Jumaat, Februari 27, 2009

BETULKAH MALAM ITU DIA TIDAK DIIZINKAN MEMBACA SAJAK?


SAYA yang lebih awal tiba di rumah itu sedang berehat menghilangkan lelah di bangku halamannya. Berjalan kaki dari hentian Puduraya menuju ke rumah itu, dalam kebisingan deru kenderaan, asap dan debu, ditambah dengan udara yang terasa berbahang meski langit kelihatan dimendungi jerubu, memang melelahkan.

Di dalam rumah, saya tahu, seorang petugas wanita sedang melaksanakan tugasnya. Dan saya juga tahu, di dalam rumah itu, saya boleh menikmati udara dingin dari pendingin hawa di dalamnya.

Tetapi saya memang dengan sengaja berada dan berehat di bangku di laman rumah itu demi untuk menjaga jarak dan kemanisan susila.

Saya tersentak dari lamunan bila dari pintu pagar yang ternganga saya melihat seorang gadis berjalan lamban dan kelihatan tersipu-sipu entah kenapa. Ketika disapa ke mana tujuannya, gadis itu dengan tersipu-sipu beritahu dia datang kerana mendengar khabar bahawa nanti malam ada acara baca sajak dan dia juga ingin membaca sajak. Saya mengangguk dan mulai didatangi gelisah bila berhadapan dengan gadis itu bersendiran.

Mujur sebentar kemudian muncul petugas wanita di ambang pintu rumah dan saya langsung meminta gadis yang tersipu-sipu itu merujuk kepadanya. Saya mendengar jelas, petugas wanita itu mempelawa gadis yang tersipu-sipu itu masuk dan berehat di dalam rumah.

Tatkala malam mulai menjelma dan acara baca sajak dimulai, saya melupakan terus kewujudan gadis yang tersipu-sipu di rumah itu. Alasan saya, kalau benar gadis itu memang mahu membaca sajak, dia pasti berada di ruang acara menantikan gilirannya. Namun anehnya, gadis yang tersipu-sipu itu tidak pula kelihatan di ruangan.

Barulah ketika hendak sekejap melepaskan mengah dan mahu melepaskan hajat di kamar kecil, saya dapati kamar itu terkunci dari dalam dan ketika pintunya saya tolak untuk mempastikan apakah ada sesiapa di dalam, saya melihat bayangan sosok seorang gadis sedang mempersiapkan diri.

Saya segera menjauh dari pintu dan terhenyak duduk di sofa di ruang tamu rumah itu. Risau juga di hati kalau-kalau disangkakan hendak mengintai atau berbuat sesuatu yang tidak baik. Di meja kecil di depan saya, di ruang tamu itu, saya terpandang sebuah buku nota. Saya agak kepunyaan gadis yang tersipu-sipu itu barangkali.

Hingalah acara baca sajak malam itu usai dan saya tidak pun melihat gadis yang tersipu-sipu itu di ruang acara. Tanpa berfikir dan bersangka apa-apa terhadap gadis itu, saya sendirian berjalan kaki ke sebuah warung berhampiran sebuah bangunan tinggi. Ketika menunggu datangnya makanan yang dipesan, saya tidak sengaja, terpandang gadis yang tersipu-sipu itu berjalan sendirian. Dan saya pun tidak berfikir serta bersangka apa-apa terhadapnya.

Hanya, setelah beberapa minggu kemudian, saya diberitahu oleh seorang teman penyair, bahawa seorang teman penyair yang lain memberitahu beliau konon saya telah tidak memberikan ruang dan peluang kepada seorang gadis peminat sastera untuk membaca sajak dalam satu acara.

Saya jadi teringat kembali peristiwa gadis yang tersipu-sipu itu. Saya agak barangkali gadis itulah yang dimaksudkan oleh kawan itu. Tetapi kenapa pula saya yang mesti disalahkan. Kalau misalnya gadis itu duduk berkurung di dalam rumah itu, apakah saya pula yang mesti menjemput dan menyuruhnya agar keluar dan membaca sajak?

Bukankah gadis itu yang sepatutnya keluar dan memaklumkan kepada sesiapa yang wajar atau langsung sahaja kepada saya bahawa dia memang mahu membacakan sajak malam itu?

Di pihak saya, terus terang, sejak petang kali pertama melihat gadis itu, saya takut dan segan hendak bertanya itu dan ini darinya. Saya khuatir kalau tersalah dianggap atau disangka hendak menjual minyak. .

Apa lagi fokus dan tumpu fikiran saya pada malam itu, hanyalah sajak dan baca sajak. Nama dan wajah sesiapa tiada di dalam fikiran.

Silap saya mungkin itulah, bila di acara baca sajak seperti itu, saya selalunya hanya memikirkan sajak dan baca sajak semata-mata. Kerana itu juga, saya tidak begitu banyak menyapa orang, berbual-bual kosong atau merayau-rayau. Bagi saya, baca sajak adalah kerja dan tugas yang perlu dilaksanakan dengan penuh fokus serta komitmen yang tinggi.

Namun saya tidak ingin menyimpan rasa bersalah kerana peristiwa yang di luar dari pengetahuan saya seperti malam itu. Kalau pun mungkin gadis itu pernah atau masih berasa terkilan terhadap saya, jika seperti menurut khabar yang diucapkan oleh teman itu, saya memang tidak peduli atau mahu ambil tahu.

Februari 19, 2009

Khamis, Februari 26, 2009

SASTERAWAN JUGA MANUSIA, EDITOR DAN PENERBIT JUGA

SEBAHAGIAN kita memang suka membuat sangka dan duga tanpa terlebih dahulu mempastikan benar atau tidaknya. Sebahagiannya setakat menyimpan sangka dan duganya yang belum pasti benar atau tidaknya itu hanya di dalam hati, sendiri-sendiri, dan sebahagian yang lain, dengan berani dan pongahnya menyata dan menyebutkannya secara terbuka pula.

Sebagai sasterawan dan penyair, saya peribadi juga pernah dan selalu mendengar betapa sangka dan duga yang tidak benar itu disebut di depan saya, entah sebagai alasan tertentu atau kerana rasa sakit hati apabila kehendak dan permintaan mereka yang menyebut itu tidak mahu saya patuhi.

Misalnya, sangka dan duga yang mengatakan betapa susahnya hendak berkira serta berurusan dengan penyair atau sasterawan.

Hujah si penyebut sangka dan duga ini, selalunya, dikatakan betapa sasterawan dan penyair itu tidak mahu mendengar dan menerima pendapat orang lain.

Kalau di segi karyanya pula, begitu menurut penyebut sangka dan duga ini lagi, penyair dan sasterawan langsung tidak rela karyanya diedit atau disentuh oleh sesiapa. Konon didakwa oleh penyebut sangka dan duga ini, penyair atau sasterawan akan selalu mempertahankan prinsip bahawa karyanya tidak boleh disentuh, diubah, diedit dan kalau mahu disiar, siarkanlah secara utuh seperti teks asalnya.

Memang pun selama ini saya selalu diam dan tidak menjawab apa-apa. Malah ada juga perasaan kasihan kepada mereka yang suka amat membuat sangka dan duga yang tidak benar ini dan peliknya, merelakan pula dirinya terus hidup dalam keadaan bersangka-sangka serta berduga-duga. Sedangkan kalau misalnya dia langsung bertanyakan perkara ini kepada tuan yang empunya diri, tentulah keadaan dirinya yang selalu hidup dalam keadaan bersangka-sangka serta berduga-duga yang tidak betul itu dapat segera dia hentikan.

Isu ini saya timbulkan kerana saya berasa tergerak dan perlu untuk memberikan reaksi peribadi kerana beberapa hari yang lalu menerima surat-E dari seorang yang bertugas di sebuah penerbitan.

Dalam surat-Enya itu, pengirim tersebut memaklumkan bahawa sebuah cerpen yang saya kirimkan ke penerbitannya terpilih untuk disiarkan, walau bagaimana pun, kerana dia rasakan cerpen saya itu agak keras dan terdapat beberapa perkara atau isu yang kurang sesuai dengan dasar penerbitannya, dia telah memurnikan cerpen saya itu dan memohon saya memberikan izin.

Tentulah, kerana telah diberitahu dan dimaklumkan secara baik, dan juga demi menjaga kepentingan semua pihak, saya menyatakan setuju serta tidak berhalangan apa-apa dengan proses pemurnian terhadap cerpen saya itu.

Bagi saya secara peribadi, tiada gunanya seorang sasterawan terlalu bertegar dengan kata dan gaya di dalam karyanya, sehinggakan kerana terlalu ingin mempertahankan konsep dan gayanya itu, sedangkan karya tersebut sulit disiarkan kerana bertentangan dengan dasar dan kehendak sesuatu penerbitan, menjadikan niat pertama berkaryanya seorang penayir atau sasterawan, iaitu mahu mengirimkan pesan kepada khalayak ikut sama menjadi terhalang.

Sedangkan, menurut hemat saya, sebuah karya masih boleh diedit atau dimurnikan oleh seorang editor atau petugas di sesuatu penerbitan selagi dalam batasan tidak sampai ke tahap melacurkan seni dan karya berkenaan dan juga dengan maklum serta perbincangan dan kerelaan semua yang terlibat: sasterawan dan petugas yang menangani karya.

Betapa dan apa sekalipun, suatu hakikat yang jangan sekali dilupakan adalah ini: penyair, sasterawan, editor dan penerbit adalah manusia. Kerana itu, berurusan dan mengangani sesuatu permasalahan yang berhubung kait dengan karya juga, biarlah secara kemanusiaan.

Memanglah sasterawan berasa terkilan kalau misalnya sebuah kata di dalam sajaknya dari “wangi” tiba-tiba, tanpa dimaklum serta mendengar penjelasan sasterawan yang menuliskan karya, dirubah ketika disiarkan di dalam sebuah penerbitan menjadi “bunyi”.

Sasterawan atau penyair tidaklah meminta sesuatu yang berlebihan. Kalau diajak berunding dan diminta pandangannya, sasterawan, khususnya saya secara peribadi, tidak pernah menolak dan malah boleh menerima sebarang perubahan, kalau perubahan dan cadangan itu dimaklum dan dibincangkan secara baik lagi telus, serta dirasakan amat munasabah.

Secara peribadi, saya fikir editor atau sesiapa yang bertugas di sebuah penerbitan juga mahu dirinya dilayan sedemikian rupa.

Kerana kita semua adalah manusia dan bukannya robot yang cuba dimanusiakan.

Kepada petugas yang memaklumkan melalui surat-Enya itu, saya mengucapkan terima kasih atas pengertian dan sikap terbuka saudara.

Terima kasih.

Februari 26, 2009

Ahad, Februari 22, 2009

OTAK, TANDA NAMA, HUJAH DAN JERUBU Cerpen MARSLI N.O


1
JERUBU

WAH. Berjerubu di depan pandangan. Kerananya, matahari hanya sebam-sebam kelihatan. Terlitup oleh jerubu dari pandangan.

Udara yang disedut dan dihidu berbau asap. Entah dari mana hadir dan datang. Ini jerubu angkara penangan.

Kena ingat dan faham banyak perkara di tengah ini keadaan. Jangan sampai otak begitu mudah dibius dan dibersihkan. Bangkit dan teruslah melangkah sebagai diri sendiri.

Tiada gunanya mahu berlagak pahlawan. Dengan mata sendiri kaulihat jerubu yang datang.

Katanya ada hutan yang terbakar. Tetapi siapa yang membakar dan untuk apa terjadi saban tahun?

Ops. Jangan terlalu bertanya kalau tidak mahu menjadi mangsa berikutnya.

