Khamis, April 30, 2009

MAAF, SAYA TIDAK PANDAI BERBOHONG


MEMANGLAH seronok ketika mula membaca kandungan khidmat pesanan ringkas itu.

Apa tidaknya, diminta bantuan oleh seorang besar di sebuah institusi untuk menuliskan sebuah sajak yang konon-konon ditulis oleh seorang yang bakal bergelar pemimpin besar mengenai diri bapanya sendiri. Maksudnya, walau saya yang menulis sajak itu, tetapi nama yang dikedepankan adalah nama siapa yang bakal bergelar pemimpin besar itu.

Wow, hebat itu. Dapat menulis konon-kononnya atas nama atau bagi pihak seorang yang bergelar dan tersohor. Bukan semua penyair boleh dapat peluang sebegini.

Namun rasa seronok dalam hati saya itu hanya seketika sahaja. Akal waras dan rasa malu di dalam diri saya masih kuat dan inilah yang menghalang saya segera menghentikan rasa seronok tersebut.

Malu yang saya maksudkan di sini ialah malu untuk berpura-pura seolah-olah saya yang menuliskan sajak itu konon-konon adalah seseorang yang dimaksudkan itu, walhal secara jujurnya apalah sangat yang saya tahu segala apa yang ada di dalam hati dan fikiran seseorang yang demikian?

Memanglah saya pun memiliki rasa bahagia, bangga dan seronok yang sendiri jika berbapakan seorang yang begitu hebat dan terkenang di dalam sejarah. Tetapi saya tidak memiliki itu. Saya berasa seronok, bangga dan bahagia memilik bapa dan bapa saya adalah seorang manusia yang biasa-biasa sahaja. Jadi mana mungkin untuk saya dapat mengkonon-konon begitu sahaja ketika menulis sajak yang dimaksudkan itu nanti.

Tidakkah menolak tawaran itu bererti saya menolak peluang untuk mendapatkan bayaran yang agak lumayan dari institusi berkenaan dan juga sekaligus peluang untuk saya dapat berbaik-baik dengan seorang yang bakal bergelar pemimpin besar? Begitu terjengah tanya itu di benak.

Namun diam-diam di dalam hati saya memujuk dan belajar mewaraskan diri sendiri. Apalah sangat erti dan makna sejumlah bayaran jika untuk mendapatkannya saya mesti berbohong dengan menuliskan sesuatu yang memang pun tidak sepenuhnya saya alami sendiri dan ketahui.

Apa lagi sebuah kesempatan untuk berbaik-baik dengan seseorang yang bakal menjadi tokoh besar. Bagi saya biarlah saya yang pipit ini tetap berbaik dan berkawan dengan sesama pipit sahaja. Walau pun pipit saya ini belumlah tentu memang seorang pipit, namun tidak mengapa tidak dapat berbaik dan mendekat-dekatkan diri dengan mana-mana tokoh tersohor. Cukup dan lebih bahagia rasanya jika lingkungan saya dalah sesama pipit dan tidak enggang.

Memang pun sebagai seorang penyair saya memang boleh mempergunakan daya imaginasi saya untuk membayang-bayang, mereka-reka, atau mengandai-andaikan, namun kalau benar sekali pun, saya lebih rela membayangkan sesuatu yang lain dari itu, sesuatu yang tiada kena mengena dengan mana-mana tokoh atau orang tersohor.

Saya lebih rela menulis sebuah karya yang mungkin bagi banyak orang hanyalah sebuah karya yang biasa-biasa atau sekadar apa adanya sahaja. Asalkan sesuatu yang saya tulis itu memang sesuatu yang datang dari kesedaran hati nurani saya sendiri untuk menuliskannya.

Kerana itulah, kepada pihak yang mengirimkan khidmat pesanan ringkas itu, saya beritahu berterus-terang saya menolak tawaran istimewa itu dan meminta maaf kerana saya tidak pandai berbohong.

Saya harap apa yang saya beritahu itu dapat diterima baik dan dengan hati terbuka oleh pihak yang berkenaan. Saya harap sangat, apa yang saya nyatakan itu tidak akan sampai boleh membuat sesiapa tersinggung.

Tetapi, kalau andaikan terjadi juga kerana penolakan saya itu, saya misalnya akan dianggap sombong atau tidak sedarkan diri, tidak kuasalah saya hendak berkata apa-apa.

Bagi pihak diri saya, saya sudah menyatakannya. Apa yang selebihnya itu saya rasa sudah bukan urusan saya lagi.

Walau pun sekali waktu terbetik juga di dalam fikir betapa sedikit dan sebanyak, cara ajakan dan tawaran itu sebenarnya dapat juga dijadikan petunjuk bagaimana sebahagian pihak menilai dan menanggapi kedirian seorang penyair.

Tetapi oleh kerana saya sudah menetapkan bahawa urusan saya selesai sudah begitu saya menyatakan betapa saya tidak pandai berbohong kepada yang berkenaan, maka apa yang terbetik di dalam fikir itu tidaklah ingin berlamaan saya kenangkan.

April 29, 2009

Rabu, April 29, 2009

TIDAK PERLU INGATKAN SAYA ITU


PERNAH pada suatu waktu, saya diperingatkan seseorang melalui surat-Enya, menyuruh saya agar jangan menulis apa-apa mengenai dirinya.

Pertama kali membaca surat-Enya itu, saya berasa hairan dan aneh juga kenapa dan apa perlunya seorang ini sungguh bermurah hati memberikan nasihatnya sebegitu kepada saya. Seingat-ingat saya, tidak pernah pun di mana-mana saya menyebut dan merujuk nama dia di dalam tulisan dan percakapan saya. Jadi kenapa pula dia memberikan saya nasihat begitu?

Beberapa ketika saya merenung dan berfikir. Baru saya sedikit mendapat semacam pencerahan. Seorang ini mungkin berasa perlu memberi ingat kepada saya kerana belakangan ini saya agak banyak menulis mengenai apa yang pernah dan sudah saya lalui di masa silam. Mungkin seorang ini khuatir kalau nanti saya ada menulis sesuatu mengenai dia dan itupun kalau-kalau dia memang pernah terlibat dalam sesuatu peristiwa di masa silam yang membabitkan diri dia dengan saya.

Tetapi apa perlunya dia memberikan saya ingat mengenai itu? Bukankah untuk menulis apa pun itu merupakan hak dan pilihan diri saya sendiri? Dan di pihak saya sendiri sebenarnya, saya langsung tidak ada niat atau berasa perlu untuk menulis sesuatu apa, kalau memang benarlah ada, mengenai sesuatu yang melibatkan diri saya dengan dia. Apa lagi untuk menulis dan bercerita sesuatu secara langsung mengenai dia. Lagilah saya tidak teringat, ingin mahupun sudi.

Kerana itulah saya berfikir, siapakah dia fikir dirinya hendak memberikan saya peringatan itu?

