekaligus belajar membaca gelisah mereka.

Semoga gelisah mereka, tidak hanya gelisah yang kosong. Kerana seorang seniman, memang pun lahir dari gelisah dunia dan dirinya sendiri.

Itulah harapan dan saya nantikan dengan penuh debar.

Mei 16, 2008

TERIMA KASIH, GURU

YANG mengajar segala ilmu serta kebaikan
juga keberanian
untuk berdusta dan berdendam

ilmumu kuwaris
dengan cerna
dan hadzam


Mei 16 2008

Khamis, Mei 15, 2008

AZMAN ISMAIL menulis

Kembara diri dalam “Kepada Angin Juga

JIKA keris itu adalah sebuah sajak dan pendekar yang membawanya adalah penyair, penulis Marsli N.O adalah salah seorang yang tepat untuk memikul gelaran pahlawan tidak bernama itu.
‘Kerisnya’ sentiasa tajam berkilap, kadang-kadang siap terhunus ketika ada isu-isu yang menggugat berkaitan dengan maruah, identiti dan citra bangsanya.

Tentu saja menempa sebuah sajak tidak harus menghabiskan waktu selama waktu membuat sebilah keris, walaupun beberapa penyair serius ada juga yang memerlukan waktu berbulan-bulan untuk menyelesaikan sebuah karya.

Namun, tidak di tangan penerbit. Sesebuah kumpulan puisi mungkin mencapai lebih 10 tahun untuk diterbitkan dan wujud sebagai sebuah buku.

Karya terbarunya, Kepada Angin Juga memakan waktu yang sebegitu panjang untuk menjelma menjadi sebuah buku - sesuatu yang tidak pernah dijelaskan kepada seseorang penulis di negara ini (selalunya begitu).

Bagaimanapun, Kepada Angin Juga tetap berjaya menyerlahkan kepenyairan Marsli N.O yang lebih dua dekad menghunuskan keris dan berpencak di gelanggang bahasa.

Kumpulan puisi tersebut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia mengandungi 118 buah puisi yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Kepada Angin Juga dn Buku Sejarah.

Kepada Angin Juga memuatkan 69 puisi yang merakamkan pengalaman peribadi penyair ketika berada di Manila, Filipina.

Sementara itu, bahagian Buku Sejarah pula mengandungi sebanyak 49 puisi yang merupakan tafsiran penyair tentang erti kemerdekaan dan kebebasan hakiki kepada dirinya dan manusia secara keseluruhan.

Sebelum ini, DBP pernah menerbitkan kumpulan-kumpulan puisi beliau seperti Negeri Ini, Anak (1994), Biduan (1994), Hanya Kata (1995) dan Demi (1998).]

Sumber: Sastera & Budaya, Utusan Malaysia, Khamis 15 Mei 2008, Muka 25
[Saudara AZMAN ISMAIL. Terima kasih kerana sudi menulis mengenai kumpulan sajak “Kepada Angin Juga” penyair.]

Rabu, Mei 14, 2008

SELEPAS MASKARA: SEBUAH SAJAK

walau aku tak ingin bertangguh
mengenalmu seluruh sungguh

tetapi rela kubiar
kau kembali kepada malam

kerana kutakut rindu
berubah menjadi dendam

yang teramat kejam


Mei 13, 2008

Selasa, Mei 13, 2008

SEBELUM MENGELUARKAN ISI


POHON yang tumbuh dan kemudian mengeluarkan buah yang enak dan ranum, pasti sahaja kerana telah dibajai dan dijaga kesuburannya sentiasa.

Mana mungkin meminum air dari bejana kalau tidak berisi atau telah diisi air ke dalamnya terlebih dahulu.

Menulis betapa pun seadanya pasti tetap memerlukan pengisian terlebih dahulu. Katakanlah pengisian itu berupa pengalaman, pahit atau manis, yang dilihat dan didengar, dan juga bacaan-bacaan.

Apa yang ditempoh seseorang di dalam hidup akan membentuk sikap dan keperibadiannya.

Apa yang dibaca dan dipelajari akan membentuk menjadi khazanah tempat diri dan akal berpijak.

Apa yang telah menjadi khazanah diri dan akal akan menjadikan benteng memperkukuhkan yakin.

