Selasa, September 30, 2008

MENJELANG LEBARAN: MEMANDU DI JALAN RAYA MALAYSIA



MEMANDU kenderaan di jalan raya di Malaysia, khususnya di hari-hari sebok menjelang dan berakhirnya cuti umum atau lebaran sungguh merupakan suatu pengalaman yang menggerun lagi membimbangkan perasaan.

Kenapa tidak? Ketika inilah, mereka yang memandu dengan hemat lagi berhemah tidak sahaja perlu berhati-hati ketika memandu demi untuk keselamatan diri sendiri dan keluarganya, tetapi pada waktu yang sama juga perlu mengelakkan diri agar tidak menjadi mangsa makhluk-makluk yang ganas lagi tidak berhati perut yang bercokol di sebalik stering kenderaan masing-masing dan tanpa rasa silu serta malu mengaku bahawa dirinya seorang pemandu.

Makhluk ini, yang perangainya memang terlalu suka untuk berlagak-lagak di jalan raya dan mementingkan dirinya sendiri memang tidak pernah mahu berfikir dan bertimbang rasa terhadap orang lain. Apa yang difikir serta diutamakan tidak lain hanyalah kesombongan dan kepentingan dirinya semata-mata.

Kesombongannya itu ditunjukkan dengan cara memotong kenderaan lain dan memecut kenderaannya sendiri sesuka hati.

Jika jalan di depannya sesak dan berjejal kenderaan, maka lorong kecemasan menjadi jalan pilihannya dan jika kemudian telah tiba di hujung lorong, bagaikan monyet yang tidak tahu malu, terhegeh-hegeh pula dia menghimpit mahu masuk semula ke jalan yang sesak itu, walhal di belakangnya ratusan kenderaan masih berbaris dengan sabar dan sopan.

Jika sedang menunggu untuk keluar dari lorong, sama ada mahu ke kiri atau ke kanan, makhluk yang tanpa rasa silu serta malu mengaku bahawa dirinya seorang pemandu ini akan mencelah di sebelah kenderaan yang sebelum ini sudah dengan sabar dan sopan menunggu dan tanpa malu serta sopan akan memecutlah dia keluar dari lorong dengan lajunya memotong orang lain.

Inilah makhluk yang terpaksa dan perlu dihindari jika kita memandu kenderaan di jalan raya di Malaysia ini, khususnya di hari-hari sebok menjelang atau berakhirnya cuti umum atau lebaran.

Makhluk ini sepatutnya tidak diberikan lesen serta kebenaran untuk bercokol di belakang stering kenderaan. Mereka sepatutnya diharamkan menjadi pemandu.

Kehadiran makhluk ini tidak sahaja menyusahkan tetapi lebih dari itu amatlah membahayakan nyawa serta keselamatan diri dan nyawa orang lain.

September 30, 2008

Isnin, September 29, 2008

PENYAIR ABDUL HADI MUHAMMAD MERALATKAN SUNYINYA


SAYA memang tidak terlalu banyak bicara dengannya atau mengenal dia terlalu dekat. Saya mula “mengenal” beliau ketika di permulaan langkah menjadi penyair pada tahun 1979 dan lewat sajaknya “Pantai Batu Hitam” yang disiarkan di majalah Dewan Sastera sekitar tahun yang sama. Saya tercari-cari siapa penyair ini kerana pantai Batu Hitam adalah pantai yang amat saya kenal di daerah saya.

Kemudiannya, ketika bersama almarhum penyair Badaruddin M.Z mengajak menubuh dan menggerakkan kumpulan Anak Seni Inderapura sekitar tahun 1981, saya satu dua kali menemui Abdul Hadi di rumah persatuan yang letaknya di sebuah bangunan di penjuru Taman Esplanade di tepi sungai Kuantan. Ketika itu pun saya lebih banyak menjadi pendengar. Bagi saya, Abdul Hadi yang ketika itu mengajar di sebuah sekolah di Kuantan, seperti juga almarhum penyair Badaruddin M.Z saya anggap sudah pun bertapak kukuh dan saya pula masih lagi terkial dan merangkak mencari ruang di dunia persajakan.

Tidak tahu kenapa, saya memang tidak terlalu banyak bicara dengannya. Walhal, tahun 1985 saya bertemu lagi beliau dan bersama menerima anugerah di majlis penyampaian Hadiah Sastera Utusan-Public Bank yang julung kali dilangsungkan mulai tahun itu.

Dan paling aneh, ketika saya mewakili negara sebagai salah seorang Pembaca Sajak Terjemahan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (PPDKL) 1988 (24 - 27 1988), Abdul Hadi dan temannya Zulkifli Mohd Zain yang sama menyertai acara ini menumpang berehat di kamar hotel saya, namun saya masih juga tidak terlalu banyak bercakap dengan beliau. Saya tidak tahu kenapa mulut ini terasa berat untuk bercakap terlalu banyak dengan Abdul Hadi.

Walau begitu, jauh di dasar sanubari, sebagai teman penyair, dia menjadi dekat dengan saya lewat karya puisinya. Dan kini saya rasa saya tahu sebabnya.

Saya tidak terlalu banyak bercakap dengannya tidak lain kerana rasa segan. Segan ini berpunca dari rasa sedar betapa saya ini seorang manusia yang suka bercakap seenak mulut saya. Dan dengan Abdul Hadi saya menjadi segan kerana saya tahu dia seorang ustaz. Kerana itulah saya berhati-hati agar tidak bercakap tidak tentu hala dengan beliau.

Dengan segala macam kesibukan peribadi, Abdul Hadi seperti ikut sama “hilang” dari ingatan saya dan sajak-sajak Abdul Hadi sendiri semakin jarang kelihatan disiarkan di mana-mana.

Sehinggalah suatu hari saya menerima pesanan ringkas di dalam telefon genggam dari teman penyair, kalau tidak silap ingatan saya Darma Mohamad, atau Irene yang menyebut Abdul Hadi dimasukkan ke hospital.

Kemudiannya, selepas pemergian penyair Badaruddin M.Z, saya menerima pesanan ringkas dari Abdul Hadi sendiri. Tetapi sekali lagi, saya selalunya lambat membalas dan ketika menghubungi langsung, saya berasa aneh. Panggilan saya dijawab namun tiada suara yang kedengaran. Saya mendail sekali lagi dan seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai isteri Abdul Hadi menjawab.

Dari penjelasan isterinya baru saya tahu betapa Abdul Hadi Muhammad teman yang saya kenal sebagai penyair itu, selepas suatu kemalangan dan mendapat rawatan di hospital, kini tidak boleh berkata-kata dan berhubung hanya melalui isyarat serta tulisan.

Entah kenapa, saya kembali teringat peristiwa satu petang di tahun 1988 itu. Abdul Hadi dan temannya Zulkifli Mohd Zain yang mahu menumpang berehat ke kamar hotel saya bersama menaiki bas mini di depan Pasar Seni.

Zulkifli naik dahulu, saya menyusul dan Abdul Hadi di belakang. Ketika bas mulai bergerak dan Zulkifli serta saya sudah mulai duduk di bangku depan, Abdul Hadi tiba-tiba terjelepok mencangkung ditangga dan saya pantas menyambar tangannya menarik kembali berdiri.

Ketika itu, yang saya hairankan kenapa pemandu bas mini itu tidak memberhentikan bas yang bergerak perlahan dan reaksi penumpang serta pemandu basnya pula di mata saya kelihatan seperti menonton sesuatu yang aneh dan mengganggu.

Saya tahu kini Abdul Hadi menulis di blognya dan sesekali Abdul Hadi menghantar reaksinya di blog saya. Malah ada beberapa reaksinya itu ditulis dalam bentuk sajak dan saya dengan sengaja tidak menyiarkannya.

Saya harap Abdul Hadi tidak tersinggung dan memaafkan tindakan saya itu. Saya berbuat begitu kerana khuatir kalau saya siarkan, sajak itu mungkin boleh dan akan diplagiat oleh sesiapa yang mahu berbuat demikian.

Saya mahu biarlah Abdul Hadi siarkan sajaknya itu dahulu di mana-mana penerbitan. Itu bagi saya lebih baik dan bermanfaat buat Abdul Hadi sendiri.

Saya faham Abdul Hadi yang bersama teman-teman penyair UKM mengasas dan memimpin Grup Pemuisi UKM dalam tahun 1977 ini berasa sunyi dan perlukan teman untuk bercakap-cakap. Tetapi saya harap Abdul Hadi dapat menerima cara saya yang lebih senang “bercakap” dengan beliau secara diam.

Saya tahu betapa sunyi itu boleh membunuh dan menyeksa seseorang. Tetapi saya rasa Abdul Hadi memang memahami itu. Betapa sebagai penyair Abdul Hadi sudah lama berlatih menghayati dan mengalami makna sunyinya itu. Apa lagi sebagai seorang muslim. Blognya “Tamu Pulau Melaka” yang dapat ditelusur melalui alamat http://abdulhadimuhamad.blogspot.com/ benar-benar membuktikan betapa Abdul Hadi sesungguhnya tidak didera oleh sunyi, malah menghayati makna sunyi itu.

Itulah Abdul Hadi. Penyair yang juga menulis rencana. Karya sajaknya terkumpul bersama di dalam antologi Puisi Bangi,(1978) Koleksi Puisi Perhimpunan Penyair Muda Malaysia (1988), Perubahan (DBP 1989), Perubahan (DBP 1988), Sayang ottawa Airnya Sejuk ( DBP 1989, Mengenang-Mu (DBP 1989), Gema membelah gema 4-8 (DBP 1989), Di Atas Mimbar Merdeka (DBP 1989), Puisi Baharu Melayu 1961-86 (DBP 1990), Kamar Kecil (PAPK 1991) Laman Bahasa Ibunda (DBP 1993) Cetera 94 ( Kelab Sastera Dewan 1994) Puisi-puisi Kunjungan (DBP 1995), Paluh (Dalam Bahasa Rusia, terbitan Krasnaya Gora Moscow 1996) Nyanyian Kembara (DBP 1999) dan lain-lain.

Abdul Hadi pernah memenangi Hadiah Utama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1985, Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 serta salah seorang pemenang Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO GAPENA 1989. Antalogi sajak persendirian Abdul Hadi adalah Ruang Dalam (1986) dan Racun Abadi (2001).

Abdul Hadi membuktikan ini. Kesunyiannya diralatkan dengan cara menulis tulisan demi tulisan bernafas keagamaan di blognya dan terakhir, menelorkan sebuah antologi sajak barunya berjudul Negeri di Bawah Bulan (2008).

September 29, 2008

Ahad, September 28, 2008

Salam

MEMOHON DAN MEMBERI MAAF, TERIMA KASIH

PENGUNJUNG dan teman blogger di dalam lingkaran mahupun tanpa lingkaran pautan, pembaca, pembeli karya Marsli N.O dan sahabat-sahabat yang selama ini banyak memberikan sokongan serta dokongan mereka terhadap penulis, diucapkan salam sempena lebaran yang bakal menjelang.

Tiada gading yang tidak retak. Tiada gigi dan lidah tidak tergigit. Tiada hati yang tidak tersentuh. Kerana kata dan perbuatan selalu menjadi senjata manusia secara sedar atau tanpa sedar.

Walau bertalu henyak mendatang. Walau bertalu keji dan umpat. Walau berkali terkena najis dan kencing. Kerana manusia selalu berasa dirinya lebih wali dan suci dari orang lain.

Kerana sokongan dan dokongan kalian, secara langsung mahupun tidak, memungkin saya tetap ingin berada di sini dan tetap mampu tegoh berdiri menyatakan sikap serta pendirian dirinya yang diyakini, tanpa perlu memilih menjadi penjilat dan pengampu.

Kalian, terima kasih dan aku memohon serta memberi maaf.

Ahad, September 28, 2008

Jumaat, September 19, 2008

DI TENGAH RAMDAHAN, MENJELANG SYAWAL


SETIAP kali Ramadhan dan menghampiri Syawal, hati selalu tersentuh membaca atau mendengar teman berkisah mengenai pengalaman dan kenangan mereka.

