Penulis: Rustam A. Sani
Penerbit: Media Icon Sdn Bhd
Tahun Terbit: 2009
Halaman: 77 halaman
KEMATIAN seorang pengarang atau ilmuan tidak bererti pengakhiran segala bagi dirinya. Seperti kata pepatah harimau mati meninggalkan belang dan seorang pengarang atau ilmuan pula pastilah akan meninggalkan karyanya.
Apa lagi bagi seorang tokoh seperti Allahyarham Rustam A. Sani, yang tidak sekadar tersohor namanya sebagai penulis, tetapi sekaligus juga terkenal sebagai seorang tokoh politik dan sosiologis.
Memang pun sebagai seorang politikus Rustam tidak banyak meraih kejayaan dan ini ada hubungkait dengan pilihannya untuk berada di pihak oposisi. Namun hasil tulisannya tetap dan telah meninggal gema yang panjang, lama setelah beliau meninggalkan dunia yang fana ini.
Sebagai tanda penghargaan dan kenangan terhadap sumbangan pemikiran, begitu diakui penerbit Media Icon Sdn Bhd dalam pengantar Dari Penerbit, sejumlah karya terakhir Allahyarham Rustam ini dikumpul dan diterbitkan dalam bentuk buku.
Buku berjudul “Ketemu di Akhir Zaman” ini memuatkan tulisan beliau yang membicarakan 11 tokoh dan sebuah sorotan beliau mengenai pasukan impian dalam kepimpinan politik Melayu.
Tulisan yang diterbitkan kembali di dalam buku ini merupakan tulisan terakhir Rustam yang sebelumnya pernah diterbitkan sebagai kolum beliau di pelbagai akhbar dan penerbitan alternatif.
11 tulisan Rustam mengenai sejumlah tokoh ini memperlihatkan bagaimana Allahyarham menyorot pemikiran, sikap, karakter dan mungkin juga keganjilan tokoh-tokoh yang dialami serta mungkin sangat dikenalnya secara langsung sebelumnya. Ulasan beliau terasa agak berimbang dan lebih banyak memberikan fokus kepada sepak terajang di dalam politik tokoh-tokoh yang dibicarakannya.
Kalau pun terkecuali dan tidak terlalu disinggung sebagai makhluk politik di dalam kumpulan tulisan beliau di dalam buku ini hanyalah H.M Dahlan dan Usman Awang.
H.M Dahlan atau Dahlan Haji Aman disorot Rustam sebagai tokoh akademik yang mengetuai Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia ketika beliau mulai menyertainya pada tahun 1976 sebagai seorang Pensyarah.
Tidak hanya itu, H.M Dahlan juga dilihat Rustam sebagai seorang yang memperlihatkan kemampuannya untuk bersikap kreatif tetapi sekaligus juga realistik. Bagi Rustam, peranan penting yang telah dimainkan oleh H.M Dahlan ialah sebagai seorang penggiat dan pemikir (bidang cendekia) bidang antropologi dan sosiologi pada tahap awal pertumbuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rustam mengaku di dalam tulisannya “Ahmad Boestamam, Ayahku” meski beliau merupakan anak lelaki tunggal tokoh politik pemimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) ini namun tidak mengenalnya secara peribadi.
Bagi Rustam, pengetahuannya mengenai Ahmad Boestamam lebih berupa hasil kajian dan renungannya sebagia seorang pelajar ilmu politik dan sejarah politik Malaysia Moden, khususnya nasionalisme dan gerakan politik radikal Melayu.
Nama Zainuddin Maidin terpacul dalam tulisan Rustam mengenai Lee Kuan Yew di halaman 17. Bagi Rustam, kemenangan Lee Kuan Yew yang juga dikenali di sebagai salah seorang penindas media dan kebebasan yang paling ganas di dunia menerima bayaran pampasan ganti rugi berjumlah berjuta dollar dari sebuah syarikat media antarabangsa, sesungguhnya merupakan kemenangan Zainuddin Maidin juga, yang waktu itu merupakan seorang Menteri Penerangan Malaysia.
Syed Husin Ali bagi Rustam telah merancang “kerjaya” politiknya berdasarkan pendekatan “perjuangan” beberapa tokoh pemimpin politik rakyat lama yang kiblatnya adalah perjuangan untuk rakyat serta komitmen terhadap keyakinan dan ideologi politiknya. Sayangnya, kerana kerana dia hidup dalam zaman yang lain, kejayaannnya sentiasa diukur berdasarkan ukuran kerjaya politik orang-orang zaman ini yang didasarkan kepada mencapai jawatan dan kemewahan yang diimpikan.
