SANG LAMUNAN, PEJUANG DAN SEEKOR HAIWAN GEMOK *
1
SANG LAMUNAN
KALAU kau kebetulan dianugerahi Tuhan sesuatu yang namanya kuasa, dan dengannya kau boleh memerintah dan memperlakukan orang lain sekehendak nafsumu, apakah kau mahu menerimanya, wahai Sang Lamunan? Begitu ketika sedang bersendirian di ruang depan rumah pagi ini aku bertanya kepada sahabatku Sang Lamunan.
Namun seperti selalu, sikapnya yang memang suka bersombong-sombong itu padi ini semakin disombong-sombongkannya lagi. Tanyaku dibiarkannya berlalu dihembus angin dan aku sendiri terkulat menantikan jawaban.
Kalau kau kebetulan dianugerahi Tuhan sesuatu yang namanya kuasa, dan dengannya kau boleh memerintah dan memperlakukan orang lain sekehendak nafsumu, apakah kau mahu menerimanya, wahai Sang Lamunan? Begitu sekali lagi tanya itu kuajukan kepada Sang Lamunan. Kali ini dengan suara yang sedikit kutinggikan.
Sang Lamunan kulihat sedikit menggerakkan bahunya.
Kau mahu menerimanya? Kuteruskan mengajukan tanya kepadanya.
Kali ini kulihat Sang Lamunan sedikit melontarkan sengih.
Kenapa kau tersengih? Tanyaku kepada Sang Lamunan.
"Hei, aku sudah muak diperlakukan seperti badut dan robot. Aku juga punya hati dan perasaan. Kau ingat aku ini apa? Hamba dan abdimu? Boleh hendak kau perlakukan sekehendak hatimu sahaja? Heh, tolonglah kau bercermin. Lihat wajahmu sendiri di cermin. Kau fikir kau itu sudah sempurna sangatkah? Hah? Kau ini pun serupa juga dengan mereka di luar sana itu. Haprak. Tamak. Haloba. Songsang. Munafik. Senewen. Dan entah apa-apa lagi."
Tidak semena-mena Sang Lamunan membentak.
Memang entah apa-apa Sang Lamunan ini. Belum lagi diberi dan memiliki sesuatu yang namanya kuasa sudah pun pandai hendak membentak-bentak. Kalau sudah digenggamnya nantisesuatu yang namanya kuasa itu, tidak tahulah entah bagaimana lagi agaknya lagak dan tingkah dia.
2
SERONOKLAH KAU MALAM ITU
SERONOKLAH kau malam itu. Dapat bertempik dan menjerit meluahkan marah. Seronoklah tidak terkira. Dapat meluah dan melepaskan geram yang terpendam di dalam perasaan. Seronoklah kau. Seronoknya.
Tetapi orang yang kaujadikan sasaran marah dan gerammu itu di mana? Bukankah malam itu tidak jua kelihatan entah di mana jasad dan bayangnya? Hanya kau saja yang berteriak dan bertempik, tetapi yang kau jadikan sasaran mungkin waktu itu sedang berseronok dan sedang mensuka-sukakan dirinya sendiri entahkan di mana.
Tidak terasakah betapa malam itu kau sebenarnya hanya memperbodohkan diri sendiri? Atau, kau sebenarnya malam itu merelakan dirimu sendiri diperbodohkan.
Kenapa kukatakan demikian?
Bukankah orang yang kaujadikan sasaran jerit dan tempik marahmu itu masih tetap begitu juga? Sedikit pun tidak dia tersentuh atau tergoyah. Betapa pun dia kau sergah kerana telah menghina dan melemparkan kencingnya, dia tetap juga diajak duduk semeja dengan tuan dan puan pejuang dan penjaga maruah di menara itu. Dia tetap juga dipercayai bercakap dan bertindak atas nama yang dia cipta dan popularkan sendiri.
Ai, itu pun kau tidak sedar atau tidak nampakkah? Bukankah semua itu hanya lakonan dan sandiwara belaka. Betulkah kau tidak sedar atau tidak nampak? Betulkah?
Kalau betul, patutlah malam itu kau sanggup memperbodohkan dirimu sendiri. Atau, kau sebenarnya malam itu memang sedang diperbodoh-bodohkan.
Oleh siapa? Ah, manalah aku tahu. Kau fikir dan carilah jawabnya sendiri.