Berlagaklah menjadi si bodoh yang pekak dan bisu. Kalau perlu, samalah bersekongkol menjadi anjing dan babi.

Biarkan bangsamu menjadi lembu dan kau tidak perlu hendak menunjukkan cerdik.

Harga seekor babi lebih mahal dari maruah seorang marhaen. Bukalah sebanyak mungkin kandang demi kandang menternak babi dan si marhaen biarkan mampus sendiri.

Ada orang berkata ini celaka bagi si bangsa tetapi yang lain pula meraikan dengan bersuka-suka.
Apa-apa sahajalah asalkan hati berasa bahagia dan gumbira.

Ini bukan marah dan bukan juga seloka. Hanya di dalam, hatiku bergundah melihat alam yang dibencanai jerubu berkeluyuran.

Ogos 8, 2008



2
OTAK


SEEKOR hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu muncul lagi. Dan seperti selalu, tanpa disuruh duduk, dia akan duduk di mana sahaja yang dia suka duduk, tanpa diminta bercakap, dia akan bercakap apa sahaja yang dia suka cakap.

Kautahu bagaimana mereka melakukannya? Tanpa kupinta, hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu mengajukan tanya.

Aku berpura tidak mendengar dan meneruskan kerja yang sudah kuhadapi sejak tadi.

Cuba kaulihat ini. Ada kubawakan contoh-contohnya sekali. Hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu, entah dari mana menghadirkan beberapa kotak dan membukanya satu demi satu di depanku.

Cubalah kaulihat apa yang ada di dalam kotak ini. Baru senang aku hendak cerita. Aku mempertahankan puraku dan berlagak seolah-olah terlalu sebok dan fokus dengan apa yang sudah kukerjakan sejak tadi.

Apalah kau ini. Sebok sangatkah sampai sedikit pun tidak ada masa hendak tengok dan jengok apa yang aku bawa ini. Begitu kudengar si hantu itu bersungut dan diam-diam di dalam hati aku berasa lucu juga bila seekor hantu sepertinya pun pandai dan tahu merungut juga.

Kalau kau sendiri tidak tengok susahlah aku hendak cerita. Hantu itu meneruskan rungutannya.

Apa? Apa yang kau hendak aku tengok? Apa? Walau pandang dan tumpuku masih terhadap kerjaku, akhirnya bersuara juga aku.

Ini. Cuba kau perhatikan apa yang ada di dalam kotak-kotak yang kubawa ini. Kalau kau perhatikan betul-betul, pasti kau akan boleh nampak betapa ada perbezaan di antaranya.

Sekilas aku menjengahkan juga pandangku ke arah kandungan di dalam kotak-kotak itu. Sekilas kelihatan di pandanganku ketulan daging berlekit dan berwarna putih susu. Entah kenapa, tiba-tiba rasa mual dan loya menggerayangi perasaanku.

Kenapa? Kau tidak sanggup melihatnya lama-lamakah? Ini adalah sebahagian dari otak-otak mereka yang sudah dibius dan dibersihkan itu. Sebab itu kelihatan bersih dan agak berwarna putih.

Maksud kau kalau yang belum dibius serta dibersihkan ianya tidak akan sebegini rupanya? Begitu tanpa sedar terluncur tanya itu dari bibirku.

Mestilah. Contohnya otak milik orang seperti kau. Otak yang banyak berfikir dan asyik hendak membangkang sahaja seperti milik kau ini tentulah kalau hendak diisikan ke dalam kotak sebegini hendaklah kena dibersihkan terlebih dahulu. Terdengar selamba sahaja jawab si hantu itu.

Sebenarnya apa mesej dan motif yang hendak kau sampaikan ini, wahai hantu? Kini aku membalik bertanya.

Ala. Tidak payahlah kau hendak tanya pasal mesej dan motif. Tidak ada gunanya juga kalau aku ceritakan panjangnya-panjang dengan kau.

Memang sungguhlah kau ini hantu. Susah-sudah kau datang ganggu aku, alihnya begitu pula jawab kau bila aku tanya. Kini aku membebel dengan suara bernada jengkel.

La. Kan aku ini memang hantu. Memang mengganggu itu sudah jadi kerja aku. Ha. Ha. Ha.

Dan belum aku sempat berdiri hendak menghamprinya si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu telah lesap entah ke mana.

Ogos 6, 2008



3
TANDA NAMA

NAMPAKNYA hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu masih belum puas mengganggu aku.

Walau tanyanya tidak kujawab tuntas dan dengan sengaja aku mempermainkan dia dengan ketawa, namun dia masih kulihat bercokol duduk di depanku.

Apa lagi yang tidak dapat memuaskan hati kau? Sudahlah. Tidak ada gunanya kau mengasaki aku dengan tanya. Aku tiada kuasa hendak berlanjut-lanjut melayan kau. Begitu dengan sengaja aku meluahkan kata. Niatku memang mahu menyakiti hati hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu agar segera berlalu dari kamarku.

Satu perkara lagi. Pasal tanda nama itu. Apalah kamu yang berbangsa manusia ini. Kerana itu pun hendak menjadi dan membuat gaduh. Kini dari bibir hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu terluncur pula kata yang lain.

Aku mengehentikan kerja menulisku buat seketika. Wajah hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu kutenung ke atas dan ke bawah.

Kau jangan hendak marah kepada aku. Aku ini bercakap perkara yang benar. Apa yang menjadi masalah sangat dengan tanda nama itu. Kalau hendak tulis, tulislah apa sahaja bahasa yang kau suka. Hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu meneruskan bicaranya.

Aku pura-pura tidak mendengar dan meneruskan kerja menulisku.

Apalah yang bodoh sangat. Bahasa apa yang hendak pakai pun apa peduli. Tulislah apa sahaja. Kenapa mesti hendak bising-bising? Hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu meneruskan bicara.

Aku menjengilkan bola mataku.

Memanglah kau ini hantu yang bodoh. Kan aku sudah kata jangan masuk campur kalau benda itu tidak kau tahu duduk perkaranya. Lebih baik kaudiam sahaja. Kini aku mencelah dengan jawapanku.

Hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu menatap wajahku ke atas dan ke bawah.

Memanglah siapa sahaja boleh tulis ikut suka hati dia. Tetapi kalau melibatkan perkara rasmi dan kebangsaan, kau kenalah tulis ikut resam kebangsaan dan rasmi pula. Jangan hendak tunjuk pongah atau macam sengaja hendak perbodohkan orang lain. Kini aku tegaskan jawapanku dengan hujah yang kukira mudah difahami dan tidak berbelit-belit.

Apa yang kauhendak buat mengarut. Rasmi apa? Kebangsaan apa pula? Bertalu-talu hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu menghujatku kembali dengan tanya.

Memanglah kau ini hantu yang tolol. Kautahu tidak? Cuba kau pergi sekali melawat ke kampung-kampung di sebelah selatan sempadan negeri kita ini. Walau dalam kampung itu ada orang macam kita tetapi tanda nama yang mereka tulis di papan nama mereka semua dalam bahasa berhuruf kerekot-kerekot. Kautahu kenapa jadi begitu? Sebab bahasa rasmi dan kebangsaan di situ memang dalam huruf berkerekot? Kaufaham tidak? Kini aku menjawab dengan nada suara yang agak tinggi.

Habis kalau pelancong datang melawat fahamkah mereka? Hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu membalikkan tanya kepada diriku dan aku tahu tanyanya itu adalah tanya untuk memperbanyakkan dalih.

Entahlah. Setahu aku, sejak dulu dan sampai kini, tidak pernah aku dengar pelancong ke negara itu bersungut pasal bahasa dalam tulisan berkerekot itu. Tidak pernah pun menjadi masalah. Dan untuk makluman kau juga wahai hantu yang bodoh, walau menggunakan bahasa dalam tulisan berkerekot dan tidak menjadi gila babi hendak menobatkan bahasa orang putih seperti di negeri kita ini, aku dengar nilai duit dan ekonomi mereka lebih baik dan tinggi dari kita juga.

Begitu aku menempelak hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu.

Jadi sudahlah kau wahai hantu yang bodoh. Tidak payahlah kau hendak jadikan isu benda-benda yang kau sendiri memang tahu sudah ada jawapannya. Kau janganah ingat aku ni bodoh dan cuba hendak kauacahkan dengan benda-benda begitu. Aku nasihatkan kau, buatlah kerja lain yang lebih berfaedah untuk bangsa kau. Benda yang sudah selesai elok itu tidak payahlah hendak ungkit dan timbulkan lagi. Faham?

Kuteruskan tempelakku dan hantu yang memperkenalkan dirinya sebagai Mat itu kulihat terkebil-kebil kedua belah bola matanya.

Julai 27, 2008


4
HUJAH

SEPERTI kuduga, ketika bersendirian di kamar tulisku di hujung malam ini, aku didatangi lagi oleh si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu.

Seperti selalu dan kerana sifatnya memang begitu perangainya seekor hantu, tanpa kupelawa duduk langsung sahaja kulihat si hantu itu bercokol di hadapan meja tulisku.Kenapa kau asyik diam sahaja? Apa sekarang ini kau sudah jadi pengecut dan bisu jugakah? Begitu tanpa kupinta dan suruh, kudengar sihantu itu bersuara mengajukan tanyanya kepada diriku.

Aku menjawab tanya si hantu itu hanya dengan jeling.

Tidak payah kauhendak menjeling-jeling. Kalau ada yang hendak kaucakap, cakap sahajalah. Semakin ghairah kudengar si hantu itu mendesakku dengan tanyanya.

Kau dengar sini. Kau tidak rasa perlu berkata sesuatukah mengenai apa yang sedang dihebohkan semula itukah?

Apa? Kini kubalas dengan tanya yang ringkas.

Itulah. Kenapa bangsa kau ini, bila diberi kuasa dan amanah memimpin, selalunya mudah merubah dirinya menjadi kurang berhemah dan kurang cerdik? Begitu tanya si hantu itu tanpa kufahami dengan jelas pokok dan persoalan.

Apa? Kembali kuberikan reaksiku dengan tanya yang ringkas itu.

Itulah. Benda yang mudah begitu pun tidak mampu mereka fikir bila sudah bergelar. Perkaranya yang sebenar adalah hendak mengajar bahasa. Tetapi yang dikaitkan pula dengan perkara lain itu kenapa pula? Kudengar si hantu itu melanjutkan bebelannya tanpa kusuruh dan pinta.

Susah sangatkah hendak faham dan terima sahaja hujah berjela-jela yang sudah dibentang oleh mereka yang mengaku ahli itu? Atau kerana ada sebab-sebab lain maka segala hujah itu seperti tidak mahu dipedulikan sahaja? Masih kudengar si hantu itu dengan bebelannya.

Sudahlah hantu. Sedarlah diri kau itu. Kau yang sebokkan sangat mengenai ini kenapa? Kalau mereka yang bergelar itu seperti tidak ambil peduli atau hanya bersenda dengan kata dan waktu, apalah perlunya si hantu seperti kau hendak sebokkan mengenai ini? Dengan suara yang sedikit meninggi aku membalas bebel dan repekan si hantu itu.

Tiba-tiba dari luar tingkap kamar tulisku itu terdengar suara mendeham beberapa kali. Aku menghampiri tingkap dan membukanya.

Ketika kembali kutoleh ke arah meja tulisku beberapa detik kemudian, sosok dan bayang si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu telah lesap entah ke mana.

Dan di luar, berdiri di dalam cahaya suram-suram tidak begitu jauh dari tingkap kamar tulisku seorang lelaki misteri yang tidak begitu jelas sosok dan tampangnya namun amat tersohor namanya ke mana-mana. Kukatakan dia lelaki misteri kerana dia boleh datang dan menghilang di mana-mana sahaja mengikut kehendaknya. Tidak mengira waktu dan ketika.

September 15, 2008


Sumber siaran: Wasilah Bil 97 ( 8 – 14 Februari, 2009)

Jumaat, Februari 20, 2009

MALAM ITU, SAYA MENUNGGU SAMPAI AKHIR. TETAPI

MALAM itu, saya menunggu sampai acara usai dan berakhir. Namun ternyata penungguan saya hanya sia-sia. Nama saya tetap tidak disebut dan dipanggil oleh juruacara untuk ke pentas.

Jauh di sudut hati, saya memang berasa agak terkilan dan sedih. Namun, mungkin untuk sengaja-sengaja menyedapkan hati sendiri, saya katakan kepada diri bahawa saya tidak dipanggil sama ke pentas kerana nama saya bukanlah terkenal sangat bagi mereka. Walau jika dibandingkan dengan semua mereka yang dipanggil ke pentas malam itu, saya merupakan orang yang paling banyak menyiarkan sajaknya di akhbar dan majalah.

Sambil menyedap-nyedapkan hati sendiri begitulah, perlahan-lahan saya mengayuh basikal lumba saya meredah malam di bandar K yang semakin sunyi untuk kembali ke rumah sewaan. Dan saya tahu, di pertengahan jalan nanti, melewati kawasan perkampungan Cina dan rimbunan pohon-pohon kelapa, saya akan dikejar sejumlah anjing liar. Kerana itu juga, saya sekejap berhenti di tepi jalan, mengtip dan memasukkan ke dalam saku seluar beberapa ketul anak batu sebagai persediaan.

Barangkali, anjing pun tahu hati saya malam itu sedang dilanda rasa sedih. Kerana itulah, ketika melewati perkampungan Cina di malam yang semakin melewat dan sunyi itu, tiada seekor pun anjing yang datang menyalak dan mengejar saya. Dan sendirian saya bagaikan berbisik kepada diri, terima kasih anjing-anjing kerana kau pun tahu betapa hatiku sedang dilanda rusuh malam ini.

Memang ada sebabnya, begitu hujah saya kepada diri, untuk saya berasa terkilan malam itu. Sebabnya, kerana saya sudah memaklumkan dari awal bahawa saya mohon diajak sama membaca sajak dan teman yang saya temui itu berjanji akan memanggil bila tiba gilirannya di pertengahan acara..

Seingat saya, begitu mendapat tahu malam itu akan dilangsungkan acara baca sajak, saya tergesa mengayuh basikal lumba yang menjadi kenderaan saya ke mana-mana sekitar tahun-tahun itu ke ruang acara. Saya tiba ke sana ketika dewan masih kosong dan sunyi tanpa pengunjung. Saya langsung ke belakang pentas menemui teman yang menjadi juruacara dan dengan suara penuh harap menyatakan kalau tidak berhalangan saya juga mahu sama membaca sajak dan memohon agar dia sudi menyelitkan nama saya dan memanggilnya nanti ke pentas.

Saya tidak terkilan jika teman ini mengaku terus terang sejak awal bahawa ruang untuk saya tiada dan memang tidak dibolehkan menyelit sebarang nama tambahan. Agar dengan begitu saya boleh pulang lebih awal dan tidak perlu meredah malam sunyi menjadi mangsa kejaran anjing-anjing.

Memang saya sangat berharap malam itu, saya mengaku. Kenapa tidak. Teman itu bersungguh mengangguk dan berjanji. Lalu saya menanti dengan harapan menggunung dan sesekali dada dilanda debar yang entahkan apa.

Namun satu demi satu nama dipanggil. Yang saya benar-benar kenal sebagai penyair hanya dua atau tiga, sedangkan yang lain, hanyalah beberapa nama dan muka yang hanya malam itu saya lihat tampil dan muncul, namun lagak, sombong dan gayanya, mengalahkan penyair yang telah menulis dan menyiarkan segudang sajak.

Tiba di rumah sewaan, bersendirian membaringkan tubuh dan cuba mula melelapkan mata, saya membujuk diri sendiri agar belajar menelan rasa kecewa diam-diam.

Saya tahu bagaimana rasanya mengalami kecewa dan ini bukanlah rasa kecewa yang pertama saya alami di dalam hidup.

Tetapi hari ini, saya tetap juga menulis sajak dan menjadi penyair. Namun mereka yang tampil dan muncul di pentas malam itu, kini telah lenyap entah di mana, termasuk juga teman yang menjadi juruacara dan orang kuat acara baca sajak malam itu.

Barangkali sebahagiannnya, kerana rasa terkilan dan kecewa malam itu jugalah saya semakin menguatkan tekad serta azam, untuk satu waktu menjadi penyair yang kalau pun tidak tersohor, tetapi cukuplah jika berhasil menerbitkan beberapa buku.

Setidaknya, saya telah membuktikan itu kini. Dan mereka?

Februar1 19, 2009

PENYAIR DAN PELUKIS

(Pemilik sah hakcipta foto ini adalah Marsli N.O)

(Pemilik sah hakcipta foto ini adalah Marsli N.O)

(Pemilik sah hakcipta karya ini adalah Abdullah Jones)

MALAM Rabu 18 Februari, 2009 kelmarin, ditemani pelukis Tuan Wil, saya mengunjungi Galeri Rajawali. Kunjungan itu sebagai tanda hormat dan setiakawan atas jemputan pemilik galeri tersebut, pelukis Rusmadi, yang memaklumkan acara malam itu adalah demonstrasi melukis potret.

Secara rasminya, inilah kali pertama saya memasuki dan menikmati karya seni tampak di dalam sebuah galeri milik pelukis Melayu di bandar Kuantan ini.

Sebelum ini, saya lebih banyak menikmati hasil karya seniman pelukis di Kuantan ini melalui pameran terbuka pelukis Osman Limat dan paling akhir karya lukisan Cikgu Mat Nor di Taman Kerang, Kuantan.

Kalau sekitar tahun 1970-an dulu, ada sebuah rstoren di salah satu dari deretan petak perniagaan di Medan Pelancong di tepian sungai Kuantan yang mempamerkan beberapa karya lukisan.

Sekitar tahun itu juga, di sebuah kedai di bangunan LKNP, bersebelahan Klinik Dr. Kassim, saya juga pernah menikmati karya lukisan yang dipajang dan untuk dijual di situ.

Itu semua adalah sejarah dan kehadiran Galeri Rajawali bagi saya adalah sesuatu yang mengilham dan sekaligus boleh menjadi ruang untuk bertolak ke sesuatu kegiatan seni dan pemasaran hasil karya yang lebih bermakna.

Acara malam itu dilangsungkan dalam suasana yang sangat santai. Seseorang tampil ke depan dan memulai acara tanpa sebarang ucapan rasmi-rasmian, langsung kepada persoalan dan tidak bertele-tele.

Memang sepatutnya acara seni, dan sastra sekaligus, dilangsungkan dalam keadaan dan suasana sebegini: santai dan tidak terlalu banyak bumbu pura-pura untuk mengampu dan menghormati tamu kehornat seperti waibi atau tanseri. Yang penting dan perlu menjadi fokus adalah isi dan kandungan acara.

Kesempatan berkunjung ke Galeri Rajawali malam itu sepenuhnya saya isi dengan cuba untuk belajar lebih menikmati hasil karya teman-teman pelukis ini. Satu atau dua pelukis di galeri ini, memang sudah saya kenal rapat sebelumnya dan tanpa dipinta atau disuruh sesiapa, pelukis Aziz dengan rela hati, menjadi pelayan tamu dan memperjelaskan apa-apa yang saya tanyakan mengenai sesuatu lukisan yang saya lihat dan renung.

Memang pun pemilik galeri ini juga sudah saya kenal sebelum ini secara misteri. Tetapi itu bukan soal sangat. Kenal atau tidak, kalau di hati saya rasa tidak berkenan, memang haram saya tidak akan datang. Di galeri ini sebenarnya saya berasa tiada atau kurang suasana dan angin pura-pura seperti yang selalu saya jumpa dan rasai dalam banyak acara seni dan sastera. Kami bersalam dan bertanya sekadarnya, selepas itu masing-masing dengan hal sendiri. bebas untuk menikmati dan "berseni" menurut caranya sendiri. Suasana inilah yang saya senangi di sini, atau di mana-mana juga jika ada.

Memang pun menjadi prinsip saya. Apa yang saya fikirkan baik dan bermanfaat memang sentiasa saya sokong.

Kegiatan galeri ini, seperti malam ini, bagi saya adalah suatu yang baik dan wajar diteruskan. Malah kalau mahu diadakan acara baca sajak dan kegiatan sastera lain yang sesuai diadakan secara kamar, yang tidak sampai menjadikan suasana terlalu gamat atau boleh mengganggu ketenteraman jiran sekitar, bagi saya juga sesuai.

Di galeri inilah, malam ini, saya melihat kepala ikan dilukis dalam pelbagai bentuk dan perspektif. Begitu juga kepala lembu atau kerbau. Aziz pula yang sebelum ini saya sangkakan hanya pakar sebagai pelukis potrait, menayangkan beberapa karya seni tampaknya beraliran surealis.

Memang saya tertarik dengan lukisan-lukisan kecil yang digantung agak tinggi, yang kalau mahu saya rakamkan ke dalam kamera, perlu saya menggunakan tangga supaya kelihatan pada aras tumpuan mata. Saya fikir banyak lukisan-lukisan kecil itu yang sesuai dijadikan penghias atau cover buku.

Sebagai rakaman dan tanda kenangan, saya rakamkan dengan kamera sebuah lukisan hasil karya Abdullah Jones, yang saya lupa hendak tanyakan kepada pemilik galeri apakah judulnya. Juga saya tertarik kepada beberapa objek atau apa yang saya lihat di depan mata, itu juga saya rakamkan.

Rasanya, waktu untuk penyair dan pelukis hanya berkarya di kamar masing-masing, sudah waktunya dileraikan.

Kenapa tidak berkolaborasi, yang satu melukis, yang lain bersajak dan diterbitkan dalam bentuk buku secara lebih terhormat?

Dan kawan-kawan yang selalu dan tidak sudah-sudah dengan perasaan iri serta pantang melihat orang bahagia, janganlah berasa terancam bila aku sudah kembali atau semula mengakrabi seniman tampak atau pelukis!

Februari 20, 2009

KE MANA KAU AKAN KEMBALI DAN PERGI


KE MANA lagi kalau bukan ke dalam diri sendiri. Setelah segalanya semakin menjadi sia-sia dan tidak bererti. Harapan, penantian dan rasa percaya yang semakin lama semakin menjadi tirus dan terhakis oleh tindak dan laku manusia. Kautahu tidak kaupinta segala yang bukan milikmu, tetapi sesuatu yang sepatutnya kaudapat dan terima.

Kausedar memang selalu ketidakadilan terjadi, namun itu tidak bererti segala yakin dan percaya yang telah kauserahkan kepada seorang manusia yang pernah datang dan berjanji pada suatu waktu, boleh sewenangnya dipermain serta diperkotak-katikkan, seolah-olah kau dianggap dan disangka terlalu bodoh untuk mengerti dan berfikir.

Kaupilih kembali juga akhirnya. Bila segala ideal dan kata manis tidak lain hanyalah topeng dan alas untuk menyedapkan rasa tiap yang mendengar atau umpan mendapatkan laba diri. Akhirnya, kaulihat dengan mata dan kepalamu sendiri, seniman dan sasterawan memilih tetap kmbali menjadi pengemis. Mengharapkan simpati dan naung untuk seni dan karyanya sendiri dan untuk itu prinsip dilontar ke tepi asal kehendak terpenuhi.

