Isnin, Disember 29, 2008

CATATAN DI SENJA MAAL HIJRAH 1430: SELAMAT BERKORBAN, KEPADA DIRI


AKHIRNYA itulah yang terbaik buat diri. Beberapa perkara dan benda perlu dijadikan korban. Sebelum terlambat dan semakin meraja jadinya. Menghindar segala yang membazir dan sia-sia. Perlu dijauhkan dari ruang perasaan dan relung ingatan. Tanpa pilu atau rasa kecewa. Seperti yang diyakini sejak mula. Percaya kepada diri dan melangkah yakin menuju pasti.

Disember 29, 2008

PPSMI: DALIH MELINGKAR DAN HIPOKRASI KITA


HANYA anggukan sebagai tanda jawapan dan sedikit bersetuju ketika seorang yang bukan sasterawan menyatakan betapa sekarang isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), tidak sahaja diheboh dan diresahkan kalangan sasterawan, budayawan serta pejuang bahasa, tetapi juga kalangan politik oposisi.

Malah, kata seorang yang bukan sasterawan ini lagi, bukan kalangan politik oposisi sahaja, ada ahli politik yang telah ditolak rakyat di dalam pemilu 2008 pada bulan Mac lalu juga turut menjadikan isu ini modal dan dalih baru perjuangan politiknya.

Apa komen kau mengenai isu ini? Kini seorang yang bukan sasterawan itu langsung berbalik mengajukan soalannya kepadaku.

Ringkas sahaja jawapanku. Mereka atau kita sebenarnya hanya berpura-pura dan berlagak. Begitulah jawapanku.

Berpura? Berpura-pura bagaimana? Berlagak? Berlagak apa? Tanya dia.

Macam-macam. Tetapi yang paling terutamanya adalah berlagak dan berpura-pura sebagai pejuang. Pejuang bahasa yang risaukan nasib masa depan bahasanya. Tetapi tidak ke mana-mana juga. Asyik melingkar-lingkar di situ juga.

Melingkar-lingkar bagaimana?

Setakat cakap sahajalah. Kalau betul dan memang bersungguh-sungguh hendak menjaga kemurnian dan martabat bahasanya sendiri, sudah tentulah benda ini dibantah sejak mula dilaksanakan lagi. Ini tidak. Kalau sudah beberapa tahun dilaksanakan buat apa lagi hendak bising? Kenapa tidak dulu? Takut hilang kena pecat atau takut tidak naik pangkat dan hilang jawatankah?

Jadi kausokonglah?

PPSMI itu? Kaupernah dengar aku cakap aku sokongkah?

Tidak.

Sudah itu?

Yalah. Apa maksud kau sebenarnya?

Kalau kalangan yang berlagak dan berpura sebagai pejuang ini sendiri secara sembunyi-sembunyi bersekongkol dengan mereka yang paling dekat dengan pelaksana PPSMI ini, apa lagi yang hendak diheboh-hebohkan?

Kau ada bukti?

Apalah bodohnya kau ini. Berapa banyak bukti yang kauhendak? Bukti apa? Kalau setakat bersubahat dan bersekongkol begitu, tidak payahlah kaucakap pasal bukti. Ada benda lain lagi terok dan hebat pun orang tidak pedulikan buktinya yang jelas terpampang depan mata. Apalah bodohnya kau ini.

Contohnya?

Contohnya? Kepala hotak kaulah.

Disember 28, 2008.


Disember 29, 2008

PPSMI: DALIH MELINGKAR DAN HIPOKRASI KITA (2)

TELEFON genggam yang kuletakkan di kotak papan pemuka kenderaanku bergetar berkali-kali.

Kerana sedang memandu di jalan menuju ke pejabat yang semakin menjadi sibuk, hati-hati dan waspada kugapai telefon genggam itu. Di monitor tertera nama seorang yang bukan sasterawan.


Helo. Aku mula menyapa.

Aku hendak perbetulkan apa yang sudah kausebut beberapa hari yang lalu. Begitu jelas dan lantang kudengar suara seorang yang bukan sasterawan itu berkata-kata.

Betulkan apa?

Mengenai isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu.

Hendak betulkan apa?

Kaukata tiada sesiapa yang bertindak sejak awal. Tetapi aku baru mendapat tahu. Ada sebuah persatuan politik yang sudah mengambil tindakan undang-undang. Sejak tahun 2006 lagi. Habis kenapa kaucakap tiada yang bertindak sejak awal.