Tulisan belasungkawa Rustam mengenai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Abdul Razak Ahmad disarati pujian Rustam. Bagi Rustam, Abdul Razak dilihatnya sebagai seorang yang tidak pernah berusaha menonjolkan diri dengan gelagat yang bersifat kewira-wiraan atau bermegah-megah. Tegas Rustam, perjuangan Abdul Razak untuk rakyat berlangsung secara berterusan di sepanjgang hayatnya.
Kassim Ahmad bagi Rustam pula adalah seorang sarjana dan intelektual yang secara cekal dan berani telah turut terlibat dalam memikirkan persoalan-persoalan yang dihadapi masyarakatnya.
Sumbangan bakti hasil pemikirannya itu dipersembahkan melalui kegiatan yang pelbagai: sebagai penulis sastera kreatif, ahli teori dan kritik sastera, penulis esei falsafat dan politik, juga secara langusng terlibat sebagai aktivis politik.
Tulisan Rustam mengenai Johan Jaafar yang dimuatkan di bab tujuh buku ini merupakan reaksi Rustam terhadap wawancara Datuk Johan Jaafar dengan majalah Off The Edge (September 2006) “1998: A Newspaper Editor’s Story”.
Selain menyentuh kedudukan Johan Jaafar setelah Anwar Ibrahim dibebaskan di dalam tulisannya ini, Rustam turut mengambil kesempatan membuat pengakuan betapa berbeza daripada Johan, dia tidak dapat menyatakan bahawa dia telah diterima kepangkuan sesiapa, kerana mungkin dia memang tidak pernah berusaha untuk kembali ke pangkuan sesiapa.
Pemergian tokoh bernama Ezam Mohd Nor dari PKR bagi Rustam tidaklah dapat dianggap sebagai suatu tamparan maut dan memungkin parti ini runtuh dan berkubur. Tulisan Rustam di bab lapan ini turut kembali menghimbau betapa sebelum ini, dua tokoh dari parti ini, dahulunya PKN, seperti Dr. Chandra Muzaffar dan A. Rahman Othman telah pun terlebih dahulu meninggalkan parti ini, namun parti ini tetap bertahan dan meneruskan hayatnya.
Peranan yang dimainkan Khairy Jamaluddin selaku menjawat Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Umno disorot Rustam melalui tulisannya di bab 9. Di bawah Khairy Jamaluddin, pergerakan ini digambarkan Rustam sebagai lebih menonjol citranya sebagai pergerakan yang bersifat agresif dari segi fisikalnya tetapi amat muram dari segi kecedekiawanannya.
Menyorot isu seputar kritikan terhadap perlantikan Zainuddin Maidin selaku Menteri Penerangan Malaysia, Rustam berpendapat betapa dengan latar belakang anti-kebebasan media dan anti kebebasan bersuaranya yang begitu jelas, maka tidak mustahillah perlantikan Zainuddin Maidin itu tidak disambut dengan begitu ghairah oleh kalangan komuniti dan fraterniti kewartawanan sendiri.
Mengenai Usman Awang, yang ditulis Rustam sebagai sebuah tulisan belasungkawa, diakui Rustam betapa Usman Awang bukan hanya seorang penyair tetapi sekaligus juga pelopor yang memberikan bentuk dan struktur kepada bahasa Melayu moden, menjadikannya pengucapan politik, kewartawanan dan wacana moden yang berkesan atau efisien.
Tulisan terakhir Rustam di bab 12 buku ini yang antara lain mempertanyakan kewujudan “pasukan impian” dalam kepimpinan politik Melayu diakhir dengan kesimpulan yang wajar dan molek menjadi bahan renungan kita bersama.
Bagi Rustam, keghairahan sebahagian pihak tentang kemungkinan mencambahkan pemikiran ke arah pembentukan sebuah “dream team” adalah tidak wajar. Malah ditegaskan Rustam betapa itu ada kemungkinannya sebagai: “... sekadar merupakan mimpi ngeri mereka yang sebenarnya sedang mengigau pada waktu siang hari.”
Sebagai kesimpulan, koleksi 12 tulisan di dalam buku ini memang dengan jelas memaparkan sosok pemikiran dan analisis seorang Rustam A. Sani terhadap sesuatu isu dan tokoh. Sebagai seorang bekas sarjana bidang antropologi dan sosiologi, analisis Rustam memang menukik, dan pada bahagian tertentu di dalam tulisannya, nadanya lantang dan tidak berselindung.
Meski ada bahagian-bahagian di dalam tulisannya yang terasa agak pahit untuk ditelan dan diterima, namun setidaknya kita wajar sekejap bercermin darinya.
MARSLI N.O
21 Jun, 2009 (Ahad)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan