Sabtu, Mac 28, 2009

Cerpen MARSLI N.O

TUAN KEDEKI, SEEKOR POLITIKUS DAN SEORANG SESUMPAH


[Betapa pun muluk. Betapa idealis. Atau realiti tidak seiring dengan fikir dan kehendak. Namun bukan terlalu berharap dan meminta. Menjadi tahu dan yakin namun tidak memijak sesiapa atau kencing merata-rata adalah lebih penting dari berlagak nabi tetapi berhati babi. Atau jangan sampai meniru perangai anjing yang hanya gemar menyalak dan menjilat kerana tuannya menjanjikan tulang.]

1
MALAM YANG MENGHARUKAN


KAU ingat masihkah peristiwa di malam itu? Begitu semalam sahabatku yang kukenali namanya sebagai Lamunan menyapa dan mengejutkan aku dengan suaranya yang seakan berbisik.

Malam? Malam yang mana? Tanyaku kembali inginkan pasti.

Malam itu. Malam yang kunamakan ia sebagai malam yang mengharukan itu. Kembali dengan suaranya yang seakan berbisik tanyaku dijawab oleh sahabat yang kukenali namanya sebagai Lamunan.

Maksudmu malam mengharukan yang mana aduhai, Lamunan. Malam mengharukan yang mana?

Kau sudah tidak ingat atau memang kau tidak ingin mengingatinya lagi? Sahabat yang kukenali namanya sebagai Lamunan itu kembali menerjahi aku tanya dengan suaranya yang seakan berbisik.

Tidak. Aku memang tidak mengingatinya. Cubalah kauceritakan kepadaku aduhai, Lamunan.Jika benar begitu baiklah. Aku akan ceritakan kepadamu.

Ceritakan. Aku mahu kembali mendengarnya. Begitu aku menjawab.

Beginilah ceritanya. Kata sahabat yang kukenali namanya sebagai Lamunan.

Teruskan. Ceritakanlah. Aku ingin sekali mendengar ceritamu itu. Begitu aku mendorong. Dan selepas itu kudengar suara seakan berbisik dari bibir sahabat yang kukenali namanya sebagai Lamunan memulai ceritanya.

Malam itu, di langit kelihatan bintang bertaburan. Di suatu lokasi di kota yang tidak begitu sebok itu, di sebuah kamar yang sederhana besarnya, berkumpul dan bertemu sejumlah manusia yang mengaku serta menggelarkan diri mereka sebagai pejuang kejujuran serta kebenaran.

Lalu? Apa yang anehnya? Salahkah mereka berkumpul? Begitu aku mencelah dengan tanya milikku.

Memang tiada yang aneh.

Lalu apa kena mengenanya dengan malam yang kaukatakan mengharukan itu? Mengharukan kerana menurut hematku tidak sepatutnya mereka melakukan itu.

Melakukan apa? Pantas aku kembali menerjahi sahabat yang kukenali namanya sebagai Lamunan itu dengan tanyaku.

Melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia yang konon kiblatnya adalah keikhlasan, kebenaran serta kejujuran.

Maksudmu? Apa yang sudah mereka lakukan? Aku bertanya lagi.

Jika begitu, biarkan sahaja aku meneruskan ceritaku.

Ops. Terlupa. Ya. Ya. Teruskan ceritamu. Teruskan.

Dan selepas itu kembakli terdengar suara seakan berbisik dari bibir sahabat yang kukenali namanya sebagai Lamunan itu meneruskan ceritanya.

Menurut kisahnya, pertemuan malam itu amat dirasakan penting oleh sekalian mereka yang hadir di dalam kamar yang sederhana besarnya itu.

Penting menurut kisahnya kerana malam itu akan diadakan pemilihan anggota yang akan duduk sebagai peneraju dan orang penting di dalam kelompok itu. Mereka yang terpilih pada malam itu, akan diamanahkan memanggul tugas meneraju serta mengendalikan arah kelompok mereka serta dan demi kepentingan kelompok anggota yang lain di dalam kumpulan itu.

Lalu atas nama amalan demokrasi dilaksanakanlah proses pemilihan dan pengundian.

Satu kelompok lain, yang sudah lama merasa jemu dengan cara kepimpinan yang dianggap sudah waktunya perlukan pembaharuan dalam pendekatannya mendatangkan sejumlah penyokong untuk turut sama memilih dan mengundi.

Seperti dijangkakan sudah, kerana ramainya pendokong serta penyokongnya, kelompok yang lain itu satu demi satu berjaya meraih (kata yang lebih sopan dan indah untuk kata “merampas”) tempat dan posisi di dalam perkumpulan itu. Satu demi satu nama dan oknum yang dianggap sebagai diperlukan melakukan pembaharuan dalam pendekatan berkumpulan gugur dan tidak terpilih.

Ah. Biasalah itu dalam sesuatu pemilihan. Akan ada yang naik dan turun. Apa yang hendak dihairankan. Apa yang hendak kita sebokkan?

Soalnya, bila tiba-tiba ada yang bangkit membangkang di tengah proses pengundian. Senarai ahli mesyuarat perlu disemak semula. Perlu diteliti sama ada sah atau tidak untuk layak bertanding dan mengundi. Begitu bersuara lantang dia yang bangkit membangkang.

Bangkangan itu segera mendapat restu pendokong dan penyokong dari kelompok lama. Semak keahlian segera dilakukan. Caranya ialah dengan menyemak buku resit bayaran pembaharuan kehalian tahunan.

Seperti dijangkakan sudah dan kerana sebelum ini memang sudah menjadi amalan, digugur serta dibatalkanlah kemenangan serta kedudukan dari kelompok yang lebih baru itu.

Puncanya, kerana ternyata kelompok ini belum lagi menjelaskan bayaran yuran keahliannya yang terbaru. Walhal, mereka dari kelompok yang lama juga belum lagi membayar, kerana memang itu pun yang menjadi amalan selama ini: yuran dibayar beberapa hari selepas pemilihan dan pengundian.

Tetapi, demi merestui dan menghalalkan pembohongan atas nama kelompok yang sudah sedia berada di kerusi kecil bernama kuasa, diisytiharkanlah bahawa kelompok yang lebih baru, yang kononnnya ingin membawakan angin kesegaran di dalam perkumpulan itu, sebagai tidak layak bertanding dan jika telah meraih kedudukannya, perlulah menyerahkan semula kepada penentuan ahli perkumpulan untuk dipilih serta ditandingkan semula.

Jadi kecohlah pertemuan malam itu. Kelompok yang lama bersorak gembira kerana penipuan kelompok mereka berjaya menjatuhkan kelompok lain yang lebih baru dan muda.

Dan itulah bagiku. Malam itu memaparkan suatu kejadian yang amat mengharukan. Kerana, malam itulah, aku melihat dan mendengar dengan mata dan telinga pemerhatianku sendiri, bagaimana sekelompok manusia, yang kononnya mengaku serta menggelarkan diri mereka sebagai pejuang kejujuran serta kebenaran, sanggup menipu dan berdusta semata-mata kerana memperebutkan sebuah kerusi kecil bernama kuasa untuk dan demi kelompoknya.

Aku hanya melongo dan terus mendengar.

Dan niatku untuk kembali melontarkan tanya segera kuurungkan bila perlahan-lahan kudengar sahabat yang kukenali namanya sebagai Lamunan itu mulai teresak-esak.

Kau menangis? Kenapa kau menangis? Untuk apa kau menangis?

Tetapi tanyaku terlontar juga akhirnya. Bila semakin lama esakan sahabat yang kukenali namanya sebagai Lamunan itu kini bertukar menjadi raungan.

Dan kini raungan itu semakin lama semakin lantang.

Tetapi aku tahu segala raungan itu sudah tidak lagi bererti.

2
TUAN KEDEKI DAN BATANG PANCHING

SAYANG dan cinta Tuan Kedeki kepada batang pancingnya kini sudah sampai ke suatu tahap yang melampau-lampau.

Kemana-mana, duduk dan bangun, tidur dan baring, Tuan Kedeki tetap tidak renggang dan berpisah dengan batang pancingnya itu.

Menurut tukang yang membawa cerita, konon Tuan Kedeki tidak mahu berpisah dengan batang pancingnya itu tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mematuhi nasihat tok dukun yang sudah sekian lama menjadi penasihat Tuan Kedeki di lapangan pancing dan memancing ini.

Buruk sangatlah padahnya kalau tuan berenggang dengan batang pancing tersebut. Begitu tukang yang membawa cerita mengulangi kata nasihat yang konon diucapkan tok dukun Tuan Kedeki itu.

Kononnya, batang pancing itu kini selain menjadikan alat untuk memancing segala yang boleh Tuan Kedeki pancing, juga menjadi pendinding diri Tuan Kedeki dari ancaman segala musuh yang cuba menjatuh dan memusnahkan dirinya.

Kononnya, dengan cara melibas-libaskan batang pancing itu ke kiri dan ke kanan setiap waktu, akan selamatlah Tuan Kedeki dari segala marabahaya.

Hinggalah pada suatu pagi. Batang pancing yang dilibas-libaskan oleh Tuan Kedeki itu mengenai batang hidung isteri Tuan Kedeki yang cantik lagi rupawan itu.

Apalagi. Mengamuk sakanlah isteri Tuan Kedeki yang cantik lagi rupawan itu. Dan Tuan Kedeki sepatah haram kata pun tidak berani hendak dia sebut. Kerana Tuan Kedeki tahu, kalau semakin dia menjawab segala amuk dan racau isterinya yang cantik lagi rupawan itu, maka akan semakin galak dan bertambahlah amuk dan racau isterinya.

Dan pada sebelah malamnya, serta malam-malam seterusnya, tidurlah Tuan Kedeki di kamar beradunya yang lain seorang diri. Tanpa isteri yang cantik lagi rupawan. Hanya bertemankan sebatang batang pancing.

Sebatang pancing yang dibawa Tuan Kedeki kemana-mana. Tanpa pernah berenggang walau sedetik pun adanya.

3
MAKHLUK

MAKHLUK apakah namanya yang lidahnya bercabang dan kerana itu cakapnya sering berubah-ubah makna dan maksudnya pada waktu dan tempat yang berlainan?

Biawak, ular atau apa yang layak dinamakan?

Bagi satu jenis yang lain, yang dulunya begitu bersungguh membela dan mendokong tetapi hari ini berubah 360 darjah berbalik menudingkan telunjuk ke arah pihak yang dulunya dia dokong dan bela, makhluk apakah yang sesuai namanya diberikan pula?

Memang politik memungkin apa sahaja. Namun apakah kerananya manusia tega melemparkan jauh hakikat kemanusiaanya dan dalam sekelip mata menyunglap dirinya menjadi haiwan bernama biawak, katak atau ular?

Memang pertanyaan tidak mungkin dengan pasti mendatangkan penylesaian, apa lagi suatu penyelesaian yang abadi sifatnya.

Tetapi setidaknya, dengan bertanya, kita lebih mengenal yang mana satu manusia bertopengkan haiwan dan yang mana satu memang benar-benar manusia.

Betapa pun politik semakin kelihatan menjadi kotor, namun setidaknya kita dapat berjarak dengan haiwan yang bertopengkan manusia ini.

Walau jarak itu tidak pasti menjadikan kita benar-benar selamat dari kerkahan mereka, namun kita cukup bersedia, bila tiba saatnya, untuk kembali berbalik mempertahankan hak dan kedirian kita sebagai seorang manusia dan sekaligus juga sebagai seorang rakyat.

4
SEORANG SESUMPAH


SUDAH waktunya kini nada dan isi setiap kata yang dilontar menjadi ucap perlu diubah. Begitu juga watak dan laku diri. Sekarang orang sedang bercakap mengenai kesetian yang tidak berbelah bahagi. Bahaya menanti jika mahu berlagak hero atau bermimpi di siang hari ingin menjadi pahlawan atau pejuang. Lebih baik begini. Tunduk mengikut kehendak dan pinta terbanyak.

