Khamis, November 27, 2008

IKLAN: Kumpulan Cerpen Bakal Terbit




Kumpulan cerpen bernada satira berjudul MEREKA TELAH MENJADI ANJING ini diniat dan dicadangkan terbit dengan belanja sendiri pertengahan tahun 2009 nanti. Isu yang dijadikan fokus adalah mengenai politik dan pengkhianatan manusia terhadap bangsa, bahasa dan budayanya sendiri.

Kehadiran kumpulan cerpen ini ke tengah khalayak pembaca di harapkan menjadi cermin untuk melihat wajah bangsa, bahasa dan budaya miliknya sendiri. Dan seperti selalu juga, sebagai peringatan kepada sesiapa sahaja yang cepat dan mudah melatah serta perasan, tentu sahajalah cerpen-cerpen di dalam kumpulan itu nanti tiada kena mengena dengan sesiapa, sama ada yang masih hidup atau sudah pun mati.


Pembaca atau peminat karya MARSLI N.O yang berminat untuk mendapatkan kumpulan cerpen tersebut boleh mengemukakan tempahan masing-masing sama ada lewat email pengarang atau alamat-alamat lain yang boleh menghubungi pengarang mulai sekarang.


November 26, 2008

PERANAN PERSATUAN PENULIS


TIADA seorang penulis atau sasterawan pun, yang menjadi ahli mana-mana persatuan penulis atau sastera di negara ini, yang tidak tahu apa tugas dan peranan sebuah persatuan.

Pengetahuan mengenai tugas dan peranan sebuah persatuan penulis atau sastera ini tentulah berlebih-lebih lagi dalam maklum sesiapa yang menjadi ketua, pengerusi atau presidennya.

Namanya persatuan penulis atau sastera. Tentulah peranan dan objektifnya berhubung dan berkait dengan penulis, sastera, bahasa dan budaya juga. Segala yang berkait dengan perkara ini menjadi lingkup perjuangan dan perlu diambil perhatian sentiasa oleh ahli dan terutama lagi kepada sesiapa yang menjadi ketuanya.

Jelasnya, atau sebagai suatu ulang suara buat mereka yang dengan sengaja berlagak pekak serta tuli, sebuah persatuan penulis atau sastera peranannya bukanlah mencari Melayu, tetapi tugas dan peranannya ialah menjaga kebajikan penulis yang menjadi ahlinya, serta sentiasa berusaha memelihara dan memartabatkan di tempat yang sewajarnya bahasa, sastera dan budaya bangsanya sendiri.

Jika tugas dan peranan ini tidak mampu atau dapat dilaksanakan serta dipenuhi, atau kelihatannya lebih cenderung untuk membodek dan bersekongkol dengan siapa sahaja, sama ada mana-mana tokoh, pemimpin atau bekas pemimpin yang pernah melaksana serta mengilhamkan sesuatu idea dan dasar yang menyongsang dari kehendak dan objektif sebenar sebuah persatuan penulis atau sastera, lebih baiklah dibubar atau ditukarkan sahaja nama persatuan kepada namanya yang lebih sesuai, misalnya, sebagai Persatuan Bodek, Persatuan Pak Angguk sahaja.

Atau kalau tidakpun, wajarlah siapa sahaja yang menjadi ketua sesebuah persatuan penulis atau sastera ini berasa malu dan segera meletakkan jawatannya dari persatuan serta menyerahkan jawatannya kepada mereka yang lebih amanah.

Dan kalau ada kalangan ketua persatuan penulis atau sastera golongan ini yang masih juga hendak memegang jawatan sebagai ketua sehingga mati, jelas dan nampak sangatlah betapa manusia sejenis ini, bukan setakat tidak tahu malu, tetapi sebenarnya dia juga secara tidak langsung turut sama berak dan kencing terhadap bahasa, sastera dan budaaya milik bangsanya sendiri.

November 27, 2008


Rabu, November 26, 2008

Cerpen MARSLI N.O


TONGONG , BENCI DAN PEKUNG




1
TONGONG


SEMUA benda dan perkara di atas muka bumi ini, walhal tahi dan nyawa manusia sekalipun boleh diubahsuai menjadi alat dan teramat sesuai untuk diperalatkan menjadi alat-alat.


Siapa peduli kalau kau mampus atau kena pijak dan penyek hingga leper macam roti canai dari kedai mamak yang sudah basi.


Kerana itu tidak usah hairan dan bersedih keterlaluan memikirkan nasib bangsa kalau nasibmu sendiri terkial-kial bagai nyawa ikan.


Ingat bagaimana berselimut di malam yang teramat dingin dengan sehelai kain batik usang dan koyak rabak milik arwah moyangmu dulu?


Begitulah perkaranya. Ketika ditarik ke muka untuk menghalang gigitan nyamuk, di bahagian kaki pula yang terdedah dek serangan dingin angin. Serba tidak berkecukupan jadinya.


