Isnin, Jun 30, 2008

SEEKOR HANTU, KRONI DAN SEORANG BIAWAK Sebuah Cerpen MARSLI N.O


1
HELO, HELO

BERKALI-KALI sapaan itu menerjah pendengaran. Namun tiada siapa yang kelihatan di sisi atau di sekitar.

“Helo. Helo.”

Beberapa kali berpaling mencari pemilik suara yang menyapa. Namun masih tidak kelihatan sesiapa.

“Helo. Helo,” terdengar lagi sapa.

“Siapalah pula di awal-awal pagi begini hendak bergurau dan bermain-main," kepada diri aku bersungut tanpa suara.

“Helo. Helo.”

Aku yakin sapa yang terngiang menerjah pendengaran milikku bukan suatu halusinasi.

“Buat apa hendak sembunyi-sembunyi. Kalau betul ada sesiapa tunjukkanlah diri. Jangan seperti hendak bermain baling batu sembunyi tangan begini,” aku merungut sendiri dan sebal mulai bersarang di relung hati.

“Ha. Ha. Ha. Aku seronok bila melihat orang yang mengaku dirinya hebat seperti kau marah-marah begini,” berkumandang pula kata lain yang menerjah pendengaran milikku.

“Heh, sudahlah. Kalau kau ini bukan hantu, cepatlah kenalkan diri. Aku bosanlah bermain dengan teka teki begini,” kini aku pula yang menyergah.

“Masalahnya. Aku ini memang hantu. Mana boleh aku hendak sesuka hati kenalkan diri aku kepada manusia,” terdengar suara yang menyapa sejak tadi menjawab.

Aku terangguk-angguk sendiri. Baru kutahu betapa yang asyik menyapa sejak tadi adalah seekor hantu.

“Patutlah. Memang pun kerja kau yang bernama hantu. Kalau tidak mengganggu ketenangan hidup orang lain, bagaikan tidak sempurna sehari hidupmu. Begitukan?” kini kusuakan tempelakku.

2
SEORANG BIAWAK

MASIH terlalu awal pagi.

SESEORANG yang dengan rela hatinya memilih untuk menjadi biawak perlahan merangkak. Kepalanya sekejap melenggok ke kanan dan sekejap melenggok ke kiri. Sesekali terjelir panjang lidahnya yang kelihatan bercabang.

Dia kelihatan agak longlai. Semalam mesyuaratnya santak menghampiri tengah malam. Pelbagai isu diperdebat dan dibincangkan. Namun bagi setiap isu, tiada sebarang kesepakatan yang dapat dicapai.

Begitulah selalunya dalam mesyuarat. Lagi pula perkara penting dan besar mana boleh diselesaikan hanya dengan sekali mesyuarat. Begitu desis dia kepada dirinya sendiri.

Perlahan seseorang yang dengan rela hatinya memilih untuk menjadi biawak meneruskan rangkak. Sekejap kepalanya dilenggokkan ke kanan dan dilenggokkan ke kiri. Lidahnya yang kelihatan bercabang sesekali terjelir panjang.

Dia tahu orang menggelar dia biawak. Tetapi dia tidak pernah mahu ambil peduli.

Kalau didengar semua umpat dan keji itu, tiada suatu tugas dan amanah yang boleh aku laksanakan dengan sempurna. Begitu selalu dia berkata kepada diri bila umpat dan gelar itu terngiang di pendengaran.



3
ADUHAI TANAH DAN LADANGKU

DUA puluh tahun yang lalu, kami segerombolan penduduk yang tidak bertanah memugar bukit dan hutan tebal itu. Kami usahakan dengan keringat dan tenaga empat kerat kami.

Duga apa yang tidak kami tempoh? Binatang buas dan liar? Curam dan jurang? Malah dua nyawa teman kami menjadi korban.

Berkat gigih dan kesungguhan kami, akhirnya tanah hutan itu, dengan kudrat keringat dan tulang empat kerat kami, telah berhasil kami tukarkan menjadi ladang dan kebun yang menghijau dengan tanaman.