Kautahu sulit kini untuk terlalu memberi percaya. Kerana haiwan bertopeng manusia selalu di mana-mana.

Dan ketika kau sudah sejak lama memilih untuk terus berdiri dan berjalan sendiri, kautahu apa dan siapa yang perlu kauhadapi.

Tetapi kau sudah memilih tidak peduli.

Februari 20, 2009

Khamis, Februari 19, 2009

KAUTULIS APA?

SUDAH habis idea hendak menulis sajak dan cerpenkah maka kau akhir-akhir ini aku perhati asyik cerita benda-benda masa lalu dan nostalgia sahajakah? Begitu seorang sahabat mengajukan tanya lewat surat-Enya yang kuterima dan baca semalam.

Kerana sudah faham sangat dengan perangai dan cara bergarau sahabat yang satu ini, aku hanya tersenyum sendiri seusai membaca surat-Enya itu.

Aku sebenarnya sedang dalam proses menulis kisah hidup sendiri. Sebagai manusia yang sedar bahawa hidup dan matinya bergantung kepada diri sendiri. Sebagai manusia sendiri. Kalau aku tidak tulis sendiri, siapa lagi yang hendak tulis. Selain itu, aku juga cuba untuk mengelak lupa dengan cara mengingati kembali kisah-kisah lama itu.

Namun aku tidak berasa puas hanya menjawab lewat surat-E. Didorong ego juga barangkali, kugapai telefon genggam milikku dan nombor teman itu kuhubungi.

Apa hal yang kauhendak sebok dan ambil tahu sangat apa yang sedang aku tulis itu? Begitu aku mendamprat sahabat itu sebaik sahaja panggilanku dijawab dia.

Terdengar bahak ketawa. Wah, kau betul-betul marahkah ini?

Aku bukan marahlah. Tetapi berasa serabut juga bila kausebut aku ini asyik cerita benda-benda lama dan nostalgia begitu. Suka hati akulah hendak tulis dan cerita hal apa. Yang kau itu, sebok bertanya sahaja, tetapi menulisnya tidak juga.

Di dalam telefon yang terdekap di telinga kiriku, terdengar lagi bahak ketawa itu.

Jangan marahlah weh. Esok aku belanja kau makan mee calong kat pantai.

Apa kelas mee calong. Kurang-kurang pizza, tidak pun sup tulang.

Ha. Ha. Ha. Sejak bila kau belajar makan sup tulang ini?

Aku hanya tersenyum sendiri. Aku tahu sahabat yang satu ini tidak menyimpan di hati. Aku juga begitu.

Suka hatilah kau hendak tulis apa pun. Tadi itu aku sekadar acah-acah. Hendak tengok kau marah atau tidak.

Kau cakap apa pun aku tetap macam ini juga. Aku bukan hendak ambil peduli sangat. Yang penting aku ada pembaca aku sendiri. Jadi tidak payahlah kau atau sesiapa yang sudah kehabisan kerja itu hendak sebok-sebok. Patutnya kau dan aku sama-sama menulis dan bukan sebok dengan gunjing dan kepala otak hanya disendatkan dengan fikir macam mana hendak memusnahkan orang lain. Ingatlah. Kita ini penulis dan bukannya politikus. Kalau tidak mahu menulis pun, janganlah pula hendak menjadi tikus.

Ha. Ha. Ha. Terdengar lagi bahak di dalam telefon yang mendekap di cuping telinga kiriku.

Sudahlah. Aku hendak sambung menulis ini. Bagitu aku menghentikan ujar dan mematikan panggilan.

Sebentar menghela keluh dan termenung. Aku terkenang apa jawab seorang sasterawan ternama ketika suatu malam, sebelum bermula suatu acara, kutanyakan kenapa beliau tidak menulis autobiografi atau memoar sebagai bahan renungan generasi sasterawan yang lebih kemudian seperti diriku dan yang lain-lain.

Apa jawabnya?

Saya takut dan tidak mahu melukakan banyak orang.

Dan apa pula balasku?

Kenapa mesti menulis sesuatu yang luka dan menakutkan?

Dan sasterawan ternama itu hanya diam sambil merenung wajahku ke atas dan ke bawah.

Akhirnya, kepada diri kukatakan betapa apa yang kutulis kembali tidak lain hanyalah sesuatu yang ingin kembali kujadikan cermin. Sebagai suatu alat untuk aku kembali melihat diri sendiri. Betapa pun menceritakan kembali sesuatu yang luka, namun aku cuba untuk melihat secara lebih jernih dan mencari sisi-sisi lain yang lebih positif dari sesuatu peristiwa aau kejadian di masa lalu, sesuatu yang kuharap dapat sama dikongsi pembaca tulisanku yang mungkin lebih muda dan sedang mengumpul kekuatan untuk membina diri dan kediriannya.

Februari, 18 2009

Rabu, Februari 18, 2009

PENYAIR PALSU DAN PEGAWAI BUDAYA PALSU


SAYA kini sudah tidak peduli sangat kalau oleh beberapa pihak, kalangan atau beberapa teman mengatakan saya sebagai seorang yang tidak suka berkompromi, susah dibawa berunding, keras kepala, dalam banyak hal, terutamanya berhubung dengan soal sajak dan dunia seni yang saya gulati ini.

Sebabnya mudah sahaja. Dahulu-dahulu saya seorang yang mudah memberi dan menerima. Saya percaya benar-benar bahawa dalam sastera dan seni tiada yang namanya eksploitasi dan hasad. Alasan saya, kalau ketika berkarya soal kemanusiaan dan kejujuran selalu ditekan dan disemboyankan, pastilah dalam seharian hidupnya juga ini dijadikan amalan dan pegangan peribadi.

Tetapi begitulah. Dari banyak peristiwa dan kejadian yang menimpa diri, kenyataan membuktikan betapa keyakinan awal saya itu salah dan tidak selalu benar. Malah selalu berlaku susu yang kita beri tuba yang kita dapat sebagai balasan.

Belajar dari peristiwa dan kejadian inilah maka saya kini memilih sikap tanpa kompromi, walau dengan sesiapa pun, khususnya bila melibatkan soal prinsip dan moral dalam kerja seni.

Misalkan ketika berurusan dengan sajak dan penyair. Prinsipnya jelas. Penyair ialah mereka yang menulis sajak dan karyanya itu kalau pun tidak diterbitkan dalam bentuk buku, pernah disiarkan di media atau majalah sastera yang dapat dipertanggungjawabkan nilai dan mutunya.

Bagi saya, penyair adalah seorang yang hidup matinya berurusan dengan karya sajaknya dan menulis sebuah sajak atau sejumlah sajak memang kerana tuntutan rasa dari dalamnya tanpa memikirkan kepentingan-kepentingan lain.

Sebagai penyair, dia bukan hanya sekejap singgah ke dunia sajak untuk mengejar sesuatu keuntungan peripadi atau kepopularan. Sebaliknya, dia sudah membuktikan dirinya sudah bertahun-tahun menulis karyanya sendiri dengan yakin dan percaya diri.

Tidak pedulilah apa kerjaya atau bidang kehidupannya. Pekerja pos, kilang, kerani, buruh, doktor, tokoh korporat, penyanyi atau model. Selagi dia membuktikan terus menerus dan setia dengan dunia sajaknya, tetaplah dia dapat diterima sebagai penyair.

Tetapi kalau entah dari mana punca dan tiba-tiba, tanpa pernah didengar sebelum ini atau pernah pun menyiarkan sajaknya di mana-mana, muncul mengisytiharkan dirinya sudah menerbitkan buku sajak, kemudian direstukan pula dengan upcara penobatan serta pelancaran, bagi saya dia ini hanyalah seorang penyair palsu.

Memang pun penyair palsu begini layak dan kawannya juga terdiri dari pegawai-pegawai seni dan budaya yang palsu, pegawai seni dan budaya yang tidak tahu apa tugas sebenar dirinya dan lagak serta egonya mengalahkan lagak seorang raja.

Pegawai-pegawai seni dan budaya yang palsu ini, selalunya, ketika berurusan dengan penyair dan orang budaya yang lain, meminta dirinya agar dilebih-lebihkan hormat dan sebarang kata atau pendapatnya tidaklah boleh sama sekali dibantah.

Dengan kepalsuan jugalah, penyair dan pegawai seni dan budaya ini menutup segala kebodohan dirinya. Berlagaklah mereka ini serba tahu dan pandai serta langsung tiada komporomi dengan siapa sahaja penyair dan seniman yang benar-benar memperjuangkan seni dan budayanya, semata-mata kerana penyair dan seniman ini tidak mudah mengangguk dan menurut sesuatu pendapat atau idea yang dirasakannya bodoh dan mengarut.

Atau kalau tidak pun, berlagaklah pegawai-pegawai budaya palsu ini seolah-olah seorang yang amat prihatin dan sentiasa mahu mendengar luahan hati dan perasaan kalangan penyair dan seniman, malah pada waktu sama, mengaku dan mengiyakan akan kehadiran seniman palsu yang selalu menadahkan muka pengampu ke pejabat atau jabatan di bawah seliaannya, namun pada hakikat yang sebenarnya, segalanya itu tidaklah lain dan bukan hanyalah sandiwara licik dirinya sebagai seorang pegawai budaya yang palsu semata-mata, demi untuk kononnya menjaga hati dan perasaan penyair dan seniman yang tulen..

Inilah yang terjadi sekarang. Di banyak daerah dan negeri, penyair palsu dan pegawai budaya palsu ini bercokol dan berseleweran di mana-mana. Dan khalayaknya juga, tentulah manusia palsu yang memang sukakan benda-benda palsu dan yang boleh memperbodohkan akal sihat mereka sendiri.

Sementara penyair dan seniman tulen tentulah tidak ingin sama sekali bersekongkol dengan mereka dan para khalayak yang inginkan sesuatu yang tulen pun demikianlah juga, tidaklah mereka itu mahu datang bertandang meramaikan majlis-majlis seni dan sastera anjuran jabatan di bawah seliaan para pegawai budaya yang palsu itu. Maka jadilah majlis-majlis seni dan sastera sunyi dan sepi pengunjung yang tulen, kecuali sejumlah pengunjung palsu, yang memang pun dengan rela mengizinkan dirinya terus menersu ditipu dan disuap dengan benda dan karya-karya seni yang juga palsu.

Memang pun pegawai budaya yang palsu begini boleh berkata bahawa padan dengan muka saya yang bodoh dan sombong, yang kerana bodoh dan sombongnya itu, yang tidak mahu mendengar dan menerima pendapat orang lain, maka saya pun langsung tidak diajak atau diberikan apa-apa projek dari atau oleh jabatan seliaannnya.

Boleh jadi juga di kalangan penyair dan pekerja seni yang palsu itu juga demikianlah juga kurang lebih gunjingan mereka terhadap saya. Konon kerana perangai bodoh dan sombong itu, saya rugi kerana tidak memperloeh apa-apa habuan dari jabatan yang berkaitan dengan kerja-kerja seni dan budaya.

Tetapi apa peduli. Saya sebenarnya sudah tidak berasa perlu untuk ambil peduli dengan segala gunjingan mereka. Biarlah tidak mendapat apa-apa pun tidak mengapa. Nama untuk bekerja dengan manusia-manusia palsu begitu, biarlah tidak.

Bagi saya, apalah erti dan makna segala habuan atau perolehan dalam bentuk benda-benda itu, jika diri sendiri tahu segala yang diberi dan yang ada di dalam diri hanyalah benda dan idea-idea yang palsu semata-mata.