Itu aku tahulah. Tetapi yang bertindak itu persatuan politik. Persatuan sastera, bahasa, seni dan budaya bagaimana pula?

Habis kautujukan tempelak kau itu kepada siapa sebenarnya? Kepada persatuan politik atau bukan?

Ada aku sebutkah maksud dan tuju tempelakkku itu kepada persatuan politik? Adakah?

Jadi kau maksudkan yang berpura dan berlagak semalam itu bukan orang politiklah?

Apalah punya haprak kau ini. Aku memang tidak kisah apa orang politik hendak buat dan cakap. Aku sudah faham sangat perangai mereka. Tetapi kalau orang sastera, bahasa, seni dan budaya sudah mulai berkelakuan sama seperti mereka, itulah yang aku kesal dan cemohkan. Kaufaham tidak?

Segera kudengar klik dari telefon di sana, yang sama ertinya talian diputuskan.

Aku hanya tersenyum kelat. Dan di dalam hati semakin tumbuh rasa mual bila memikirkan seseorang yang selalu menjadi buta dan taksub bila dikaitkan dengan sesebuah persatuan politik.

Disember 29, 2008

Ahad, Disember 28, 2008

CATATAN SELEPAS MAGHRIB DISEMBER 28, 2008


KURAYAKAN hidup dengan penuh kedirian dan kesediaan menanggung segala risiko. Dan aku tidak percayakan sesuatu tanpa melihat dan mengalami sendiri. Lalu kerana itu, untuk suatu jawapan dan kesimpulan, aku dengan sedar dan sengaja membuat uji dan kaji. Walau demi itu, aku berdepan dengan risiko cerca, hina dan salah pengertian.

Aku memang tidak pernah mengharapkan segala yang indah di dalam hidup atau segala pujian. Hidup sebagai manusia sendiri dari dunia yang keras dan berliku mengajar aku jadi manusia yang percaya penoh kepada dirinya sendiri. Malah kadang waktu aku sama sekali tidak ingin peduli dan mengacuhkan kepada orang lain, terutama yang berlagak dan sombong dengan konon kelebihan yang ada pada dirinya, yang berlagak-lagak konon dirinya terlalu hebat dan dipujai peminat dan pengagum.

Memasuki dunia dan memijakkan kaki ke tanah sastera negeriku ini aku sebenarnya bermula dengan sebuah yakin yang sangat jelas lagi jitu, dan sekaligus juga dengan serentetan tanya.

Tujuanku jelas. Aku memasuki dunia ini hanya kerana ingin berkarya menurut yakinku sendiri selagi diberikan mampu dan kudrat oleh Allah Yang Maha Esa. Kerana bagiku, jika dunia lain, selain agama, semakin sesak dan serabut dengan segala kegawatan serta kebobrokan dunia, sastera setidaknya kuharap dapat sama memberikan sedikit pencerahan buat jiwa manusia.

Malah aku yakin, tidak hanya aku peribadi yang memikirkan ini. Setiap sasterawan, kukira demikianlah juga setidaknya sikap dan pandangan mereka terhadap sastera. Kerana apalah ertinya sastera jika hanya menjadi slogan dan semboyan atau sekadar dendangan merdu jika tidak mampu sedikit mencerahkan jiwa manusia yang galau dan kadang-kala terawang-awang. Karya sastera, kuyakin dan percaya, tugas dan fungsinya, mestilah mendidik jiwa dan akal manusia agar kembali kepada asal usul dan penciptanya. Soalnya hanyalah cara dan gaya. Namun hala tuju karya tetaplah sama.

Kerana mereka sasterawan, aku meyakini mereka amat menyedari hakikat dirinya dan kerana itu tentulah sikap dan tindak tanduk mereka sehariannya menggambarkan sikap kemanusiaan yang penuh dan jujur, yang tidak akan sanggup memijak orang lain demi untuk kepentingan dirinya sendiri. Atau juga sanggup meremeh-remehkan orang lain semata-mata kerana berasa dirinya hebat dan bijak.

Tetapi, begitu melihat dengan mata kepala sendiri segala tingkah dan peri sebahagian mereka yang melekatkan gelar sasterawan (penyair, novelis, cerpenis, eseis dan aktivis) ke bahunya, segera beriring rentetan tanya mengenai benar dan tulennya segala idealisme yang didengungkan dari bibir atau di dalam karya sekalian mereka.

Untuk itulah aku melakukan uji dan kaji. Pelbagai tanya yang mendatangi fikir ingin kucarikan jawaban yang jelas dan nyata melalui dapatan uji dan kaji nyang dengan sengaja aku lakukan.

Solidaritas sesama sasterawan? Kejujuran dalam bertindak dan tanpa ada niat sampingan di sebaliknya demi kepentingan diri sendiri? Sastera diperkudakan sebagai alat untuk sesuatu kepentingan? Mencari keluhuran akal budi manusia yang bernama sasterawan?

Kutemukan kesimpulan memang. Dan semua itu sangat tidak mengejutkan.

Kalau kerana itu orang dan pihak lain meremahkan sasterawan serta karyanya, aku sangat memaklumi sebab dan puncanya.

Bagaimana orang mahu menghormati sasterawan dan karya sasteranya jika sasterawan sendiri bersikap dan berperi laku seperti penyamun dan penyangak yang menopengkan wajahnya dengan baju cantik bahasa tetapi praktiknya terpesong tiga ratus enam puluh darjah?

Hipokrasi dan hasad dengkinya tidak bezanya dengan politikus dan mereka yang menjadikan benda sebagai kiblat. Malah demi kepentingan sendiri, politikus dan pengkiblat benda yang tamak lagi rakus tega dijadikan sahabat paling akrab.

Baju dan jiwa sasterawannya dilonggarkan, lalu politik dan benda dijadikan hala tuju dan matlamat. Malu dirinya menjadi miskin kerana memilih bersetia dengan memilih yakin sebagai sasterawan yang mempertahankan kemurnian dan kejujuran sebagai seorang sasterawan.

Demi untuk mengelak miskin, tidak mengapa jika hak dan kepunyaan orang lain disunglap dengan pelbagai cara yang pada zahirnya memang dihalalkan oleh undang-undang dunia, tetapi pada segi moralnya amatlah mengaibkan.

Kerana sejak mula aku memang melakukan uji dan kaji demi untuk menemukan jawaban dan kesimpulan terhadap serentetan pertanyaan, tentulah aku tidak berasa kecewa atau mahu menyalahkan sesiapa.

Segala kesimpulan dan jawapan itu menjadi khazanah tahu milik peribadiku yang tidak ternilai harganya. Kerana itu juga aku tidak pernah berasa sedih jika kerananya aku pernah, telah atau akan dicerca dan dihina.

Kerana tahu dan belajar dari kesimpulan itu jugalah, segelintir nama dan manusia menjadi luruh segala kagumku terhadapnya. Terutamanya bila saban hari melihat lakon yang dimainkannya di depan khalayak yang mungkin tidak tahu dan kenal siapa dirinya.

Di mata khalayak yang tidak tahu, hebatlah dia sebagai pemuka atau pendahulu, atau pelbagai gelar lagi dilekatkan dihujung namanya, tetapi bagi diriku yang pernah berdepan empat mata dengannya, yang secara langsung menerima cerca dari bibir miliknya, tentulah mempunyai tanggapan sendiri terhadap diri manusia ini.

Atau dalam peristiwa lain, ketika blog ini baru cuba bertatih mencari identiti dirinya sendiri, pelbagai nama yang muncul dengan pelbagai samaran konon sebagai penasihat dan pemelihara moral bahasa melontar “nasihat-nasihatnya” ternyata tindak dan tanduk mereka hanya bagaikan anjing menyalak bukit dan hantu yang sangat pengecut dan dayus. Di mata ini, hina sungguh manusia yang cuba menjadi hantu dan anjing ini.

Namun, kerana tidak elok membuka malu sesama Muslim di depan khalayak, biarlah nama-nama tersebut menjadi rahsia diriku peribadi sahaja dan segala yang kusebutkan mengenainya hanyalah dengan harapan semoga menjadi cermin bandingan buat yang lain, agar tidak sama menjadi manusia hipokrasi, yang begitu bijak berlakon dan bersandiwara bagaikan seorang "nabi" tetapi palsu belaka.

Akhirnya, kutelan segala cerca dan hina manussia kerana ingin belajar lebih mengenal manusia. Dan aku tahu, bukan sesiapa yang bernama manusia yang akan menentukan darjat serta hisab mengenai diriku.

Aku tahu, hidup dan matiku, hanya kerana Allah. Dan aku tidak pernah takut atau berasa hina terhadap sesama manusia, kerana aku hanya takutkan Allah.

Disember 28, 2008

Khamis, Disember 18, 2008

Marsli N.O

SAJAK GELISAH MENJELANG PAGI*

Akan kukatakan apa lagi kepadamu, aduhai kenang
yang selalu menderukan ingatan dari silamku
ketika aku tetap bertatih dan ingin menjauhkan cemas dan debar
yang selalu bertalu di pantai yang basah di bawah cahaya bulan?

Aku tahu tidak mungkin bermusuh dan membunuhmu lenyap
dari hati pendendam

Tetapi siapa aku untuk juga berkata tidak
ketika kau kembali bertalu menghantar bayang demi bayang?


Disember 18, 2008


[Perhatian dan Amaran: Sajak-sajak yang disiarkan di blog ini adalah hasil cipta penyair MARSLI N.O dan diisytiharkan sebagai sepenuhnya hakmilik cipta karya atas nama MARSLI N.O. Sebarang penjiplakan sama ada sebahagian atau sepenuhnya adalah perbuatan terkutuk dan akan diambil tindakan perundangan. Kecuali sebarang petikan atau penyiaran kembali dengan makluman atau izin bertulis dari penyair MARSLI N.O]

Selasa, Disember 16, 2008

SAJAK LUKA BAHASA



Marsli N.O
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?
Siapa akan mengubat luka kemaluanmu ?

Disember 16, 2008


SAJAK MARAH DI TENGAH MALAM (1)

KUPENDAM keinginan dengan senyap yang menyelinap
ke dalam pembuluh darah dan sengaja yang kubiarkan
bergoncang dan bergelinjang bersama denyut nadi
seperti ular yang tidak kenal letih menjalar di gurun sahara

Ketika marahku meggelepar seperti haiwan yang lapar terkurung
sekian lama di dalam sangkar
aku menjadi tidak peduli setelah benci dan bosan
dipermainkan oleh janji dan harapan
yang kauberi tanpa pasti

Celakalah kau, para babi yang sedang berseronok dan bermimpi

Nanti waktu akan membunuh igaumu si pemain janji
setelah tanahmu tercemar oleh najis dan kencingmu sendiri

Ketika saatnya tidak guna berkata atas nama bangsa atau bahasa
dan tangis setiap kita menjadi sia-sia

Angkara si babi celaka.

Disember 16, 2008

Ahad, Disember 14, 2008

MEREKA TELAH MENJADI ANJING: KUMPULAN CERPEN


Maklumat Terkini:

Dami kumpulan cerpen ini sudah di peringkat semakan akhir. Harga bagi senaskhah dicadangkan sekitar RM 20.00 (Ringgit malaysia: Dua Puluh Sahaja) termasuk ongkos pos. Bagi yang berminat memiliki tetapi belum memesan, sila emailkan kepada pengarang.

Senarai Pemesan:



Berikut adalah senarai nama pemesan kumpulan cerpen yang bakal terbit “Mereka Telah Menjadi Anjing”. Mereka yang memesan lebih dari satu naskhah akan dinyatakan jumlah pesanan sebenar mereka di hujung nama.

Kepada teman, sahabat dan bakal pemesan yang lain yang namanya tidak tersenarai atau belum saya senaraikan, sila maklumkan agar nama anda dimasukkan ke dalam senarai yang telah dikemaskini.

Kerjasama anda memesan dan juga memaklumkan, saya ucapkan terima kasih.

1- Sdr Benuasuluk
2- Sdr Ibnu Ahmad al-Kurawwi
3- Sdr Sham al-Johori
4- Sdr MohamadKholid
5- Sdr Rahimin Idris
6- Sdri Maizura Mohd Ederis
7. Sdr Zarif Hassan
8. Sdr Rahimidn Zahari (3 naskhah)
9. Sdr WB Rendra (2 naskhah)





Disember 14, 2008

Sabtu, Disember 13, 2008

SAJAK DI PAGI SABTU

Marsli N.O
NEGERI INI AKAN MEMBUSUK

Negeri ini akan membusuk
Menjadi negeri sarap dan sampah
Segala haloba
Manusia yang hilang cinta

Ketika bongkak dan hasad
Berumah di dalam jiwa pemilik kuasa
Membuang segala rasa
Untuk berbagi sudi
mendengar suara dan minta jelata

Disember 13, 2008



DI RONGGA BUSUK

Bahasaku bersarang
Di rongga busuk hati petualang
Konon berlagak pejuang
Tetapi apa hendak dihairan

Kalau pemilik sejati
Kini berubah memungkir janji
Demi perut yang pasti
Agar selalu terisi

Disember 13, 2008

Isnin, Disember 08, 2008

SAJAK DI PAGI AIDILADHA

Marsli N.O
NEGERI DENDAM (INGINKAH KAU)

Inginkah kaulihat negeri ini terus membusuk?
Ketika sesama pemimpin saling melemparkan tuding
Dan atas nama demokrasi
Fiksi demi fiksi dicipta
Oleh si bijak politik
Untuk membunuh dan melenyapkan lawan

Atas nama kaum dan bangsa
Berduyun para pemabok kuasa
Menjunjung bangga dan pura
Mempermainkan kebingungan jelata


Disember 8, 2008

Selasa, Disember 02, 2008

SIAPA SEBENARNYA INGIN MENJADI TUAN?

MESKI berkurun sudah poyang dan moyangku di sini, namun aku tidak pun pernah walau sedikit di dalam hati mempunyai perasaan untuk menjadi atau berlagak sebagai tuan kepada sesiapa pun.

Ini bukan kerana soal atau ada perasaan lain yang mendahului, yang mengahalang diriku untuk mempunyai perasaan sebagai seorang tuan. Sebaliknya tiadanya perasaan di dalam hati untuk menjadi seorang tuan itu kerana aku sebenarnya tidak ingin menjadi tuan kepada sesiapa yang selain tuan kepada diriku sendiri sahaja.

Sikap atau keyakinan sebegini menurut hematku memang menjadi pegangan semua manusia bernama Melayu di negeri ini, aku yakin.

Namun dalam keadaan yang demikian itu, sesekali muncul juga seorang atau sekelompok manusia yang berasa perlu memodalkan isu tuan sebagai tembok loncatan masing-masing sebagai politikus.

Tanpa mengira apakah mereka ini berwajah Melayu atau bukan, jelas sangatlah betapa mereka ini berotak mandek serta keparat yang sanggup mempermainkan kepercayaan marhaen yang mengamanahkan percayanya kepada mereka atas nama survival bangsa.

Kerana, jika mereka tidak berotak mandek, pastilah mereka bertimbang dan berfikir masak-masak akan akibah dan kesan langsung serta tidak langsung sebelum menjadikan isu tuan sebagai modal politik mereka.

Mereka lupa, ketika mereka kelihatan seperti sangat bersungguh-sungguh mempertahankan, kononnya, ketuanan Melayu, apa yang sebenarnya mereka pertahan dan perjuangkan bukanlah atas nama Melayu, tetapi sebaliknya, atas atau demi kepentingan survival politiknya sendiri.

Begitu jugalah jika yang menjadikan isu tuan ini sebagai modal dari kalangan yang lain selain Melayu. Kepentingan dan asasnya tetaplah sama juga. Apa yang dilaungkan tidak lebih untuk menunjukkan konon dialah hero dan pejuang survival kaumnya.

Walhal, setelah sekian tahun menikmati angin merdeka, soal tuan atau tidak sudah secara automatisnya sama difahami di kalangan jelata dan tiada siapa berminat untuk mengungkitnya.

Hanya, kalangan politikuslah yang kembali menjadikannya modal dan isu. Terutamanya kalangan politikus yang semakin suram seri dan sokongan akar umbi.

Tetapi kalangan ini, bukan hanya soal tuan sanggup dijadikan isu, tidak mustahil juga, demi kepentingan politik peribadinya, kalau ada pihak yang mahu membeli negerinya ini, mungkin sanggup dijualnya juga.

Disember 2, 2008

Isnin, Disember 01, 2008

Sajak MARSLI N.O

KETIKA KAU MEMILIH BUTA

Pernahkah sesiapa berkata
Memberimu ajar dan petua
Bagaimana

Agar dua matamu tetap terbuka
Di depan sejarah
Yang tidak mudah hendak kaudusta

Tidak usah kerana angkuh
Dan mencari pengagum sengaja
Kauperkosa tulus sesama bangsa

Aku mengerti jalan kita berbeza
Tetapi aku tidak sudi berbagi
Dengan prasangka yang berbara

Walau aku lelaki pemarah
Tetapi tidak akan mudah melatah

Ketika kau memilih menjadi
Si celik yang buta
Menuturkan kata celaka penuh bisa.


Oktober 13, 2008


Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 30 N0vember 2008