Kami gembira kerana penat dan lelah kami telah mendapat ganjarnya.

Sehinggalah tiba pada suatu hari, kira-kira lima tahun yang lalu, ketika kami beramai-ramai ke pejabat tanah daerah kerana mahu mengemukakan permohonan penerokaan tanah secara rasmi, kami telah disergah dan dibentak.

Heh. Kamu adalah peneroka tanah yang haram. Tanah itu tanah kerajaan, tetapi kamu telah usahakan tanpa kebenaran sesiapa.

Kami jadi terhenyak kerana sergah dan herdik itu. Kami adalah orang kampung yang bodoh dan tidak mengetahui undang-undang mengenai tanah. Apa yang kami tahu hanyalah ini: berbudilah kepada tanah dan keringatmu tidak akan sia-sia.

Kenapa? Kenapa ketika kami bergalang nyawa memugar hutan yang lebat itu 2o puluh tahun yang lalu, tiada siapa pun yang bernama pemimpin menasihati kami agar meminta kebenaran terlebih dahulu?

Malah, sudah beberapa kali pemilihan, bila kami ajukan rasa gusar kami mengenai tanah yang kami teroka beramai-ramai itu kepada calon atau sesiapa yang kononnya bernama pemimpin dan kononnya juga bercakap untuk dan demi kami, kami diberitahu bahawa soal tanah itu usah digusar kerana tanah itu memang hak dan milik kami.

Tetapi hari ini? Kami dihalang memasuki tanah dan kebun yang kami usahakan selama ini dengan keringat kami.

Alasannya, tanah itu ada pemiliknya. Pemilik yang mendapat kebenaran sah untuk mengusahakannya.

Lalu kami kini menjadi apa? Kenapakah sewaktu tanah dan kebun kami itu masih menjadi hutan, tiada siapa yang mengaku menjadi pemiliknya?

Kenapakah setelah hutan itu kami usahakan menjadi kebun dan ladang, baru kini ada yang tergerak hendak mengaku sebagai pemiliknya?

Kenapa? Kenapa?

Sesungguhnya, soal itulah yang tidak sudah menghenyak benak kami.
Kerana kami, benar-benar rasa teraniaya.
4
KRONI

KAUINGAT semuanya senang-senang boleh dapat begitu sahaja? Begitu sahabatku bernama Ikdom menyergah dengan tempelak di dalam suratEnya yang kubaca tadi pagi.

Aku mendelik-delikkan kelopak mata. Apa sawan dan senewen pula sahabatku yang satu ini tidak semena-mena menyergah.

Semua yang kita hendak dan dapat mesti ada cara untuk mendapatkannya. Bukannya sedia dan akan memang menjadi milik kau kalau kau sendiri tidak berbuat sesuatu. Kauingat kau itu siapa? Eh, orang tidak pedulilah kalau setakat pandai cakap berdegar-degar seperti kau. Kautahu tidak? Begitu sahabatku bernama Ikdom itu melanjutkan lagi bicara di dalam suratEnya itu.

Aku yang membaca hanya tersengih-sengih. Sungguh. Aku tidak tahu apa sebab dan punca kenapa dia menulis sedemikian rupa bentuk dan nadanya.

Tengok diri aku. Walau hanya pencacai biasa tetapi hidup aku senang dan mewah. Petik sahaja jari dapatlah apa yang aku hendak. Kau tahu kenapa dan apa sebabnya? Kali ini Ikdom menghenyakku dengan tanya.

Sedangkan kau, manusia yang penuh dengan idealisme dan konon menjunjung tinggi kebenaran, terkial-kial saban bulan untuk meneruskan hidup. Pergh, bangkitlah kau dari lena. Orang sudah ke bulan tetapi kau masih seronok dan selesa menimang angan. Apa guna? Apa?


Hebat sungguh kata-kata yang diterakan si Ikdom ini. Memang hebat. Dan tentu sahaja, kehebatan dia tidak lain kerana dia (seperti yang diakui Ikdom dalam surat-suratEnya sebelum ini) memang kenal dan baik dengan mereka yang bersimpuh lenang di kerusi kuasa.