Bagiku peribadi kedua bulan ini selalu bersama mendatangkan luka di dalam kenang sebagai anak yang tidak berbapa dan selalu disebut dan diseranah sebagai dari “keturunan luar”.

Memang bukan salah keadaan, tetapi melalui kedua bulan ini dengan hina dan rendah diri kerana kemiskinan, sungguh mendalam kesannnya dan tetap membekas sehingga dewasa di dalam hati.

Kerana itu, begitu berasa beroleh kekuatan di dalam jiwa, aku memilih untuk melawan. Melawan keadaan yang selalu tidak adil dan meremehkan dan sekaligus juga melawan untuk melepaskan diri dari belenggu kemiskinan.

Dan ini, tanpa aku sedar, begitu semakin menjadi dewasa dan berusia, diri terbentuk menjadi manusia keras dan tidak boleh mudah menerima cela dan sendaan sewenangnya. Malah hati ini mudah dan cepat bergelora bila melihat di depan mata manusia yang munafik memperagakan segala ilmu dan “kealimannya” tetapi di belakang khalayak ramai tingkah dan perangainya tidak selari dengan apa yang diperagakan.

Kerana ini juga diri tidak mudah mahu berkompromi dengan manusia lain kalau natijahnya atas nama kepentingan diri dan sanggup memijak orang lain.

Berbahagialah mereka yang bersenang-senang mendapat sesuatu dengan cara mengencingi orang lain.

Berseronoklah mereka memperaga kehebatan ilmu, diri dan kepintarannya yang palsu.

Dan semakin memilih sunyi, semakin diri mengerti makna kehidupan, persahabatan dan kejujuran.

Lalu menjelma kesimpulan, betapa semakin mengenal diri sendiri dan hidupnya, maka apa yang difikir orang lain itu sesungguhnya semakin menjadi tidak penting. Yang penting adalah bagaimana diri mengisi hidupnya sendiri supaya menjadi lebih bererti.

Kalau pun ada yang perlu ditangiskan untuk seketika, yang ingin ditangiskan itu adalah memikirkan ruginya pernah membiarkan masa terbuang sia-sia.

Dan tangis itu tentu sahaja segera dihentikan dan lalu digantikan dengan amal serta perbuatan lain yang lebih afdal.

September 19, 2008

Khamis, September 18, 2008

RESAH RAMADHAN

AKU ingin lebih membisu di Ramadhan bulan mulia ini. Hanya ingin mengurus dan bersebok dengan diri sendiri. Tetapi tingkah kalian membuat aku jadi gelisah dan tidak sanggup lama membisu. Hilang sudahkah sopan kita bangsa bernama Melayu dan ke mana menjauh tali persaudaraan sesama muslim? Kucatatkan resahku ini.

RAMADHAN DAN POLITIKUS

Aku malu melihat tingkahmu
Di mulia Ramadhan ini

Ketika syaitan dipenjara
Dan ujian semata untuk manusia

Kau masih tidak silu berbalah
Saling bersilat hujah

Konon atas nama kebenaran dan maruah

Tetapi sebenarnya kerana
Mempertahankan kerusi serta kabilah

Walau saling melempar caci
Walau saling mencampakkan keji
Walau tercemar murni

Demi kerusi, rakus nafsu menjadi penentu
Jelata terpinga mencari mercu
September 18, 2008

Isnin, September 08, 2008

Sajak MARSLI N.O

KEPADAMU MERDEKA, PAGI INI

Dengan sengaja
tidak ingin berkali kusebut namamu,
pagi ini

bukan kerana benci
atau ragu
atau kerana setiaku
telah dipudarkan oleh waktu

tetapi aku memilih untuk bersunyi
dengan diri,
di pagi ini

di antara gempita jerit dan sorak
melaungkan namamu
yang kudengar berkumandang
di jalan
dan padang
konon atas nama
setia dan kejayaan

namun semakin terasa
kosong dan hampa
makna

ketika kembali kubuka
album sejarah
bangsa
kulihat masih berbaki
darah dan luka
sengketa

kerana lahapkan secuil kuasa
mereka yang bergelar
pemimpin

di antara kita.

Ogos 31, 2008