Begitu fikir seorang sesumpah.

Tidak mengapa jika hanya menjadi pencacai. Pokoknya beres. Segala yang dicita mudah dicapai dan segera tersedia. Pokoknya tunduk dan mengekor. Itu sahaja.

Apa guna menjadi pahlawan atau pejuang? Ah jika sekadar bertindak atas nama kebenaran dan keadilan, namun hala dan hujungnya tidak dipasti, apalah erti?

Seorang sesumpah itu berfikir lagi.

Selepas beberapa kali melepaskan keluh, berat dan tersekat-sekat, perlahan dia mengatur langkah.

“Sayang. Sudah selesaikah urusanmu di luar? Lekaslah. Aku sudah lama menunggu di sini,” terdengar dari dalam suara manja seorang perempuan yang entahkan siapa.

Seorang sesumpah tersenyum sumbing. Ketika melintasi cahaya lampu berwarna jingga, wajah dan tampangnya berubah menjadi hijau.

Dan di dinding kamar berwarna putih, terpampang bayang seekor raksasa. Tinggi dan agam.

Seorang sesumpah meneruskan senyumnya.

5
SUDAH JADI HANTUKAH?

Dia yang pernah aku sebutkan kisahnya dulu itu, entah mimpi apa dia. Hujan tiada dan ribut apa pun tidak, menggatal dan mengada dia.

Terpampang di kotak mesej telefon genggamku nama dia. Dengan rasa benci dan teruja ingin tahu aku buka dan baca mesej ringkas dia.

“Kautahu kenapa bangsamu yang bernama Melayu itu selalu kempunan dan menjadi lemah? Heh, kalau hendak tahu telefonlah aku.”

“Heh, babilah engkau. Kenapa kaucakap begitu?” begitu aku memaki dia di dalam telefon.

Aku dengar ketawa santai dalam telefon.

“Dengar sini aku cakap,” kata dia memulakan syarahannya.

“Bangsa kau ni suka makan sesama sendiri. Suka mengada dan menunjuk-nunjuk sesama sendiri. Kalau ada orang besar atau yang dia rasa boleh datangkan untung, lekaslah dia dekati dan puji-puji. Kalau kau memang kucing kurap, jangan haraplah dia hendak pandang,” dia meneruskan syarahan.

“Aku tahulah itu,” aku membalas dengan tempelak.

“Tidak. Kau pun sama bodohnya. Buat apa kau hendak buang masa pergi melawat serata cerok tempat dan bercakap banyak. Lagi baik kau duduk diam dan buat kerja kau sahajalah, bodoh.”

“Heh, kau pun bodoh juga. Yang kau susah-payah hantar mesej kat aku buat apa? Kau pun sudah jadi hantu jugakah sekarang?”

Tiada mesej balasan dari dia. Yang kudengar, hanyalah bahaknya yang bertalu-talu di dalam telefonku.

6
BENTENG

PERLU ada sesuatu yang menjadi benteng terakhir. Tempat bertahan dan menentukan pilihan. Supaya diri tidak mudah menjadi lebor dan ditelan oleh keadaan serta persekitaran.

Keberanian yang bagi sebahagian orang dilihat sebagai tindakan yang melulu sesungguhnya adalah sesuatu yang sudah diperhitungkan.

Apalah ertinya hidup dilingkar seronok kalau terpaksa menjual diri menjadi abdi dan penjilat?Biarlah hidup seadanya asalkan diri masih tetap mandiri dan tidak juga menjadi biawak hidup yang terpaksa dipikul oleh sesiapa.

Memang seronok dibelai dan disuap sentiasa tanpa perlu bermatian berusaha.Perlu ada sesuatu yang mesti dipertahankan.

Manusia terserlah kerana hakikat kediriannya sebagai manusia. Berdiri dan tegak sebagai dirinya dan tidak menanjak kerana memijak kepala orang lain atau menikam dari belakang.

Betapa pun muluk. Betapa idealis. Atau realiti tidak seiring dengan fikir dan kehendak. Namun bukan terlalu berharap dan meminta.

Menjadi tahu dan yakin namun tidak memijak sesiapa atau kencing merata-rata adalah lebih penting dari berlagak nabi tetapi berhati babi.

Atau jangan sampai meniru perangai anjing yang hanya gemar menyalak dan menjilat kerana tuannya menjanjikan tulang.

Tidak perlu didatang ingatan agar segala raung tidak lain dengan jujur atau ikhlas.Telah dipilih hidup begini sejak mula: berkata sesuatu yang tidak disetujui meski ribuan yang mengangguk.

Perlu ada sesuatu yang menjadi benteng terakhir.

Apa lagi kalau bukan kepercayaan dan kental yakin terhadap kebenaran hakiki.Kerana hanya itu yang tidak mampu disunglap dan memberi erti kepada diri.

Walau bergentayangan lidah yang menjelir, meski bersipongan salak dan jerit, tetaplah berdiri di sini sebagai dirinya.

Kerana hidup dan mati manusia, urusannya adalah dengan Yang Maha Esa.


SELESAI

Sumber Siaran: Dewan Sastera, April 2009

Jumaat, Mac 27, 2009

POSTER (1)


13 Februari 1992:
Baca Cerpen Oleh Bengkel Teater Kuantan di Sudut Penulis,
Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

20 Oktober, 1992:
Pementasan Teater PENGADILAN
oleh Bengkel Teater Kuantan di Dewan MPK Kuantan

25 Okober, 1993: Baca Puisi Bulanan DBPKL Hos MARSLI N.O

Khamis, Mac 26, 2009

PRODUK LENTERA JIWA: BAJU T UNTUK DIJUAL

From: lanterajiwa lanterajiwa@gmail.comTo: marslino@yahoo.com
salam... tuan tulis... tumpang promote tee-shirt ya... =)

T-Shirt Kenangan PERISTIWA PERDANA BULAN MAC
(1) T-SHIRT ANTI PPSMI ( RM30 termasuk biaya pos )
(2) T-SHIRT JANGAN BUNUH BAHASA IBUNDA ( RM25 termasuk biaya pos )
(3) T-SHIRT SIDANG TERGEMPAR DUN PERAK ( RM25 termasuk biaya pos )
(4) T-SHIRT KERANDA 152 ( RM25 termasuk biaya pos )
http://lantera-jiwa.blogspot.com/2009/03/t-shirt-kenangan-peristiwa-perdana.html

Isnin, Mac 23, 2009

KETUANAN, MAAF DAN SEORANG BINATANG Oleh MARSLI N.O

1
BANGSA

BELUM pernah sepanjang sejarah dan riwayat hidupku sebagai hantu aku melihat satu bangsa yang terlalu bodoh seperti kau ini. Begitu terdengar hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu membebel lagi.

Apa lagi yang hendak kaubebelkan ini? Begitu tanyaku sambil mengurut dada mahu meredakan debar lantaran kejutan suara si hantu yang kusangkakan sudah menghilang dari ruang kamar tulisku.

Cuba kaufikir elok-elok. Mana ada bangsa di dalam dunia ini yang sanggup melakukan perkara-perkara yang memang tidak tergamak hendak diperbuat oleh bangsa lain yang bermaruah di dunia ini selain orang dari kalangan kau?

Hendak dikatakan orang sebangsa kau ini bodoh dan tidak tahu, kebanyakan mereka itu adalah manusia yang bergelar dan mengaku berilmu, jika tidak manakan mungkin berdiri di depan dan mengaku pemimpin?

Mana ada manusia di dalam dunia ini yang tanpa segan dan silu mencurahkan kencing ke atas bahasanya sendiri?

Dan paling parah, ada juga kalangan orang dari sebangsa dengan kau yang sanggup menjual maruahnya asalkan dapat terus duduk di kerusi bernama kuasa itu.

Tidakkah kau terfikirkan semua itu?

Dan aku, dengan sengaja membiarkan si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu membebel terus menerus.

Kerana aku tahu, tidak semua yang dibebelkannya itu betul dan benar. Kerana, berbanding dengan diriku, apalah sangat yang diketahui oleh seekor hantu seperti Mat itu.

Kerana, sebagai seorang manusia, tentulah aku lebih mengetahui segala-galanya dan sentiasa bertindak betul.

Bukankah? Ha. Ha. Ha.


2
KEHINAAN

APA yang kaumiliki, walau sudah termaktub dan dipersetujui semua sebagai suatu lembaga, jika tidak dipelihara serta jaga kemurniannya oleh kau selaku pemiliknya sendiri, pastilah akhirnya akan berani diperkutak-katikkan oleh orang lain juga. Begitu tanpa kupinta hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu memulakan karutannya di hadapanku pagi ini.

Tidakkah kau mahu berkata sesuatu untuk semua itu? Atau kau lebih senang dan bahagia hanya membisu? Kini entahkan apa dalihnya pula kepada aku ditujukan soalan yang itu.

Dengan sengaja aku hanya membisu dan pura-pura tidak mendengar.Jadi kau lebih senang diam dan membisu. Baguslah jika begitu kerana kau pun juga sama ingin menjadi tolol dan bodoh seperti mereka itu.

Mendengar kata tolol dan bodoh itu, darah terasa tiba-tiba menyirap naik ke muka milikku.

Siapa yang tolol dan siapa bodoh? Jangan kau hendak bercakap sembarangan wahai hantu! Begitu aku menjerkah memecahkan hening di dalam kamarku.

Siapa lagi aku maksudkan kalau bukan mereka? Apa masihkah kau belum sedar?

Dengan bahasa dan suara selamba jerkahku dijawab oleh si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu.

Entah kenapa niatku hendak meneruskan jerkahku menjadi sirna. Wajah si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu kutenung ke atas dan ke bawah.

Kerana itulah ingin kukatakan kepadamu. Jika dengan sendirinya kau biarkan diri dan bangsamu menjadi bangsa yang bodoh dan bahlol untuk semua perlakuan itu, jangan kesal dan merataplah kalau akhirnya ketuanan yang didengung-dengungkan oleh kau dan sekalian mereka itu bertukar menjadi kehinaan pula. Kau tunggu dan lihatlah nanti dan janganlah kau dan bangsamu meratap setelah segalanya sudah menjadi tidak berguna lagi.

Kini berkumandang lagi kata karutan dari bibir si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu. Semakin lama, semakin kata-kata itu menjadi berdengung-dengung di pendengaran milikku.

Semakin kurenung makna dan maksud kata-kata itu, semakin berkumandang tanya di dalam benakku.

Kenapakah tidak kata-kata itu diucapkan oleh mereka dan bukan oleh seekor hantu yang kini mengaku sudah menjadi manusia?


3
MAAF

APA-APA kau kenalah minta maaf, bodoh. Begitu terdengar lantang pekik si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu menerjah gegendang pendengaranku.

Aku yang sedang asyik menekuni bacaan di meja tulisku tersentak bukan alang dan kepalang. Celaka, begitu aku tanpa sedar meluahkan maki dan kuharap pahala puasaku di bulan mulia Ramadan ini tidak berkurang kerana maki itu kuucap di tengah malam yang semakin sunyi ini.

Apa sudahnya kau ini wahai hantu yang tidak sudah-sudah mengganggu diriku ini? Tidakkah kautahu sekarang ini bulan puasa jadi kenapakah kau masih lagi datang mengganggu aku?

Bukankah di bulan puasa ini kau sudah dipasung dan dikurung? Begitu aku meneruskan tanya kepada hantu yang kurasakan semakin melampau mengganggu aku dengan karut dan ketidaksedaran darjat dirinya itu.