Kekukuhan benteng dan ketegaran yakin menjadikan diri mampu bertahan dari segala duga kehidupan.

Dari situlah mengalir segala pengertian mengenai hidup, yang dituangkan dalam bentuk tulisan.

Mei 13, 2008

Ahad, Mei 11, 2008

LINGKARAN = LINK

SECARA peribadi aku meyakini betapa sebagai suatu tanda persahabatan dan solidaritas sesamanya, meletakkan alamat blog milik teman blogger lain ke blog miliknya sebagai lingkaran pautan atau link merupakan salah satu cara.

Dengan cara itu sesama sahabat boleh saling berinteraksi dan bertukar maklumat.

Kerana itu juga, secara terbuka aku hendak minta maaf dengan teman-teman blogger yang jika ada dan sudi meletakkan alamat blog milikku di blog mereka sebagai lingkaran atau link, tetapi alamat blog mereka tidak pula aku letakkan sebagai link di blog milikkku.

Ini memang kesalahan diriku kerana memang pun tidak sempat hendak melawat semua blog yang ada kalau tidak mereka beritahu.

Sehubungan itu, kepada mana-mana teman blogger yang jika sudi dan ada meletakkan alamat blogku sebagai lingkaran pautan di blog mereka, tetapi tidak kusenaraikan juga alamat blog mereka sebagai lingkaran pautan di blogku, harap sudilah memberitahu agar dapat segera kuperbetulkan kesilapan itu.

Mohon kerjasama dan makluman jika memang ada.

Kalau tiada, pun tidak mengapalah.

Mei 11, 2008

PENGGANTI ROKOK?

Banyak kawan yang hendak mula berhenti menghisap rokok mengajar dirinya supaya bergantung pula dengan gula-gula getah bernikotin atau tar dalam kadar yang rendah.

Tetapi banyak yang tewas.

Sebabnya?

Kalau hendak berhenti menghisp rokok berhenti sahajalah.

Kalau masih hendak kunyah gula getah atau sedut juga rokok kosong atau telan pil, itu nampak sangat tidak percaya kepada kekuatan jiwa dan diri sendiri.

Soal berhenti menghisap rokok adalah soal mengawal dan menangani diri sendiri.

Percayalah. Sesiapa yang berjaya berhenti menghisap rokok, akan berasa beroleh kemenangan yang sangat hebat.

Kalau tidak percaya dan hendak rasai nikmat itu, cubalah berhenti menghisap dan membeli rokok.

Mei 11, 2008

ROKOK , KESIHATAN DAN HARGA DIRI

SELAIN kisah lucu seperti antaranya yang telah diceritakan Pak Baha Zain sebagai reaksi beliau terhadap entri sebelum ini, terdapat juga kisah-kisah lain yang suka aku kategorikan sebagai boleh mendatangkan malu dan merendahkan harga diri seorang penghisap rokok.

Kisah satu. Ketika undang-undang anti merokok dan larangan merokok di tempat awam belum dikuatkuasakan dahulu, aku suka benar menghisap rokok di Hentian Puduraya. Punyalah bodoh aku waktu itu. Dalam keadaan rimas dan asap kenderaan berkepul-kepul mencemar udara itu, aku masih boleh tergamak mengepoh rokok.

Setiap kali ketika sedang merokok, aku perasan benar aci tukang sapu akan berdiri tidak begitu jauh dengan aku.

Sebaik sahaja aku selesai merokok dan menenyehkan puntungnya ke lantai, atau membuangnya ke dalam bekas sampah, aci ini akan segera menyapu dan menyuakan bekas penampan sampahnya.

Walau dia tidak cakap apa-apa, aku terasa sendiri betapa sebagai seorang perokok, aku ini menambahkan kerja dia dan bersikap pengotor.

Kisah dua. Suatu malam, dua tahun yang lepas, waktu itu aku sudah pun berhenti merokok. Ketika berjalan menuju ke kereta yang kuparkir di depan sebuah bank, seorang pemuda tergesa-gesa menghampiri dan menegorku.

Aku tidak kenal pun pemuda ini.

Abang ada rokok tak? Mintak sebatang. Kata pemuda ini.

Aku terperanggah. Dia tidak kenal aku pun, tetapi berani dan sanggup dia meminta rokok dari aku.