Tidak sudah saya befikir mengenai seorang ini. Mengaku dirinya pejuang, pemartabat, tetapi dalam waktu sama, pandai-pandai pula hendak mengekang kebebasan berfikir dan menyuruh orang lain agar mematuhi kehendak dia.

Apa ini.

Februari 28, 2009

BAJU-T FRAGMEN TOLONG






TENGAH HARI Isnin 27 April kelmarin saya menerima kiriman bungkusan dari sebuah kumpulan atau mungkin syarikat yang menamakan dirinya UNGU PRODUCTION. Kumpulan ini beralamat di Kolej Tun Dr. Ismail, Univrsiti Putera Malaysia, Serdang.

Tertanya-tanya saya sendiri apa kandungan bungkusan di tangan. Ketika dibuka, ternyata ianya berupa kiriman sehelai baju-t.

Membaca apa yang tertera di bahagian depan dan belakang baju-t ini, baru saya teringat beberapa bulan lalu, pada Sabtu 24 Januari 2009, sekumpulan pelajar dari Universiti Putra Malaysia, yang bergabung di dalam seubuah kumpulan yang mereka namakan sebagai Ungu Production telah datang berkunjung.

Tujuan kedatangan mereka ialah mahu berdiskusi secara sepintas lalu mengenai naskhah teaterku FRAGMEN TOLONG. Menurut Yasmin salah seorang anggota kumpulan ini, yang menghubungiku sebelumnya, ini sebagai salah satu persiapan kumpulan mereka untuk menyertai festival teater di peringkat universiti.

Jadi kiriman berupa baju-t ini adalah sebagai tanda mata ingatan penyertaan dari kumpulan mereka dan saya harap akan mendapat maklumat lanjut mengenainya nanti.

Ketika dihubungi, MIMI HASILA, salah seorang anggota UNGU PRODUCTION menyatakan harga bagi sehelai baju-t itu adalah RM 20.00 dan yang berminat untuk mendapatkan baju-t itu boleh menghubungi beliau di talian 013 – 6368713 dan email mimi_abdhalim@yahoo.com.
April 29, 2009

Ahad, April 26, 2009

MENULIS DAN BERBLOG DENGAN JUJUR?


SAYA tergerak menulis entri ini selepas membaca catatan Sdr Rozlan MN di blognya, di dalam entri yang beliau judulkan "Jadi mata-mata" yang antara lain disebut atau diserukan beliau agar penulis atau pemilik blog berbloglah dengan jujur.

Sebut dan seruan sebegini memang tiada apa salah dan tiada cacatnya. Malah saya peribadi suka mewajar dan menyokong segala perkara dan benda yang baik dari sesiapa sahaja, seperti juga apa yang telah disebut oleh Sdr Rozlan MN di dalam blognya itu.

Memang pun apa lagi ingin kita cari, baca dan dengar atau harapkan dari orang lain kalau bukan sesuatu yang jujur. Walau sering kali kejujuran yang diharap itu selalu hampa dan tidak tertunai.

Dan seorang yang sudah menuliskan sesuatu pastilah akan selalu mendakwa tatkala menulis itu dia memang sudah berjujur dengan diri dan subjeknya. Malah ketika mengkritik sesuatu idea dari tulisan orang lain, karya atau apa sahaja yang dari orang lain, dakwaan telah bersikap jujur itulah juga yang disemboyankan.

Tetapi jujurkah sebuah tulisan yang mengkritik dan mencemoh idea orang lain kalau setakat menyebut dan menyatakan bahawa si anu berkenaan di dalam tulisan atau karyanya telah tersilap faham, kurang faham, tersasar atau keliru, tanpa dengan jelas menyata, menyebut dan membuktikan bahagian tulisannya yang mana yang dikatakan sebagai: tersilap faham, kurang faham, tersasar atau keliru itu.

Apa lagi jika dimbas dan dikaitkan kembali pula bagaimana sikap dan reaksi dari manusia sama ini terhadap semua pendapat dan idea yang sebelum ini sudah establish, yang didakwanya terpesong dan hanya pendapat dan idea miliknya sahaja yang betul lagi benar.

Memang siapa sahaja boleh mendakwa dia telah bersikap jujur dan dalam hubungan itu siapa yang dimaksudkan tentulah kalangan penulis, sasterawan, penyair, sarjana sastera, pengkritik karya sastera.

Namun di dalam hati masing-masing, niat sebenar yang tersembunyi tentulah tiada siapa pun yang tahu. Malah di sebalik jujur yang didakwa itu, membaca dan mengesani rentak dan nada tulisannya sudah dapat ditebak, meski tidak seratus peratus, arah dan niat ke mana tulisannya hendak dihala.

Apa lagi kalau bukan hendak menunjukkan kepada orang lain betapa hebat dan pandainya dia sebagai "pengkaji" atau "peneliti" mencari salah dan kelemahan orang lain di dalam tulisannya. Dan tentulah lebih sedih dan aib lagi tatkala pencarian dan penemuan itu disandarkan pula kononnya atas nama yang gah dan hebat: agama, moral, tauhid, holistik, susila dan akademik.

Memang pun tulisan sedemikian tidak mendatangkan kesan yang "membahanakan" bagi si kukuh jiwa dan pembaca bijaksana. Apa lagi untuk mengharapkan puji dan sanjung dari mereka yang memang sudah sejak mula memilih untuk menulis dan mendekati karya atau idea orang lain secara demikian.

Pada setiap masa dan ketika mereka yang menulis sedemikian rupa tetaplah hadir dan wujud. Tetapi selalunya seperti juga debu, ia akhirnya akan hilang dan lenyap bersama waktu. Apa yang kekal, tetap juga pemikiran yang jernih dan saksama, ikhlas, jujur terhadap subjek dan dirinya sendiri.

Mereka yang muncul dan dengan lantangnya sanggup berkoar memanglah terpandang untuk seketika. Tetapi selepas itu, selepas datang dan muncul sesuatu yang lebih benar dan hakiki, dengan sendirinya segala keangkuhan yang selama ini dibungkus cantik dengan baju palsu bernama: agama, moral, tauhid, holistik, susila dan akademik itu akan beransur dilupakan orang juga.

Untuk sementara waktu massa mungkin dapat dikelirukan dengan hujah-hujah atau alasan-alasan yang pada permukaannya kelihatan hebat dan berbobot tetapi sebenarnya palsu.

Tetapi hukum alam dan ketentuan oleh kuasa yang lebih hakiki tetap juga memenangkan sesuatu yang benar-benar jujur dan ikhlas, yang pada permulaannya memanglah akan selalu menjadi mangsa kecaman dan henyakan.

Kerana itulah, tiada gunanya kita, mungkin secara di luar sedar, berlagak dan cuba menyaingi kuasa yang lebih hakiki untuk menjadi penghukum. Walhal soal buruk dan baik, benar atau salah, tentulah lebih afdal jika didedahkan secara jelas dan berimbang, di bahagian mana yang dikatakan salah, berserta dengan buktinya yang jelas, agar dengan begitu banyak pihak mendapat manfaat.