Apalah yang kau ini menjadi bodoh. Bukankah sudah aku katakan berkali kepadamu bahawa aku sudah pun berjaya menyunglapkan diriku menjadi manusia? Jadi kenapa kautanyakan aku soal kurung dan pasung itu lagi? Dengan selamba dan tanpa sedikit pun berasa silu kepadaku dilontarkan jawab begitu oleh si hantu itu.

Sebenarnya apa yang kaujerit-jeritkan pasal maaf itu kepadaku? Untuk apa aku hendak dan perlu meminta maaf? Salah apa yang sudah aku perbuat? Sengaja tidak kulayan jawabnya sebelum itu dan kini kulontarkan tanya ini untuk memancing si hantu itu agar segera beredar dari ruang kamar tulisku.

Ha. Ha. Ha. Kau ini memang bodoh. Apa yang kau gatal sangat hendak bercakap pasal itu? Sekarang kau sudah kena. Semua orang tudingkan jari ke muka kau. Jadi sekarang kau kenalah memohon maaf.

Aku terpinga mendengar jawab si hantu itu. Memohon maaf untuk apa? Salah apa yang sudah aku perbuat? Begitu bertalu-talu tanya itu terngiang di benak milikku.

Apalah bodohnya kau ini. Bukankah hari itu kau mengaku kau ini seorang pejuang dan kerana itu juga kautuduh orang lain hanyalah penumpang. Apa kau sudah lupa? Kini si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu kembali menjerkahku.

Mendengar jerkah dan kata bodoh dari bibir si hantu itu, darah terasa kian menyirap naik ke mukaku.

Kau tidak mahu mengaku dan meminta maafkah? Atau kau sudah lupa bila waktunya kauucapkan kata itu? Kini terdengar semakin galak si hantu itu mendesak dan seolah-olah sengaja mahu mencabar sabar milikku sebagai seorang manusia.

Itulah kau. Kalau aku katakan kau ini bodoh kau marah. Tetapi kau ini sebenarnya memang bodoh. Sebab apa kukatakan begitu? Kau bodoh kerana tidak faham sangat sepak terajang dalam politik. Bila mereka perlukan kau, ketika itulah kau dijulang sebagai pejuang. Tetapi bila mereka terjepit, ketika itulah kau dijadikan kambing hitam tempat melontarkan segala silap dan salah. Dan kaufaham? Kerana itulah sekarang kau kena memohon maaf. Semakin bersungguh dan semangat si hantu itu berkata-kata.

Namun ketika mahu kuterkam dia dengan tinju milikku, dalam sekelip mata si hantu yang kini mengaku sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu melesapkan dirinya entah ke mana.

Dan aku, kembali terpinga sendirian di kamar tulisku itu. Di depanku, buku politik Sang Pangeran itu masih ternganga belum kuhabiskan bacaannya.

Begitukah sesungguhnya tindak dan tanduk para politikus? Berkali kuajukan tanya itu kepada diri dan sehingga terlelap sendirian di meja tulisku itu, aku masih terpinga memikirkan kenapa si hantu itu bersungguh benar mendesak aku memohon maaf.

Kerana apa dan kepada siapa?

Begitu bertalu-talu menerjah tanya ke benak milikku.


4
SEORANG BABI

DARI tingkap kamar tulisku kelihatan suatu lembaga terbongkok-bongkok bagaikan sedang mencari sesuatu di laman rumahku.

Entah apa yang hendak dicari di pagi hari begini. Begitu tanpa suara aku bersungut di dalam hati. Dan ketika lebih lama kuperhatikan dengan teliti, jelas dan nyata lembaga yang sedang terbongkok-bongkok di halaman rumahku itu tidak lain dan tidak bukan adalah seekor babi.

Tanpa bertanggguh, kucapai parang panjang yang tergeletak berhampiran pintu dan aku segera menghambur ke tanah. Niatku tidak lain dan tidak bukan adalah mahu menghalau babi itu agar menjauhi laman rumahku. Selain tidak mahu laman rumahku yang rata dan bersih itu ditenggalakan dengan sondolnya hingga berbonggol-bonggol, aku juga khuatir kalau nanti dinajisi oleng si baba yang kelihatan agak gemok itu.

Hei, berambus kau dari laman rumahku. Pergilah kau bermain-main di tempat lain dan bukannya di sini. Di sini buka tempat untuk kau bermain dan menyondol. Ini laman rumahku. Begitu tanpa bertangguh dan sambil menghayunkan parang panjang di tanganku ke kiri dan ke kanan, aku bertempik ke arah babi yang kelihatan agak gemok itu.

Namun tempikanku itu sedikit pun tidak menggoyahkan babi yang kelihatan agak gemok itu. Bagaikan sengaja membuat pekak dan tuli, sondolnya kulihat diteruskan dan tanah di laman rumahku semakin banyak berbonggol dan berlubang.

Didorong oleh marah dan geram, kuhayunkan parang panjang di tanganku untuk menetak babi itu. Namun aku terkejut besar bila sepantas itu juga tetakanku itu berjaya dielaknya.

Memang kau, babi. Pandai pula kaumengelak. Begitu aku menjerkah sesungguh hati.

Jangan ingat kau manusia maka kau boleh sesuka hati bertindak ke atas diriku. Aku juga boleh berfikir seperti kau. Meski agak perlahan, namun jelas di pendengaran berkumandang kata-kata si babi itu.

Aku terkesima beberapa detik lamanya. Apa tidaknya. Inilah pertama kali di dalam hidupku aku berhadapan dengan seekor babi dan babi itu pula boleh berkata-kata.

Kenapa? Kauterkejutkah? Apa kau fikir kerana aku ini seekor babi maka aku tidak boleh berfikir dan berkata-kata seperti kau? Kini babi itu mengajukan tanyanya yang lain kepada diriku.

Aku yang masih belum sudah dirongrong rasa terkejut masih mendiamkan diri tanpa sebarang kata.

Sebab itulah agaknya orang seperti kau berani bercakap sesuka hati dan mengatakan makhluk seperti kami ini adalah pendatang atau penumpang. Sedangkan sudah sejak lama dahulu kami sudah hidup dan hadir di sini. Kini terdengar babi itu berkata-kata lagi.

Apa yang kaurepekkan ini, hai babi? Memanglah kauhidup dan hadir di sini sejak dulu. Tetapi untuk makluman kau sebagai babi, hidup dan hadir kau di sini bukanlah sebagai keturunan yang menjadi sebahagian dari asal usul kami. Keturunan kami tidak pernah berbaik dan bersekongkol dengan babi. Begitu dengan suara lantang dan tegas aku menyanggah kata-kata si babi itu.

Tetapi kalau bukan menjadi sebahagian asal usul kau, kenapa pula ada juga yang dari kalangan kau mahu berbaik-baik dan menyokong kami? Kini si babi itu menerjahiku dengan tanyanya yang lain.

Jangan kaufikir kerana beberapa makhluk yang bodoh dan tidak sedar diri sendiri dari kalangan kami itu maka kau fikir boleh berbuat dan bercakap sesuka hati. Bagi kami kau tetap pendatang dan penumpang. Jadi kerana itu kau tidak usahlah hendak berlagak seolah-olah kauboleh berbuat apa sahaja di sini. Sedar dirilah kau. Kalau kami sudah bertoleransi dan banyak memberi, itu tidak bermakna kauboleh sesuka hati hendak kencing dan berak di laman rumah kami. Kini masih dengan suara lantang dan tegas aku membantah.

Tetapi bukankah kami sudah pun menjadi sebahagian dari kau? Punya tempat yang sama tinggi dan setaraf dengan kau. Berhak untuk bersuara dan mendapat sesuatu sama seperti kau. Kerana kami juga sama memberi sumbangan di sini menurut cara kami. Begitu tanpa segan silu si babi itu mendakwa sesuatu.

Sudahlah kau, babi. Itu kata kau dan bukan kata kami. Memang orang yang tidak sedar diri atau sengaja buat-buat tidak sedar seperti kau ini suka bercakap yang tidak-tidak, walau apa yang dicakapkannya itu bukan haknya. Kini aku menempelak si babi itu.

Sebelum apa-apa lebih baiklah kau berlalu. Orang seperti aku tidak suka memulakan gaduh, tetapi kalau kau yang mencabar dan berlaku kurang ajar, aku tidak takut untuk bangkit melawan demi maruah dan hak diri aku. Kini dengan suara yang semakin lantang aku bersuara. Sambil itu, parang panjang di tangan kulibaskan ke kiri dan ke kanan. Dan si babi itu kulihat menjauhkan diri beberapa langkah ke belakang.

Jangan kaulupa. Satu masa dulu, babi seperti kau jugalah yang datang menyondol serta merosakkan laman milik kami. Konon kerana berjaya dan disokong oleh kelompok kau yang ramai itu. Ingat itu. Kami tidak pernah lupa. Dan kerana itu, aku minta segeralah kautinggalkan laman rumah aku ini. Pergilah kau bersama kelompok kau dan janganlah kau mahu mengganggu laman rumah kami lagi. Begitu aku mengakhiri bicara dan tanpa menoleh lagi aku berpaling meninggalkan si babi itu di halaman.

Seketika kemudian, tatkala sudah kembali ke dalam rumah milikku, dari tingkap kulihat si babi yang kelihatan agak gemok itu kian menjauh dan jauh dari laman rumahku.

Biar apa pun yang ingin diucap serta dilakukan oleh si babi itu, aku tidak mahu ambil peduli. Kerana bagiku jelas, seekor babi tetap babi, walau pun disunglap dirinya dengan gelar baru sebagai seorang babi.

S E L E S A I

Sumber siaran:
Mingguan Malaysia, 22 Mac 2009. Judul asal adalah “Ketuanan, Maaf dan Seorang Babi”

Rabu, Mac 18, 2009

RAKAN, TEMAN DAN TOKOH (6)

PADA 13 hingga 15 Mac, 2009 lalu saya telah menghadiri Bengkel Perolehan Karya anjuran Bahagian Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bertempat di Cherating Holliday Villa, Kuantan.

Sebagai tanda ingatan dan untuk menghindari lupa bahawa saya pernah menghadiri dan bersama beberapa rakan, saya telah merakamkan beberapa foto.


Novelis Aleya Aneesa: Prolifik berkarya dalam senyap dan diamnya.


Bersama Mohamad Shahidan dari Dewan Bahasa dan Pustaka

Bersama sasterawan prolifik Daeng Ramliakil


Sasterawan guru Asmui Mustafa yang tidak pernah melekangkan senyum di bibirnya.