Atau kalau tidak pun, tidak pernahkah mereka rasa berdosa menerima sesuatu sedangkan mereka tahu mereka sebenarnya bukanlah orang yang patut dan layak menerimanya, kerana mereka sebenarnya berpura-pura dengan segala kepalsuan yang selama ini cuba mereka selindungkan dengan lagak dan sandiwara?

Memang pun bukan urusan saya untuk menjawab soalan-soalan ini. Seperti juga sikap yang sudah sejak lama saya pilih, untuk tidak ambil peduli dan tahu terhadap para penyair dan pegawai budaya yang palsu ini.

Februari 14, 2009

APAKAH JAMINAN KESELAMATAN DIRIMU DI ALAM BARZAKH?

APAKAH jaminan akan keselamatan dirimu ketika di alam sana?

Apakah kerana bangsa kau bernama Melayu dan bahasa pertuturannya juga adalah Melayu, maka kerana itu kau mesti berjuang habis-habisan untuk mempertahan dan menjaga maruah serta kediriannya agar tidak sentiasa dimelayu-layukan?

Atau, kerana namanya adalah Melayu, maka sekiranya ada mana-mana pihak yang kaukesan dan rasai cuba meremeh-remehkan wibawa dan fungsinya, yang kaudakwa sekaligus akan menyebabkan pupus dan lupusnya ia pada suatu waktu nanti, maka perlulah kau berdemonstrasi atau menyaman mana-mana pihak di mahkamah dunia ini?

Apakah sebenarnya jaminannya akan keselamatan dirimu ketika di alam sana nanti? Bahasa? Budaya? Atau namamu sebagai Melayu?

Atau apakah kerana nama kau adalah Melayu dan kebetulan kau sedang berada di kerusi kuasa, maka segala rayu dan pinta jelata tidak ingin lagi kaudengar dan tunaikan, semata-mata kerana kau berasa dan berfikir betapa diri kau lebih bijak dan cerdik ketimbang mereka, sehingga kau menjadi lupa betapa yang meletakkan kau di kerusi kuasa itu tidak lain dan tidak bukan adalah mereka yang bernama jelata itu juga?

Dan, ketika kau kelihatan begitu bersungguh mempertahankan hujah untuk menghalalkan segala tindak, tidakkah kau sedar dan terasa betapa hodohnya wajah Melayu yang kaupamerkan kepada jelata dan khalayak?

Apakah sebenarnya jaminannya akan keselamatan dirimu ketika di alam sana nanti? Keberanian mengemukakan saman? Bersikap pekak dan tuli? Atau kerana segala kesombongan kau atas nama kuasa dan Melayu?

Kukira, lebih baik dan afdal, jika kaufikir dan jawab sendiri.

Ahad, Februari 15, 2009

Isnin, Februari 16, 2009

KASIHAN, BEKAS PEGAWAI BESAR ITU

RUTIN setiap pagi minggu saya adalah keluar bersendirian ke pasar yang letaknya tidak begitu jauh dari rumah untuk membeli beberapa akhbar.

Tiba di halaman pasar, saya akan memparkir kenderaan di salah satu petak yang menurut kiraan saya tidak akan sampai mengganggu serta menghalang kenderaan lain yang bertali arus datang dan meninggalkan pasar. Kerana itu saya selalunya memilih ruang parkir yang letakknya paling menghampiri jalan dan agak jauh dari kenderaan lain yang sudah diparkir di petaknya.

Selepas beberapa akhbar dibeli, saya akan kembali ke dalam kenderaan dan tanpa menghidupkan enjin kenderaan, saya biasanya menggunakan waktu sekitar 15 ke 30 minit membelek dan membaca mana-mana kandungan akhbar yang saya rasakan menarik dan penting dibaca dahulu. Biasanya, yang selalu saya dahulukan adalah karya-karya sastera dan tulisan pojok pengarang serta tulisan oleh kolomunis tertentu.

Biasanya juga, saya memang menghabiskan waktu membaca dan menelaah tulisan-tulisan itu dengan khusyuk dan tidak sangat mempedulikan suasana sekeliling.

Tetapi pagi ini entah kenapa, fokus perhatian saya beralih tumpu tatakala melihat seorang lelaki yang usianya saya agak sekitar 60 turun dari sebuah kenderaan dan tertatih-tatih melangkah menuju ke dalam pasar.

Saya kenal sangat lelaki ini kerana dia ini dahulunya merupakan seorang pegawai besar di sebuah jabatan dan sepanjang berurusan dengannya saya pernah beberapa kali memendam rasa kerana ego pegawainya.

Tetapi itu beberapa tahun yang lalu. Sekarang, di mata saya kini, dia hanyalah seorang lelaki tua yang tiada apa-apa, yang turun dari sebuah kenderaan biasa dan bukan kenderaan jabatan yang siap dengan pemandu peribadi.

Malah, ketika dia bertatih-tatih melangkah menuju ke dalam pasar, dari dalam kenderaan saya, saya melihat dia hanya bersendirian dan tiada siapa pun yang mempedulikan dia.

Ini jauh berbeza tatkala dia masih seorang pegawai besar dahulu. Pantang bersua, maka adalah sesiapa sahaja yang mendekati dan berjabat tangan dengan dia.

Inilah hukum dunia. Waktu kau pegawai besar, semua orang hormat dan hendak berbaik dengan kau. Bila kau sudah jadi bekas atau pesara, tiada siapa lagi yang hendak peduli.

Bila mengenangkan bagaimana peritnya pengalaman saya berurusan dengan dia sewaktu dia masih seorang pegawai besar dahulu, mahu juga rasanya saya keluar dari kenderaan dan pura-pura menegor serta menyindir untuk menyakiti kembali hati dia.

Tetapi bila melihat keadaan dia yang kini begitu bersusah-payah ketika hendak mengatur langkah dan bagaikan tiada sesiapa yang mahu menemankan dia, saya fikir biarlah yang lepas itu menjadi sejarah dan tiada ada gunanya lagi dipanjang-panjangkan.

Malah di dalam diam, saya berfikir dan berharap, walau pun saya sendiri bukanlah seorang pegawai besar, saya berharap supaya bila tiba waktunya nanti menjadi bekas, biarlah saya menjadi bekas yang tidak memerlukan sebarang penghormatan dan cukuplah jika terus diberikan kekuatan oleh Allah agar dapat mengurus dirinya sendiri mengikut cara dan keyakinannya sendiri.

Saya fikir, kerana saya bukanlah seorang pegawai besar, yang tidak memiliki apa–apa yang dapat dihubungkaitkan dengan besar dan kebesaran yang berlebihan, dari beberapa segi saya rasa saya akan lebih mudah menghabiskan sisa-sisa hidup saya sebagai seorang bekas nanti.

Malah saya sebenarnya sudah sejak lama menyediakan hati serta perasaan saya untuk menerima takdir dan ketentuan hidup sebagai seorang bekas. Agar dengan begitu, kalau pada suatu waktu misalnya, saya ini tidak mahu diterima atau diperlukan oleh sesiapa lagi, saya tidak akan berasa sedih dan kecil hati. Kerana bagi saya, apalah sangat hidup yang disanjung-sanjung atau dipuja-puja kalau itu semua ada maksud lain di sebalik atau sesuatu yang sebenarnya tidak layak saya terima.

Biarlah saya teruskan hidup begini sahaja, sebagai diri saya sendiri, yang bebas berfikir dan bertindak dalam batasan yang wajar dan bukan diri yang terpaksa terus menerus hidup dengan lagak dan sandiwara, semata-mata agar tidak dianggap sebagai bekas oleh orang lain.

Sebagai manusia biasa yang sedar batasan kemampuan serta kekurangan dirinya, saya sedar siapa diri saya dan saya tidak pernah takut menjadi bekas. Apa lagi bila seingat-ingat saya, saya sendiri pun tidak pernah menganggap dan berasa diri saya ini seorang pegawai besar.

Tetapi, kepada bekas pegawai besar itu, walau hanya melihat dari jauh, namun dalam diam terbetik juga kata: kasihan.

Walau saya tidak pasti kata itu untuk apa. Apakah kerana memang benar-benar berasa kasihan, atau sebagai pelampias marah dan sebal saya bila mengenangkan telatah dan perangai pegawai besarnya terhadap saya di masa yang lalu!

Ahad, Februari 15, 2009

Sabtu, Februari 14, 2009

MALANGNYA DIA PUN HANYA PENCACAI DAN SAYA TETAP JUGA MENULIS

BEBERAPA tahun yang lalu ada seorang yang mengaku dirinya sasterawan di sebuah negeri di Malaysia tertarik untuk melibatkan dirinya ke kancah politik. Penglibatannya ini kononnya kerana dan atas ajakan seorang tokoh politik yang memerlukan seorang pembantu yang dikira-kira boleh dia percayai.

Oleh kerana tiada jawatan khusus dan khas untuk orang yang mengaku sasterawan ini memanggul jawatan sebagai pembantu orang politik itu, maka dipergunakan sahajalah jawatan sehari-hari dia sebagai anggota perkhidmatan awam, yang dibayar gaji dengan atau hasil dari duit rakyat, namun tugas dan peranannya adalah sebagai pembantu dan penasihat orang politik itu.

Macam biasalah. Politik ini ada waktunya naik dan ada waktunya turun. Begitu juga dengan orang politik itu. Bila tiba masanya, kenalah turun juga dari kerusinya. Dan bagaimana pula dengan orang yang mengaku sasterawan yang memanggul jawatan sebagai pembantu kepada orang politik itu? Tentulah dia pun kena berundur juga. Hanya bezanya, berundurnya dia bererti kembalilah melaksanakan tugas hakikinya sebagai penjawat awam yang dibayar gaji dengan atau hasil dari duit rakyat itu.

Kesimpulannya, orang yang mengaku sasterawan ini tidaklah dia ke mana-mana kerana tiada pun lagi hasil dan karyanya yang hebat atau banyak dan cemerlang. Sebagai orang politik apalah lagi. Tiadalah apa-apa akan dia itu di dunia politik yang penuh dengan muslihat itu kerana dia pun hanyalah pencacai sahaja.

Tetapi apa pula kena dan mengenanya orang ini dengan saya? Jawabnya mudah sahaja. Walau pun dahulu, pelbagai kecam dan henyak dia lempar terhadap saya, tetapi saya tetap juga menulis dan terus menulis.

Walau pun pada suatu waktu dahulu dia pernah dipandang hormat oleh orang-orang yang sama berjiwa pencacai seperti dirinya, tetapi dia tetaplah hanya pencacai. Dan saya? Itulah bezanya saya dengan dia. Saya tidak pernah menjadi pencacai seperti dia, walau hidup saya mungkin agak sempit di segi kewangan tetapi tetap berjiwa bebas dan merdeka.

Februari 14, 2009

INTERNET, MAJALAH DAN PENYAIR


MASIH saya ingat, ketika itu tahun 1977, betapa gembiranya hati saya bila menerima sepucuk surat dari sebuah institusi yang memaklumkan sajak kiriman saya berjudul sekian telah mereka terima dan sedang dalam pertimbangan penelitian untuk disiarkan jika sesuai.

Memang pun berbulan-bulan selepas itu sajak tersebut tidak pun disiarkan dan saya sendiri tidak hanya menunggu dan terus menunggu. Sebaliknya, kerana surat itu jugalah semangat saya kian membara untuk menulis dan menghasilkan sajak yang lebih baik dari sebelumnya.

Walau waktu itu menulis sajak hanya dengan tulisan tangan dan menyimpan bukti sajak yang telah dikirim itu dengan naskhah yang dizerox, namun rasa malu dan rendah diri menjadi lupus oleh kobaran semangat dan cita-cita untuk menjadi seorang penyair.