Tetapi di situlah juga silap bermula, kita berasa lebih bijak dan pandai dari orang lain. Khususnya berbanding mereka yang karyanya sedang dihenyak dan diperkecilkan peribadi penulisnya.

Barangkali dengan harapan, jikalau penulis yang karyanya sudah dihenyak dan diperkecilkan peribadinya datang memohon sesuatu atau memberikan respon terhadap tulisannya, maka akan bertambahlah kebesaran egonya.

Walhal, siapa peduli semua itu.

April 25, 2009

Khamis, April 16, 2009

BLOG KU SEMAN KU HUSSAIN




KU SEMAN Ku Hussain yang di kalangan teman-teman sasterawan lebih dimesrai dengan sapaan Ku Seman, teman wartawan sastera budaya dan hiburan akhbar Mingguan Malaysia atau seperti yang diakui sendiri beliau sebagai Penolong Editor Mingguan Malaysia sudah mengisytiharkan dirinya secara rasmi sebagai warga blogger.


Pengisytiharan itu diabsahkan beliau dengan kehadiran blognya Kayangdailypost yang dimulai dengan kiriman karya mulai 15 April 2009. Karya beliau yang dapat diteliti serta dihayati pembaca dalam kiriman tanggal 15 April 2009 ini adalah “Harakah dan Keadilan”, “Sekali lagi Melayu dipertikai”, “UMNO dan komponen BN”, “Utusan, Sastera dan Sasterawan”, dan “Kebebasan Akhbar”


Teman-teman sasterawan dan pengunjung blog ini dipersilakan berkunjung ke blog Kayangdailypost. Malah teman-teman dan pengunjung dipersilakan serta diajak saling membuat pautan. Alamat pautan atau link ke blog Kayangdailypost ialah http://kayangdailypost.blogspot.com/

April 15, 2009
*Foto adalah dari blog Ibnuahmadalkurauwi

APA LAGI YANG KUCARI



SUDAH waktunya tiada suatu apa lagi yang ingin kuperebutkan di dalam hidup ini kini selain mengejar dan mendapatkan sesuatu yang lebih hakiki.

Hanya untuk sesuatu yang itu aku kini sanggup mendepan segala duga, meski itu berupa henyak, hina dan cerca. Aku rela dan bersedia menerima. Demi dan kerananya.

Kurela dan pasrahkan seluruh jasad dan juga jiwa untuk menghadapai segala. Akan kutahan sedaya mungkin segala sakit, perit dan pedih. Itu menjadi tidak mengapa dan sedikit pun tidak akan mendatangkan bekas ke dalam jiwa kerana telah kuserahkan seluruh dan segala demi dan kerananya.

Aku tahu apalah erti sebatang tubuh kerdil yang kupinjam ini berbanding dengan sesuatu yang ingin kucapai dan gapai di dalam hakiki dan lagi abadi?

Tiada suatu apa lagi yang akan menjadikan rusuh jiwa dan gelisah diri tatkala yang kufikirkan hanyalah hakiki itu. Tiada suatu apa lagi yang mampu menggugah aku agar kembali berpaling seperti di masa-masa silam dan sesat terawang di alam kembara nan tidak berhujung. Kerana kini aku sedang di dalam asyik menyebut dan mengenang yang abadi itu, yang kuzahir serta lafazkan di dalam setiap denyut nadi serta hela nafas.

Aku sedang di dalam asyik. Bersama selalu doa dan lafaz kata indah memuja dan memuji hakiki yang abadi itu.

KASIHAN DIA

KASIHAN. Aku rasa tahu betapa dia melakukan itu tidak lain kerana perut dan periuk sahaja. Hujah mudahku, kalau dia melakukan itu tidak semata-mata kerana itu, dia tentu tidak terlalu melebih-lebihkan rungut dan meluahkan marah. Dan anehnya, rungut dan marahnya itu adalah terhadap apa yang dia panggulkan ke bahu sebagai “kerja”, kerja yang mendatang asap di bawah periuk dan menyendatkan sesuatu di perut dia sehingga kini.

Kasihan melihat dia yang sebegitu. Dia marah dan malah menyebutkan benci terhadap apa yang dia panggul sebagai kerja. Malah bencinya disebutkan berlebih-lebihan lagi tatkala berkait dan berhubung pula dengan orang atau manusia yang terbabitkan dengan sesuatu yang dia panggul sebagai kerja itu.

Kasihan sungguh melihat dia. Mungkin hendak dilepas terasa khuatir pula bagaimana nanti periuk hendak diberi asap dan perut bagaimana hendak dijadikan sendat. Maka diterima dan terus juga meski di dalam hati bergelora dengan rasa marah, sebal, benci dan bosan. Segala yang dipanggul sebagai suatu kerja terasa menjadi beban dan kerana itu dicari jugalah di mana-mana salah dan silap sehingga terbukti ada untuk dijadikan pelepas marah dan geram di dalam hati dia sendiri.

Kasihan dia kerana demikian laku dan perinya. Kerana memendam marah dan geram itu di dalam hati sendiri tidakkah dia tahu itu nanti akan menjadi racun yang berdikit-dikit memakan dan memusnahkan diri dia sendiri?

Sedangkan sedikit pun tidak menjadi apa kalau dia sanggup sekejap bermuhasabah dan belajar juga untuk tidak hanya mencari salah orang yang terbabitkan dengan apa yang dia panggul sebagai kerja itu.

Tetapi tidak tahulah kalau dia berfikir dan berasa apa yang dia panggul sebagai kerja itu berupa cokmar hikmat yang boleh sekehendak hati dia acung dan menghidupkan nyawa seorang yang lain yang dia suka dan senang hati.

Kalau itu benar begitu. Bertambah sangatlah rasa kasihanku meliaht dan mengenangkan nasib dia.

April 15, 2009

Selasa, April 14, 2009

SAYA KINI KEMBALI SEDANG BERCINTA

SAYA memang jenis manusia yang tidak pandai berbohong, berpura-pura dan berlagak konon-konon macam diri dia itu baiklah sangat. Konon kalau bercakap hanya gunakan kata atau bahasa yang lemah lembut, tidak boleh mencarut-carut dan memaki-maki. Apa lagi kalau sampai membentak-bentak, itu lagilah tidak boleh.

Wow. Hebatkan kalau boleh dan mampu berlagak baik sehingga begitu sekali. Biar dengan cara berpura-pura begitu tiada siapa tahu hakikat sebenar diri, supaya dengan begitu diri akan selalu disanjung serta disangkakan sebagai manusia baik, sopan dan tahu berbudi bahasa.

Tetapi itulah saya. Saya sedar saya tidak memiliki kepandaian di bidang berbohong, berpura dan berlagak-lagak ini sehingga ke tahap sebegitu rupa. Tahunya saya ialah bercakap lurus dan terus terang sahaja. Kalau suka saya langsung katakan suka dan kalau tidak pun demikian jugalah.

Saya tahu dan sedar betapa kerana tidak memiliki kepandaian begini jugalah maka saya sering kali kurang disenangi kawan-kawan atau oleh sesiapa yang mendengar kata-kata saya, yang memang pun jarang berlapik atau berpura-pura sopan, lembut dan baik ini.