Sesekali ada semangat yang datang menyerang dan hampir-hampir hendak kena penyakit sawan dan gila babi.


Bersilat, bertepis, bernari-nari dan bertempik-tempik sahajalah. Macam anjing menyalak. Berpuluh jong masuk juga ke dalam kuala. Memang haprak dan tongong.Orang di kampung atau di bandar-bandar sudah tidak kuasa hendak bercakap kalau buka cerita bab bangsa dan bahasa-bahasa.


Bangsa apa? Bahasa siapa? Kalau duduk di tandas dan termenung lama-lama macam mana hendak menjadi kaya tanpa perlu bekerja dan guna cara-cara menipu lagi bagus.


Semuanya macam tongong sahaja bila cakap negeri ini tiada siapa-siapa boleh mengaku jadi tuan.


Siapa yang hendak jadi tuan memang tongong. Ini samalah macam kes seorang pemilik blog yang berasa dia sudah amat popular dan kaya sehingga boleh tentukan orang lain mesti ikut macam dia dan kalau tidak haprak sahajalah.


Hidup pun memang tongong bila ramai sangat manusia fikir dia sahaja yang boleh jadi wali dan memiliki makrifat.


Memanglah tongong.



2
BENCI

TATKALA terlalu banyak permainan kata dan silap mata di depanmu, pastilah rasa mual dan muak mulai bertandang di dalam perasaan serta jiwa.


Seolah-olah diperkirakan betapa sebagai marhaen walau secuil pun tidak memiliki otak untuk dapat berfikir dan menilai segala.


Seolah-olah diperkira betapa yang mutlak berkuasa menentu hanyalah mereka yang bergontai di kerusi di dalam mahligai yang tersergam indah di atas angin itu.Kau melihat di depan mata kesewenangan dan kata yang tidak kunjung usai dipersulitkan makna menjadi retorik penuh buih dan mudah sirna ke dalam udara layaknya asap.


Kerana begitu mereka memperkirakan. Betapa bodoh dan mudahnya disunglap menjadi badut, dan kalau perlu seekor katak, atau ular dan biawak, setiap yang bernama marhaen.


Dan ketika mual semakin membuak atau muntah kian bertalu, hanya waktu itu nantinya menjadi penentu dan menghukum mereka yang sekian lama berlagak pekak dan tuli, menafikan segala benar jutaan suara yang merintih dan mengharap dan terus mengharap.


Memang itu sudah pun belaku. Ada yang bergulingan jatuh ke bawah bukit dan lembah. Namun sepertikan tidak seorang di antara mereka sudi untuk bermuhasabah dan tega mengaku segala khilaf dan salah.


Ah, negeri tercintaku. Kuharap tidak menjadi mangsa mereka yang serakah atau jatuh ke tangan si pemabuk yang sanggup menggadainya kepada angin dan ribut.



3
PEKUNG

AKU tahu kau seorang pemikir dan sekaligus peneliti masalah bangsamu. Tetapi sudah dan hentikanlah berfikir lagi hari ini.


Kukatakan begitu kerana hari ini apa peduli soal kebenaran dan maruah. Kerana semuanya boleh diperjudi dan diperjual beli asalkan ada yang mendatangkan laba serta untung.


Kenapa mesti mampus dalam kemiskinan kalau di depan terbentang peluang untuk beroleh laba dan untung dengan cara paling mudah iaitu menipu dan menjual bangsamu sendiri.


Pokok pangkalnya kau boleh kekal terus di kerusi itu. Apa peduli soal bangsa atau bahasa yang itu semua perkara sialan yang apa sangatlah faedahnya untuk seorang oportunis.Lagi banyak kau buka pekung lagilah banyak kali namamu disebut dan makin amatlah tersohor namamu ke seantero dunia.


Sekarang bukan soal malu. Yang penting berapa banyak kemaluan sudah kau buka. Jadi apa sangat kalau setakat membuka kemaluan kau sendiri yang ada pekung di dalam kain atau seluar itu sendiri.


Yang penting kau tidak perlu serabutkan otak memikirkan sengsara bangsa. Jangan bersedih.

SELESAI

Khamis, November 20, 2008

DISKUSI KARYA WILAYAH TIMUR 11-13 NOVEMBER 2008

MAJLIS anjuran Unit Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur yang berlangsung pada 11 - 13 November 2008 di Hotel Star Regency, Cameron Highlands. ini menampilkan penyair Zaen Kasturi sebagai pembicara empat kumpulan sajak Nassury Ibrahim (Elipsis), Wikunila MS (Rahim Hayat), Marsli N.O (Kepada Angin Juga) dan Sahrunizam Talib (Di Ruang Ini).

Selain empat penyair yang karyanya dibicarakan turut tampil menyampaikan proses kreatif dan latar penciptaan karya puisi mereka, penyair Wan A Rafar yang baru pulang dari kembaranya sekitar empat bulan ke Itali, Greece dan Istanbul turut berbicara seputar soal puisi dan kembara.