BEBERAPA CATATAN ASAP DI NEGERI ASAP

sAAAAAAAP wASSSAAAAAAAApppppppp. SAAAAAAAAAAAAAAAAAAP. Wasap. Asap. Wasap. Asap. Asap. Asap. Sapwasssssssssssss. WAssssap. WwwwwwwwwwaaaassssssAP. wASSSSSSSSAAAAAaaaappppppp. SAAAAAAAAAAAAAAAAAAAppppp. Wasap asap. Wasap. Asap. Asap. Asap. Wasssssssaaaaaaappppp. Assssaapppp. Asssssaaaaaaaaaap. WAssssssssssssaaaaaaaaaaapppppp. Wassssss. Wasssss. AAAAApppp. AAAAAAp. Wassss. Passsapppppppp. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa. Papapapa. Sassasas. pasapasapap. Sapsap Sapsapa. Sapsapa. Sap sapa sap sapa. sapa. Asssss. Ass. Saaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaap. Pasaaapapapasap. AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA. SSSSSSSSSSS. SSSSSSSSSSSS. AAAAAAAAAA. PPPPPPPPPPPPPPPPP. Trrrrrrrr.. Tretetr tereterrr trrrrrrrr. Lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa Lari. Melayu. Melayu. Pasapapapsaaa Lari. Wsasasapa wasapa wasapa. Asap. Asap.
ZZZZZZ. Zzzzzzzzzzzzz. Zzzzz. ZZZZZZZZZZZZZZZZZ. Zzzzzzzzz. Hidup Melayu. Hidup Melayu. Zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz. Zzzzzzzzzz. Zuuzuzuzuzuzu. Zezezeze. Rrrrrrrrrrr. Grrrrrrr. Lari. lari. Lari. lari. Grrrrrrr. Hidup Melayu. Hidup Melayu.
Wassapa. Wasssapa. Wasapa. Asssapap. Asap Asap. Aasap Wassssssaaaapppp. Wasssapasapa. Asap. Asap. Asaap. ZZZZZZZZ. ZZZZZZZZ. Zzzzzzzzz.
Tidor. Bangsa. Ayam. Kambing. Kucing. harimau. Buaya. Serigala. Tidor. Tidor. Tidor. Tidor. Asap. Asap. Asap. ZZZZZZZZZ. Zzzzzzz. Zzzzzzz. Hidup Melayu. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa . Melayu. Melayu. Hidup Melayu.
Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa Lari. lari. Lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap.
Zzzzzzzzz. Zzzzzzzzz… Trrrrrrrrrrrrr. Trrrrr. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa .Pasapapapsaaa lari. Lari. lari. Lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa lari. Lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa lari. Melayu. Melau. melau. melayu. melayu. melayu. Melayu. melayu. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Lari. lari. Melayu. Melayu. Hidup. Lari. lari. Lari. lari. Lari. Lari.
Zzzzzzzzzzzzzzzzzz. Zzzzzzzzzz. Zzzzzzzz. Wasapa. Wassssap. Asssap. Asap. Asap. Lari. lari. Lari. lari. Melayu. Lari. lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa Lari. lari. Asap. Asap. Asap. Wassssssap. Sapapasaapasap. Aapasapapasap. Lari. lari. Lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa lari. Lari. lari. Waapap. Wasapasap. Asapasap. Pasapapapsaaa

Mac 18, 2009

Selasa, Mac 17, 2009

PERINGATAN DARI DALAM DIRI KEPADA DIRI DI LUAR DIRI

JANGAN bersedih. Kerana kunta nikoli kente beriposi nikilo hentoyo neri konter kanira non sikolikoni koni sokiliko bisati losanida binakosi kona bese besroni lukinosa notinoti buntiloso nonosikono ttibinoni.

Jangan bersedih. Tatkala kontilosi nobinoti kontelo benroki lontiko bongolotino binositoki nentoneni bunibunyi konkonkit benobeni ontaniko bisoni bisiscuti. Tino pipitosi nuntikoli suntikono binotiko sentoliko suntuliko bubutinikasi barikolo nisobene. Bunu bini bona bunu bini busu tiko. No no niso nisu tutki tuki losikolo, nostiso noti.

Jangan bersedih. Andai tingkonilo sintokinto nikokinti kinti konikono borasiwa nosuribonu kinumuni tikisilo sona simoniko. Sunusinoliki kontikuli sonibosinoti. Sisinosi susunosu sasanosa bionokino nusisinukisi. Konikotikoli kukukisikuki. Kunukini kusikuni konikosi. Kukukiliku kukikili kintukitu.

Jangan bersedih dan ketawalah sepuas hati. Agar kau tidak sama menjadi senewen.

Ha. Ha. Ha. Ha. Ha. Hi. Hi. Hi.

Mac 17, 2009

Khamis, Mac 12, 2009

SAJAK KEPADA BEBAL Oleh MARSLI N.O

Alangkah gopohnya kau
Melontar teriak
dan segera tuding
konon mereka adalah bidak
yang dicaturkan oleh kuasa
politik bangkang dan penghalang
tujuan

sedangkan mereka hanya
meminta dengan suara
dan tetap tahu membeza
antara biadap
dan durhaka

Sungguh aku kasihan
Dan walang memikirkan
Kerana kau yang berdiri di depan
Tetapi selalu dikaburkan
Akal dan sendiri pertimbangan
Oleh mabuk kepercayaan
Dan palsu keyakinan

Mac 12, 2009


[Perhatian dan Amaran: Sajak-sajak yang disiarkan di blog ini adalah hasil cipta penyair MARSLI N.O dan diisytiharkan sebagai sepenuhnya hakmilik cipta karya atas nama MARSLI N.O. Sebarang penjiplakan sama ada sebahagian atau sepenuhnya adalah perbuatan terkutuk dan akan diambil tindakan perundangan. Kecuali sebarang petikan atau penyiaran kembali dengan makluman atau izin bertulis dari penyair MARSLI N.O]

Rabu, Mac 11, 2009

APAKAH KAU SUDAH MENDENGAR oleh MARSLI N.O


Apakah kau sudah mendengar
Gerak dan suara membara
Hanya meminta dan meminta
Tetapi kau anggap ada agenda

Walau kami bergerak
Tapi kami tidak bertindak
Kerana kami tahu batas kehendak
Kepadamu tempat hasrat meletak

Walau suara kami seperti meledak
Tetapi kami tetap menjaga jarak
Di antara ganas dan biadap
Dan tidak ingin menjadi bidak

Apakah kau sudah mendengar
Kami menyata pinta dan harap
Tetapi kenapa kami didesak
Dengan air dan pemedih asap
Dan kau tetap seperti memilih pekak?

Mac 7, 2009


[Perhatian dan Amaran: Sajak-sajak yang disiarkan di blog ini adalah hasil cipta penyair MARSLI N.O dan diisytiharkan sebagai sepenuhnya hakmilik cipta karya atas nama MARSLI N.O. Sebarang penjiplakan sama ada sebahagian atau sepenuhnya adalah perbuatan terkutuk dan akan diambil tindakan perundangan. Kecuali sebarang petikan atau penyiaran kembali dengan makluman atau izin bertulis dari penyair MARSLI N.O]

Selasa, Mac 10, 2009

SEPERTI DIDUGA



CARA paling mudah membalikkan sesuatu isu dan perkara supaya perhatian massa beralih dan terpesong dari persoalan sebenar adalah dengan cara kembali melontarkan tuduhan, yang walaupun tidak benar, tetapi perlu diulang ribuan kali, sehingga massa menerima dan terbius kerananya, lalu bersetuju dengan dakyah baru yang dicipta.

Inilah yang sedang dipermainkan dengan isu penyokong bantahan PPSMI yang diucapkan sebagai didalangi parti politik pembangkang dan ada agenda tersembunyi.

Walhal, apa yang dirayu dan minta oleh pihak yang meminta dan dirayu, tidakpun diucapkan dengan bahasa yang terlalu berbelit-belit sehingga menyukarkan sesiapa, walhal menteri sekalipun untuk memahaminya.

Apa yang diminta dan dirayu hanyalah ini: ajarlah ilmu sains dan matematik dalam bahasa Melayu dan untuk lebih mempertingkatkan penguasaan terhadap bahasa Inggeris, perbanyak dan perbaikilah waktu dan cara mengajarkan bahasa itu.

Itu sahaja. Susah sangatkah hendak faham?

Tetapi kenapa pula sampai dibabitkan nama pembangkang sebagai dalang dan dikeluarkan pula hujah-hujah yang langsung tiada kaitan dengan pokok pangkal persoalan yang dirayu serta dipinta ubah itu.

Aku sendiri yang sama pergi dan berada di depan Masjid Negara 7 Mac 2009 lalu, terus terang aku mengaku aku datang bukan kerana adanya tokoh dari parti PAS, KEADILAN, DAP atau mana-mana parti politik.

Aku peduli apa dengan mereka sebab aku sudah masak dan faham sangat dengan perangai orang politik.

Lagilah pula manusia seperti A. Samad Said, Dato’ Hassan Ahmad atau Prof Dr. Abdullah Hassan. Mereka bukan orang sebarang-barang yang begitu mudah boleh diperdayakan oleh mana-mana fahaman politik.

Tetapi nampaknya begitulah. Di mata aku mereka yang menuduh-nuduh itu bukan kerana mereka tidak faham, tetapi perkara yang sebenarnya ialah mereka memang sengaja buat-buat tidak faham dengan serta sebab yang hanya mereka sendiri yang tahu.

Ini macamlah kata orang sudah kepalang malu alah. Hendak mengaku salah takut malu sudah terbuat silap, hendak dikatakan tidak dan sekaligus menolak pula takut nampak sangat diri jahat. Jadi cara terbaiknya adalah dengan mengulur-ulurkan waktu. Konon sedang dan masih dalam pertimbangan. Atau kalau terdesak sangat, katakanlah kertas sudah siap dan akan dibawa ke mesyuarat.

Tetapi bila? Sampai kucing bertanduk dulukah?

Nampak sangatlah kita dengan sengaja hendak mengajak dan menyuruh orang lain sama bebal macam kita.

Masalahnya, siapa yang hendak ikut dan percaya kalau sudah terang-terang yang bercakap itu memang seorang yang bebal? Kecuali hanyalah orang-orang yang sama bebal dengannya atau yang memang dengan rela supaya nampak dan menjadi bebal dengan orang di depannya.

Bayangkanlah kalau ini memang benar-benar terjadi di kalangan kita dan yang untung tentulah mereka-mereka juga.

Tidak percaya? Peduli apa aku hendak percaya atau tidak.

Mac 10, 2009

Ahad, Mac 08, 2009

INILAH SUATU PETANG AKU BERASA DIHINA KERANA MEMILIH MENJADI MELAYU DI NEGARAKU SENDIRI

[1]
[2]
[3]
[4]
[5]
[6]
[7]
[8]
[9]

PROLOG
AKU tidak tahu dan pasti apakah menjadi Melayu di negeriku milik nenek moyangku sejak berkurun dahulu ini benar-benar membuktikan betapa dia selayaknya dihina oleh bangsa yang sekulit dan seagama dengannya pada suatu petang bernama 7 Mac 2009 ini.

Malang sungguh menjadi Melayu di negaraku sendiri. Semata-mata kerana hendak mempertahankan bahasa miliknya, hanya dengan berjalan beramai-ramai menuju ke Istana Negara, tanpa mengusik harta benda awam, tanpa membawa senjata dan tanpa membuat kekacauan serta melakukan sebarang keganasan maka dia dibedil dengan gas pemedih mata dan bertempiaran lari seperti kawanan kambing yang takutkan kejaran anjing.

Sendiri aku merintih di dalam hati dan kemudian, kerana kurasa sangat menekan jiwa dan perasaan, kuluahkan juga dengan kata-kata di depan seorang pemuda yang menghulurkan beberapa buku garam ketika aku berhenti sekejap di sebuah gerai mamak di bawah jejambat berhampiran balai Jalan Bandar untuk menghilang sesak nafas, pedih mata dan perit anak tekak angkara semboran gas pemedih mata.

Dato' Baha yang sebelumnya kutemani dan ekori dia, yang ketika memasuki Jalan Kampong Attap kulihat semakin mempercepatkan langkah menuju ke depan tidak aku pastikan kini sudah berada di mana dan apa jadinya dia. Agakku, dia yang mungkin berada paling hampir dengan kepolan asap dan kenderaan berwarna merah itu pasti termuntah atau tertewas di situ.

Begitu juga teman-teman yang tadi seiring kutemui ketika gerombolan manusia digiring beberapa anggota keselamatan yang berkawal di muka dan di tengah jalan menghala ke Dewan Perhimpunan China Selangor agar memasuki Jalan Kampong Attap: Rahmidin Zahari, Lutfi Ishak, Saifulizan Yahya, Ariff Mohamad dan Ghafirah Idris dari UIAM Gombak besama teman perempuannya. Juga terpecah dan bercempera tidak kutahu ke mana.

Di bawah warong di bawah jejambat itu, longlai aku beberapa ketika merenung sendirian nasib diri menjadi bangsa bernama dan berbahasa Melayu.