Tetapi tidak mengapalah. Saya rasa biarlah saya tetap dan terus dengan cara saya yang begini. Saya mahu terus bersikap terus terang. Walau kerananya mungkin ada juga waktunya nanti saya akan turut sama terguris atau kembali diguris.

Seperti keadaan yang sekarang inilah. Saya tidak malu mengaku betapa saya kini sedang dalam keadaan orang yang kembali dilamun cinta. Cinta yang bukan main-main cinta. Maksud saya cinta yang benar-benar cinta.

Perasaan cinta ini pun datang atau muncul bukanlah kerana desakan hati dan perasaan saya yang ingin kembali menebus apa yang tertinggal atau tercicir dari masa silamnya. Tetapi perasaan yang benar-benar membuat saya berasa senang dan tenteram dengannya. Perasaan yang benar-benar saya rasa dan alami sendiri di saat kini.

Walau ada kalanya saya berasa juga sesekali seperti disakiti, namun saya tidak tahu kenapa saya tetap dan masih juga boleh berasa senang dan tenteram dengannya.

Rasa cinta itu kini telah menjadikan saya tidak peduli dengan apa pun selain kerana cinta itu sendiri. Kini saya benar-benar sedang menikmatinya.

Walau ketika ini saya mungkin sedang cuba diuji dan diduga oleh yang saya cintai itu, tetapi itu sedikit pun tidak akan mampu menjadikan saya berubah hati dan boleh menyebabkan saya ingin melepaskan cinta saya itu.

Kerana bagi saya, cinta yang sebenarnya adalah sesuatu yang tanpa pamrih. Yang sama sekali tidak mengharapkan apa-apa kembali sebagai ganjaran dan balasannya.

Saya menyintainya dan ingin terus bercinta dengannya. Kerana cinta itulah maka saya sedikit tidak punya niat atau maksud sebagai sesuatu yang boleh ditafsirkan sedang mencurigainya.

Cinta saya terhadapnya adalah cinta yang tanpa pamrih. Cinta yang boleh membuat saya kini berasa senang dan bahagia, walau kerananya pelbagai duga dan halang terpaksa saya hadapi.

Bagi saya, apalah lagi yang ingin saya kejari jika kerana dan dengan cinta itu saya berasa saya telah menemui sesuatu yang abadi.

Walau pun mungkin yang bertepuk hanyalah saya sebelah. Atau jika pun kedua bertepuk tetapi rentak dan nadanya tidak seiring.

Kerana yang saya buru adalah pasti yang abadi dan bukan fatamorgana. Begitu saya berasa sudah menemuinya, saya akan tetap menyerahkan diri dan jiwa kepadanya.

Tanpa ingin berpaling.

April 14, 2009

Isnin, April 13, 2009

TERIMA KASIH KERANA GUNJING DAN KATA KAWAN-KAWAN


SAYA tidak sangat berasa terperanjat kalau sekali waktu ada di kalangan kawan yang berbaik sangat hatinya menyampaikan kepada saya sesuatu yang disebutkan orang lain mengenai diri saya, yang selama ini memang pun di luar pengetahuan saya.

Saya katakan saya tidak berasa sangat terperanjat itu kerana saya sedar betapa saya ini bukanlah manusia yang sempurna di mata semua orang dan kerana itu pastilah tidak akan dapat memuaskan semua kehendak serta harapan mereka.

Malah saya sendiri pun tahu betapa saya sendiri memiliki kelemahan dan kekurangannya juga, yang kerana itu pada setiap masa sentiasa saya usahakan agar dapat saya atasi dan buang jauh segala kelemahan serta kekurangan itu.

Memanglah satu dusta kalau saya katakan saya tidak terasa atau tersentuh. Tetapi selalunya, saya selalu memilih jalan yang lebih positif dan kerana itulah saya tidak mahu terlalu ambil kisah sangat mengenai apa yang dikatakan orang mengenai diri saya, sama ada yang terlalu memuji-muji atau kata-kata lain yang boleh ditafsirkan sendiri sebagai gunjingan dan tohmahan-tohmahan.

Terluka dan tersentuh memang. Namun untuk terlalu lama memikirkannya saya rasa tidaklah perlu.

Ini samalah halnya ketika beberapa hari yang lalu seorang kawan yang sudah lama tidak saya hubungi melalui telefon, ketika saya hubungi dan bertanyakan sesuatu darinya, telah menyampaikan mengenai sesuatu yang dikatakan oleh seorang yang lain mengenai diri saya.

Memanglah saya tidak menyangka manusia yang setiap kali bertemu dengan saya ini, yang sentiasa melebar senyum dan ramah tutur katanya, sanggup berkata-kata perkara yang sangat tidak benar mengenai diri saya, semata-mata kerana mahu memujuk kawan itu agar menjauhi saya.

Pada masa sama saya terfikir juga, kenapakah sampai begitu sekali manusia yang saya maksudkan itu sanggup begitu bersusah-payah memujuk kawan saya itu agar menjauhi saya. Apa salah saya terhadap dia? Atau dia sebenarnya ada maksud lain yang tersembunyi terhadap kawan saya itu? Atau apakah dia bersangka bahawa saya telah ada sesuatu dengan kawan saya itu dan kerana itu dia fikir sesuatu itu perlu segera dihentikan?

Tidak mengapalah. Saya tidak ingin beranda-andai dan berfikir lama mengenai manusia yang satu ini. Saya harap biarlah dia sedar sendiri akan betapa sia-sianya perbuatan dia untuk memisah dan memutuskan persahabatan di antara saya dengan kawan saya itu.

Saya akhirnya menyerahkan perkara ini biarlah menjadi urusan dan ketentuan Allah sahaja. Saya tidak mahu menambah sesuatu yang tidak sepatutnya dan tidak langsung memberi guna kepada diri saya di dalam diari kehidupan saya.

Dari saya terlalu memikirkan gunjing dan kata-kata manusia yang satu itu mengenai saya, saya putuskan lebih baik saya menulis sebuah sajak atau sebuah cerpen. Walau pun sajak atau cerpen saya itu mungkin sangat mentah dan beremosi, setidaknya, saya sudah berjaya mengelakkan diri agar tidak mengheretkan diri saya sama menjadi tidak berguna dan tidak bererti seperti mereka atau sesiapa yang telah dan pernah menggunjing saya itu.

Terus-terang sahaja, saya lebih mempercayai Allah yang lebih mengetahui dan berkuasa menentukan segalanya ke atas diri saya. Selain dari itu, saya memang pun tidak begitu mahu ambil tahu dan peduli.

Dan untuk segala gunjing serta kata-kata mereka itu, saya ucapkan terima kasih.

April 13, 2009

Sabtu, April 11, 2009

KERANA PEREMPUAN

IBU, isteri, adik, anak dan beberapa kawan saya adalah perempuan. Tanpa perempuan, saya tidak mungkin lahir ke dunia. Kerana itu perempuan bagi saya sebagai seorang lelaki adalah makhluk Allah yang sangat memberi makna dan erti, serta terlalu besar jasanya kepada saya.