Aku tidak marah pun dan beritahu pemuda ini secara lembut bahawa aku tidak merokok.

Sendirian aku terfikir. Bagaimana jadinya kalau yang dia minta rokok itu seorang yang pemarah dan kurang berbahasa? Tidakkah pemuda ini akan disergah serta diseranah?

Kisah tiga. Ini kisah masa aku masih lagi merokok. Ketika itu aku sedang membelek majalah di sebuah gerai.

Di sebelahku berdiri seorang pemuda bergaya ranggi dan berkaca mata hitam. Dia menyedut rokok berjenama mahal. Sebentar tadi kulihat dia memarkir pajero.

Sebentar kemudian datang seorang pemuda lain dengan sebatang rokok di tangan.

Pemuda ini menghampiri pemuda bergaya ranggi. Brother, minta api sikit. Begitu aku dengar pemuda yang memegang rokok itu bersuara menegor pemuda bergaya ranggi.

Tanpa sepatah kata jawapan, kulihat pemuda bergaya ranggi itu menjentik rokok yang masih panjang di tangannya ke tanah. Dan pemuda yang memegang rokok yang masih belum berapi itu terkulat-kulat dan diam tidak berkata juga. Wajahnya kulihat memerah. Mungkin terkejut atau kerana berasa malu diperhinakan secara tidak langsung begitu.

Kepada kawan-kawan yang masih merokok seperti Sinaganaga, Shamsudin Othman, Mohamad Daud Mohamed, Mohd Jusoh Majid, Jimadie atau ramai lagi kawan-kawan yang lain, aku tidak berniat hendak menyindir kalian dengan cerita-cerita ini.

Aku sekadar hendak berkempen sahaja. Kalau kalian berusaha hendak berhenti merokok, itu untuk diri kalian sendiri dan kalau kalian berjaya berhenti, itu membuktikan betapa kalian punya kekuatan untuk menghentikan sesuatu yang boleh memudaratkan kesihatan sendiri.

Cabaran yang menghalang hasrat untuk berhenti merokok teramat besar.

Aku mengaku. Aku yang sudah beberapa tahun berhenti ini pun masih sesekali rasa tergiur hendak mengepoh rokok semula. Kalian yang masih merokok ini lagilah pula.

Tetapi walau bagaimana sekalipun, marilah kita berhenti merokok.

Dan kalian melakukan itu untuk diri sendiri. Ya, untuk diri sendiri.

Mei 11, 2008

Jumaat, Mei 09, 2008

ROKOK , KESIHATAN DAN KARYA

SEORANG sahabat bernama SINAGANAGA di blognya yang kubaca tadi pagi bercerita pasal bahaya menghisap rokok bagi kesihatan manusia.

Memang betul Sinaganaga. Menghisap rokok memang membahayakan kesihatan.

Aku dulu pun kaki rokok juga. Dua atau tiga bungkus sehari semalam kira biasalah.

Tambah lagi kalau hari minggu atau cuti umum. Lagilah banyak memantak rokok. Konon masa itu hendak mendapat ilham berkarya. Konon, lagi banyak merokok, lagi banyak ilham akan muncul dan rokoklah yang menjadi pemacunya.

Apa lagi, sambil mengetik mesin taip, rokok terjepit di bibir. Asap berkepul-kepul. Bagaikan asap dari serombong kapal api. Menyesakkan lubang hidung. Memedihkan mata. Lalu dicari batang buluh kecil. Rokok dicucuk di hujung yang satu dan hujung yang satu lagi di bibir aku. Selesai kisah pedih mata.

Kemudian menulis dengan komputer. Kisahnya pun sama. Memantak rokok satu kemestian. Kalau waktu hendak menulis di tengah malam buta bekalan rokok sudah habis, sanggup selongkar asbak mencari saki baki puntung rokok yang tidak habis dinyonyot. Bila jumpa puntung rokok yang tinggal separuh atau tiga suku itu, puntng itu akan dilurusan semula dan di bersihkan kesan-kesan habuk dan arangnya.

Selepas itu, hisaplah saki baki rokok yang diselongkar dari asbak sambil mengetik papan kekunci. Konon dengan begitu ilham akan mencurah-curah datang.