3
KENCING
SEBAIK sahaja gemuruh tepok tangan para penjilat dan pencacai yang menyendati ruang dewan berhawa dingin itu mereda, bangkitlah dia perlahan-lahan dari kerusi empoknya. Lambat dan lemban dia melangkah. Dan setiap kali langkahnya mencecahi lantai dewan berhawa dingin itu, timbunan daging yang bergayut di kedua belah betis dan pehanya kelihatan sedikit bergegar.
Kini di depan mikrofon itu dia berdiri. Suasana di dalam dewan berhawa dingin itu senyap dan sunyi. Beratus mata milik sekalian penjilat dan pencacai itu tajam mencorong ke arah dia. Mereka menanti penuh debar. Apakah gerangan petuah dan amanat yang akan dia sampaikan nanti. Dan mereka tahu, setiap kata dan ucap yang terzahir dari mulut dia, adalah kata serta ketetapan yang sedikit pun tidak boleh dikritik atau dibantah.
Bagi sekalian mereka, dia adalah segala-gala: ketua, guru, penyelamat, bapa dan pembimbing yang melorongkan ruang atau jalan demi melepaskan diri dari segala suram perasaan di negeri yang semakin dilitupi kabut ini.
Tetapi di mataku, dia adalah seekor haiwan gemok. Seekor haiwan gemok yang terlalu gemar dan asyik dengan ucap serta bermain kata-kata. Walau segala ucap dan katanya itu hanyalah dusta demi dusta yang disepuh dengan pelbagai hias serta solekan.
“Sekalian yang saya hormati,” dia mulai bersuara.
“Ya! Ya! Ya!” serentak sekalian penjilat dan pencacai itu menyahut. Suara mereka bergemuruh memecah sepi ruang dewan.
“Nah, sekarang sudah terbukti. Selepas kita persendakan mereka, hari ini telah kita titahkan persyaratan baru,” haiwan gemok itu meneruskan bicara.
“Ya! Ya! Ya!” serentak sekalian penjilat dan pencacai itu menyahut.
“Percayalah. Mereka yang telah dan sedang kita persendakan itu, tidak akan mampu berbuat apa-apa. Biarkan mereka terus membentak dan berteriak. Kita tidak perlu gentar,” terdengar semakin galak haiwan gemok itu berkata-kata.
“Ya! Ya! Ya!” serentak sekalian penjilat dan pencacai itu menyahut.
“Biarkan mereka berteriak. Biarkan mereka membentak. Jangan pedulikan mereka. Kerana, mereka lupa. Betapa dengan kuasa digenggam kita, kita boleh berbuat sekehendak hati kita,” semakin lantang haiwan gemok itu berteriak.
“Ya! Ya! Ya!” serentak sekalian penjilat dan pencacai itu menyahut.
“Kerana itu. Marilah kita terus melontarkan ludah dan kencing.”
“Ya! Ya! Ya!” serentak sekalian penjilat dan pencacai itu menyahut.
Dan sekalian mereka yang memenuhi ruang dewan berhawa dingin itu, diketuai oleh si haiwan gemok di depan mikrofon itu mulai melontarkan ludah dan kemudian kencing beramai-ramai ke atas sepotong kata bernama : BAHASA.
4
BERITA
Seorang pekerja berkasta pencacai, lantaran sudah tidak sanggup lagi melihat kesewenangan yang dilakukan oleh atasannya, yang tanpa rasa malu dan berdosa sanggup melakukan apa saja cara demi kepentingan dan keuntungan perutnya sendiri, telah mengadu kepada sebuah biro anti penyelewengan di negerinya.
Setelah sekian jumlah hari tenggangnya aduan dibuat, pekerja berkasta pencacai itu telah dipanggil ke biro anti penyelewengan dan diminta menandatangani sekeping borang pengakuan yang dituliskan dalam bahasa bekas penjajah negerinya.
Ini borang perakuan kebenaran dan kesahihahn aduan tuan. Begitu kata seorang pekerja bertaraf pencacai juga di pejabat biro anti penyelewengan.
Mempercayai bahawa borang itu memang merupakan borang akuan kesahihan kebenaran aduannya sendiri, pekerja berkasta pencacai itu menandatangani borang tersebut tanpa soal.
Selang tidak berapa lama kemudian, tatkala pelbagai media di negeri itu mulai heboh melaporkan kisah penyelewengan itu, pekerja berkasta pencacai itu didatangi dua lelaki dan tanpa sebarang kata langsung menggiringnya ke dalam sebuah kenderaan.