Kerana dengan perempuanlah saya mengenal makna cinta, rindu, kasih dan sayang. Malah kerana perempuan jugalah saya belajar berbagi rasa dan kehendak, tidak terlalu memikirkan kepentingan diri dan sendiri.

Menyedari itu jugalah saya semakin menjadi mengerti dan lebih berwaspada agar tidak selalu sampai terdorong mahu menyakiti perempuan. Perempuan, walau tidak semestinya sentiasa mesti dilindungi, sehingga memperlekehkan kebolehan dan kebijaksanaan yang dimilikinya sendiri, tetapi saya sedar tidak perlu disakiti walau dengan cara apa pun.

Perempuan juga manusia dan kerana itu perlu dilayan serta diperlakukan sebagaimana layaknya seorang manusia.

Walau kerananya, ada juga lelaki yang menjadi sakit atau terseksa, tetapi saya kira itu pun bukanlah kerana salah seorang perempuan.

Perempuan tetap perempuan dan lelaki tetap lelaki. Walau berada di kutub gender yang berbeza, namun keduanya saling lengkap dan melengkapi. Seperti setiap pasangan yang lain pada jasad diri manusia. Saling perlu dan memerlukan.

Sesungguhnya, Allah yang lebih mengetahui dan mengerti segala-gala yang di dalam ketentuanNya.

April 11, 2009

Jumaat, April 10, 2009

TERIMA KASIH PEREMPUAN


SAYA tahu dan sedar saya bukanlah seorang lelaki yang terlalu baik dan sempurna.

Sebagai seorang lelaki yang selalu mengembara, gelisah dan hidup sepenuhnya dengan kesunyian, saya selalu terdera dan tergoda untuk menghindarkan sunyi itu dengan pelbagai cara, yang kadang-kala menghampirkan saya kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Tetapi syukur Allah masih mahu membantu memelihara diri saya agar tidak menjadi rosak dan punah. Begitu saya hampir terlajak, saya menjadi segera insaf dan kembali ingat dari mana saya datang dan ke mana saya akan pulang.

Kerana itu, ketika saya mengenal seorang perempuan yang hadir di dalam kehidupan saya, saya sangat ingin berterima kasih kepadanya dan sekaligus juga kepada Tuhan.

Kerana perempuan yang satu ini, tidak hanya mencabar keegoan lelaki saya dengan kebijaksanaannya, tetapi sekaligus juga dia berani mengajak saya pulang ke jalan yang benar.

Dan memang segala itu dengan kehendak dan ketentuan Allah juga. Malah dengan dan kerana usaha serta niat saya selama ini yang juga memang tidak mahu hidup selamanya seperti orang yang sesat dan kurang beragama.

Saya mahu kembali ke jalan yang baik dan benar, tetapi tidak mustahil sesekali boleh tersesat dan hampir lupa. Mujur Tuhan cepat menyedarkan saya dan sekaligus juga perempuan yang satu ini hadir dengan kebijaksanaan dan keberaniannya mengajak saya pulang.

Untuk itu, kepada perempaun yang baik ini, saya tuliskan sebuah sajak untuknya. Sajak itu adalah ini:


Marsli N.O
TERIMA KASIH PEREMPUAN

Aku tahu siapa diriku
Lelaki yang tidak selalu sempurna
Dan bagaikan seekor kelkatu
Selalu tergoda oleh cahaya lampu

Tetapi terima kasih kepadamu
Kerana tetap tidak melepas kejap
Meski berkali aku terkhilaf

Kau mengajak aku menjauh
Dari gelap yang pekat
Dan selalu menggesa tatkala aku lupa

Terima kasih
Kerana dengan kau
Kuingin kembali menyatukan kasih
Dalam taubat dan khusyuk solat

Kuantan,
April 10, 2009


Khamis, April 09, 2009

SAYA DAN PEREMPUAN

IBU saya perempuan, isteri saya perempuan dan saya juga mempunyai anak dan kawan di kalangan perempuan.

Bagi saya perempuan adalah makhluk Allah yang diciptakan bukan untuk disakiti atau dikhianati oleh kaum lelaki seperti saya.

Kerana itu jugalah, walau saya mengaku saya bukanlah terlalu baik dan sempurna, saya sangat menghargai dan sekaligus menyintai perempuan.

Belakangan ini, entah kenapa saya kembali menjadi sangat mengingati perempuan. Sebahagiannya perempuan yang memang saya sukai dan saya cintai sepenuh hati saya.

Kerana itu, saya tergerak untuk menulis beberapa sajak, khusus untuk perempuan yang saya suka dan cintai sepenuh hati. Antara sajak itu adalah ini:

Marsli N.O
KEPADA PEREMPUAN

Aku tahu siapa diriku
tanpa hadirmu

Barangkali hanya seekor kelkatu
yang selalu tergoda kepada cahaya
dan hangus sayapnya
di bawah bahangnya

Tetapi kau
selalu kudamba
bukan kerana syahwat atau
gelojoh hendak
melepaskan hasrat

Kerana kuingin keluar
dari gelap yang pekat
dan di bawah teduh restu
kuingin kasih kita bersatu
bersama di depan kiblat
tanpa selain iktikad
hanya menyerah hajat
dalam taubat dan khusyuk solat.

Kuantan,
April 9, 2009


Kepada perempuan yang saya sukai dan cinta, saya ucapkan syukur dan terima kasih kerana berani mengajak saya pulang dan sekaligus memberi saya ruang dan peluang untuk kembali dari jalan yang jauh dan terpesong itu.

Walau untuk dan kerana pengakuan itu, saya dihujat dengan tohmah, saya sedia di dalam rela.

Kerana segala niat dari saya, hanya Allah yang lebih tahu.

April 9, 2009

Selasa, April 07, 2009

BERHIMPUN DAN BERKHEMAH


TAHUN 1981. Tempat atau lokasinya adalah di sebuah kem di Kampung Kijang yang letaknya di tepi jalan dari Kota Bharu menuju ke Pantai Cahaya Bulan. Di sinilah pada bulan April tahun itu berlangsung sebuah acara sastera yang disertai oleh peserta tidak sahaja dari Malaysia, malahan juga dari Brunei, Singapura dan Indonesia.

Peserta lelaki yang tidak muat atau tidak dapat ditempatkan di dalam asrama yang dikhususkan untuk peserta wanita, beramai-ramai tidur di dalam khemah besar yang di dirikan di sekitar kawasan kem. Mandi dan mencuci diri di telaga awam yang sedia ada di dalam kawasan kem.

Itu tahun 1981. Acaranya ialah Hari Puisi Nasional yang diselenggarakan oleh kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Penulis Kelantan atau PPK dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selepas tahun-tahun itu, walau ada acara sastera menggunakan “perkhemahan” sebagai sebahagian dari judul acaranya, peserta sudah jarang dan mungkin sudah tidak lagi tidur di dalam khemah.