Alangkah hinanya menjadi bangsa Melayu di negeriku sendiri. Begitu aku kembali melepaskan rungut dan keluh dengan kata-kata. Dan pemuda yang tadinya menghulurkan beberapa buku garam kepadaku itu kulihat tergesa-gesa bangkit dan berlalu pantas. Berkali kutoleh mahu mengesan kelibatnya, namun bagaikan kilat mengilang sudah dia entah di sebalik jejambat atau langsung menuju ke balai berhampiran aku tidak pasti.

Tekakku terasa perit dan untuk menghilangkan dahaga, kupesan segelas teh tarik. Pesan minuman, semua ustaz yang bayar. Terdengar seorang pakcik berjanggut dan berketayap putih memberitahu mamak pemilik warung.

Namun belum pun sempat kuhirup minuman, terdengar jeritan menyuruh lari menyelamatkan diri kerana ada kenderaan menghampiri dengan semboran air. Minuman kutinggalkan tergeletak di meja dan aku lari kerana tidak mahu menjadi mangsa semboran yang entah ke berapa.

Di salah satu warung di deretan bangunan berhampiran bekas tapak Pusat Seni Dewan Bandaraya, aku berhenti dan memesan minuman. Sebentar kemudian kulihat abang Fadzil bekas pegawai Dewan Bahasa lewat dan kusapa dia agar singgah dan duduk sama minum. Juga kemudian muncul A Wahab Hamzah dan dengan suara tegar serta tidak berselindung Wahab antara lain menyebut inilah padahnya jika pemimpin tidak sudi mendengar suara rakyat.

IMBAS KEMBALI

1. SMS 1
Marsli N.O:
Hasni, besok aku datang.
Hasni: Terima kasih. Esok aku ada kat Masjid Negara.
Marsli N.O: Pak Baha. Saya datang besok. Untuk melihat dan merakam peristiwa. Walau tidak berada di depan.
Marsli N.O: Sinaganaga. Aku datang besok.
Sinanaga: Orait. Jumpa di Masjid Negara.

2. SMS 2
Marsli N.O:
Pak Baha. Saya dalam bas. Menuju ke KL.
Marsli N.O: Hasni. Aku dalam perjalanan.
Hasni: OK. Selamat sampai.
Sinanaga: Mu dah sampai mana? Kalau sampai call aku. Kita makan dulu. Bagi tenaga.

3. DIARI 1

Jumaat, Mac 6 2009
BZ dalam entri terbaru di blognya mencatatkan antara lain harapan agar perarakan 100,000 rakyat ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum bantahan agar PPSMI tidak diteruskan serta dikembalikan ke dalam Bahasa Melayu, tidak dihalang petugas keamanan. Malah menurut BZ lagi dalam entrinya itu pihak istana negara sudah bersedia menerima dan ada wakilnya akan menanti untuk menerima penyerahan memorandum itu.

Di kotak komen entri itu aku antara lain mencatatkan betapa kini terlalu banyak satira yang menimpa bangsa dan bahasa ini. Kucatatkan lagi dengan mengatakan aku mencatat dan merakam semua itu dengan caraku sendiri. Pada waktu sama, kataku lagi, aku melihat munculnya beberapa ekor biawak dan ular di kalangan sasterawan serta seniman. Tegasku, kerana adanya ular dan biawak inilah maka kita mudah menjadi tewas.

Kepada HA dan S kukirim mesej ringkas akan turun ke sana besok. Mereka kembali membalas dengan pesan agar langsung ke Masjid Negara. Juga kukirim sms sama kepada BZ .


4. DIARI 2

Sabtu, Mac 7 2009
JAM tiga pagi aku baru dapat lelapkan mata. Namun jam 6.00 pagi bangkit lagi dan segera ke kamar mandi. Tidak begitu tergesa kerana semalam, sejak petang, aku sudah siapkan apa yang perlu kubawa nanti ke sana. Kepada M dan Z juga kuberitahu waktu tinggalkan rumah untuk ke hentian M adalah jam 6.30 pagi.

Tinggalkan rumah jam 6.45 pagi. M tolong hantar ke hentian M.

Silap aku juga tidak mengakuri nasihat Z agar singgah membeli bekal kecemasan di tengah perjalanan di kedai serbaneka tadi bila jam 7.40 tekakku mula terasa dahaga dan kupinta M tergesa membeli sebotol kecil air minuman.

Di dalam bas, aku tersilap berikan tiket untuk pulang 8 Mac. Baru kusedari ketika aku tanyakan nombor kerusiku yang kulihat sudah ada penumpang kepada pemandu.

Ketika singgah di hentian rehat Temerloh kurang lebih jam 10.00 pagi kukirim sms kepada BZ. Kataku, lewat sms itu, aku kini di dalam bas menuju ke sana.

Lewat telefon BZ maklumkan akan bertolak dari rumah Pena dan sarankan agar aku langsung sahaja ke Masjid Negara kerana di depan rumah Pena kelihatan sekatan polis.

Kusms juga Sinaganaga beritahu kedatanganku. Sinanaga juga menyuruh aku langsung ke Masjid Negara.

Tiba di hentian Pekeliling kurang lebih jam 11.30 pagi.


SEMASA
Selepas daftarkan diri dan membayar harga kamar di sebuah hotel murah, aku bergegas kembali naiki LRT menuju ke Hentian Pasar Seni. Sinaganaga menelefon menyuruh aku ke restoren di bahagian belakang Annexe.

Ketika melewati hadapan Pasar Seni kulihat sebuah trak polis dan aku mengambil jalan jauh untuk mengelak.

Sinaganaga telefon bertanya apakah aku sudah sampai atau belum ke Pasar Seni. Aku beritahu aku mengambil jalan agak jauh sedikit kerana berasa kurang selesa melewati trak polis. Sinaganaga kata aku bohong dan aku jawab suka hati kaulah.

Ketika menghampiri Annexe, kulihat Sinanaga sudah berdiri menunggu dan kemudian langsung mengajak aku ke restoren berhampiran. Sinaganaga memesan teh tarik dan mee goreng kosong, aku memesan teh o dan mee goreng kosong. Setelah menelan beberapa suap mee ke mulut, aku menelan sebiji setengah pil pengurang kandungan gula di dalam darah. Vovin muncul dengan kamera dan tergesa-gesa pula pergi kerana mahu membeli bateri untuk kameranya.

Ketika Vovin kembali dengan dua bateri untuk kameranya, Sinaganaga bercakap entah dengan siapa dan beritahu dua bas memuatkan orang peribumi untuk ke perhimpunan si Masjid Negara telah ditahan berhampiran Kajang. Aku tidak komen atau berkata apa-apa dan malah cuba mengelak kalau nanti bertembung dengan pasukan keselamatan. Aku hanya memerhati dan biarkan Sinaganaga meneruskan bualannya dengan Vovin mengenai kamera.

Dalam diam aku berfikir sendiri. Aku datang bukan pun atas nama pejuang bahasa atau apa-apa. Aku hanya datang sebagai diriku sendiri yang ingin merakam dan mencatat peristiwa dan sekaligus juga yang turut berasa bertanggungawab memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang secara ikhlas dan tanpa bernaung atas nama mana-mana ideologi untuk mempertahankan bahasanya.

Tanpa didorong dan dipengaruhi oleh mana-mana pun ideologi politik, aku sendiri meyakini betapa pilihan mengajarkan sains dan matematik sebagai ilmu dengan atau melalui bahasa Inggeris dan bukan bahasa Melayu, sesungguhnya adalah satu pilihan dan tindakan yang silap.

Dan aku secara peribadi, juga semua penentang PPSMI, tidak menghalang dan menentang sebarang usaha untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ajar dan kuasailah bahasa itu. Kita menyokong demi untuk bertanding di dunia global.

Tetapi yang ditentang adalah caranya, bukan usaha. Mengorbankan bahasa Melayu, sebagai identiti bangsa Melayu, untuk tidak menjadikannya bahasa pengantar menguasai ilmu sains dan matematik, tetapi dengan bahasa Inggeris, maka itulah yang disanggah dan minta segera diperbetulkan.

Keterlaluan dan bodoh sangatkah permintaan sebegitu?

Tetapi secara peribadi, aku berasa sangat pelik dan hairan, kenapakah seorang yang bertaraf menteri sulit dan susah sangat untuk mengerti sebab dan asas kenapa ketidaksetujuan itu dinyatakan oleh pihak yang membantah dan meminta secara baik agar tindakan dan pilihan yang silap itu segera dihentikan.

Apa hujah yang tidak diberi lagi untuk pengetahuan dan penilaian mereka yang bergelar menteri dan orang-orang sekitarnya ini? Rasanya sudah terlalu banyak. Tetapi kenapa seorang menteri masih berulang-kali menyatakan dalih hairannnya dengan bertanya kenapa kini pembantah baru bersuara selepas enam tahun?

Apa menteri lupa atau fakta sebenar sengaja disembunyikan oleh penasihat-penasihatnya yang berlagak cerdik di sekitar dirinya, betapa bangkangan itu sudah pun kedengaran sejak mula dan malah sudah ada pihak yang mengemukakan kes itu ke mahkamah, namun sampai kini kes itu didiamkan dan langsung tidak disebut, sehingga memerlukan GAPENA mengemukakan saman baru. Apakah seorang menteri tidak tahu mengenai itu?

Sungguh. Aku tidak datang dan malah sama sekali tidak berniat dan tidak mahu menumpang nama menjadi pejuang bahasa, semata-mata kerana datang memberi sokongan dari jauh dan secara pasif seperti hari ini.

Aku hanya datang sebagai diriku sendiri yang tidak berkait dan bernaung di bawah mana-mana paksi politik.

Malah, aku sudah bertekad nekad, kalau ada sebarang bentuk keganasan dan kekacauan, walau oleh siapa pun yang memulakannya, aku hanya mahu merakamkan dengan foto dan akan segera menjauh selepas itu untuk mengelak ditahan kerana disalahsangkakan oleh pihak keselamatan sebagai pengganas.

Di luar hujan mulai merintik. Sinaganaga membayar harga makanan dan minuman. Dan lamunanku segera terhenti tatkala Sinaganaga berkata jom kita gerak.

Aku, Sinaganaga dan Vovin mengambil jalan pintas melangkau jambatan kecil bersebelahan, melewati bahagian bawah bangunan Daya Bumi untuk ke Masjid Negara. Aku berasa segan pula bila Vovin yang membawa payung, sambil berjalan beriringan denganku, bersusah payah memayungkan aku.

Dari muka simpang jalan mahu ke Jalan Cenderasari, aku melihat sejumlah pasukan keselamatan dan beberapa kenderaan serta motor scrambler menanti di depan Masjid Negara. Dari jauh, aku mendengar suara orang berucap dan kemudian disusuli teriak. Kami mempercepatkan langkah kerana khuatir ketinggalan untuk merakamkan peristiwa “bersejarah” itu. Walau Sinaganaga hanya dengan kamera digital poket 7 megapixel, aku dengan sebuah kamera digital poket 4.0 megapixel berharga di bawah RM 400.00, kecuali Vovin yang lebih canggih kameranya, kami tetap ingin merakamkan peristiwa sebagai bukti bahawa kami tetap juga bersuara untuk sesuatu yang diyakini sebagai benar dan tanpa perlu bertindak di luar batasan.

Begitu menghampiri pagar Masjid Negara, kulihat pusuan manusia di dalam kawasan masjid mula bergerak dan ini segera disambut pasukan bertopi merah dan berbelantan di depan pagar. Terjadi rempoh merempuh dan kulihat pasukan bertopi merah ini bagaikan berlembut dan tidak begitu sangat mahu menghalang.

Tanpa mempedulikan Sinaganaga dan Vovin aku menghampiri dan menekan punat kameraku berkali-kali. Tanpa sedar bahawa hujan semakin lebat merenyai dan bateri di dalam kameraku habis.