Kamu didapati bersalah kerana menyebarkan berita palsu. Begitu kata salah seorang lelaki itu.
Pekerja berkasta pencacai itu tergamam.
5
PEJUANG
DIA memang pejuang. Pejuang dalam ertikata berani menyatakan sesuatu yang dia yakini sebagai benar dan dia menyatakan itu bukan kerana didorong atau disuruh sesiapa, sebaliknya kerana dia berasa dia memang perlu untuk bersuara. Dan dia memang tahu, kerana sikap dan pilihannya itu, dia menjadi manusia yang kurang digemari. Dia memang tahu, kerana sikapnya yang demikian itu, banyak telinga yang menjadi panas serta berdesing dan kerananya juga, banyak hati yang menjadi bergelegak.
Tetapi kalau kata itu disebut di depan dia, pantas dia akan menafikan. Aku bukan sesiapa, apa lagi pejuang. Begitu kata dia.
Habis kalau bukan, kau ini siapa sebenarnya?
Aku hanyalah diriku. Manusia dengan segala kekurangan dan kelebihannya. Gelar itu tidak perlu. Malah itu akan lebih menjadi beban untuk kupanggul di bahu. Aku tidak mahu. Aku tidak sanggup.
Tetapi kau memang pejuang.
Tidak. Aku bukan.
Kenapa? Kenapa kau menafikan?
Bagiku, pejuang yang sebenarnya ialah siapa yang berani dan pandai merebut peluang. Walau pun untuk dan kerana itu perlu mengenepikan segala kewajaran dan pertimbangan serta kata naluri di dalam perasaan Dan itulah kebodohanku. Aku tidak pandai dan tidak ingin merebut peluang. Sebab itu aku kata aku ini bukan pejuang. Aku hanya ingin diriku dikenal sebagai seseorang. Tetapi bukan pejuang.
6
APA-APA SAHAJALAH
AKU ingat sudah sampai waktunya aku pergi berjalan-jalan ke padang pasir. Dengan sengaja membiarkan diri diterjah angin ribut yang menderu. Atau kalau tidak pun, merasakan betapa berbahangnya panas matahari.
Sudah terlalu lama berasa sangat selesa dan tiada apa-apa yang menduga. Hidup semakin menjadi upacara sayur. Bangun, ke tempat kerja dan kembali ke kamar. Wah, memang benar-benar sayur ini.
Atau kalau tidak pun, duduk bersendirian sahaja di tepian tasik sambil merenung permukaan airnya yang mungkin akan berkocak kerana ada sesuatu yang yang bergolak di bawahnya. Merenung dan berfikir. Merenung dan berfikir.
Wah. Hebat tu.
Selama ini tidak pernah merenung dan berfikirkah?
Banyak orang kata hidup ini suatu perjuangan. Berjuang. Perjuangan mesti diteruskan. Tetapi sudahlah. Perjuangan apa? Perjuangan untuk mengenyangkan perut sendiri? Atau untuk para kelompok dan kroni sendiri?
Apa sahaja boleh dicakap dan pelbagai daya boleh diusahakan untuk membuat pendengar percaya.
Pendengar boleh sahaja dipukau dengan kata-kata besar dan berdegar-degar. Sebut dan laungkanlah kata seperti: hidup, bangkit, selamat, masa depan.
Tentu akan ramai yang ikut sama menyahut dan melaung-laung sehingga boleh sampai ke tahap kesurupan. Sampai boleh berguling-guling atas lantai dan kalau kebetulan atas tanah yang ada tahi ayam, mungkin boleh terpalit tahi ayam yang coklat dan hitam pekat itu.
Tidak mengapa. Asalkan dapat menujukkan setia dengan sama melaung dan menjerit hingga sampai terguling-guling. Kesetian itu bukankah mesti ditunjuk dan ditonjol-tonjol, kalau tidak tiada siapa yang tahu? Tidak pedulilah walau kerana hendak menunjuk dan menonjol-nonjolkan itu diri sampai boleh dilihat banyak orang seperti orang gila dan kesurupan.
Ah. Apa-apa sahajalah.
Aku ingat aku pun kena membeli sebilah keris dan pada malam-malam tertentu aku akan mengucup serta menciumnya serta menjerit dan meracau-racau menyebut: hidup, bangkit, selamat, masa depan.
Lepas itu aku akan memasang kemenyan dan biarkan asapnya berkepol-kepol sepanjang malam.