Apa lagi kalau acara sastera itu anjuran GAPENA yang biasanya mendapat tunjangan dana kewangan yang besar dari kerajaan. GAPENA sebagai sebuah badan penulis sangat dikenali sebagai sebuah organisasi yang sangat memperhatikan hal begini dan kerana itu, acara anjuran GAPENA biasanya dilangsungkan di hotel-hotel dan peserta berpeluanglah menginap dan tidur di kamar dingin hotel.

Memang pun menganjurkan sesuatu acara sastera memerlukan belanja kewangan yang besar dan sebagai salah satu ikhitiar untuk berjimat atau mengurangkan belanjanya, saya pernah pada suatu waktu sekitar tahun 2000, bercakap dan menyarankan di depan kawan-kawan agar kenapa tidak acara sastera dilangsungkan secara urakan. Maksudnya, peserta datang dan hadir dengan membawa keperluannya sendiri dan penganjur hanya menyediakan keperluan yang sangat asas seperti khemah, ruang untuk memasak dan keperluan untuk membersihkan diri, minum dan beribadat.

Dengan cara begini, begitu hujah saya, kita dapat mengenal siapa peserta yang benar-benar datang kerana sastera dan siapa pula peserta yang datang kerana mahu mengambil peluang serta kesempatan tidur di hotel secara percuma atau dengan kadar bayaran yang sangat rendah.

Respon kawan-kawan tentunya pelbagai. Ada yang ketawakan saya dan ada yang mencemoh dengan mengatakan kalau demikian tiada siapa yang mahu datang. Di pihak saya, tentu sahaja saya hanya tersenyum mengenangkan cara berfikir mereka yang begini dan kepada diri sendiri saya berkata betapa aku dahulu pernah ke acara sastera dan tidur di dalam khemah, malah sehingga kini tidak pun ditimpa apa-apa penyakit. Ini bukan menyatakan riak, tetapi menyatakan perkara yang saya fikir benar sebagai hujah.

Saya sedikit pun tidak terkilan atau berasa marah kerana syor dan idea saya itu tidak mahu didengar dan diguna pakai oleh kawan-kawan yang menjadi peneraju atau sekelompok orang kuat di dalam organisasi sastera.

Dan belakangan ini idea itu kembali segar di benak saya bila beberapa hari lalu seorang kenalan saya memaklumkan suatu acara sastera untuk penulis muda terpaksa ditangguhkan untuk sementara waktu kerana masalah kekurangan dana inilah.

Saya tanpa segan dan silu langsung menyebut. Kata saya, organisasi seperti PENA atau GAPENA misalnya mempunyai bangunan dan kawasan berpagarnya sendiri. Jadi kenapa tidak didirikan beberapa khemah besar yang secara terpisah menempatkan peserta lelaki dan wanita sebagai tempat menginap mereka. Sediakan peserta hidangan nasi kawah dan lauk sekadarnya, atau kalau mahu lauk yang lebih enak, peserta membawalah bekalannya sendiri atau membelinya di luar. Untuk seminar atau acara rasmi bolehlah dilangsungkan di dalam bangunan milik organisasi.

Idea ini saya sebutkan lagi semalam ketika menghubungi seorang sahabat akrab lewat telefon. Malah saya katakan juga kepada sahabat akrab saya itu, saya sanggup dan sedia menawarkan jasa sebagai salah seorang warden untuk berjaga malam mengawal keselamatan peserta di pihak lelaki di sepanjang acara.

Saya tidak tahu apakah idea lama saya yang kembali saya perhidupkan itu mahu diterima dan dipertimbangan oleh kenalan dan sahabat saya ini atau tidak.

Tugas saya hanya sebagai pemberi sedikit pencerahan yang kalau-kalau dapat membantu. Kalau mahu difikir serta dipertimbangkan, baguslah. Setidaknya saya dapat juga sama membantu menyelesaikan masalah teman-teman di dalam organisasi. Soal idea dan pandangan saya ini dialukan atau tidak saya tidak peduli. Rasa saya, Allah lebih mengetahui apa yang tersirat di dalam hati saya. Jadi tidak perlulah saya mendakwa macam-macam.

Cukuplah sudah dengan apa yang telah saya sebutkan semalam kepada sahabat akrab saya itu.

Rasa saya, tidak pun luntur dan menjadi hina martabat kita sebagai sasterawan kerana tidur dan berhimpun di bawah khemah.

April 7, 2009

Isnin, April 06, 2009

SETELAH PUAS DAN JENUH KEMBARA, KUTEMUI JUGA KASIH ABADI

TELAH puas dan jenuh aku kembara, mencari kasih yang kuharap agar menjadi sejati serta selalu kudamba menjadi air dingin penyejuk lara dan haus di dalam jiwa.

Namun tetap juga itu tidak kutemui. Kecuali mimpi demi mimpi yang kusangkakan realiti tetapi begitu aku cuba mendekat dan mendakapnya, segera pula ia menghilang begitu hari menjelang menjadi pagi.

Lalu aku kembali menjadi manusia lemas dan gelisah dirongrong resah sendiri. Berduka dalam tawa. Meratap di dalam ria. Tidak siapa tahu seksa diri dan kuinsafi sendiri betapa memang tiada siapa yang akan sudi menghulurkan simpati.

Kerana itulah aku menjadi lelaki pasrah dan terus sahaja mengalir seperti air. Melewati lurah, curam, jurang dan lembah. Namun tetap juga aku terlonta-lonta sendiri. Mencari sesuatu yang sejati dan kuharapkan menjadi abadi.

Kini kau telah kutemui. Kusimpan di dalam kamar hati sendiri. Denganmu kuingin selama berkasih tetapi bukan kerana kobar nafsu atau kehendak memuaskan syahwat. Kau di mata jiwaku adalah cahaya pencerah gelap di relung jiwa. Cahaya yang menghadirkan cerah dan mengajak aku bersatu di dalam keabadiannya menuju ke satu mercu yang pasti.

Kerana itulah, aduhai kau kasih yang abadi, kuajak bersama khusyuk di dalam solat dan tidak lagi berpaling lain kecuali kiblat.

Tuhan, aku berterima kasih. Kerana kau pemberi Cahaya dan mendatangkan abadi ke dalam jiwa hamba.

April 6. 2009

Ahad, April 05, 2009

MENGHINDAR LUPA, MENGELAK DENDAM

MENCATAT, mengumpul dan menyimpan sesuatu yang dirasakan penting serta perlu menjadikan saya tidak mudah melupai sesuatu. Malah ketika segalanya kembali dibaca lebih teliti, terhimbau kembali kenang, dan sekaligus melihat kembali diri di masa lalu dengan segala indah dan kadang-kala rasa sakit bersamanya.

Dari situ saya bercermin melihat diri dan sekaligus juga membenarkan tanggapaan betapa manusia itu mudah melupai segala laku dan perbuatan di masa lalunya dan kesilapan itu diulanginya pula kembali berkali-kali.