Tahun sekitar 1970-an memang merupakan tahun-tahun di mana saya waktu itu sedang mabuk dengan sajak dan cita-cita untuk menjadi seorang penyair. Ternyata semangat yang tidak pernah kenal henti menulis sajak demi sajak, walau hanya dengan tulisan tangan, akhirnya membuahkan hasil juga pada bulan Mei 1979.

Namun, ternyata juga, sajak berjudul “Harapan” yang disiarkan di majalah Dewan Sastera keluaran Mei, 1979 itu merupakan naskhah kiriman yang ditolongtaip oleh seorang kawan, yang namanya berakhir dengan “ni” yang ketika mengetik sajak itu telah merubah nama samaran di naskhah asal yang saya minta dia tolongtaipkan ”marsli n.o” menjadi “masni n.o”. Mengenangkan susah dan payah bantuan kawan itu, perubahan itu hanya saya diamkan dan ketika disiarkan, nama “masni n.o”lah yang terpapar.

Kembali mengenangkan penyiaran kali pertama sajak saya itu, saya fikir soalnya bukanlah kerana kali ini ia ditaip atau tidak, atau kerana ianya sangat bagus dan bermutu.

Saya berfikir dan menghujah sendiri, ianya disiarkan kerana mungkin mereka yang menjaga ruangan sajak di majalah Dewan Sastera ketika itu berasa kasihan melihat kesungguhan saya saban minggu menghantar sajak bertulis tangan, yang biasanya ditulis dalam satu atau dua halaman kertas kajang dan begitu tiba sebuah sajak saya yang sangat pendek dan bertaip itu, sebagai pemberi semangat kepada saya yang rajin dan mabuk menulis sajak itu, maka sajak itu mereka pilih dan siarkan.

Saya menceritakan ini sebenarnya kerana ingin memaklumkan betapa sangat berertinya sekeping surat pengakuan terima karya bagi seorang calon penulis atau penyair pada waktu itu.

Kerana surat seperti itu jugalah saya pada waktu itu sangat memandang tinggi dan hormat kepada siapa sahaja yang tugasnya mengurus dan memilih karya untuk siaran di akhbar dan majalah kelolaannya. Malah pernah saya bercita-cita untuk menjawat jawatan seperti mereka pada suatu waktu nanti. Kerana bagi saya, di tangan merekalah tergantung harap dan impian seorang pengkarya yang sentiasa mengharapkan agar karyanya dibaca, dinilai dan jika sesuai, dipilih untuk disiarkan. Bagi saya, alangkah mulianya tugas ini.

Memasuki tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, setelah semakin mengenal manusia dan dunia luar dari kepompong daerah sendiri, walaupun tidak lagi dimaklumkan secara bersurat, saya juga selalu dimaklum secara peribadi jika kebetulan bertemu dan berdepan dengan beberapa orang pengendali ruang sastera waktu itu bahawa karya yang saya kirim ada atau telah mereka terima.

Kemudiannya muncullah teknologi bernama siber atau internet, yang memungkin karya boleh dihantar hanya dengan sekali klik . Saya sendiri, ikut memanfaatkan teknologi ini. Karya dihantar dan tunggu sahaja hasilnya selepas itu sama ada disiarkan atau tidak.

Memang pun soal hendak siar atau tidak merupakan hak pengendali atau penjaga ruang sastera sesebuah majalah atau akhbar. Tetapi walau kemudahan teknologi ini ada, selalu yang berlaku, setelah karya dikirim, tidak pasti apakah ianya telah selamat diterima atau tidak. Jarang berlaku pengirim menerima reply dari penerima, juga melalui internet, bahawa karya mereka telah diterima.

Nampaknya, kemudahan teknologi yang ada, belum begitu pasti boleh merubah sikap manusia dalam berhubung sebagai penyair dan penjaga ruang sastera. Apa lagi kalau alasan kesebokan penjaga ruang sastera diambil kira.

Macam kata pepatah juga nampaknya. Sepuluh jong yang masuk, anjing tetap bercawat ekor juga.

Namun saya peribadi, tidaklah sangat bermasalah dalam hubungan dengan banyak penjaga ruang sastera. Sebabnya mudah sahaja. Selepas satu atau dua hari mengirimkan karya, saya biasanya akan langsung dan tanpa rasa malu menelefon kepada yang berkenaan bertanya apakah karya saya selamat mereka terima atau tidak. Bila mereka mengaku telah terima, saya langsung ucapkan terima kasih dan meminta diri. Soal bila mereka hendak siar atau boleh disiar atau tidak, biarlah itu menjadi urusan mereka. Kerja saya hanya menulis, kerja siar adalah kerja orang lain.

Memanglah bila selalu menelefon penjaga ruang sastera ini, ada dan memang pernah pun yang membuat fitnah konon saya merayu-rayu agar karya saya disiarkan segera.

Tetapi lantaklah apa orang lain hendak cakap. Saya bukan pun minta beras atau duit dengan para pembuat fitnah ini. Yang mereka hendak susah hati sangat itu kenapa?

Februari 14, 2009

Jumaat, Februari 13, 2009

MERALAT KESILAPAN YANG SEBENARNYA TIDAKLAH BEGITU PENTING

RIDZUAN Harun di blognya Catatan Rusuh Dari Benua Sunyi, dalam entri berjudul “Berbengkel” bertarikh Februari 12, 2009 di para empat, baris ke enam mencatatkan antara lain: “…Di tengah-tengah tempik dan herdik Marsli, di tengah-tengah suara …” telah menggoda saya agar meralat kesilapan yang sebenarnya tidaklah begitu perlu.

Membaca catatan Ridzuan ini saya seolah melihat kembali sebuah cermin yang mana di dalamnya membiaskan tampang milik saya sendiri yang sedang menganga dan membukakan mulut seluas-luasnya kerana sedang berkata sesuatu.

Kerana cermin ini bukanlah cermin ajaib yang dapat memperdengarkan suara seperti layar atau monitor tv dan komputer, jadinya saya tidak pasti apakah ketika sedang berkata-kata itu saya bertempik atau tidak, menjerit atau tidak.

Tetapi lazimnya, ketika bekata-kata, khususnya jika di dalam dewan atau ketika sedang mengendalikan bengkel, suara saya memang lantang dilontar serta jelas saya ucap. Tujuannya, supaya teman atau anak-anak bengkel dapat mendengar dengan jelas dan mengerti apa yang selalu saya sebutkan sebagai artikulasi, kejelasan dan ucapan yang lantang.

Sebenarnya teknik atau cara mengucapkan kata secara yang demikian memang sengaja dan secara sedar saya lakukan. Tujuannnya, supaya mereka yang berlatih dan berbengkel bersama saya belajar mendisiplinkan diri mereka di segi pengucapan ketika di dalam bengkel dan ketika mempraktikkan segala yang telah mereka pelajari ketika berada atau membuat persembahan di pentas.

Bagi saya, amatlah melucukan jika seseorang yang mahu bercakap dan memberikan petua mengenai deklamasi tetapi vokalnya sendiri tidak terlatih, tidak bermaya, tidak jelas dan selalu keliru ketika menyebutkan sesuatu kata. Misalnya kata “angin” disebut menjadi ”hangin” atau “anjing” disebut menjadi “anying”. Lebih kelakar lagi kalau ada yang mengajak anak bengkelnya bernyanyi sedangkan suaranya sendiri sumbang dan mambang.

Tetapi orang selalu keliru dan mengatakan cara begini adalah bertempik dan menjerit. Dan kerana itu juga beberapa orang yang keliru, termasuk juga seorang SN, menyangka ketika berdeklamasi saya hanya tahu menjerit, dan seorang SN pernah berikan syor supaya saya tidak dijemput membaca sajak lagi kerana takut ada orang yang berpenyakit lemah jantung akan rebah pengsan mendengar herdikan bacaan saya, tanpa terlebih dahulu memahami maksud dan makna sajak yang saya bacakan ketika di pentas.

Berhubung soal bertempik dan menjerit ini juga, saya kembali teringat dan selalu tersenyum sendirian, bila pada suatu waktu dahulu, seorang orang kuat penganjur suatu acara baca sajak, datang menemui saya seusai acara di belakang pentas dan mengucapkan tahniah kerana saya mampu membaca sajak tanpa menjerit. Memang pun saya menerima itu hanya dengan tersenyum, tetapi di dalam diam saya berkata kepada diri apakah dia ini fikir saya tidak tahu membezakankah yang mana dan waktu bila perlu membaca sajak dengan suara tinggi dan bila pula dengan tekanan suara yang lebih rendah? Bodoh sangatkah saya sebagai deklamator hinggakan membaca sajak yang memuji-muji seorang Rasul pun hendak menjerit dan melalak tidak tentu hala?

Sebenarnya tidak ada apa yang salah pun dengan entri Ridzuan itu. Bagi saya itu suatu catatan yang normal, yang lahir secara ikhlas dari hati yang juga ikhas.

Begitu juga dengan catatan saya yang ini, pun tiada apa yang penting sangat atau hinggakan perlu direaksi dengan demonstari di jalan-jalan. Tidak perlu. Saya menulisnya juga dengan hati yang sekira-kira bagi saya juga ikhlas, demi untuk menjernihkan, kalau masih ada, kekeliruan mengenai cara deklamasi saya yang sehinggakan perlu sama diberikan reaksi oleh seorang SN sebagai deklamasi yang boleh menyebabkan orang berpenyakit lemah jantung rebah pengsan!

Memang tiada apa pun yang penting di dalam hidup ini, kecuali menyediakan bekal sebelum mati. Dan bekal itu, pastilah bukan hanya dengan membaca sajak menjerit dan bertempik-tempik, juga bukan dengan bacaan yang sekadar berbisik-bisik seperti sedang ghairah berkasih di dalam kelambu.

Bekal untuk menghadapi mati lebih dari itu.

Jumaat, Februari 13, 2009

INGATAN DAN KECEWA MENJADIKAN KAU SEMAKIN BERFIKIR

Hanya si bodoh yang tidak pernah diajar oleh kesilapan atau bangkit dari kecewa dan gagal. Tiada yang lebih bererti selain percaya dan diri sendiri. Kau hanya akan berkata kerana kehendak dan bukan kerana desak. Anjing memang selalu menyalak dan babi akan selalu meranduk lagak. Kau sudah lama belajar menjadi tidak peduli. Kerana hidup dan hadirmu bukan dengan igau dan mimpi. Persetan dan berambuslah si munafik dan hipokrasi.

“Sekali berarti, sesudah itu mati” Chairil Anwar

Disember 31, 2008

DEKLAMATOR ADALAH TUKANG MENGHANTAR MAKNA SAJAK

PERMULAANNYA, saya ingin mengajak anda mengelak salah mengerti mengenai istilah deklamasi. Begitu kukatakan kepada 26 pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) malam 6 Februari 2009 yang lalu.

Pelajar yang sebahagian besarnya gadis itu kulihat mendelik-delikkan mata. Barangkali mereka agak tersentak mendengar suaraku yang agak lantang dan kata yang kuucap tanpa berselindung.

Apa lagi bila kukatakan untuk berbicara di kamar sekecil itu, apa perlunya sebuah mikrofon yang tenggelam timbul. Baiknya bicara langsung tanpa mikrofon, sebagai latihan juga buat suara anda selaku deklamator.

Walau menyedari adanya kemungkinan "kejutan" seperti itu, namun aku meneruskan juga kata. Niatku hanya mahu sedikit mengajak mereka mengenal cara dan gaya seorang deklamator sebagai contoh ketika memprojekkan suara miliknya.