Dan bila bangkit esok paginya, sebelum berbuat apa-apa, aku akan menjeritkan lagi: hidup, bangkit, selamat, masa depan!
Apa-apa sahajalah.
Janji namaku tetap Melayu dan bangsaku tetap juga Melayu.
7
DIA SEORANG PEJUANG (?)
MEMBACA sejumlah data dan fakta yang terbentang di media mengenai dirinya, kita pembaca memang mudah berasa kagum. Tetapi, jika kita yang membaca segala data dan fakta yang terpampang itu pernah dekat dan mengenalnya, pasti rasa kagum itu akan diringi dengan rasa sesuatu yang lain pula.
Pejuang? Begitulah kesan dan gambaran yang dipaparkan. Tetapi pada sisi yang lain, terdetik juga tanya di sudut sanubari. Dia pejuang? Apa sebenarnya yang dia perjuangkan?
Banyak sudah sebelum ini kita dengar mulut menyampaikan cerita. Nada dan kandungannya hampir sama dan senada. Dia sebenarnya bukan pejuang, tetapi manusia yang hanya menempel tetapi bijak mempromosikan diri di depan media seolah-olah dialah manusia penting di dalam sesuatu situasi.
Sedangkan insan sebenar yang berjerih dan berpayah, kerana inginkan segala jerih dan usahanya dinilai dan dihisab setelah matinya, memilih tidak mahu menonjolkan diri. Bagi insan ini, segala yang telah dia kerjakan, tidak ingin dia perbesar-besarkan kerana khuatir menjadi riak dan tidak beroleh ganjaran yang lebih abadi.
Di lompong inilah manusia “pejuang” ini tampil. Berkata dan bercerita di depan media yang ghairah mencari cerita dan kisah. Lebih-lebih lagi di depan pekerja media yang malas melakukan rujuk silang dan kesahihan data dan fakta. Ternobat dan terpaparlah dia di ruang media sebagai pejuang.
Tetapi, kisah terbaru yang disebutkan oleh seorang insan lain di depanku mengenai manusia pejuang ini benar-benar mengejutkanku.
“Pejuang? Pejuang apa? Orang yang sekejap masuk kelompok itu, sekejap masuk kelompok ini, demi kepentingan dan keuntungan kepada dirinya itu kaukata pejuang? Dan lagi, pejuang apa namanya kalau sampai sanggup jadi barua untuk pihak lain?”
Aku yang mendengar hanya ternganga dan tidak memberikan komen apa-apa. Kisah yang baru kudengar ini menambahkan jumlah kisah sedia ada mengenai manusia yang satu ini.
8
TERSOHORLAH KAU JUGA, YA?
GAMBARMU dengan mulut sedikit ternganga menampakkan gigimu terpampang di muka akhbar. Tersohorlah kau juga, ya? Bukan senang dan selalu muka kau dapat masuk dalam surat khabar begitu. Semuanya kerana malam itu. Kalau tidak, siapa peduli hendak ambil dan letak gambarmu dalam surat khabar?
Tetapi dalam tersohor itu, tidakkah kau juga terfikir bagaimana pula kesan pihak lain yang melihat gambarmu dengan mulut sedikit ternganga itu? Tidakkah mereka berasa menyampah, mual, benci dan ketawa terbahak-bahak? Ketawa? Ya, ketawa terbahak-bahak kerana melihat gelagatmu yang bodoh dan tidak sedar diri. Konon kau hendak menjadi pejuang. Tetapi pejuang apa? Pejuang tahi kucing?
Zaman sekarang ini, di zaman orang sanggup berlumba memijak perut dan kepala orang lain kerana secuil peluang ini, seorang pejuang tidak lebih hanyalah sehelai kain buruk pengesat kaki sahaja. Dia hanya dirasakan perlu dan disebut-sebut berkali-kali namanya bila ada sesuatu yang tidak sanggup dilakukan sendiri dengan berani oleh si penjilat dan sang opurtunis. Ketika itu sahajalah pejuang diperlukan.
Jadi cepat-cepatlah kau hentikan segala mimpimu. Tidak perlulah kau berasa seronok dan leka dengan segala ketersohoran yang sifatnya sangat sementara. SELESAI
*Cerpen ini merupakan naskhah asal pengarang yang dikirimkan ke sebuah penerbitan dan sekaligus juga merupakan ralat peribadi selepas penyiarannya di Mingguan Wasilah (Bil 70) 20 - 26 Julai 2008.