Ahad, April 26, 2009

MENULIS DAN BERBLOG DENGAN JUJUR?


SAYA tergerak menulis entri ini selepas membaca catatan Sdr Rozlan MN di blognya, di dalam entri yang beliau judulkan "Jadi mata-mata" yang antara lain disebut atau diserukan beliau agar penulis atau pemilik blog berbloglah dengan jujur.

Sebut dan seruan sebegini memang tiada apa salah dan tiada cacatnya. Malah saya peribadi suka mewajar dan menyokong segala perkara dan benda yang baik dari sesiapa sahaja, seperti juga apa yang telah disebut oleh Sdr Rozlan MN di dalam blognya itu.

Memang pun apa lagi ingin kita cari, baca dan dengar atau harapkan dari orang lain kalau bukan sesuatu yang jujur. Walau sering kali kejujuran yang diharap itu selalu hampa dan tidak tertunai.

Dan seorang yang sudah menuliskan sesuatu pastilah akan selalu mendakwa tatkala menulis itu dia memang sudah berjujur dengan diri dan subjeknya. Malah ketika mengkritik sesuatu idea dari tulisan orang lain, karya atau apa sahaja yang dari orang lain, dakwaan telah bersikap jujur itulah juga yang disemboyankan.

Tetapi jujurkah sebuah tulisan yang mengkritik dan mencemoh idea orang lain kalau setakat menyebut dan menyatakan bahawa si anu berkenaan di dalam tulisan atau karyanya telah tersilap faham, kurang faham, tersasar atau keliru, tanpa dengan jelas menyata, menyebut dan membuktikan bahagian tulisannya yang mana yang dikatakan sebagai: tersilap faham, kurang faham, tersasar atau keliru itu.

Apa lagi jika dimbas dan dikaitkan kembali pula bagaimana sikap dan reaksi dari manusia sama ini terhadap semua pendapat dan idea yang sebelum ini sudah establish, yang didakwanya terpesong dan hanya pendapat dan idea miliknya sahaja yang betul lagi benar.

Memang siapa sahaja boleh mendakwa dia telah bersikap jujur dan dalam hubungan itu siapa yang dimaksudkan tentulah kalangan penulis, sasterawan, penyair, sarjana sastera, pengkritik karya sastera.

Namun di dalam hati masing-masing, niat sebenar yang tersembunyi tentulah tiada siapa pun yang tahu. Malah di sebalik jujur yang didakwa itu, membaca dan mengesani rentak dan nada tulisannya sudah dapat ditebak, meski tidak seratus peratus, arah dan niat ke mana tulisannya hendak dihala.

Apa lagi kalau bukan hendak menunjukkan kepada orang lain betapa hebat dan pandainya dia sebagai "pengkaji" atau "peneliti" mencari salah dan kelemahan orang lain di dalam tulisannya. Dan tentulah lebih sedih dan aib lagi tatkala pencarian dan penemuan itu disandarkan pula kononnya atas nama yang gah dan hebat: agama, moral, tauhid, holistik, susila dan akademik.

Memang pun tulisan sedemikian tidak mendatangkan kesan yang "membahanakan" bagi si kukuh jiwa dan pembaca bijaksana. Apa lagi untuk mengharapkan puji dan sanjung dari mereka yang memang sudah sejak mula memilih untuk menulis dan mendekati karya atau idea orang lain secara demikian.

Pada setiap masa dan ketika mereka yang menulis sedemikian rupa tetaplah hadir dan wujud. Tetapi selalunya seperti juga debu, ia akhirnya akan hilang dan lenyap bersama waktu. Apa yang kekal, tetap juga pemikiran yang jernih dan saksama, ikhlas, jujur terhadap subjek dan dirinya sendiri.

Mereka yang muncul dan dengan lantangnya sanggup berkoar memanglah terpandang untuk seketika. Tetapi selepas itu, selepas datang dan muncul sesuatu yang lebih benar dan hakiki, dengan sendirinya segala keangkuhan yang selama ini dibungkus cantik dengan baju palsu bernama: agama, moral, tauhid, holistik, susila dan akademik itu akan beransur dilupakan orang juga.

Untuk sementara waktu massa mungkin dapat dikelirukan dengan hujah-hujah atau alasan-alasan yang pada permukaannya kelihatan hebat dan berbobot tetapi sebenarnya palsu.

Tetapi hukum alam dan ketentuan oleh kuasa yang lebih hakiki tetap juga memenangkan sesuatu yang benar-benar jujur dan ikhlas, yang pada permulaannya memanglah akan selalu menjadi mangsa kecaman dan henyakan.

Kerana itulah, tiada gunanya kita, mungkin secara di luar sedar, berlagak dan cuba menyaingi kuasa yang lebih hakiki untuk menjadi penghukum. Walhal soal buruk dan baik, benar atau salah, tentulah lebih afdal jika didedahkan secara jelas dan berimbang, di bahagian mana yang dikatakan salah, berserta dengan buktinya yang jelas, agar dengan begitu banyak pihak mendapat manfaat.

Tetapi di situlah juga silap bermula, kita berasa lebih bijak dan pandai dari orang lain. Khususnya berbanding mereka yang karyanya sedang dihenyak dan diperkecilkan peribadi penulisnya.

Barangkali dengan harapan, jikalau penulis yang karyanya sudah dihenyak dan diperkecilkan peribadinya datang memohon sesuatu atau memberikan respon terhadap tulisannya, maka akan bertambahlah kebesaran egonya.

Walhal, siapa peduli semua itu.

April 25, 2009

4 ulasan:

Rozlan Mohamed Noor (RMN) berkata...

Apabila memperkatakan tentang karya, ada baiknya kita mengelak menggunakan kata-kata bersifat pemujaan atau sebaliknya. Dengan mengatakan sesebuah karya itu 'baik', 'menarik', 'indah' sebenarnya tidak memberikan maksud sebenar sebuah 'keindahan' juga kalau mengatakan karya itu 'lemah' juga tidak wajar sekadar berpaksi rasa dan kecenderungan pengkritik. Saya kira demikian.

Sebaiknya meletakkan indikator tertentu misalnya melihat dari sudut penggunaan diksi (dengan memperinci elemen-elemen gaya / retorik / perlambangan) mengikut pentafsiran 'si pemuja' atau 'si pengkritik' lebih adil saya kira.

Begitu juga melihat sesebuah karya dengan indikator teknik yang lain. Semahunya bertolak dalam kerangka indikator yang dipaksikan.

Tugas pengkarya adalah berkarya, manakala tugas pengkritik ialah mengkritik tetapi tidaklah bermakna pengkritik itu 100% benar, dan faham akan sarana yang terdapat di dalam sesebuah karya. Salah faham, salah tafsiran biasa berlaku apatah lagi kritikan itu dibaca oleh sang pengkarya. Jadi, di sinilah saya kira sewajarnya seseorang pengkritik harus melihat sesebuah karya dengan indikator tertentu. Mengelak kata-kata memuja atau sebaliknya saya kira lebih baik. Lebih bertanggungjawab.

Owh..yer, entah melalui teori yang mana pula sesebuah karya dilihat berpaksikan penulis.Memperkecilkan seseorang penulis saya kira memperlihatkan 'kekecilan' si pengkritik. Kalau tulisan saya diperkecil kerana saya seorang yang 'kecil' ... huhuhuhuuu.. kecil hati juga tuan! Lainlah kerana tulisan itu sendiri yang 'kecil' .. tak kira lah gagasan ideanya atau tekniknya.

Setiap hari ramai pengkarya hampir 'terbunuh' oleh sesebuah kritikan, sebaliknya juga ramai yang mendapat nyawa dengan sesebuah kritikan.

Tuan, saya rasa banyak pula menceceh. Maaf... mahu berkongsi pandangan. Teruja agaknya tulisan di CelikHuruf menghadirkan cetusan di sini. TERHARU juga ada.

p/s: Tulisan tuan di sini juga banyak dapatan/kutipan bermanfaat untuk saya.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Marsli,
1. Berbanyak terima kasih atas kunjungan serta sudi membaca pelbagai catatan dan kutipan dalam blog ini.
2. Saya mengenali Sdra. Marsli melalui beberapa karya kraetif sdra., serta pernah beberapa kali jumpa (jumpa dalam acara sastera khasnya di Kuala Lumpur) dan bersalam dengan sdra. Saya akui sering juga lawat dan baca blog sdra. melalui pautan blog rakan-rakan yang lain.
3. Saya orang baharu dalam blog, mula mencipta dan melakar blog sejak 8 Mac 2009 atas sokongan dan harapan sahabat agar saya juga punyai blog untuk sama-sama berkongsi idea dan pengalaman.
4. Blog saya kerdil dan kecil sahaja sifatnya, pelbagai dan rencam topik catatan-catatan umum yang separa serius, sinis dan serba sedikit informasi antaranya tentang bahasa, sastera, media, siasah, coretan peribadi dan sebagainya.
5. Akhirnya, sekali lagi berbanyak terima kasih atas kesempatan sdra. berkunjung dan membaca blog yang biasa sahaja sifatnya ini. Satu hari nanti boleh saya berjumpa secara bersemuka dengan sdra. suatu hari nanti.

Sekian.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Rozlan MN: Terima kasih atas respon yang berkobar dan jelas itu.

Saya memang bersetuju dengan Sdr mengenai indikator itu. Misalkan kalau saya dikatakan keliru, silalah dinyata di mana atau petik sahajalah sebagai bukti apa yang saya sudah menjadi keliru itu.

Begitu juga kalau sejak mula pengkritik sudah menetapkan sesuatu yang tidak di dalam karya, tetapi mengesalkan dan menjatuhkan hukum betapa sebuah karya itu menjadi lemah kerana tidak memenuhi kehendak yang ditetapkan pengkritik sejak mula. Di mana relevan dan benarnya ini? Bukankah karya dibaca berdasarkan apa yang ada pada dirinya dan bukan kerana apa yang saya harapkan darinya.

Kira-kira begitulah Sdr Rozlan.

Namun bagi saya, di tanah air kita ini masih ramai pengkitik yang wajar dan sangat terbuka pemikirannya.

Lalu saya tidaklah terlalu terganggu sangat kalau ada pengkritik atau penilai yang meminta sesuatu yang tiada dari karya saya, atau yang memang dengan sengaja memilih untuk hanya bergunjing.

Marsli N.O

MARSLI N.O berkata...

Sdr Rusdi Ydh: Terima kasih atas balasan dan kunjungan. Saya gembira membaca tulisan Sdr. Marilah kita sama-sama berkarya dan saling bertukar info.

Marsli N.O