Khamis, Januari 21, 2010

SEBUAH KARYA SEBUAH HADIAH

SAYA tidak fikir seorang yang mengirim pesanan ringkas lewat telefon saya itu mau berlagak, menunjuk-nunjuk dan berbangga-bangga diri. Saya tidak fikir begitu.

Saya lebih kepada anggapan bahawa seorang ini hanya mahu bertanya khabar dan bertukar maklumat.

Jadi kerana itu saya memilih untuk menjawab pesanannya itu juga dengan perasaan lapang dan berterus-terang.

Seorang itu bertanya apakah saya menerima kartu undangan untuk menghadiri suatu acara menerima hadiah sastera.

Oleh kerana memang tiada maka saya jawablah sebagai tiada. Juga sebagai lanjutan dan tambahan maklumat, saya sebutkan bahawa kalau saya tidak silap ingatan dahulu ada iklan di akhbar untuk penilaian karya yang diterbitan sekitar tahun sekian perlulah dikirimkan kepada urusetianya sahaja. Jadi kalau tidak dikirim karyanya, mana mungkin akan masuk penilaian.

Seketika kemudian saya terima lagi jawapan darinya. Kata seorang ini, karya dia tidak pun dikirimkan untuk penilaian kepada urusetia, tetapi dia menerima surat memaklumkan bahawa karyanya itu antara yang memenangi hadiah. Namun kata seorang ini lagi, atas sebab kesihatan dan tidak begitu bisa berjalan jauh, dia terpaksa tidak menghadirkan diri.

Usai upacara saling berbalas pesanan ringkas ini, saya segera membuka fail dokumentasi karya bagi tahun sekian seperti mana yang disebutkan oleh seorang tadi.

Karya yang disebutkan seorang tadi saya temui dan saya baca secara pantas.

Jadi betullah anggapan awal saya tadi. Seorang itu menelefon bukanlah dengan maksud hendak berlagak-lagak atau menyombongkan diri kerana mendapat surat makluman karyanya meraih salah satu hadiah.

Saya tidak sedikit pun bersalah sangka terhadap seorang yang saya tahu memang baik hati ini. Apa yang berlegar di benak saya ketika itu hanyalah tanda soal. Tanda soal mengenai perlunya mengirim karya untuk penilaian bagi hadiah yang dikatakan diberikan untuk karya-karya yang baik yang diterbitkan dalam tempoh waktu tertentu.

Pada detik sama, saya teringat ada saya membaca di blog sasterawan Anwar Ridhwan yang menyentuh betapa tugas mendokumentasi dan mengumpul karya untuk penilaian hadiah sastera bagi sesuatu tahun patutnya diuruskan oleh satu urus setia yang khusus.

Sasterawan atau penyair, begitu kalau saya tidak salah ingatan yang saya baca antara lain disebutkan oleh sasterawan Anwar Ridhwan di blognya, biarlah meneruskan kerjanya berkarya dan terus berkarya sebaik yang boleh dan jangan dibebani dengan urusan kumpul mengumpul karya.

Sekali lagi, saya tidak ada sebarang buruk sangka terhadap seorang yang baik hati itu.

Hanya, membaca karyanya, saya lama tercenung apakah setahap itu sahajakah tema, mesej dan pencapaian mutu sebuah karya yang diinginkan mereka yang bijaksana selaku panel hadiahnya?

Kata seorang penulis yang masih muda belia, di dalam suatu bualan di telefon, mutu karya itu subjektif.

Tetapi kalau setakat berkisah mengenai kisah benda yang ditenggelami banjir atau kerinduan cinta ketika berada jauh di negeri orang, terpaku melihat taburan sakura, misalnya, ketika negara sendiri dilanda perebutan kuasa dan ribut, atau bahasanya sendiri sedang dilumuri najis, lama saya tercenung berfikir, itukah sahaja tema dan kehebatan dari sebuah karya yang mampu dilihat panel hadiahnya?

Sekali lagi, saya teringat kata penulis yang masih muda belia itu, mutu adalah subjektif.

Mungkin siapa tahu, di sebalik karya yang pada permukaannya kelihatan terlalu simple dan mudah itu dilihat panel membawa makna baru dan lain yang berlapis-lapis pula. Dan untuk itu, negeri sastera kita memang terkenal dengan segala rupa bentuk persilatan dan permainan kata bernama teori. Walau sebahagiannya hanyalah guyonan.