Deklamasi adalah deklamasi dan bukannya lakon puisi, dramatisasi puisi, musikalilsasi puisi, yang memerlukan bantuan kostium, alat atau perlu ditemani monyet dan lain-lain peralatan.

Deklamasi adalah satu upaya menyampaikan maksud dan makna yang terkandung di dalam sajak, yang merangkumi pemikiran, falsafah, mimpi, emosi dan lain-lain yang terkandung di dalam sebuah sajak.

Untuk melaksanakan tugas ini, seorang deklamator hanyalah mengandalkan segala peralatan yang sedia ada di tubuhnya: suara, perasaan, imaginasi dan fikirannya. Agar dapat memahirkan diri dan memenuhi persyaratan sebagai seorang deklamator yang baik, alat-alat ini perlulah sentiasa dilatih.

Seorang deklamator, hasil dari latihan yang telah dijalaninya, akan tahu dan kenal cara serta bagaimana hendak menggunakan suara, imaginasi, fikiran dan perasaannya secara tepat ketika berdeklamasi.

Seorang deklamator yang telah menjalani latihan dan memahami selok belok modal peralatan yang ada di dirinya, misalnya, ketika berdeklamasi tidak akan menunggang kata-kata untuk keseronokan dirinya semata-mata, atau membiarkan kata yang diucapkan dari bibirnya menjadi kering tanpa jiwa. Begitu juga ketika mengucapkan makna dari sesuatu kata, makna yang diucapkan tidak dibiarkan kosong bersendirian tanpa justifikasi serta visualisasi di dalam imaginasi.

Perlu juga diusahakan mencari dan menemukan variasi dalam ucapan serta permainan nada tempo di dalam deklamasi. Deklamasi tanpa permainan dan variasi nada serta tekanan, samalah dengan mendengar lagu tanpa korus yang jadinya amat membosan serta monoton.

Bersikap jujurlah dengan diri sendiri dan juga kepada khalayak. Sikap lekas berpuas hati dan terlalu menyintai diri sendiri mudah memundurkan seorang deklamator.

Akhirnya, wajah adalah cermin yang tidak mampu menipu khalayak dan ucaplah kata dengan benar serta kehendak dan jiwanya. Misalnya, jika “ su dah” disebutlah “sudah” dan bukan “sud ah”. Atau “tidak” disebutlah “ti dak” dan bukannya ”tid ak”.

Untuk makluman, aku tidak sendirian di bengkel itu. Dari ASWARA sendiri mengiring pelajarnya adalah Zakaria Ariffin, Ridzuan Harun, Nasir Razali dan Rosman Ishak. Juga Prof Rahman Shaari.

Februari 13, 2009

video

Video 1: Deklamasi seorang pelajar ASWARA

Khamis, Februari 12, 2009

PALESTINE DAN BUKU SAJAK

BELAKANGAN ini banyak orang, pihak dan kelompok menjadi sebok dan terghairah berbuat sesuatu sebagai tanda simpati terhadap nasib bangsa Palestine angkara tindakan keji sepihak yang lain.

Pernyataan simpati dan protes itu diluahkan melalui pelbagai cara. Ada kalangan, seperti Mercy, yang langsung pergi ke lapangan memberikan bantuan kemanusian. Sementara beberapa kalangan yang lain pula menganjurkan pelbagai acara untuk menghimpunkan dana yang akan disalurkan kepada mangsa kekejaman ini.

Kelompok penyair, sasterawan, budayawan dan aktivis pun tidak terkecuali. Selain turut sama berderma sekadar mampunya, protes dan simpatinya dinyatakan juga melalui acara baca sajak dan penerbitan buku sajak. Untuk itu, penyair dihubungi atau dimaklumi sama ada secara langsung atau melalui kawan-kawan .

Saya sendiri pun, atas rasa insaf dan simpati sesama manusia, ketika diajak oleh kawan dan teman agar mengirimkan karya untuk projek penerbitan atas nama Palestine ini memang berasa perlu sama menyumbang. Kerana itu juga saya tidak pernah bertanya ada atau tidak saguhati karya, bagaimana dengan hakciptanya, kalau ada majlis baca sajaknya siapakah yang akan dijemput atau apakah saya akan sama dipanggil untuk membaca sajak.

Memang pun namanya sumbangan ikhlas dan apalah sangat sebuah sajak. Hendak menderma tenaga dan wang ringgit, sedar kemampuan diri, jadi harap dengan sajak pun memadailah jika diterima sebagai sumbangan.

Malah kalau dikenang-kenang, tahun 2009 ini bukanlah tahun pertama saya diajak sama menyumbangkan sajak oleh kawan-kawan dan pihak-pihak tertentu. Malah seingat saya, sajak mengenai Palestine ini sering saya tulis setiap kali genosid dilakukan terhadap bangsa yang selalu terjepit di antara assabiyah dan keangkuhan sesama Arab ini tanpa perlu menunggu ajakan atau gesaan teman dan kawan-kawan. Tahun 2001, 2003, 2006, 2008 atau lebih awal, tahun 1986.

Walau saya katakan menyumbang sebuah sajak untuk penerbitan buku sajak mengenai Palestine namanya sumbangan ikhlas yang tidak mengharapkan bayaran, namun jauh di sudut hati ada juga beberapa hal yang terasa dan menyentuh juga hati saya.

Seingat saya, dahulu-dahulu kalau buku sudah diterbitkan, biasanya satu atau dua naskhah akan dikirim kepada penyair yang sama menyumbang. Begitu juga bila ada acara baca sajak sempena penerbitannya, penyumbang sajak turut sama diajak membacakan sajaknya.

Tetapi mungkin kini zaman sudah berubah dan orang yang menguruskan pengumpulan karya serta penerbitannya semakin sebok dan lupa, maka sampai ke hari ini buku sajak yang dimaksudkan itu belum lagi saya terima. Begitu juga dengan acara bacaan sajak, mungkin sekarang pembaca sajak itu tidak semestinya mereka yang menyumbangkan karya sajaknya, tetapi dirasakan mereka yang bergelar seperti Tan Sri, Dato’ , Datin, ahli politik dan perniagaan korporat lebih penting dijemput ketimbang penyairnya sendiri.

Malah ketika seorang darinya saya tanyakan mengenai ajakan membaca sajak itu, jawab dan dalih yang diberi ialah tidak cukup budget. Dan ketika itulah saya terfikir kalau saya dipanggil, rasanya, tidak akan saya minta bayaran sampai RM 1000. Malah bukan tidak biasa saya membaca sajak di Kuala Lumpur tanpa sebarang bayaran atau sekadar RM 100. Menurut fikir saya, nilai wang itu tidak penting. Tetapi nilai dan penghargaan seadanya sesama manusia dan penyair. Tetapi kalau itu pun tidak mampu lagi dilaksana, apalah ertinya lagi menjadi orang sastera atau budaya?

Kerana itu juga akhir-akhir ini saya mulai didatangi fikiran dan tanya lain. Tidakkah acara yang berkaitan dengan Palestine begini sebenarnya hanyalah dalih seorang atau sekelompok manusia untuk mencari pengaruh atau sesuatu demi kepentingan dirinya sendiri?

Saya fikir saya punya alasan yang agak kukuh untuk membenarkan andaian atau fikir saya yang ini.

Beberapa tahun yang lalu, atas nama suatu peristiwa yang menyerupai kejadian di Palestine, saya turut menyumbangkan sajak. Bila menerima kiriman satu naskhah bukunya, saya dengan gembira membelek halaman demi halaman buku yang kelihatan cantik dan agak tebal itu. Namun gembira saya itu berakhir dengan sebal dan rasa marah.

Anda tahu kenapa? Jawabnya, saya menerima sebuah buku yang di dalamnya banyak halaman kosong dan mujur bahagian sajak saya tidak terusik. Kalau tidak, mungkin saya mengira bahawa sajak saya tidak mereka siarkan

Tetapi saya masih boleh bersabar dan menahan marah itu. Saya fikir itu kesilapan teknik yang tidak disengajakan oleh penyelenggara yang mengirimkannya kepada saya.

Tetapi bila di depan mata saya, dalam satu majlis rasmi sastera, tukang selanggara ini menghadiahkan buku sajak yang sama kepada beberapa orang tokoh sasterawan yang sudah bergelar Dato’ atau Tan Sri, walau pun sajak mereka tidak dimuatkan di dalamnya, hati saya sangat tersentuh dan malah berasa mual.

Saya langsung katakan kepada tukang selengara ini. Buku yang kaukirim kepada aku banyak halaman kosong.

Eh, betulke? Aku tidak perasan pulak. Begitu selamba dan tanpa sedikit pun rasa bersalah dia menjawab terjahan saya.

Memang saya memaki-maki ketika itu. Tetapi hanya di dalam hati. Dan sejak peristiwa malam itu, saya menaruh benci kepada manusia yang memang pandai menukar keduk dan kostium ini. Benci yang amat.

Kerana peristiwa sebeginilah, walau mungkin bagi penyair yang ternama lain di negara ini hanyalah soal remeh dan picisan, saya mengajar diri menjadi tidak peduli dan selalu berhati-hati bila dengan projek-projek yang melibatkan nama Palestine.

Kalau misalnya kini, ada yang cakap saya tidak tahu diri dan tidak pandai berterima kasih kerana sudi sama diajak menyumbangkan karya sajak untuk projek atas nama Palestine, saya memang tidak akan terkesan apa-apa.

Sepatutnya, zaman untuk kita mempergunakan orang lain atas nama sesuatu demi kepentingan sendiri sudah berlalu. Tetapi itulah dunia.

Saya sebenarnya sudah tidak mengharapkan apa-apa kecuali percaya penuh kepada diri sendiri.

Februari 7, 2009

DI NEGERI MABUK

Masing-masing menjadi sebok
Dan kalut
Dengan fikir dan idea
Bagaimana caranya
Untuk membunuh dan melenyapkan lawan
Serta kian mengurangkan percaya
Sesama saudara dan bangsa

Kuantan,
Februari 12, 2009


[Perhatian dan Amaran: Sajak-sajak yang disiarkan di blog ini adalah hasil cipta penyair MARSLI N.O dan diisytiharkan sebagai sepenuhnya hakmilik cipta karya atas nama MARSLI N.O. Sebarang penjiplakan sama ada sebahagian atau sepenuhnya adalah perbuatan terkutuk dan akan diambil tindakan perundangan. Kecuali sebarang petikan atau penyiaran kembali dengan makluman atau izin bertulis dari penyair MARSLI N.O]

Sabtu, Februari 07, 2009

SEBUAH GITANJALI DAN BEBERAPA VERSI

Edisi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , 1986

Edisi P.T Pustaka Rakjat, Djakarta, Cetakan ke 2 , 1961



Edisi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , 1986
Edisi P.T Pustaka Rakjat, Djakarta, Cetakan ke 2 , 1961

SEBUAH buku, setelah diterjemahkan, boleh mempunyai beberapa versi. Begitulah buku puisi Gitanjali buah tangan pujangga tersohor India, Rabindranath Tagore.

Gitanjali mula berada di tangan saya sekitar tahun 1985. Saya perolehi dari longgokan buku lama di Pustaka Antara, waktu itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di bangunan yang kini merupakan pejabat LUTH.

Buku terbitan P.T Pustaka Rakjat, Djakarta, Cetakan ke 2 , 1961 dengan harga RM 1.80 ini mencatatkan penerjemah atau disalin oleh Amal Hamzah.

Sekitar tahun 1988 pula, memiliki versi yang lain Gitanjali. Kali ini versi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , tahun 1986 dan mencatatkan diterjemahkan oleh A. Latiff Mohidin.