Itulah kelebihan Ikdom. Walau untuk mendapatkan itu dia telah membayar mahal dengan maruah dan harga dirinya sendiri.

Semata-mata untuk mendapatkan semua itu, Ikdom sanggup menjadi pencacai yang sentiasa sedia untuk menjilat.

Aku tidak buat salah apa-apa. Semua orang menjilat. Kalau tidak menjilat, mana boleh dapat semua itu. Ah, apalah kau ini. Itu pun kau tidak tahu!

Ikdom menjerkahku. Dan aku hanya tersenyum.


5
KEBENARAN DAN KEADILAN TIDAK BERPIHAK

AKU hanya tersenyum-senyum.

Di depanku, seekor hantu yang mengaku dirinya sudah berjaya menyunglapkan dirinya menjadi manusia sedang pot-pet pot-pet membebel.

Hantu ini yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat kulihat marah dan sebal sungguh. Dari bibir hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat ini tidak henti kata demi kata meluncur.

Bertenanglah, Mat. Kenapa hendak marah dan merungut. Kau sendiri yang memilih. Bukankah?
Aku bersuara seadanya. Cuba hendak meredakan sebal dan marahnya.

Aku benci. Semuanya serupa. Dahulu, kini dan selamanya. Yang berbeza cuma tempat dan para pelakunya. Menyesal aku menjadi sebahagian darinya.

Hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat ini kudengar menyambung rungut dan meluahkan rasa sebalnya.

Ha. Ha. Ha. Aku terbahak ketawa sesungguh hati. Inilah pertama kali sepanjang mengenalnya kudengar hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat mengakui kesal.

Salahnya kau sendiri juga. Pantang orang jentik jari sedikit, terlonjaklah kau seronok. Konon mendapat perhatian dan pernghargaan. Sedang hakikatnya mereka hendak perguna dan jadikan kau alat.

Dengan sengaja aku mengambil peluang menempelak hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat.

Kau lagi bahlol. Kau mana tahu hakikat perjuangan untuk menegakkan keadilan? Kalau tidak bergabung di dalam satu barisan, mana mungkin dapat menyata dan meluahkan hasrat? Suara kau siapa hendak dengar?

Hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat pula kembali menempelakku.

Ha. Ha. Ha. Aku kembali terbahak ketawa. Tinggi dan hebat sungguh idealisme hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat ini. Taksub dan percaya sungguh dia.

Patutlah dia mudah diperguna dan menjadi alat. Begitu aku sendirian berfikir.Kau hendak perjuangkan apa? Keadilan? Kebenaran? Keadilan dan kebenaran apa? Kalau betul itu yang hendak kauperjuangkan, tanpa bernaung di bawah ketiak sesiapa pun kau boleh bersuara juga. Tetapi lainlah kalau kau pun ada cita-cita suatu hari nanti hendak jadi tokoh dan jaguh. Kalau begitu kenalah kau bernaung di bawah ketiak dan bayang seseorang.

Kini aku membalas tempelak hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat ini dengan hujahku yang lebih panjang.

Mat kulihat ternganga. Kedua bola matanya kulihat terbelalak.

Dan kautahu, Mat? Kalau semuanya sudah mulai berpihak dan bersedia menjadi alat, eloklah dicampakkan segala idealisme kebenaran dan keadilan kau itu ke dalam laut.

Aku meneruskan tempelakku.

Mulut hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat kulihat melopong.

Kau tahu kenapa aku berkata begitu, Mat? Sebabnya, dengan berpihak dan menjadi alat kepada mana-mana pihak samalah tarafnya kau seperti perkakas atau anjing suruhan. Sebab, kalau betul kebenaran dan keadilan hendak diperjuangkan, ianya tidak mengenal pihak dan sempadan. Dan apabila kauberpihak, keadilan dan kebenaran yang hendak kauperjuangkan sudah menjadi tidak murni lagi. Kau sudah pasti akan memurnikan hanya kepada pihak dan kalangan yang kaupihaki dan bukan kepada kebenaran serta keadilan itu sendiri. Kautahu itu, Mat? Kautahu tidak?