Penyudahnya dapat sakit dada dan kerongkong. Nasib tidak baik masuk wad hospital dua tiga hari kerana tonsil dan selsema.

Kesimpulannya, merokok memang membahayakan kesihatan.

Dan kini, bila aku sudah berjaya berhenti merokok. Sudah lima tahun, aku memang berasa merokok itu satu benda yang membazir.

Paling aku rasa bodoh ialah bila aku terkenang betapa dahulu, kalau tiada rokok aku tidak boleh menulis.

Hebat sungguh penangan candu rokok.

Yang buat aku rasa pelik ialah di waktu bulan puasa. Sepanjang hari boleh tidak merokok, bila berbuka sahaja, rokok yang dulu diterkam.

Aku percaya siapa sahaja boleh berhenti merokok kalau dia mahu berhenti. Maksudku bukan berhenti beli, tetapi berhenti beli dan sekaligus berhenti merokok.

Aku dulu berhenti merokok sebaik sahaja masuk bulan Ramadhan dan dalam kotak Bensen & Hedgesku ada tujuh batang rokok yang segar bugar.

Aku berhenti merokok. Cabarannya ialah aku diduga sakit selama sebulan. Deman, batuk dan lemah badan. Masuk wad diperiksa pelbagai macam. Suspek serangan jantung. Tetapi periksa punya periksa tiada apa-apa.

Aku beritahu doktor tidakkah ini kerana aku baru berhenti merokok. Doktor muda itu ketawa.Keluar wad memang digoda untuk kembali merokok. Tetapi aku gunakan teknik melengah-lengahkan.Bila rasa atau teringat hendak merokok, aku buat benda lain. Misalnya minum air, basuh tangan, mandi atau masukkan makanan ke dalam mulut. Dan aku memilih memakan kacang goreng. Hasilnya, perut aku ini jadi buncit.

Aku ingin syorkan, kacang goreng itu eloknya diganti dengan buah. Kalau buah tidak membuncitkan perut.

Tetapi yang penting, yang aku ingat sampai kini adalah ini.

Masa aku mula menulis dan sangat kuat merokok itu, tidak banyak karya aku yang berhasil terbit dan mendatangkan duit untuk membeli rokok.

Memanglah waktu itu mungkin juga apa yang aku tulis itu tidak begitu bagus dan tidak layak mendapat tempat siaran. Apa yang aku maksudkan ialah di segi jumlah. Masa merokok, aku jadi sangat berghairah dan banyak sungguh aku menulis, tetapi banyaknya yang hancai.

Selepas aku berhenti merokok, lain pula.

Aku berasa lebih tenang ketika menulis dan peratus karyaku yang berjaya memang lebih banyak berbanding sebelumnya.

Sebab itu juga, aku memang hendak kempen kawan-kawan yang merokok supaya berhenti merokok.

Kalian tahu tidak? Antara sebab lain yang mendorong aku berhenti menghisap rokok ialah bila aku baca di poster dan risalah bahawa antara bahan kimia, selain pembancuh cat dan ubat gegat, kimia lain yang paling tinggi peratusannya dalam sebatang rokok ialah kimia pengawet mayat.

Ya, kimia pengawet mayat. Mayat yang terbujur itu diawet supaya nampak segar atau diperlahankan proses membusuknya.

Setiap kali merokok aku bayangkan yang aku sedut ialah (bukan kimianya, tetapi) sebahagian dari aroma mayat itulah.

Kalian bagaimana, seronok dan nikmatkah menyedut aroma mayat?

Itulah antara teknik yang aku gunakan untuk mula berhenti menghisap rokok.

Aku yakin Sinaganaga, Shamsudin Othman, Mohamad Daud Mohamed atau Jimadie atau ramai lagi kawan-kawan yang lain mampu dan boleh berhenti merokok.

Walau pun soal mati dan hidup berapa lama bukan urusan kita, tetapi kalau sudah tahu padahnya, lebih baik segera berhenti.

Kalau sesiapa yang pernah lihat dan bandingkan gambar x-ray dadanya yang merokok dengan mereka yang tidak merokok, pasti akan terperanggah bila lihat betapa banyaknya tompok putih yang terang di paru-paru mereka, sedangkan gambar x-ray di paru-paru yang tidak merokok gelap sahaja.

Ertinya di sini, kalau dalam gambar x-ray nampak tompok terang dan cerah, realitinya di paru-paru mereka ialah hitam dan lebam-lebam. Sementara kalau dalam gambar x-ray gelap sahaja, itu tandanya paru-paru sihat.

Aku memang hendak kempen kawan-kawan supaya berhenti merokok.

Kalau mereka ada anak dan isteri, kalau mereka merokok dalam rumah dan anak serta isteri menyedut pula asapnya dalam rumah yang sama, lagilah padah. Peratus karbon monoksida yang disedut oleh anak dan isteri mereka sebagai perokok pasif, lagilah banyak.

Tidak kasihankah kepada anak dan isteri? Terutama anak yang berumor bawah satu tahun.

Tambah sekarang harga rokok pun main mahal.

Lagi satu. Kalau kalian mula berhenti merokok, memang akan ada ujian-ujiannya. Misalnya sakit demam dan batuk yang berpanjangan, kawan-kawan cabar hendak tengok sampai tahap mana boleh bertahan, banyak tawaran hisap rokok percuma.

Itu semua kalau tidak mampu bertahan dan benar-benar tegoh niat, memang boleh jadi musnah hasrat hendak berhenti membeli dan menghisap rokok itu.

Apa-apa pun kalau sudah niat hendak berhenti, berhentilah terus.

Marilah beramai-ramai menyokong kempen anti merokok ini! Bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri kita sendiri!
Mei 9, 2008

Khamis, Mei 08, 2008

SEMINAR PEMIKIRAN A. SAMAD SAID

SEMINAR Pemikiran Sasterawan Negara A. Samad Said akan berlangsung di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur .

Seminar anjuran Bahagian Teori dan Kritikan DBP ini akan berlangsung pada 13 hingga 15 Mei 2008.

Sebanyak 25 kertas kerja akan diketengahkan.

BERCAKAP ATAU MENULIS


PILIHAN di tangan kau sendiri. Tepok dada (jangan tepok kuat sangat) tanya kehendak. Mahu menulis atau berlebihan bercakap. Mahu berlebihan bercakap atau menulis.

Kalau kau rasa dengan berlebih-lebih cakap dan berteori kau masih tetap mampu mengimbangi diri dengan menulis dan terus menulis, baguslah.

Tetapi kalau berasa tidak mampu melaksanakan kedua-duanya, pilihlah salah satu. Menulis atau bercakap. Bercakap atau menulis.

Tentunya kau sendiri sedar. Kau memasuki dunia ini bukan kerana semata-mata mahu bercakap-cakap sehingga sampai ke tahap berlebih-lebihan. Yang kauinginkan tentulah sesuatu yang lebih kekal dan menjadi bukti akan keberadaan dirimu di sini.

Tiada siapa yang boleh memaksa dan mendorong dirimu. Mahu menulis atau tidak. Berkarya atau tidak. Semuanya atas kehendak dan dorongan dirimu sendiri.

Walau pun akhir nanti, kau hanya menjadi angin. Atau menjadi sebahagian dari pohon yang dapat sama sedikit memberikan rimbun, terserah apa yang kaupilih.

Mei 8, 2008

Isnin, Mei 05, 2008

KENAPA MALU, JADILAH SEADANYA DIRIMU


RASANYA saya boleh mengerti kalau ada teman penulis yang agak gelisah dan risau kalau-kalau karyanya dikatakan karya yang tidak berilmu dan bernilai sastera yang tinggi.

Malah bukan tidak pernah saya bertemu dengan rakan penulis yang berasa dirinya kecil dan kurang berani bersuara semata-mata kerana karyanya tidaklah bertolak dari sesuatu yang ilmu, atau hanya semata-mata bercerita dan berlenggok-lenggok dengan permainan kata dan bahasa.

Isu karya berilmu dan berisi ini pada setiap waktu memangnya selalu didendang-dendang oleh mereka yang konon amat prihatin dan tidak mahu melihat karya sastera kita sekadar cerita dan kosong tanpa isi.

Kerana yang bercakap ini selalunya bukanlah calang manusia di bidang sastera atau kritikan dan sebagai sarjana, tentu sahaja cakap dan lontaran ideanya mudah dipercayai dan diterima orang.

