Selasa, Januari 19, 2010

SEBUAH AUTOBIOGRAFI: SIAPA YANG LAYAK

KETIKA mengetik entri ini, saya teringatkan beberapa nama tokoh sasterawan, seni dan budayawan yang banyak menyumbangkan bakti seni masing-masing di daerah atau negeri di luar Kuala Lumpur.

Sebutlah mereka: Shariff Putera, Marzuki Ali, Ali Jusoh, Norhisham Mustapha, Darma Mohamad, Wan A Rafar, Rejab F.I, Nahmar Jamil, Shapiai Mohd Ramly, Mahaya Mohd Yassin, Abdullah Ngah, Ramli Daud, Talib Samat dan banyak lagi.

Andai kata satu saat mereka tergerak dan mula menulis kisah hidup mereka sendiri, apakah syarat-syarat yang benar-benar melayakkan mereka untuk menerbitkannya ke tengah khalayak pembaca?

Saya membayangkan Shariff Putera menuliskan riwayat hidupnya. Dari awal mula lahir mengenal dunia, bersekolah, dewasa dan gigih berkaya serta menggerakkan persatuan.

Begitu juga Ramli Daud seorang yang hidup di alam peneroka Felda dari negeri Perak. Ramli Daud yang menghasilkan cerpen "Tandan Tua" pada suatu hari, kerana menyedari usianya semakin senja dan mahu meninggalkan sesuatu kepada masyarakat, memilih untuk menuliskan riwayat hidupnya sendiri.

Setelah usai dan sempurna, katakanlah Sahriff Putera atau Ramli Daud mengirimkan manuskrip riwayat hidup mereka kepada penerbit naungan kerajaan bernama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Apakah agaknya jawapan pihak yang menerima manuskrip riwayat hidup mereka?

Tentu sahajalah saya tidak tahu dan tidak pandai hendak menduga-duga apakah jawapan itu.

Tetapi saya agak tersentuh sebenarnya mengenai sikap banyak di kalangan kita yang mudah dan suka mencemoh bila di kalangan sesama sasterawan atau seniman ada yang mulai menuliskan riwayat hidupnya.

Malah saya berasa sangat terperanjat bila suatu malam, ketika menumpangi keretanya untuk ke hentian Puduraya, seorang teman penyair memberitahu bagaimana seorang penyair tersohor seolah menempelak beliau dengan tanya apakah sumbangan seorang sasterawan veteran yang hendak dikerjakan oleh teman penyair ini koleksi tulisan mengenai diri dan sumbangannya.

Saya fikir di Malaysia, khususnya di kalangan bangsa Melayu, perangai buruknya antara lain ialah perangai tidak suka menghargai sumbangan dan bakat sasterawan dan senimannya sendiri. Bangsa Melayu ini sombong, bongkak untuk menghargai sumbangan mereka dan tidak mahu mengaku betapa mereka adalah harta bangsa yang tidak ternilai harganya.

Nampaknya, dengan semangat untuk membodek dan mengampu yang tinggi, bangsa Melayu lebih suka mengangkat-angkat dan mengagung-agungkan hanya tokoh politik, dan itu pun tokoh politik yang sama suara dengan tokoh yang sedang memegang kuasa.

Dalam keadaan ini, suara rakyat jadi bungkam, atau kalau tidak pun, diperbodohkan seperti lembu sahaja. Supaya menerima tokoh palsu yang cuba diagung-agungkan itu.

Kecuali bagi lapangan yang boleh menghibur dan melalaikan. Nama penyanyi dan pelakon termasuklah juga disebut-sebut.

Tetapi kalau pelakon, tidak kira filemkah atau teater, yang lebih ke arah seni dan memilih lebih menyuarakan kegelisahan rakyat, seperti Khalid Salleh, nasibnya pun seperti tidak sudi diperakukan sebagai harta bangsa dan negara.

Khalid Salleh pernah mengaharumkan nama negara bila meraih award pelakon terbaik peringkat Asia dan Pasifik. Tetapi lihatlah apa nasibnya. Usahkan hendak berikan Khalid dana membuat filem atau teater yang bagus, hendak dijadikan karyawan tamu di mana-mana institusi pun tiada yang mahu dan sudi.

Bagaimana pula nasibnya kalau Khalid Salleh menulis riwayat hidupnya sendiri dan cuba mencari penerbit?

Saya teringat Matari Rahman, Kalam Hamidi, Bidin Subari, Saparman Bakri, Wagiman Ns di bidang teater atau drama. Bagaimana dengan kisah riwayat hidup mereka?

Saya tidak tahu dengan pasti dan tidak berani untuk menduga jawapan yang pasti.

Mungkin suatu hari, saya bertemu dengan Shariff Putera secara kebetulan, Shariff Putera saya lihat sedang terkebil-kebil matanya seusai membaca surat penolakan manuskrip riwayat hidupnya yang baru diterima dari sebuah institusi.

Alasan penolakannya: Shariff Putera bukanlah seorang tokoh nasional.

Kalau begitu siapa sebenarnya tokoh nasional?

Kerana setahu saya, Shariff Putera sudah ke mana-mana dengan sasteranya. Apakah itu belum cukup untuk meletakkan beliau sebagai nasional?

Januari 19, 2010

2 ulasan:

setiakasih berkata...

Salam..
Dokumentasi itu penting.

Sekarang, mungkin tidak siapa nampak apa kebaikannya.

Jangan pula jadi budaya (mungkin sudah) di negara kita, pabila seniman atau sasterawan sudah meninggal dunia baru kita sibuk-sibuk menulis tentangnya.

Mungkin akademi atau persatuan sastera patut usahakan sesuatu?

MARSLI N.O berkata...

Sdr Setiakasih: Persatuan? Saya tidak percaya mereka mampu berbuat. Kecuali saling bertengkar dan berebut jawatan.

MARSLI N.O