Saya belajar dan berusaha menghindar lupa tanpa niat untuk membarakan kembali marah dan dendam.

Kerana tidak mudah menjadi lupa itulah maka saya lebih ingin segera melepaskan segala yang memberat di dalam ingatan: sahabat yang tidak mampu bertahan dengan setianya, pencuri yang mencurigai orang lain kerana disangkakan akan bertindak seperti dirinya juga, atau pemimpin yang selalu berbohong di depan rakyat.

Kerana tidak mudah menjadi lupa itulah juga maka saya akhirnya bertekad tidak ingin menjadi hakim yang menjatuhkan nilai serta hukum terhadap sesiapa yang pernah membuat saya berasa sakit dan terhina.

Apalagi untuk kembali bertindak terhadap pencuri yang pernah berkali-kali menuduh saya sama seperti dirinya semata-mata kerana takut dan mahu menyembunyikan hakikat dirinya sebagai pencuri yang sebenarnya.

Kerana, tanpa berbuat apa pun atas nama dendam terhadap mereka, saya melihat dengan mata dan kepala sendiri, betapa mereka sebenarnya sudah pun terhukum dan menerima hukumannya lebih terok dan hina berbanding apa yang pernah mereka lakukan terhadap orang lain.

April 5, 2009

Khamis, April 02, 2009

POLITIKUS, BADUT DAN SEBUAH CERMIN



Cerpen MARSLI N.O

1
DI DEPAN CERMIN

Bersendirian di kamar kenang. Aku berdiri di depan cermin. Bersendiri, tanpa teman atau sesiapa dan kecuali diri, kutatap wajahku sendiri. Lalu kulihat di cermin, tidak hanya wajahku, tetapi satu demi satu segala ingat dan kenang lalu kembali berebutan menyesaki ruang ingatan.

Lama kutenung dan renung wajahku yang teduh dan keruh. Aku tahu di sebalik keruh dan teduh itu, diri sebenarnya menyimpan sejuta keluh dan henyak di dalam perasaan. Namun biar apa pun henyak dan hunjam ke dalam perasaan, diri tetap akan bertahan. Bertahan agar tidak ditumpaskan oleh kecengengan dan kemurungan yang berpanjangan.

Datanglah. Aku bersedia menerima dan menghadapinya. Begitu kudengar diri berkata kepada diri di dalam sunyi dan sendiri ini.

Datanglah. Datanglah.

Masih ingatkah dikau segala yang sudah dan pernah kautempuh di dalam hidupmu, wahai diri? Begitu perlahan kudengar diri bertanya kepada diri.

Ketika kau diumpat, ketika dikeji, ketika dihenyak, ketika dikhianati dengan segala kata, dengan segala cara, dengan segala duga dan dengan segala upaya yang mereka tahu dan ada, masihkah kau mengingatinya?

Kenapa tidak? Segalanya masih bagaikan semalam di dalam kenang ini. Ketika begitu, diri tahu betapa tiada siapa yang sudi menemani dan menjadi tempat meski hanya sekejap untuk menyandarkan keluh.

Selama belasan, tidak, puluhan tahun kau dengan sengaja memilih diam dan membisu. Walau dihenyak dan dihentak dengan pelbagai kata serta cara. Konon demi untuk menjaga keharmonian, konon kerana tidak mahu dituduh sebagai perengus, konon demi untuk menjaga kesopanan dan agar tidak dikatakan orang sekeliling sebagai manusia pemarah dan tidak tahu diri. Kau memilih diam. Kau memilih bersabar. Walau hatimu dicakar dan dicalar.

Inilah dunia yang kau masuki dengan rela dan tahu segala sepak serta terajangnya. Dunia yang kononnya hidup dan diramaikan oleh manusia yang berkiblatkan hidup serta kata dan tujuannya dengan keikhlasan terhadap kemanusiaan.

Tetapi di dunia inilah kau temui si penjilat, pengampu, pengkhianat dan mereka yang berlagak baik lagi suci dengan kata dan tingkah di depan, tetapi lain pula bila di belakang.

Kerana itulah. Di depan cermin ini, dalam kesendirian di kamar kenang ini, kau memilih untuk tidak peduli lagi. Kini, sudah waktunya kau bangkit dan melawan. Melawan dengan caramu sendiri.

Kerana kau, sudah bosan menjadi penyabar dan diam.

2
KESEPIAN

DI SAAT begini, ketika kau toleh ke sekeliling dirimu, tatkala bersendirian begini, siapakah yang kaulihat atau kautemui tampang dan wajahnya? Siapa? Siapakah yang kaulihat? Siapa? Siapakah yang kautemui? Siapa? Siapakah yang sudi menjadi penemanmu di kala bersendirian dibelit kesunyian yang teramat nyeri ini.

Tiada. Tiada sesiapa di samping atau di sekeliling yang menemanimu. Kecuali dirimu bersendirian di situ, diasak sunyi yang bukan alang dan kepalang. Nyerinya bagaikan terasa sehingga ke tulang sum-sum. Kau sendiri dan hanya bersendirian menghadapi sunyi ini.

Lalu jauh di umbi jiwamu, bertalu-talu bergaung tanya: Mana sahabat yang selama ini menemani daku di kala ria? Mana sahabat yang selama ini menemani di kala daku dilambaki laba? Mana sahabat yang selama ini menemani daku ? Mana? Di mana kini sekalian mereka tatkala aku memerlukan?

Ternyata segala tanya hanya berlalu ditelan angin. Di situ, di kamar itu bersendirian kau menghadapi sunyi yang teramat nyeri. Di kamar itu kini, tiada teman yang menemani. Hanya kau yang sendiri menghadapi segala sunyi.

Dan baru kini kau sedar serta insafi. Inilah namanya dunia dan hidup. Sulit kau cari teman sejati yang sanggup sekejap menjadi peneman tatkala kau sekali waktu benar-benar amat memerlukan. Setidaknya dapat sekejap kau ajak bertukar bicara atau meminta secuil fikir tatkala dirimu diasak duga. Kecuali tatkala ria dan laba melingkari, banyaklah teman dan taulan yang berbondong datang merubungi diri.

Ah, agar tidak berterus bersedih mengenang nasib dan duga yang menimpa diri, kau akhirnya berbisik kepada diri: aku lahir dan akan mati sendiri.

Kerana itulah hakikat kewujudan diri di negeri yang fana ini. Semakin menghampiri titik, semakin kau jadi mengerti dan semakin tidak terlalu ingin lagi mengacuhkan manusia yang selalu hadir dengan segala puji serta pujanya yang palsu.

Kini kau lebih rela bersendiri menghadapi segala sunyi. Hanya bersendiri. Hanya bersendiri. Hanya bersendiri.

3
MAAF, YA

Minta maaf sahajalah.

Aku tidak berminat untuk menjadi apa-apa selain menjadi diriku sendiri. Tidak. Aku sama sekali tidak terliur hendak menjadi hero atau pembela. Tidak kiralah kepada sesiapa dan atau demi apa-apa. Aku berbuat dan melakukan sesuatu semata-mata kerana niat dan keyakinanku sendiri. Bukan kerana kau, kerana dia, atau kerana si anu-anu di man-mana pun.