Apa lagi kalau yang mendengar dan menerima ucapan itu seorang penulis atau sasterawan yang memangnya bermula dengan kosong dan modalnya adalah bercerita semata-mata.

Dendang yang berdengung-dengung mengenai karya yang berilmu dan agar tidak semata-mata hanya sebuah cerita memang mudah menakutkan pemula, calon penulis atau mereka yang sudah pun menulis tetapi sedikit berjiwa pengecut.

Tetapi sebenarnya kenapa mesti berasa kecil dan rendah diri?

Peduli apa kata orang kalau sudah meyakini sesuatu.

Menulis itu suatu proses. Proses bagaimana seseorang mematangkan diri dan pengalaman dan sekaligus juga ilmu dirinya.

Saya peribadi lebih menghormati seorang yang misalnya seperti penyair Zahari Hasib, Leo AWS, Fynn Jamal, Attokz atau katakanlah juga Sinaganaga kerana cara mereka menulis yang lugu dan seadanya.

Peduli apa kalau kononnya karya mereka masih jauh dari patut mutu dan nilai sasteranya. Selagi karya mereka memapu menyentuh rasa dan takaran seni di dalam jiwa saya, tentulah saya tetap menyenanginya.

Bagi saya, membaca sebuah karya adalah membaca sebuah peribadi sebagai suatu kedirian yang utuh. Saya memang mudah berasa jelak kalau membaca karya, tidak pedulilah setinggi mana ilmu di dalamnya, kalau sangat terkesan betapa ingin berlagak seorang yang mengarang atau menuliskan karya tersebut.

Memang benar saya mungkin tidak mengerti segala jargon atau segala istilah yang berkaitan dengan sesuatu ilmu di dalam karya. Tetapi seperti juga orang lain, saya tetap juga punya hati dan perasaan yang mudah tersinggung bila terlalu diremehkan oleh pengarang yang berasa dirinya lebih maha mengetahui dari orang lain dan kerana itu selalu meletakkan dirinya ke suatu taraf yang kononnya tinggi bagaikan wali.

Lalu akhirnya, saya memilih tidak peduli. Yang penting saya akan menulis menurut apa yang saya yakini.

Dan teman-teman yang barangkali berasa malu kerana dirinya tidak berilmu, juga teruslah menulis dan bercerita.

Kerana, kalau kerana malumu itu maka kau tidak mampu lagi menulis dan dapor rumahmu tidak dapat diasapi kerana tiada penghasilan yang kaudapat, sebenarnya tiada siapa pun akan ambil peduli.

Dan kau akan mati kelaparan sendirian.


Mei 5, 2008

DUA PEMUDA YANG MENULIS


KUTEMUI dan berbual dengan dua pemuda. Seorang yang kutanya mengaku usianya 28 tahun dan seorang lagi 25 tahun. Kedua mereka menulis.

Pemuda yang berusia 28 tahun memang sudah ada bukunya yang diterbitkan dan yang seorang lagi, dari maklumat yang aku ada dan tahu , juga menulis, tetapi di blog (kalau sudah ada tulisannya yang terbit dan dibukukan, nanti kalau bertemu lagi, kuharap dia betulkan maklumat ini.)

Aku tergerak hendak menulis mengenai mereka bukan kerana terlalu hendak memuji atau berlebih-lebihan dalam sesuatu.

Aku sebenarnya hanya hendak bercerita sahaja dan kalian sebagai pembaca kuserahkan untuk menilai mesej, tema, persoalan, amanat dan apa sahajalah yang mungkin ada serta terkandung di dalam ceritaku yang ini.

Kisahnya begini. Pemuda yang mengaku usianya 28 tahun itu, ketika aku bertanya apakah tidak bercita-cita mahu menjadi sasterawan, menjawabnya secara langsung dan tanpa reaksi di wajahnya.

Kata pemuda berusia 28 tahun ini, dia tidak kisah langsung sama ada menjadi sasterawan ataupun tidak. Sebaliknya, yang penting, bagi pemuda berusia 28 tahun ini ialah dia hanya ingin menulis apa yang dia rasai dan suka. Itu sahaja.