Aku tergesa berlari ke arah belakang sebuah kenderaan pasukan keselamatan untuk berlindung dari rintik hujan dan menukar bateri kamera. Aku terperanjat bila melihat seorang lelaki berkopiah putih dan berbaju oren ditarik oleh seorang lelaki berjanggut, berserban dan berbaju T warna merah ke dalam sebuah trak. Pada masa sama kudengar seseorang berteriak: hendak kena sembor dengan air juga ini.

Pasukan bertopi merah berundur dan gerombolan manusia kulihat semakin bergerak keluar dan aku menerpa untuk merakamkan foto lagi. Sempat sekeping, kamera cap ayamku menjadi kejang dan aku kecewa sungguh.

Ketika gerombolan manusia semakin bergerak dan memenuhi jalan, menyongsong arus menuju ke jalan ke arah Wisma Pahlawan, aku terpinga-pinga sendiri di tepi jalan di depan Masjid Negara dan mencari kelibat Sinaganaga dan Vovin. Kulihat mereka sedang asyik merakamkan foto dan berdiri di atas pembahagi jalan untuk mendapatkan sudut yang lebih jelas. Aku cepat berfikir apakah mahu masuk sama ke dalam arus manusia atau memilih jalan pintas yang lain untuk ke Istana Negara secara bersendirian.

Kenderaan bertali arus memperlahankan gerak dan membunyikan hon serta serta mengangkat tinju tanda sokongan. Malah beberapa pemandu bukan berbangsa Melayu juga kulihat melambaikan tangan dan merakamkan foto dari dalam kenderaan masing-masing.

Dalam keadaan aku sedang berfikir dan ingin memilih itu, kudengar suaraku diseru berkali-kali dan ketika kutoleh ke arah panggilan itu, kulihat Dato’ Baha Zain menjerit dan melambaikan tangannya ke arahku. Di samping Dato’ Baha kulihat seorang atau dua temannya berwajah sasa. Tanpa panjang berfikir, aku segera melintas dan bergabung di sebelah Dato’ Baha. Ketika itu juga, kulihat Sinaganaga bukan main galak lagi menghalakan kameranya ke arah Dato’ Baha dan aku.

Kerana berasa terharu melihat lautan manusia yang sanggup merempoh hujan, di sebelahku dan di depan kulihat pasangan suami isteri mengusung bayi di dalam kereta sorong atau dengan mendokongnya sahaja, tidak kusedar perlahan air mataku merembes membasahi pipi. Mujur hujan yang semakin kasar renyainya mampu menyembunyikan aliran air mataku di pipi, yang segera kulupuskan kesannya dengan sepotong sapu tangan.

Di bawah sana, kedengaran dengung siren kenderaan dan lautan manusia memenuhi jalan sesekali kudengar bertakbir memuji kebesaran Allah. Tiada siapa yang kulihat berwajah ganas atau tanda-tanda membawa sebarang alat dan senjata untuk bertindak ganas. Dan aku berasa pelik juga bila melihat kebanyakan orang, kecuali aku dan Dato’ Baha hanya berpakaian seperti mahu bersantai, yang melilitkan lehernya dengan kain tuala atau kain yang lebih panjang.

Melewati jalan menghampiri bangunan Wisma Pahlawan, beberapa anggota keselamatan berdiri di muka dan di tengah jalan menuju ke arah Dewan Perhimpunan China Selangor dan mengarahkan gerombolan manusia menghala ke Jalan Kampong Attap. Di dalam hati, aku berasa hairan juga bila melihat begitu mesra dan baik hatinya anggota keselamatan ini mengarahkan gerombolan manusia menuju ke Jalan Kampong Attap. Ketika di sini jugalah, kulihat muncul Rahimidin Zahari, Lutfi Ishak, Saifulizan Yahya, Ariff Mohamad dan Ghafirah Idris dari UIAM Gombak besama teman perempuannya. Kami berjalan bersaing dan Dato’ Baha kulihat semakin mempercepatkan jalannya menuju ke Jalan Syed Putra.

Ketika gerombolan manusia semakin menyesaki Jalan Syed Putra, kulihat dari jauh kepolan asap dan seseorang yang berjanggut dan berkopiah putih yang sejak tadi kulihat mengambil berat dan memastikan keselamatan di tengah lalu lintas berteriak: mereka sudah melepaskan gas.

Pada masa yang sama telefonku berdering dan ketika kuangkat, Sinaganaga beritahu satu pasukan datang dari arah Hotel Mirama menuju ke tempat aku sedang berdiri di tengah gerombolan manusia itu untuk menyemborkan gas atau asap. Naluriku pantas bertindak dan kuberitahu kepada lelaki berjanggut dan berkopiah itu dengan beberapa kali jeritan: dari Mirama ada kenderaan datang untuk menyembor. Dan lelaki itu segera menyahut dan menyuruh orang menyelamatkan diri. Orang ramai kulihat mulai mengeluarkan kain dan menuup muka.

Aku kalut mencari di mana Dato’ Baha, namun tidak kulihat lagi di mana dia. Begitu juga Rahimidin Zahari, Lutfi Ishak, Saifulizan Yahya, Ariff Mohamad dan Ghafirah Idris dari UIAM Gombak besama teman perempuannya sudah tidak kelihatan di mataku. Aku terpinga-pinga mengeluarkan potongan sapu tangan dari saku seluarku untuk cuba menutup hidung, namun apa yang boleh ditutup dengan sepotong sapu tangan yang sekecil itu.

Kepolan asap itu mulai merebak di bawa angin dan aku mulai berasa pedih mata, hidung dan tekak. Mujur di dalam begku masih bersisa air meniral penghilang dahagaku. Segera kubasahkan sapu tangan dengan air mineral di dalam botol dan menekup hidung dan muka, namun semakin terasa perit dan pedih. Di sebelahku, kulihat satu pasangan suami isteri terkial-kial dengan bayi digendongan isterinya. Aku berlari sendirian melintas sebuah bangunan dan melewati bahagian belakang sebuah kawasan lapang. Nafasku terasa semput dan hampir habis. Sambil berlari sambil kusiram mukaku dengan air dan menekapkan dengana potongan sapu tangan yang basah. Akhirnya, tercungap-cungap aku sampai ke kawasan gerai di bawah jejambat. Di situ kulihat sudah ramai orang berteduh.

Aku duduk di salah satu bangku di sebuah gerai mamak di bawah jejambat itu. Sambil menekap mukaku dengan potongan sapu tangan basah. Dan sedikit mereguk baki air di dalam botol. Dan seorang pemuda yang tidak kukenal, menghulurkan beberapa buku garam.

Dato’ Baha yang kutelefon tidak menjawab panggilanku.

BERIKUTNYA
Kurang lebih jam 5.00 petang, kembali aku berjalan sendirian menyusur laluan. Jalan sudah semakin sepi. Hujan renyai sudah semakin halus rintik dan renyainya. Kecuali kelihatan petugas keselamatan di muka atau simpang jalan. Kurakamkan kini jalan yang sudah menyepi itu sebagai ingatan dan demi untuk menghindar agar aku tidak menjadi manusia pelupa di akhir nanti.

Aku tidak tahu apa akan terjadi jika tadi tidak diberitahu Sinaganaga dan takdirnya aku terkepong di tengah-tengah antara dua semboran gas atau asap itu. Jantong tuaku aku tahu sudah tidak sekuat dulu menahan henyakan asap.

Di jalan menghala ke Masjid Negara beberapa kenderaan berwana merah berderet di tepi. Aku beranikan diri mendekati untuk merakamkan beberapa foto kubah setesen kereta api. Sebelumnya, Sinaganaga hantar mesej. Katanya masjid juga kena sembor.

Tetapi kini suasana sudah agak mereda. Pasukan keselamatan hanya memantau dan aku tahu mereka hanya bertugas kerana arahan. Jauh di dalam hati, jika mereka memang datang dari kampung dan berbangsakan bapa seorang Melayu, pasti juga tersentoh hatinya melihat bagaimana manusia sebangsa dengannya diperlakukan sebegitu semata-mata hanya kerana mahu mempertahankan bahasa Melayu miliknya.

Aku percaya itu dan aku yakin mereka bukanlah robot yang tidak berperasaan, yang tentu sahaja boleh berfikir dan membuat pertimbangan. Kerana itu jugalah, aku berasa kasihan melihat beberapa pemuda yang kulihat segak dan berwajah bersih di dalam kenderaan berwarna merah itu. Kukira hati dan perasaan mereka tentulah juga sejernih dan sebersih wajah mereka, hanya, kerana tugas dan perut sahajalah mereka terpaksa melaksanakan segala tugas yang diarahkan.

Kerana itu juga, aku sengaja tidak ambil peduli dan membuat tuli bila seorang dari mereka yang keluar dari kenderaan, ketika sedang kurakamkan beberapa foto kubah setesen kereta api dari dekat dan berhampiran dengan kenderaan mereka, menyindir betapa banyaknya foto yang kuambil.
Apakah kebetulan atau memang demikian fonemena alam, ketika kurakamkan foto menara Masjid Negara dari atas jalan menghadap menara setesen kereta api, langit sebagai latar belakangnya kulihat redup, berkabus dan mendung. Hatiku sedikit tersentuh rasa. Apakah alam juga turut berduka dan mengerti situasi? Namun segera pula kupujuk hati agar tidak terlalu berlara atau mengharapkan menteri supaya segera mengerti kenapa aku turut berada di senja yang redup dan direnyai rintik hujan berhampiran masjid ini.

DAN SETERUSNYA
Semuanya telah menjadi sejarah milikku peribadi. Begitu aku berfikir ketika bersendirian di kamar hotel cap ayam. Sambil sendiri mengurut dan memicit urat dan sendi yang terasa lenguh. Lama dan tidak sudah juga aku berfikir kenapakah terlalu sulit untuk seorang menteri belajar mendengar dan menerima. Atau dia sebenar diberikan nasihat dan maklumat yang salah oleh para penasihat di sekeliling dirinya?

Aku tidak fikir, permintaan ini terlalu sulit untuk dilaksana oleh seorang menteri. Dan kalau misalnya permintaan ini ditunaikan, betapa pun kini diambil sama sebagai suatu kesempatan dan modal oleh parti politik pembangkang, tidak bererti yang menang adalah pihak politik pembangkang. Tetapi bagiku, dengan cara begini, rakyat yang sebelum ini menolak di dalam pemilu 8 Mac 2008 akan kembali menyokong dan mendokong kembali pemerintah kini dengan undi mereka. Dengan begitu juga, rakyat akan kembali berasa pecaya betapa pihak yang di atas sudi mendengar dan memberi ketika rakyat sedang meminta.

Jadi, kenapakah mesti takutkan bayang-bayang dan melayan rakyat yang datang untuk meminta dengan semboran asap atau gas pemedih mata?

Apakah berjalan beramai-ramai untuk melihat, meminta dan bertemu seorang Raja, sebagai pusat dan tanda kesetian harapan seluruh bangsa Melayu itu merupakan satu kesalahan, sehingga boleh dikelaskan sebagai tindak keganasan dan perlu dihambat sebegitu rupa?

Tolonglah. Kalau bukan kepada seorang Raja dan seorang menteri yang bijaksana, kepada siapa lagi bangsa ini hendak meminta?

Dan sampai kini, aku masih tidak mengerti, untuk apakah sebenarnya rakyat yang berjalan secara aman, tanpa melakukan sebarang keganasan, mesti disembor dengan asap atau gas?

Diam-diam, sebelum lelapkan mata, kepada diri kukatakan, aku tidak datang sebagai pejuang atau menyimpan apa-apa hasrat yang boleh menyamainya. Aku hanya datang sebagai tanda sokongan untuk sesuatu yang kufikirkan baik demi maruah dan identiti bangsa Melayu iaitu bahasa. Dan kalau bahasanya sendiri sudah tidak bernama, apakah lagi yang melayakkan seorang dia bernama Melayu?

Tetapi, kalau untuk dan demi itu pun, sebegitu rupa aku diperhina , apakah ini?

Aku tidak pasti, siapakah yang dapat memberikan aku jawapan. Dan aku akan tetap terus sendiri dengan yakinku. Tanpa lagi peduli walau akan diperhina lagi beribu kali oleh bangsaku sendiri. Kerana aku ingin tetap menjadi Melayu, Melayu yang tetap sebagai Melayu.

KETERANGAN GAMBAR:
1] Salah satu pemandangan indah yang sempat kurakam.
2] Sudah terlalu jelas mesejnya. Tetapi kenapa masih tidak faham?
3] Sebelumnya, ribuan manusia melewati jalan ini secara aman.
4] Mampukah hanya dengan kaki dan tangan pasu di tepi pagar masjid ini dapat dipecahkan?
5] Di bawah jejambat inilah aku berhenti melepaskan semput dan menghilangkan pedih mata
6] Sebelumnya, di sinilah aku terhidu gas pemedih mata dan bercempera melarikan diri.
7] Aku tahu, mereka hanya melaksanakan tugas dan arahan.
8] Menara Masjid Negara dilatari langit berkabus dan mendung.
9] Itulah yang menjadi tuntutan

Mac 8 - 9, 2009

Jumaat, Mac 06, 2009

MENULIS: ANTARA MENTOR DAN MENCARI AKAR DIRI

Oleh MARSLI N.O



PERLUKAH seorang mentor bagi seorang calon penulis? Begitulah soalan yang segera menerjahi benak tatkala seorang teman berbual di ruang maya menyatakan lewat telefon betapa dia berasa sedih dan kecewa.

Sedih dan kecewanya itu kerana seseorang yang dia anggap sebagai mentor penulisannya telah berpindah dan kini berada jauh. Sedangkan, menurut teman ini, semangat hendak menulisnya baru hendak kembali membara.

Memang pun adat hidup. Berpisah selalu mendatangkan rasa sedih. Apa lagi kalau perpisahan itu melibatkan dua insan yang berlainan jantina.

Tetapi kalau didengar dari nada percakapan teman ini, kecewa dan sedihnya bukanlah kerana putus kasih dan cinta. Sebaliknya, sedihnya adalah kerana seseorang yang dianggapnya sebagai mentor itu amat dihormati dan kagumi.

Tentu sahaja tiada apa yang salah dan songsangnya kerana rasa sedih sahabat ini. Rasa sedih dan kecewa bila berjauhan dengan seseorang yang kita hormati secara wajar dan sekaligus kerana rasa keterikatan lantaran kesamaan minat, juga sesuatu yang normal.

Apa lagi bila kesamaan minat itu berkaitan dengan bidang tulis dan menulis, yang kadang-kadang di antara tulisan itu memerlukan pula tumpuan hati serta perasaan yang lebih mendalam. Tentu sahaja rasa sedikit “terluka” dan “terpisah” akan membekas di dalam hati dan jiwa.

Tetapi, betapa pun hati dan perasaan, kerana tuntutan bentuk, fokus dan genre sebuah karya perlu diutamakan, penulis mahu tidak mahu perlu juga pada waktu yang sama belajar menjadi pemikir dan pengawal hati serta jiwanya sendiri.

Katakanlah dia seorang penyair. Di samping mengikut kehendak hati dan jiwa ketika bergulat dengan proses penciptaan karya puisinya, pasti sahaja, agar puisi dan sekaligus dirinya tidak menjadi cengeng dan melulu menyatakan hasrat perasaannya, perlu juga dia menjadi pemikir yang menyelitkan sedikit dan secuil inti fikir serta falsafah yang menjadi landas serta kepercayaan hidupnya.

Sebagai contohnya, jika dia sedang kembali jatuh cinta dan ingin menyatakan hasrat cintanya kepada seseorang, tidak dia nyatakan hasrat cinta di dalam sajaknya itu dengan kata yang sampai dapat menggambarkan kobaran nafsu.

Sebaliknya apa yang dia nyatakan, seboleh mungkin agar meninggalkan kesan yang agak berteka- teki, misteri dan mengundang pertanyaan lain, yang lebih jauh dan mendalam mengenai hidup dan makna sebuah percintaan. Atau dalam kata lain, kesan dan kisah cinta yang digambarkan di dalam karyanya, menimbulkan nuansa yang lain dari cinta biasa yang berlandaskan nafsu.

Begitu jugalah tatkala seorang penyair mahupun calon penyair menghadapi perpisahan dan menanggung rasa kecewa di dalam hati dan jiwanya. Kecewa yang dirasai seharusnya menjadi bara yang kemudian boleh marak dan berkobar menjadi api. Rasa kecewa itu adalah percikan atau benih awal sebuah puisi.

Selagi seorang penyair mahupun calon penyair tidak terlalu mudah tunduk dan ditewaskan oleh hati dan perasaannya sendiri, segala yang ditempuhi di dalam hidupnya tidaklah akan menjadi sia-sia. Mengalami dan mendepani rasa sedih, kecewa, kegagalan, kekalahan, henyakan dan segala macam jenis dugaan yang memedihkan hati, jiwa serta perasaan, bagi seorang penulis mahupun penyair, segalanya tetaplah ada gunanya.

Syaratnya, seorang calon penyair mahupun penulis hendaklah sentiasa bersikap terbuka dan berani menghadapi segala duga di dalam hiupnya. Dengan sikap sebegini, sekaligus diri seorang calon penyair mahupun penulis boleh segera bangkit dari segala yang menghenyak dan mengganggu hati, jiwa serta perasaannya.

Kebangkitan ini akan kembali memarakkan hati, jiwa serta perasaan, supaya belajar untuk melihat sesuatu tidak hanya apa yang ada di permukaan. Sebaliknya, di samping yang dipermukaan, yang perlu direnung dan difikirkan adalah apa pula maksud di sebalik sesuatu kejadian.

Di mata seorang calon penyair mahupun penulis, perlu ditanamkan tabiat untuk melihat dan mendepani segala sesuatu yang terjadi seperti melihat sekeping duit syiling. Di sebalik yang satu di permukaan atas, di sebelah atau di bawahnya, akan ada permukaan yang lain.

Malah tidak keterlaluan jka dikatakan betapa di mata seorang calon penyair mahupun penulis, analoginya samalah dengan sebuah cermin. Begitu tiba sesuatu imej di permukaan cermin atau penglihatannya, imej tersebut kembali akan dilantulkan dan akan dapat dilihat oleh penerimanya, iaitu sesuatu yang telah dicerna dan diberikan tafsiran baru dan lain oleh seorang calon penyair mahupun penulis sebagai sebuah cermin.

Jadi, tidak ada salahnya jika hati dan perasaan seorang calon penyair mahupun penulis berasa tersentuh tatkala terjadinya perpisahan dengan mentornya. Hanya yang perlu, sedikit latihan dan amalan agar perasaan cepat terasa dan sedih itu didisiplinkan agar tidak menjadi perasaan cengeng yang melulu.

Siapa pun di dunia ini memang perlu memahami hakikat sebenar kehidupan dan dirinya, apa lagi bagi seorang yang berniat menjadi penyair mahupun penulis. Dengan cara belajar memahami dan menerima sesuatu hakikat, manusia akan cepat belajar dan mengenal akar dirinya sendiri. Dan pentingnya mengenal akar diri sendiri dan memegang kukuh keyakinannya yang benar, kerana hanya dengan begitu seorang seorang tidak akan mudah hanyut dan menghindar jiwanya dari perasaan mahu sentiasa berada di bawah bayang yang dikagumi ataupun sang mentor.

Apa lagi jika seorang penyair mahupun calon penyair kebetulan bermentorkan seseorang yang sifatnya memang mahu mengumpul seramai mungkin pengikut dan pengekor. Sangat berbahaya jika tersalah memilih mentor yang sedemikian.

Siapa pun, penulis mahupun penyair, sepatutnya lahir dan tampil sebagai dirinya sendiri. Jika selamanya memilih berdiri di bawah bayang mentornya, sulit untuk dirinya menampilkan jati dirinya sendiri.

Justeru itu, mentor memanglah perlu selagi dalam batasan tidak sampai dijadikan berhala atau selalu memaksakan kehendaknya kepada menteenya.

Jun 17, 2008

Sumber siaran: Mingguan Wasilah, Bil 100, 1 – 7 Mac 2009

Rabu, Mac 04, 2009

TUHAN, SAYA HANYA INGIN MENULIS

TUHAN, saya hanya ingin menulis. Salah dan keterlaluan sangatkah permintaan saya ini?Kalau benar tidak salah dan tidak keterlaluan, kenapa saban waktu, walau saya hanya berurusan dengan diri sendiri dan urusan menulis saya, namun saya tetap juga dihenyak dan diherdik oleh mereka yang menganggap saya ini seorang pengkhayal dan pemimpi?

Tuhan, tolonglah saya. Kadang-kala sebagai manusia yang lemah dan kerdil di hadapan-Mu, saya berasa terganggu dan tergugat juga kerana anggapan serong itu.

Tuhan, kenapakah manusia suka menyakiti dan menghina sesamanya? Apakah kerana saya memilih untuk menulis dan menulis maka mereka berasa punya hak untuk menghina dan menyakiti saya?

Tuhan, tolong dan berilah saya kekuatan untuk menghadapi semua dugaan. Berilah saya semangat agar tetap menjadi manusia yang tabah dan tidak mudah peduli serta cepat berasa kecil hati, walau berjuta kali dihina, dihenyak dan disakiti oleh mereka.

Tuhan, tolong dan bantulah saya. Saya hanya ingin menulis. Berilah saya kekuatan untuk terus berasa bahagia kerananya dan kerana itu juga, setiap kali selepas bangkit dari lelapnya, lapang dan luangkanlah hati saya agar sentiasa mahu mengucapkan syukur kepada-Mu.

Tuhan, maafkanlah saya. Kalau permintaan saya ini amat keterlaluan.

Mac 4, 2009

SIAPA KACANG DAN SIAPA KULIT

ABANG ada masalah apa-apakah dengan dia itu? Seorang pemuda yang mengaku baru pulang dari satu rombongan sastera mengajukan tanya itu kepada saya.

Masalah apa pula? Seingat saya, sudah hampir lima tahun saya tidak berurusan lagi sebarang hal dan perkara mengenai sastera dengan dia.

Tetapi pemuda ini memberitahu, kalau tiada apa-apa masalah, kenapa dia cakap abang ini kacang yang lupakan kulit dan sudah rasa besar diri sebab banyak karya yang diterbitkan.

Saya hanya merenung wajah pemuda yang menyatakan minatnya hendak bersastera ini beberapa detik lamanya. Sekejap saya menggeleng dan mengeluh. Dengan suara bergetar, saya meminta pemuda tersebut lupakan sahaja perkara itu dan saya tegaskan kepadanya, saya berusaha untuk tidak ambil hati atau berasa tergugah apa-apa kerananya.

Tidak tahulah saya kenapa tidak sudah-sudahnya buat perangai bodoh yang seorang ini. Kenapa tidak kalau benar rasa tidak puas hati apa-apa dengan saya dia datang dan cakap sahaja secara berdepan. Supaya senang saya jelaskan dan huraikan segala yang menjadi benang kusut di dalam hatinya itu.

Apalah yang akan dia dapat sebagai hasilnya jika asyik duduk buka cerita depan budak-budak yang baru hendak belajar kenal makna berpersatuan dan sastera, konon saya ini kacang lupakan kulit, tidak tahu kenang budi dan sudah rasa besar diri.