Selain penyair yang karyanya dibicarakan, sejumlah teman sasterawan dari Terengganu dan Kelantan turut diundang menyertai. Antara mereka ialah Aziz Mohd Noor, Norhisham Mustapha, Tuan Shariff Putera, Zizie Setapa dan lain-lain.

Sebagai kenangan dan dokumentasi, kurakamkan sejumlah foto.

Sasterawan Norhisham Mustapha khusyuk menghayati kumpulan sajak "Rahim Hayat" karya Wikunila MS.


Sebagai tanda akrab dan kenangan dua teman sasterawan yang meski berjarak usia, namun tetap sekata dan sama mendalam cinta terhadap sasteranya, dalam perjalanan dan ketika singgah di tanah tinggi Berinchang, aku berfoto bersama sasterawan veteran Terengganu, Tuan Shariff Putera.


Bersama penyair Kelantan Abd Hadi Yusoff


Kusempatkan diri berfoto kenangan bersama penyair yang juga pengurus pojek acara ini, Syaidul Azam Kamarudin yang mendokong puteranya.


Penyair muda dari Terengganu, Wikunila MS bersama penyair veteran Wan A. Rafar dari Kelantan .

Inilah kali pertama aku berfoto bersama penyair Wan A. Rafar


Penyair dan pembicara penuh berhemah: Wan A Rafar

Zaen Kasturi: Penyair dan pembicara empat karya.


Syaidul Azam Kamarudin: Pengurus Projek Majlis Diskusi Karya Wilayah Timur.


Tuan Haji Yussop Ishak, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur


November 20, 2008

Rabu, November 19, 2008

BARACK OBAMA: APA PEDULI


TIDAK hairan sangat kalau seorang wartawan semacam kesal bila beberapa penyair yang malam itu tampil membacakan sajak tidak ramai yang menyentuh atau meraikan Barack Obama sebagai Presiden Amerika berkulit hitam yang pertama.

Nama pun wartawan. Apa-apa yang dianggap baru dan scoop akan segeralah dilapor dan dijadikan bahan bicara.

Tetapi lain pula bagi seorang penyair. Penyair tidak melahirkan sesebuah puisi mengenai sesuatu semata-mata kerana disuruh atau ikut-ikutan kerana orang lain ramai yang menulis mengenainya. Penyair menyatakan sesuatu, biasanya, secara ikhlas bila dirasakan benar-benar menyentuh hati nuraninya dan bukan juga kerana digesa oleh teman wartawan atau patronnya.

Dan aku sejak mula memang tidak berminat dan tidak mahu ambil peduli apakah Barack Obama akan berjaya menjadi Presiden Amerika berkulit hitam yang pertama atau tidak.

Bagiku, siapa yang mahu menjadi presiden Amerika, dia mestilah bersetuju untuk menyetujui beberapa perkara. Kalau tidak, dia tidak akan berjaya dan malah kalau berjaya, dia akan diusahakan akhirnya supaya jatuh dengan pelbagai cara seperti Bill Clinton atau John F. Kennedy.

Apa lagi bila melihat bagaimana akrabnya Barack Obama dengan wanita penasihat dasar luar Bush itu. Makinlah menyerlah di mana sebenarnya kedudukan Barrack Obama di mataku.

Dan sekarang bagaimana? Hari demi hari semakin membukti. Kekesalan rakan wartawan kerana penyair yang tampil ke pentas malam itu tidak berkata sesuatu mengenai Barack Obama rasanya tidak berbaloi.

Kenapa tidak? Barack Obama bagiku tidak memberikan apa-apa harapan bagiku.

Rakyat Palestine akan tetap didera dan disembelih juga. Apa lagi dengan diriku sendiri. Aku sedar Barack Obama sedikit pun tidak ada masa hendak ambil peduli mengenai diriku. Yang penting bagi Barack Obama aku kira, adalah menyenangkan hati penyokong dan sesiapa yang telah mendokongnya. Bagiku Barack Obama sama juga dengan Bush atau yang segolongannya.

Dan aku rasa aku tidak bersendirian dengan pendapat ini. Novelis dan wartawati Sri Diah dalam satu entri di blognya menulis hal yang sama. Sebagai renungan bersama, elok kalau direnung apa yang dikatakan novelis dan wartawati yang menyamai taraf selebriti ini: “

DIA HEBAT JIKA...
* Betullah dia memang Presiden Amerika. Tapi kalau persepsinya tentang Islam sama saja seperti bekas Presiden Amerika yang lain, kalau definasinya tentang keganasan sama saja... atau pandangannya terhadap Zionis sama saja, saya tak nampak kenapa dia mesti kita kagumi. Paling baru, dia telah meletakkan bekas tentera Israel Rahm Emanuel ke dalam pentadbiran White House. Rahmn adalah `orang kita' (kata orang Israel). Oh, mungkin Obama juga akan jadi pro Israel akhirnya. Posted by:
Sri Diah / 9:30 AM
November 19, 2008