Mendengar jawapan dia, aku lantas mengucapkan puji. Kataku, jawapan awak kedengarannya jujur dan tulus. Zaman sekarang orang tidak mudah mengaku sesuatu secara begini. Tetapi awak berani berkata apa yang diyakini sebagai benar.

Memanglah aku memuji dia. Pujian aku bukan kerana mahu mengipas atau membodek ambil hati dia. Tetapi pujian aku itu lebih kerana aku berasa takjub dan terharu dengan cara dia bercakap dan mengaku secara terus terang begitu.

Zaman sekarang ini, lebih-lebih lagi di kalangan orang yang berasa dirinya bijak, mengaku dirinya sasterawan, lebih-lebih lagi orang politik, mana ada sangat lagi cara bercakap langsung dan terus terang begitu. Semuanya mesti ada alas dan beralas. Kalau tidak nanti tidak dapat projek dan dikata pula kurang ajar pula.

Jadi bila aku dengar pemuda ini mengaku terus terang begitu, aku berasa benda yang semakin hilang dalam dunia yang aku hidup dan gulati ini sudah aku jumpa kembali, aku pun jadi tidak teragak-agak memuji cara dan sikap dia itu.

Kisah pemuda yang seorang lagi. Pemuda yang mengaku berusia 25 tahun itu. Kepada dia aku katakan patutlah dia masih kelihatan seperti malu-malu. Dalam usia muda begitu memang banyak yang digelisah dan mencabar yakin diri. Tetapi itu normal. Suatu proses sebelum benar-benar menemui apa yang dikehendaki dan akan diyakini.

Jadi menulis itu adalah salah satu cara untuk lebih cepat menemukan diri sendiri. Bukan kemestian. Tetapi salah satu.

Dan dalam hati, aku harap pemuda ini benar-benar akan meyakini apa yang sudah dia yakini secara benar. Dan itu, salah satunya tentulah dengan menulis dan terus menulis.

Soal sasterawan atau tidak, karyanya pop atau sastera tulin, memang sepatutnya tidak terlalu perlu menjadi persoalan.

Yang penting adalah menulis dan mengekspresikan sesuatu dari dalam diri. Itu yang penting. Begitu sudah mampu mengucapkannya melalui karya, bererti mereka sudah berjaya merungkai seketika resah di dalam dirinya.

Dan tulisan ini memang tidak berniat untuk memuji kedua pemuda ini secara langsung. Atau sehingga boleh menimbulkan syak wasyangka bahawa aku ada sesuatu dengan mereka. Atau juga, mana tahu, sampai boleh membuatkan pemuda ini menjadi terlalu gembira sehinggga melompat-lompat kesukaan seronok.

Kerana itu juga, demi untuk menghilangkan kesan mahu terlalu memuji-muji itu, aku dengan sengaja tidak mahu dedahkan nama kedua mereka secara terbuka.

Dan kedua pemuda ini pun kuharap, kalau mereka membaca tulisan ini, harap mereka santai sahaja dan teruslah menulis seperti biasa.

Tulisan seperti yang aku tulis ini tidak perlulah sangat mereka layan dan perhatikan sangat. Ini sebenarnya mungkin juga salah satu dari tulisan aku yang memang selalu juga meracau-racau seorang diri.

Walau apa pun, bertemu dan bercakap dengan dua pemuda ini, aku berasa aku bertemu kembali apa yang semakin hilang dari dunia di sekitar diriku: kejujuran untuk berkata ya dan tidak.

Mungkin kalau aku bercakap dengan lebih ramai pemuda yang menulis, akan lebih ramai lagi yang kutemui bersikap seperti kedua pemuda ini.

Harapku, begitulah. Kalau yang sudah berusia di dunia seni, sastera dan budaya ini semakin bobrok dan lihai bermain kata dan retorik sesamanya, dari kalangan pemuda yang kuharap kembali meluruskannya.

Dan aku yakin dengan mereka. Sebabnya aku juga memilik anak yang pemuda, yang selalu kuherdik dan kucabar agar berani berkata dan percaya kepada kebenaran yang hakiki: tanpa lambang atau atas nama mana-mana partai.