Aku meneruskan tempelak dan mulut hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu masih tetap melopong.

6
DUSTA

“APAKAH kau sedih?” tanya hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat menerjah pendengaran milikku.

Aku menggeleng.

“Kau marah?” hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat bertanya lagi.

“Tidak,” aku menjawab ringkas.

“Aik? Pelik. Kau boleh tidak rasa sedih dan tidak naik marah?”

“Apa yang hendak aku pelik? Apa yang mesti hendak aku marah?”

“Perbuatan mereka bukankah melampaui batas?” hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu mendesaku bertalu-talu dengan tanyanya.

Ha. Ha. Ha. Aku terbahak-bahak melontarkan tawa.

“Hoi, kau ini sudah senewenkah? Orang sudah kencing dan berak atas kepala pun kau masih boleh terbahak-bahak ketawakah?” hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu menempelakku.

Tanpa sebarang kata, aku meneruskan bahakku. Tidak pasti kenapa. Di dalam hati, aku hanya berasa lucu dan geli.

“Memanglah kau ini sudah senewen,” hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu meneruskan tempelaknya.

Kini aku berpaling dan mencorongkan tatapan mataku ke arah hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu.

“Aik? Kau marahkah?”

Aku menggeleng.

“Kalau tidak marah kenapa kau merenung aku sebegitu?”

“Tidak. Kau jangan susah hatilah, wahai hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat. Aku tidak marah,” tenang aku menuturkan kata dan memujuk hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu.

“Kenapa?”

“Wahai hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat. Kau tahu tidak? Adalah manusia itu tahap kebodohan yang diakui sebagai keberanian oleh segelintir mereka yang mengaku dirinya sebagai manusia di muka bumi ini sudah teramatlah melampau-lampau,” sengaja dengan laras dan gaya bahasa purba aku menuturkan kata-kata itu di depan hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat.

“Maksudmu?”

“Adapun mereka itu bukan sahaja sanggup menipu dirinya sendiri. Malah tuhannya sendiri pun sanggup mereka durhakai dan tipu. “

“Jadi?” hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu pantas memotong cakapku.

“Lalu tidaklah menjadi hairan bagiku jika mereka itu telah, sudah atau akan menipu diriku. Siapalah sangat diriku ini. Segalanya aku serahkan nasibku kepada Allah juga menjadi penentu. Kalau takdir demikian sudah nasibku, tentulah aku tidak akan bersoal lagi mengenai itu. Bukankah begitu?” demikianlah kata-kataku.

“Maksudmu?”

“Maksudku. Aku tidak kisah soal itu. Kerana, kalau tuhan pun sanggup mereka tipu, inikan pula aku sebagai manusia biasa ini.”

Hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu kulihat melopong.

“Heh. Itupun kau tidak faham maksud kata-kataku? Patutlah kau ini bernama hantu,” kataku bernada tempelak. Dengan sengaja kumaaksud dan kutujukan kepada hantu yang mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu.


S E L E S A I

Khamis, Jun 26, 2008

MEMILIH SUNYI: MERUBAH JUDUL MENGHEMAH KATA

MEMILIH sunyi? Kenapa memilih sunyi? Sunyi? Memilih?

Demikian bermain dengan tanya dan menyilangkan jawab di dalam benak sendiri. Sang Lamunan menemani. Menerawangkan fikir, berhujah dengan logik seni dan sajak, mempertanyakan indah dan merdu kata di dalam fikiran sendiri.

Judul sebuah sajak bukan sembarang asal dipilih. Memilih sunyi, rasanya sudah terlalu sering menjadi ucap yang sudah ribuan kali diulang orang.

Jadi apa kalau bukan memilih? Menyintai? Bercumbu? Aih. Bunyinya melankolik amat. Bolak-balik berfikir dan menimbang. Apa-apa, lagi-lagi cinta dan menyintai ini. Aih.