Kerana itulah. Kalau aku bising dan kelihatan seperti marah dan membentak-bentak kerana sesuatu yang tidak menyenangkan hatiku, aku melakukan itu kerana memang aku mahu melakukannya. Dan jauh di sudut hatiku, aku pun tidak meminta, apa lagi mengharap sesiapa pun menyokong dan menobatkan aku sebagai hero.Sudahlah. Jangan hendak buat kerja mengarut dan tidak berfaedah itu.

Jadi. Janganlah kau juga hendak membuang masa mengacah atau menggalak-galakkan aku dengan pelbagai kata bujukan dan seruan. Kau ingat bila kau acah-acah dengan kata-kata bersemangat begitu maka aku akan mudah dan semakin teruja?

Sudahlah. Zaman sekarang ini aku tidak berminat hendak menjadi pahlawan. Hapraklah semua itu. Mana ada pahlawan lagi? Harimau kertas, anjing penjilat dan babi gemok banyaklah di mana-mana.

Pahlawan? Kelakarlah.

Wah, kau bercakap pasal angkatan, perjuangan yang perlu diteruskan. Wah! Angkatan apa ni? Perjuangan apa ni? Hapraklah semuanya.

Kau sengaja buat lupakah? Atau sengaja buat-buat tidak nampak? Bukankah di depan mata kau sendiri, budak kurus melidi itu sedang terkodek-kodek menari sambil melontarkan ludah dan kencingnya?

Kenapa kau tidak melarang dan menyergahi dia?

Pelik. Benda yang di depan mata kau, kau buat-buat dan pura-pura tidak nampak. Alih-alih, kau acah aku dengan kata-kata hebat: hero, perjuangan, pahlawan, maruah dan demi bangsa!

Dan kau sendiri tengah buat apa pula?

4
PERGI

MUNGKIN kau tidak faham.

Jangan hendak susahkan diri kau buat benda yang aku tidak suka kau buat itu. Janganlah hendak berlakon konon kau budak baik dan patuh.

Pergilah. Aku kasihan melihat kau. Kau sanggup rupanya menjadi pengampu, ya?

Tidak mengapalah. Itu hak kau.
Tetapi kalau aku tidak suka. Memang aku tidak sukalah. Pergilah.

5
CUBAAN

SUDAH beberapa kali. Demi memuaskan naluri tahu dan ingin menguji benarnya andaian, beberapa kali kau cuba menguji. Ternyata memang demikian jawaban yang kau temukan.

Betapa, orang mudah benar memberikan reaksi jika kau bercakap sesuatu yang memang dengan sengaja kau saluti emosi dan kata berbara. Berkoar mereka kembali dengan seranah dan herdik.

Tetapi jika kau melontar kata cuba menguji fikir, tiada siapa pula memberikan reaksi.

Dan memang begitulah sudah kautahu resamnya dunia. Penjilat ada di mana-mana. Pengampu ada di mana-mana. Jauh di dalam hati, kau hanya berasa kasihan kepada salah seorang atau beberapa di antara mereka.

6
BUKAN SALAH KAU ATAU KITA

JANGAN bersedih. Semua ini bukan salah kau dan bukan juga salah kita. Apa lagi hendak kita katakan salah ibu yang mengandungkan kita. Kau dan kita memang tidak bersalah.

Keadaan dan zaman? Pun tidak juga.

Segala yang terjadi ini bagiku hanyalah sebagai petanda belaka. Petanda yang secara awalnya menunjukkan bagaimana sesuatu bangsa akan menjadi remok dan hancur.

Maksudku, bila mana kejujuran, keikhlasan, perdebatan dan pertukaran fikiran secara sihat dinafikan, maka kita tunggulah zaman kebodohan sesuatu bangsa yang akan melanda. Lalu, lantaran zaman kebodohan itu juga, pada waktu yang sama lahir dan tampillah tanpa sedikit pun rasa malu dan hina para pembodek yang setengahnya tidak mendapat gaji apa-apa pun dari pihak yang dibodeknya.

Itu sebenarnya masih tidak apa-apa. Tetapi yang lebih mengaibkan lagi adalah ini. Sebahagian kita yang memang dilahirkan sebagai manusia, di zaman yang semakin menampakkan kebodohan anak bangsa kita ini, ada yang sanggup menyunglapkan dirinya menjadi anjing dan babi, semata-mata demi mendapatkan sebongkah projek atau kesempatan dan peluang, walau untuk itu sanggup dipijaknya perut sahabat dan saudara, sanggup dikencingi kepala jirannya sendiri. Pokoknya asalkan perut dan nafsunya membuncit dan terpenuhi.

Jadi begitulah. Bukan salah kau dan bukan juga salah kita.

Apa pun, kita tetap juga akan bercakap dan bersuara. Mungkin kita tidak berteriak atau mempamerkan sepanduk di jalan-jalan sebok. Namun kita tetap juga akan bersuara dan terus bersuara.

Setidaknya, dengan cara bercakap dan bersuara itu, kita tidak akan ikut sama menjadi mangsa di zaman kebodohan ini dan kalau pun tidak banyak, kita dengan apa upaya yang ada, dapat juga membantu memandaikan kembali anak bangsa kita yang sedang terlonta-lonta mencari kebenaran hakiki di tengah kehidupan yang semakin disesaki anjing dan para babi ini.

Begitulah.

7
INGAT, KITA BUKAN BADUT

Ingat. Kita bukan badut.

Kita tahu mereka memang sengaja hendak membuat kita marah dan hendak melihat kita marah-marah.

Memang dia kurang ajar dan keterlaluan.

Tetapi bukankah kerana kita juga yang memberi dia muka dan ruang? Kalau tidak, manakan mungkin dia dapat berdiri dan menunjukkan taring?

Maksudku, kalangan kitalah yang memberikannya. Beri dia peluang dan ruang. Dan dengan bodohnya, kita boleh pula (maksudku, kalangan kitalah) menobat dan memuji-muji segala yang dia perbuat. Walau jelas dan nyata dia sebenarnya sedang menyebarkan racun ideologi dan faham kekafiran lewat aksara dan kata ke benak hijau anak-anak kita.

Alangkah bodohnya kita (maksudku, kalangan kitalah).

Tetapi ingat. Kita bukan badut.

Kalau kita hendak marah dan membentak. Kita marah dan membentak dengan cara kita sendiri.
Tetapi kita tidak akan menyebut apa-apa secara langsung namanya.

Kerana, semakin kita menyebutnya, semakinlah menjadi tersohor dia.

Dan kalau si bodoh dari kalangan kita hendak terus bersekongkol dengan dia, biarkanlah. Kerana, kita dan mereka, memang selalu di jalan dan kiblat yang berbeda.

Jun 26, 2007

S E L E S A I

Sumber Siaran: Dewan Budaya, April 2009