SEBAGAI seorang penulis yang pasti mengharapkan karyanya diterbitkan dalam bentuk buku dan tentu sahaja juga mewajibkan dirinya membaca dan membeli buku, saya secara peribadi tidak begitu cepat berasa ghairah dan seronok, selagi belum benar-benar melihat apa yang dinyatakan oleh seorang politik itu benar-benar menjadi kenyataan.
Inilah kesan yang pertama terbetik di hati dan perasaan saya ketika membaca di akhbar pengumuman seorang menteri mengenai apa yang dinamakan sebagai kota buku.
Saya katakan begitu bukan kerana tidak meyakini atau menganggap segala yang dinyatakan itu sebagai sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan atau sekadar cakap-cakap politik semata-mata.
Sebaliknya, apa yang segera terlintas di fikiran saya ketika membaca berita itu ialah gambaran Kampung Buku di Langkawi yang kini sudah sepi dan tidak disebut orang lagi selepas pencetus idea dan pembinanya tidak lagi berada di kerusi bernama kuasa.
Saya peribadi berasa terkilan dan terharu kerana Kampung Buku, sebuah idea yang dizahirkan dari seorang bekas menteri yang juga diketahui sebagai penggemar buku, sesungguhnya adalah idea yang baik dan bernas dan kewujudannya boleh dimanfaatkan oleh semua orang kini telah sunyi dari liputan dan perhatian orang.
Bagi saya, tiada apa yang salahnya dengan idea yang lontarkan oleh Sanusi Junid dan kewujudan Kampung Buku di Langkawi itu .
Tetapi nampaknya begitulah yang menjadi resam dan budaya di Malaysia. Bila seorang menteri bertukar, segala idea dan institusi yang diutarakan serta sudah diwujudkan sebelumnya, akan turut sama lenyap dan sunyi selepas muncul menteri yang baru mengambil alih posisinya.
Ini tidak hanya terjadi terhadap idea dan kewujudan Kampung Buku sahaja. Yang terdekat atau terhampir adalah idea yang selalu disemboyankan dahulu bernama Islam Hadhari. Juga mengalami nasib sama. Kini sudah tidak kedengaran lagi begitu berlakunya peralihan kuasa.
Walau saya tidak bermaksud mahu mengatakan betapa saya tidak sepenuhnya percaya dengan apa yang dicakapkan oleh seorang politik, tetapi yang selalu mengkhuatirkan saya itulah sebenarnya: idea yang baik dan bernas, yang sudah diinstitusikan selalu menjadi korban bila terjadi peralihan kuasa.
Namun saya juga tidak mahu menjatuhkan hukum atau terlalu mengandai-andai sebelum sesuatu menjadi nyata.
Kerana itulah saya fikir lebih baik saya menunggu dan menanti apa yang dinyatakan itu apakah benar-benar akan menjadi kenyataan atau seperti selalu yang telah dan sudah terjadi: hanyalah cakap politik untuk menyedapkan hati rakyat atau kalangan tertentu yang sedang menuntut sesuatu.
Sebagai rakyat yang membaca dan menulis saya memang berharap kota buku yang dinyatakan itu akan benar-benar menjadi nyata. Setidaknya, di kota buku itu nanti, saya akan dapat membeli buku yang lebih baik dan bagus dengan harga yang lebih murah dan lebih mudah mendapatkannya.
Itulah harapan saya dan saya tahu, tentu sahaja tidak semua orang politik suka berdusta serta beretorik atau apa yang sahaja yang diucapkannya itu semata-mata cakap politik yang belum tentu akan menjadi nyata.
Lebih-lebih lagi kini. Ketika penulis pun sudah berbondong-bondong mulai berbaik dengan orang politik dan belajar sedikit demi sedikit menjadi pembohong, jelas sudah bahawa yang bijak dan pandai berbohong pun bukan hanya orang politik.
Apa-apa pun, Kota Buku segeralah menjadi kenyataan.
Mei 22, 2009
3 ulasan:
Sdra. Marsli,
Kita mengharap begitulah..., namun dalam kesibukan menegakkan idea dan konsep 1 Malaysia (namun masih belum terdengar secara jitu dan gahah dimasukkan soal bahasa dalam konsep ini) ditambah pula kegusaran terhadap graf ekonomi kini, akan terlaksanakah secara giat dan gigih hasrat 'Kota Buku' ini dalam masa terdekat ini. Kita mampu melihat dan berdoa kerana kita bukan pemimpin utama itu.
Sdra. Marsli,
Kita mengharap begitulah..., namun dalam kesibukan menegakkan idea dan konsep 1 Malaysia (namun masih belum terdengar secara jitu dan gahah dimasukkan soal bahasa dalam konsep ini) ditambah pula kegusaran terhadap graf ekonomi kini, akan terlaksanakah secara giat dan gigih hasrat 'Kota Buku' ini dalam masa terdekat ini. Kita mampu melihat dan berdoa kerana kita bukan pemimpin utama itu.
Salam Sdr Rusdi: Harapan saya dan Sdr tentunya. Semoga apa yang telah diwarwar bukan hanya omong yang kosong yang akan hilang bersama angin dan waktu.
Marsli N.O
Catat Ulasan