Pelik sungguh. Siapa yang kacang siapa yang kulit ini. Kenang budi siapa pula. Budi dia seorangkah? Bila pula saya memakan budi dia? Sedangkan seingat saya, saya masuk persatuan itu dahulu tanpa sokongan sesiapa dan saya keluar dari persatuan itu juga pun bukan kerana tidak suka kepada sesiapa, tetapi kerana saya mahu lebih tumpukan waktu terhadap penghasilan karya.

Apakah kerana itu maka saya ini menjadi kacang yang lupakan kulit?

Kalau benar kerana itu sahajalah maka demikian tuduh dan tohmahnya, saya fikir buang masa sahajalah melayan dan mendengarnya. Apalagi bila sekejap saya renung dan hitung penghasilan dia sebagai seorang sasterawan.

Kalau karya yang dia hasilkan melangkaui apa yang sudah saya hasilkan, tidak mengapalah juga. Tetapi kalau setakat begitu-begitu sahaja, memanglah wajar kalau saya anggap segala tuduh dan tohmahnya terhadap saya itu mungkin semata-mata kerana ingin mengubat rasa kecewa dirinya sendiri.

Yang pasti, saya tidak pernah pun mengemis minta makan atau sesuatu dari dia.

Mac 2, 2009

Selasa, Mac 03, 2009

KALAU DIA TAHU MALU, TENTULAH TIDAK BEGITU


BIASAKAH kita bertemu dan melihat seseorang yang walau diketahui semua dia berbuat sesuatu yang salah dan jijik, namun masih sanggup dia ke sana dan ke mari, seolah-olah tiada suatu apa pun yang sudah terjadi?

Zaman sekarang ini memang itu bukan suatu perkara yang ganjil dan langka. Kalau mereka yang terpandang dan selama ini dikenal sebagai pemuka atau pemimpin pun sanggup, apa lagilah pula sesiapa yang tiada apa-apa kedudukan serta gelarannya di dalam masyarakat.

Di kalangan mereka yang mengaku dan menggelar dirinya sebagai sasterawan pun tidak kecuali. Ada banyak benda dan perkara yang dilakukannya dan diketahui banyak orang sebagai salah di segi moral dan agama, namun dia tetap juga berlagak seolah tiada apa-apa dan tiada siapa mengetahui perbuatannya.

Apabila perkara atau sesuatu kejadian itu melibatkan pula diri kita sendiri sebagai mangsa, lagilah pula.

Kita tahu sesuatu itu, kerana cukup dengan buktinya, memang dia dan konco-konco dialah yang menjadi dalangnya, tetapi dia boleh dan sangat licik bersandiwara seolah-olah tidak tahu menahu dan tidak terlibat apa-apa. Atau mungkin juga dia menyangka memang kita tidak tahu hal dan siapa yang menjadi dalang sebenar.

Kita pun memang tahu jenis manusia ini memang jenis tidak tahu malu dan sanggup buat apa sahaja untuk mencapai hasrat hatinya. Soal caranya benar atau salah tidak jadi soal. Pokoknya asalkan hati dia berasa puas kerana dapat aniaya seseorang, atau buat khianat kepada sesiapa. Tidak kira dan pedulilah yang menjadi mangsa itu apakah seorang lelaki atau wanita, tua atau muda.

Tidak ada apa-apalah. Setakat kena aniaya dan dikhianati itu memang perkara biasalah dalam hidup. Tidaklah sampai hendak menangis meraung-raung hingga berguling-guling di atas tanah. Itu kerja bodohkan diri sendiri.

Lagi pula, orang yang sanggup buat khianat itu pun nampaknya tidaklah mendapat apa-apa juga. Masa dulu, masa dia ada sesuatu dan pegang sesuatu benda, memanglah nampak macam hebat, nampak berkuasa sangat dan semua orang hormatkan dia.

Tetapi bila macam sekarang. Bila tiada lagi kerusi dan gelaran, apa pun nampaknya dia tidak ada juga. Kereta tetap kereta yang dulu juga, rumah pun tetap rumah yang dulu juga. Dan sebagai seorang sasterawan? Pun dia tiada suatu apa juga.

Memang dia tidak tahu malu. Mempergunakan orang lain supaya berbuat khianat dan aniaya orang lain untuk kepentingan dan keseronokan dirinya sendiri bukanlah perbuatan baik dan terpuji.

Namun kalau saya pernah menjadi salah seorang dari mangsa perbuatannya, saya tidak pun ingin menghukum atau memberikan penilaian apakah dia begitu atau begini. Seperti selalu, saya akan belajar dan mengambil sesuatu teladan dari sesuatu kejadian yang menimpa diri.

Dengan cara memperhati dan merenung sewajar mungkin segala perbuatan dia yang pernah menyusahkan saya, saya dalam waktu yang sama juga turut belajar sesuatu dan mengambil teladan darinya.

Sebagai teladan dan satu pelajaran, saya dapati betapa bila kita selaku manusia, lebih-lebih lagi sebagai seorang sasterawan tidak lagi memiliki rasa malu dan mahu menjaga maruah serta harga dirinya, apa sahaja akan boleh dan sangup dia lakukan. Kalau misalnya dia perlu memijak dan berbuat khianat kepada orang lain, semata-mata demi untuk mencapai segala maksud dan bagi kepentingan dirinya sendiri, pun itu sanggup dia lakukan.

Di samping itu, perkara yang lain yang juga saya ambi dan jadikan teladan adalah betapa perbuatan-perbuatan kita untuk menganiaya seseorang, walaupun pada zahirnya nampak seperti menguntungkan diri kita sendiri, namun pada hakikat yang sebenarnya tidaklah mendatangkan apa-apa yang keuntungan yang abadi sifatnya. Malah di segi zahirnya juga, jika diperhati serta diperhalusi benar-benar, sudah nampak tiada apa-apa perubahan dan keuntungannya dibandingkan dengan orang yang pernah menjadi mangsa aniaya itu.

Kerana begitulah juga, jika sekarang ini masih ada sesiapa yang cuba hendak berbuat sesuatu yang khianat atau tidak elok terhadap diri saya, saya tidaklah mahu berfikir sangat dan tidak mahu ambil peduli.

Apa lagi kalau sampaikan hendak bersedih hati, risau dan gelisah. Saya sudah lama putuskan dan katakan kepada diri, dari saya memikirkan segala perbuatan dan kata-kata orang terhadap diri saya, yang sudah terang lagi jelas hanya membazirkan masa saya, lagilah baik saya meneruskan segala kerja dan tugas yang saya mulakan sejak dulu dengan keyakinan total itu: menulis dan terus menulis.

Dan untuk sedikit berlaku adil, saya rasa, saya perlulah juga memberikan sedikit terima kasih kepada sesiapa sahaja yang berasa antara tugas dan peranan penting yang perlu dia lakukan adalah mencari jalan dan usaha untuk menyusahkan orang lain, yang mungkin juga salah seorangnya adalah saya.

Februari 20, 2009

Isnin, Mac 02, 2009

SALAH SATU PERKARA YANG PALING SAYA BENCI


TERUS-TERANG saya katakan, perkara yang salah satu paling saya benci di dalam hidup ini ialah menghadapi dan melihat manusia yang hidupnya suka berpura-pura dan mengambil kesempatan ke atas diri orang lain secara khianat.

Kerana itulah, kalau misalnya seseorang itu dahulunya pernah saya berkawan dengannya, bila mengetahui dan tentunya setelah mengalami sendiri dan menjadi bukti betapa dia ini seorang manusia yang suka berpura-pura dan suka mengambil kesempatan secara khianat, saya tanpa rasa rugi apa-apa akan merenggangkan diri dia.

Saya tidak kira apakah dia ini berpangkat besar dan punya kedudukan yang mungkin boleh membantu saya berjaya dan meningkat lebih jauh dalam sesuatu bidang kehidupan, saya tidak peduli. Saya tidak berasa rugi apa-apa tidak lagi terlalu sangat berbaik dengan dia.

Apalagi kalau yang suka bersikap pura-pura dan suka mengambil kesempatan secara khianat itu adalah mereka yang dari golongan seniman dan sasterawan, yang semata-mata demi keuntungan perut dan peribadinya, sanggup pula menjadikan orang lain sesama sasterawan dan seniman sebagai batu loncatan.

Memang pun saya tahu, apalah hak saya untuk menghalang seseorang melakukan sesuatu yang disukainya, hak untuk berbuat apa pun, buruk atau baik, yang juga tentu sahaja bersedia untuk menerima akibat-akibatnya; namun bila itu melibatkan sasterawan dan seniman, bagi saya itu adalah sesuatu yang amat malang dan mengecewakan.

Bayangkan, jika sasterawan dan seniman yang ketika di dalam karyanya sentiasa menyemboyan dan mendahulukan nilai kemanusiaan, moral dan kebenaran, namun tindak dan lakunya di dalam kenyataan sama sekali tidak membuktikan bahawa nilai-nilai itu dia praktikkan, apa lagi yang boleh dipercayai dari seorang sasterawan dan seniman?

Saya sedar saya barangkali terlalu ideal dan malah utopia mungkin. Namun saya tetap yakin dan percaya betapa sikap dan prinsip saya yang ini juga tidak bersalahan dengan nilai-nilai agama yang saya anuti, yang sentiasa mengajar dan menyeru manusia ke arah kebaikan.

Memang pun saya tidak mengharapkan sesiapa, khususnya sasterawan dan seniman menjadi seperti apa yang saya inginkan, namun sikap dan prinsip itu tetap saya pegang.

Kerana sikap dan prinsip ini jugalah saya tidak pernah berasa hairan dan gusar mendengar dan membaca segala kehebatan yang didakwakan dari sesebuah karya dari tangan seorang sasterawan yang saya telah lihat dengan mata dan kepala sendiri akan laku kepura-puraannya dan perangai buruknya yang suka mengambil kesempatan secara khianat.

Memang di mata banyak orang yang tidak tahu, atau di lingkaran teman-teman sekroni dengannya, diri dan karyanya memang dianggap hebat. Tetapi tidak di mata saya. Apa lagi kalau di antara yang pernah menjadi mangsa sikap pura-puranya itu, adalah saya sendiri, tiadalah apa-apa yang hebatnya dia ini.

Mungkin saya berdendam. Namun saya tidak fikir saya mahu terus hidup dengan mengenang dendam dan bencana-bencana yang sudah menimpa saya angkara perbuatan dia dan yang lain-lain itu.

Kebencian di hati saya tatkala berhadapan dengan sasterawan dan seniman begini hanyalah sebagai suatu sikap untuk sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa untuk kedua kalinya.

Walau di dunia saya tidak banyak mendapat dan pernah menjadi mangsa seniman dan sasterawan pura-pura dan suka mengambil kesempatan secara khianat ini, namun saya sentiasa meyakini akan ganjaran lain ketika di dunia yang lain.

Kerana itu juga, kebenciaan saya tidaklah sampai menjadi sekam yang membakar diri. Hanya, yang saya gusarkan, bila masyarakat dan khalayak sastera semakin terhakis yakinnya terhadap sasterawan dan seniman sebegini, sehingga kemudiannya semakin juga menolak karya seni dan sastera.

Kalau yang menjadi kegusaran, memang itulah kegusaran di hati saya.

Februari 20, 2009

Ahad, Mac 01, 2009

SAJAK POLITIK HALOBA



Marsli N.O
SAJAK POLITIK HALOBA

Memang ini gelanggang
Untuk si tamak dan serakah kuasa
Berkira hanya dengan diri
Dan kagum pemuja
Menentukan kukuh atau laba

Ini bukan dunia untuk si jujur
Atau si lurus yang bodoh berpura
Kerana di lidah bercabang
Kepentingan selalu jadi penentu
Menjual dan membeli tanpa ragu

Walau atas nama bangsa
Siapa peduli ratap berjuta
Demi haloba segala
Secuil kuasa digenggam juga?

Februari 5, 2009

Sumber Siaran: Mingguan Malaysia, 1 Mac 2009