Ah. Menulis sajak kadang-kadang menjadi kerja mencari berpayah dan mencipta gelisah baru dan lain di depan sejumlah kata.

Itulah namanya duga. Duga sebuah proses penciptaan.

Jun 26, 2008

Rabu, Jun 25, 2008

MEMILIH SUNYI (2)

TATKALA kembali dibaca lebih teliti, kutemui ada silap yang terjadi. Ada pengulangan yang tidak perlu juga. Lalu kupilih merubahnya lagi. Dengan harap semoga secebis kata yang sedang kurenda-rendakan ini, nantinya, akan berhasil menjadi sajak yang lebih indah menurut hajat dan hasratku sendiri.

Aku kembali memilih
ini sunyi
kerana kuingin berjauh
dari segala riuh
yang mendatangkan gaduh
dan gelisah
yang selalu merusuh

ingin aku mendengar desah nafas
dan detak jantung di kamar sendiri
ketika tenang hati
kini ditusuki duri dan
berjuta kali
cuba kutepis ini benci
yang sedang berapi.

Jun 25, 2008

MEMILIH SUNYI

Secara rambang dan tanpa pertimbangan yang terlalu serius, kucatat kata demi kata, merangkaikannya menjadi baris demi baris. Ini barangkali benih sebuah puisi yang masih mencari bentuknya.

Aku kembali
memilih ini sunyi
ingin berjauh dari segala riuh
yang mendatangkan gaduh dan rusuh

ingin aku mendengar desah nafas
dan detak jantung
di kamar sendiri

ingin berjauh
dari segala gaduh dan riuh

ketika tenang hatiku
ditusuki duri
dan diamuki benci

Jun 25, 2008

Selasa, Jun 17, 2008

BELAJAR MEMBACA B


Aku kembali
menjadi murid
dan belajar membaca huruf

walau aku adalah si tua
yang lambat mengerti
atau memahami
namun ingin juga
kufahami erti

kerana kau adalah huruf
yang datang bersama misteri
dan teka teki.

Jun 17, 2008

Ahad, Jun 08, 2008

BAGAIMANA MEMESAN “MENANTI BURAQ” DAN “KEPADA ANGIN JUGA”

UNTUK kumpulan cerpen “Menanti Buraq” sila kirimkan wang pos RM30 tidak dipalang (RM28 harga buku + RM2 ongkos pos) atas nama RAMLI BIN SELAMAT ke alamat penulis. Simpan keratan wangpos untuk tuntutan semula sekiranya kiriman tidak diterima oleh penulis.

Untuk kumpulan sajak “Kepada Angin Juga” dipersilakan mengirimkan wangpos RM20 (tidak dipalang) atas nama RAMLI BIN SELAMAT seperti di alamat No 246 Lorong 9, Balok Maju 26100 KUANTAN. Ada cenderahati tanda ingatan dan terima kasih dari pengarang disediakan untuk pemesan buku “Kepada Angin Juga”

Khamis, Jun 05, 2008

FOTO DIRI SENDIRI

DARI 1 hingga 3 Jun, 2008 yang lalu, penulis telah hadiri Bengkel Pemurnian Karya Penulis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur. Acara ini berlangsung di Villa Danialla Beach Resort, Bachok, Kelantan. Ada sejumlah foto dirakamkan.

Perakam foto tersebut ialah Saudara Sharrul Rizal Hashim. Penulis mengucapkan terima kasih atas bantuan dan budi beliau.

Juga tidak lupa kepada pihak yang menganjurkan bengkel, terutama Pengarahnya Tuan Haji Mohamad Yussop Ishak dan Puan Ariza Haji Che Ismail.


Foto 1

Foto 2

Foto 3

Foto 4
Foto 5

Foto 6

Foto 7

Foto 8

Dengan sengaja, agar fotonya sendiri yang bercerita dan berbicara, tiada caption yang diberi bagi setiap foto.

Jun 5, 2008