Saya tidak pasti yang mana yang lebih tepat terjemahannya jika berdasarkan teks asal Rabindranath Tagore, sama ada versi Amal Hamzah atau Al Latiff.

Tetapi kerana saya membaca versi terjemahan Amal Hamzah terlebih dahulu, bila membaca versi A. Latiff, di benak saya berlegar-legar persoalan.

Misalnya kenapa berlaku banyak persamaan atau versi yang lebih kemudian itu sekadar membahasamalaysiakan sahaja versi Amal Hamzah itu?

Saya tidak bermaksud hendak menuduh adanya berlaku penjiplakan di mana-mana. Malah dengan membandingkan kedua-dua teks antara versi Amal Hamzah dengan A. Latiff, saya melihat di situ juga letaknya kebijaksanaan seorang yang namanya penterjemah.

Misalnya, saya merujuk Bahagian tujuh (7) atau (vii) kedua-dua versi Gintanjali terjemahan ini. Memang ada perbezaan dan persamaan.

Namun untuk berlaku adil, biarlah pembaca yang membuat justifikasinya sendiri. Dan khabarnya, ada versi ketiga buku sajak Rabindranath Tagore, yang khabarnya diterbitkan oleh badan penerbitan sebuah syarikat multi nasional.

Saya belum memilikinya lagi, jadi belum berani membuat perbandingan.

Februati 7, 2009

CATATAN DI PAGI SABTU

KEJI

TERUS-terang saya mengaku saya bukanlah jenis golongan manusia yang suka memuji seseorang. Tetapi ini juga tidak bererti saya lebih suka mengeji dan mencaci. Walau pun mungkin ada yang saya tulis dan cakap, kedengarannya seperti mengeji, namun itu sebenarnya adalah sesuatu yang saya sebutkan secara terbuka menurut apa yang saya rasa perlu saya nyatakan secara demikian kepada atau terhadap seseorang.

Prinsip saya mudah sahaja, kalau saya rasakan ada yang saya kurang bersetuju dan tidak senangi mengenai sesuatu, dari bergunjing atau mengata di belakang, lebih baik saya memilih menyatakannya secara berterus-terang. Saya harap dengan begitu, jika apa yang saya katakan itu tidak benar, silalah perbetulkan saya dan nyatakan apa yang sebenarnya, supaya masing-masing puas hati dan tidak lagi bersangka yang bukan-bukan.

Tetapi memang. Kerana prinsip dan sikap inilah maka saya selalu disalah mengerti. Malah dituduh dengan pelbagai label negatif. Namun kerana itu sudah saya pilih dan tidak ingin bersikap munafik dan berpura-pura dengan orang lain, saya bersedia dengan risiko dan akibah. Kerana, akhirnya, saya sedar betapa saya tidak akan mungkin dapat hidup meniru orang lain, mengikut kehendak-kehendak orang lain, semata-mata agar dianggap sebagai manusia yang baik dan tenang.

Terus-terang, saya sudah bosan bersabar dan malah selalu terpaksa berpura-pura konon hendak menjaga hati dan perasaan orang lain, sedangkan hati dan perasaan saya sendiri selalu dilukai.

Februari 7, 2009

SEBUTAN

SAYA jarang berselindung untuk menyatakan sesuatu. Kalau tidak suka saya katakan tidak suka dan kalau suka saya akan katakan suka.

Tetapi selalu terjadi, apa yang saya telah sebutkan, kembali diulang di lokasi yang lain sebagai rujukan, namun selalu diletakkan dalam atau dengan kontak yang salah. Sehingga dengan begitu, selalu pula menimbulkan salah pengertian di pihak yang lain.

Kadang-kala saya fikir dari begini, lebih baik saya bisukan sahaja diri agar tidak berkata-kata apa-apa, sama ada suka atau tidak, senang atau tidak.

Barangkali bagi sebahagian orang, ini perkara biasa dan normal, sesuatu yang tidak perlu diresahkan dan diribut-ributkan. Tetapi ini tidak bagi saya.

Bagi saya, percakapan-percakapan secara peribadi di antara saya dengan seseorang adalah sesuatu yang sifatnya juga sangat peribadi, sesuatu yang rahsia, yang saya tidak suka disebarluas dan ulang di tempat lain secara terbuka. Lalu bila ada juga akhirnya yang tersebar dan disebutkan oleh seseorang yang pernah berbual dengan saya secara sangat peribadi, saya terus-terang berasa tersinggung dan dikhianati .

Walau apa yang disebutkan kembali itu atas alasan hak peribadi yang menyebutkannya, tetapi kerana yang menyebutkannya adalah dari bibir saya, saya beranggapan biarlah menjadi rahsia berdua sahaja. Tujuannya, agar tidak diketahui oleh pihak lain dan tidak sampai menimbullkan pula salah tanggapan yang lain.

Misalkan, kalau saya sebutkan kepada seseorang bahawa sebagai seorang deklamator namanya kurang dikenal oleh pihak tertentu, saya tidak maksudkan bahawa dia tidak bagus sebagai deklamator dan dia berasa terlalu perlu pula kembali menyebut secara terbuka betapa saya telah memaklumkan kepada dia bahawa dia tidak dikenal oleh pihak tertentu.

Bagi saya ini suatu pengkhianatan. Dengan begini, saya berasa saya telah digambarkan seolah-olah menyampaikan sesuatu yang tidak benar dan memberikan imej buruk pula kepada pihak yang menyebut. Sedangkan, apa yang saya sebutkan itu sebenarnya adalah sebagai peringatan kepada dia dan dia perlulah mengambil sikap dan usaha yang lebih untuk mempertingkatkan nilai dan mutu deklamasinya secara peribadi.

Apa lagi, bila saya kenang-kenangkan kembali betapa saya sebenarnya dengan penuh yakin dan bangga telah menyebut nama dia di depan pihak yang tidak mengenalnya itu sebagai punya bakat dan pengetahuan yang agak luas mengenai deklamasi. Niat saya, agar di lain waktu, pihak yang tidak mengenalnya itu akan berusaha mencari lebih banyak maklumat mengenai dia.

Kini, oleh kerana sudah terlalu banyak kali terkena, saya sedang berfikir untuk tidak lagi berkata-kata dengan orang-orang tertentu, khusus dan barangkali, dengan orang-orang yang dahagakan puji-pujian yang palsu.

Sebabnya mudah sahaja, kerana saya bukanlah seorang pemuji yang pandai, yang mampu membuai-buai perasaan seseorang hingga melangit tinggi .

Februari 7, 2009


PUJI

Dengan sengaja saya menelefon seorang teman pagi ini. Rasa bersalah pun ada juga kerana mengganggu tidur dia di pagi Sabtu begini.

Tetapi kerana hal yang satu ini, saya nekadkan diri menelefon dia.

Hebat sungguh pujian kau untuk budak itu. Melambung dan melangit sekali. Macamlah dalam negeri ini, dia seoranglah yang telah menulis begitu. Tanpa selindung saya menggeranyangi dia dengan bertalu tanya.

Tidaklah. Itu main-main sahaja. Aku tidak maksudkan pun. Begitu dia menjawab dengan pintar. Dan saya pun memang tahu atau dapat agak maksud sebenar pujian dia itu. Tetapi itulah. Mulut ini kadang-kadang terasa gatal hendak menyebok dan mengusik kawan.

Aku tahu. Aku tahu. Tetapi kautahu tidak kenapa aku telefon kau pagi-pagi begini? Kini saya membalas kembali dengan tanya.

Hah, kenapa? Ringkas dia bertanya.

Sebenarnya aku marah sebab kau tidak pernah memuji-muji karya aku. Kalau kau puji, tentulah aku akan puji kau semula. Tanpa selindung saya menyatakan maksud.

Dan di telefon genggam, saya mendengar dia gelak besar.

Tidak pasti dia menganggap apa maksud kata-kata terakhir saya itu. Apakah sebagai suatu gurauan atau sebagai sesuatu yang benar dan sungguh-sungguh.

Yang pasti, saya atau siapa pun sahaja di dalam dunia ini memang suka dipuji-puji. Hanya sedikit bezanya, saya mudah dan dapat memberikan pasti antara puji yang palsu dengan keji yang luhur.

Hanya itulah bezanya. Walau hanya sedikit.

Februari 7, 2009

Khamis, Februari 05, 2009

SAJAK POLITIK HALOBA

Memang ini gelanggang
Untuk si tamak dan serakah kuasa
Berkira hanya dengan diri
Dan kagum pemuja
Menentukan kukuh atau laba

Ini bukan dunia untuk si jujur
Atau si lurus yang bodoh berpura

Demi haloba segala
Siapa peduli ratap berjuta

Februari 5, 2009

[Perhatian dan Amaran: Sajak-sajak yang disiarkan di blog ini adalah hasil cipta penyair MARSLI N.O dan diisytiharkan sebagai sepenuhnya hakmilik cipta karya atas nama MARSLI N.O. Sebarang penjiplakan sama ada sebahagian atau sepenuhnya adalah perbuatan terkutuk dan akan diambil tindakan perundangan. Kecuali sebarang petikan atau penyiaran kembali dengan makluman atau izin bertulis dari penyair MARSLI N.O]

Rabu, Februari 04, 2009

NEGERI INI AKAN SEMAKIN MEMBUSUK

Ini negeri akan semakin menjadi sesak
ditimbun sarap dan segala sampah
Ketika kalian yang bernama pemimpin
Saling melemparkan tuding
Dan dengan ghairah nafsu
Mencipta fiksi dengan hujah palsu
Mengajak rakyat menjadi bingung dan keliru

Dengan topeng dan khutbah
Kaututurkan suruh serta perintah
Agar dibisukan segala suara
Dan fikir berbeza

Membunuh dan melenyapkan lawan
Kini dihalalkan
Dengan dalih dan topang alasan
menjauh bahaya menghindar ancaman.

Februari 4, 2009

[Perhatian dan Amaran: Sajak-sajak yang disiarkan di blog ini adalah hasil cipta penyair MARSLI N.O dan diisytiharkan sebagai sepenuhnya hakmilik cipta karya atas nama MARSLI N.O. Sebarang penjiplakan sama ada sebahagian atau sepenuhnya adalah perbuatan terkutuk dan akan diambil tindakan perundangan. Kecuali sebarang petikan atau penyiaran kembali dengan makluman atau izin bertulis dari penyair MARSLI N.O]

JIKA RAYUKU TIDAK SUDI KAUDENGAR, LALU APA GELAR UNTUKMU?

AKU tidak meminta yang sesuatu kutahu bukan untukku. Kerana kutahu aku bukanlah bangsa pengemis dan perayu membuta tuli. Tetapi kerana kau berumah dan mendirikan mahliga-mahligai di langit, serta telah dipercayakan sebagai pemanggul amanah memelihara maruah dan nasib bangsa, maka aku merayu juga.

Tetapi selalunya engkau pun sepertikan sudah kian menulikan pendengaran, sehingga segala rayu tidak pun ingin engkau lagi dengarkan. Malah, tanpa silu dan segan, semakin engkau kelihatan menjadi mabuk saling menghunuskan cakar dan kuku, memperjudikan maruah dan nama bangsa, semata-mata demi kerusi dan secuil kuasa.

Lalu kerana itu, gelar apakah yang lebih layak untuk seorang manusia yang sedemikian?

Jika pinta, harap dan rayuan dari kami, yang telah menyerahkan harap dan percaya kepada engkau agar memelihara maruah dan nasib bangsa, tetapi itupun kian kaupersia-sia, layakkah lagi engkau bergelar dan bernama seorang manusia?


Februari 4, 2009