Mei 5, 2008

Ahad, Mei 04, 2008

GRAND..... GRAND..... BESAR..... BESAR


SASTERA kita memerlukan karya yang tahap pemikirannya tinggi dan besar. Persoalan yang dikemukakannya juga hendaklah persoalan yang besar. Bukan hanya cerita yang dangkal ilmu dan pemikiran.

Wah. Hebat.

Berikutnya, kerana banyak orang mengejar dan mencari yang besar, yang tinggi dan yang penuh dengan ilmu dan pemikiran, banyak juga yang menjadi mabuk dan senewen.

Antara tanda dan ciri kemabukan serta kesenewenan itu, dipaparkan melalui kata dan sebahagiannya melalui tindakan.

Misalnya, pernahkah kau mendengar ucapan sama ada disebutkan secara langsung atau tidak langsung, atau secara perbuatan yang nyata atau secara tidak nyata ungkapan seperti yang antaranya diterakan di bawah ini:

+ Kalau aku seorang pembaca sajak (deklamator) akulah pembaca (deklamator) paling hebat. Kerana itu aku berasa berada paling atas dan tinggi berbanding orang lain. Orang lain, bacaan atau deklamasinya, kelas kambing belaka.

+ Kalau aku seorang penulis atau sasterawan, karya akulah yang paling bermutu, tinggi nilai sasteranya dan karya orang lain semuanya sampah, semuanya kelas kambing.

+ Sekarang aku sasterawan paling tersohor. Ramai peminat. Ramai pengikut. Kalian apa kelas?


+ Dalam Malaysia sekarang, hanya pendapat aku sahaja yang betul dan ilmiah. Pendapat orang lain tarafnya pendapat tahi kucing sahaja.

Pernahkah? Ada?

Kalau pernah dan ada, hati-hatilah. Kasihan dengan mereka ini.

Kasihan.

Mei 4, 2008

Sabtu, Mei 03, 2008

SELEPAS MACAM-MACAM


MACAM-MACAM dihantar ke telefon genggamku. Bosan berasa diganggu, aku tukar dan pakai nombor baru. Aik. Entah di mana dapat dicari. Ada lagi mesej ringkas dari dia. Macam-macam. Paling aku tidak tahan ialah bila dia sebut aku gunakan blog aku ini untuk mengata dan sakitkan hati orang.

Aku pelik juga. Masa aku sebut babi atau anjing itu tiada pun satu nama yang aku babit dan sebutkan. Jadi kenapa pula dia nampak sakit hati dan marah sangat?

Tiada pula aku sebut : Si A adalah babi.

Atau: Si Z adalah anjing.

Sudah jelas sebenarnya.

Ini masuk yang ketiga. Maksud aku, ini sudah kali ketiga aku menukar nombor telefon. Tetapi masih ada lagi gangguan dari dia.

Kenapa dia marah sangat kepada aku?

Apakah dia marah kerana aku tidak pernah menjawab segala hamun dan herdik dia melalui pesanan ringkas ke dalam telefon genggam aku itu?

Prinsip aku mudah sahaja. Suka hati akulah hendak tuliskan apa. Yang dia hendak sebok-sebok kenapa pula. Aku tidak sebut pun nama dia atau sesiapa. Lagi pula selama hidup ini, aku pun tidak pun minta beras atau apa-apa dengan dia.

Mei 3, 2008

SENYUM SENDIRI


KENAPA?

Tentulah kerana ada benda atau perkara yang mencuit perasaan sendiri. Bila sendirian merenung dan berfikir. Selepas melihat dan memperhatikan segala laku dan tingkah manusia.

Memang tiada yang ganjil atau pelik.

Ada manusia bersusah dan berpayah menyebokkan hidupnya konon hendak menjadi pemerhati dan pengkritik. Atau pemikirlah konon.

Kalau bercakap kenalah bersopan dan bersantun. Kalau orang pijak dan kencing atas kepala kita sekalipun, sabar dan senyum sahajalah. Nanti kalau marah dan melawan, orang tuduh tidak sopan dan kurang ajar pula.

Lagi pula, kalau marah dan bangkit melawan, nanti tidak dapat pula sesuatu projek.

Apa lagi kalau sekali masuk banyak juga jumlah dan habuannya.

Ha. Ha. Ha. Ha.

Aku tersenyum sendiri.
Mei 3, 2008