Memang pun secara peribadi ada atau tidak pun sesuatu hadiah saya akan tetap menulis juga. Malah ketika kali pertama memilih untuk menulis dahulu, bukanlah hadiah dan anugerah yang menjadi motivasi atau dorongannya.

Jadi persoalan apa yang diberikan hadiah atau siapa yang memilih untuk memberi hadiah pun bukanlah suatu isu yang besar sehingga boleh menyebabkan saya kecewa tidak tentu pasal tidak mahu menulis.

Malah, kalau tidak dapat memetik dan menikmati anggur di pohon yang tinggi itu sekalipun, saya tidak mahu ambil peduli apakah ianya masam atau tidak.

Sebabnya, saya tahu dan sedar sangat, ketika sastera dan seni semakin dicemari intrig politik dan budaya mengampu, jangan pandai-pandai hendak bercakap soal mutu dan penerokaan baik teknik mahu pun tema, tetapi cukuplah dengan memuji-muji, menggosok-gosok dan membodek-bodek mana-mana pihak berkaitan yang dirasakan perlu untuk di bodek.

Atau kalau tidak pun, berlagak dan berlakonlah seperti wali layaknya dan di dalam karya deretkanlah khutbah dan jargon demi jargon atau atas nama agama, walau pada hakikatnya andalah si hipokrit yang selalu berlagak baik di depan khalayak dan peminat.

Tidak mengapa jika negerimu semakin menjadi galau oleh konflik sesama bangsa, laman rumah maruahmu disimbahi kencing atau bahasa sendiri diperkuda, tetapi kau teruslah menulis dan bercerita mengenai salju di Jepun atau pembantaian di Palestine, duka di Aceh. atau segala sesuatu yang indah dan merdu belaka. Seolah-olah di negerimu sendiri tiada duka dan gelisah.

Tulisah sesuatu yang penuh dengan "hemah" dan "sopan", jangan sekali menulis kata "babi" dan "anjing" di dalam karya, kerana nanti karyamu tidak layak dinilai untuk apa-apa hadiah kerana ketidaksopanan dan celupar bahasanya.

Kau pilih itu dengan sedar kerana kau tahu memang begitulah resamnya negeri sasteramu yang semakin dicemari politik dan ampuan.

Tetapi saya, akan tetap begitu juga. Menulis sesuatu yang saya yakin, walau tidak disenangi.

Kerana, saya tidak mahu berbohong kepada diri saya sendiri.

Dan kalau anda tidak setuju, saya tidak peduli. Seperti juga sekian lama anda bersikap tidk peduli.

Januari 21, 2010

6 ulasan:

Unknown berkata...

Salam, Tuan Marsli. Sudah lama tidak menyapa. Harapnya afiat di Malaysia.

Menarik artikel tuan ini. Boleh kaitkan kembali dengan karya2 saya sendiri yang tidak selalunya mengungkapkan keindahan. Pernah menggunakan "anjing" dalam puisi "Gua Seribu Gema", sebuah puisi keagamaan dan telah menggunakannya sekali lagi dalam sebuah puisi baru yang dihantar ke media.

Moga kita semua jujur dan istiqamah dalam penulisan.

abuyon berkata...

salam tuan marsli,

Tak sangka, dalam dunia sastera
pun ada karenah birokrasi!

Apa tiap karya yang mahu diterbitkan
mesti saja mengikut kehendak
penguasa

Aduh!
___

Salam perkenalan dari
saya - abuyon
http://hijau-tinta.blogspot.com

setiakasih berkata...

Salam.. luahan yang tulus dan bersahaja.

'bahasa berhemah' dan
'menulis sesuatu yang saya yakin'
: saya suka.

...Mantap!

MARSLI N.O berkata...

Sdr Hazwan: Salam Kembali dan moga demikian juga Sdr di sana.

Saya kira, di kalangan mereka, kata jujur juga sudah menjadi barang lusuh di pasar loak.

Dan biarlah kita menuliskan apa yang kita yakini tetapi bukan kerana "suruhan".

Sdr Abuyon:
Bila politik merayap ke sastera dan budaya, fahami sahajalah.

Saya rasanya sudah membikin link dengan blog Sdr. Harap kita selalu saling bertukar maklumat.

Sdr Setiakasih:
"Bahasa berhemah" di mata mereka tidak semstinya demikian di kita.

Meyakini sesuatu walau dengan tulisan, bererti bersedia untuk tidak mudah mengalah dan berundur tatkala ditolak dan dihenyak oleh mereka.

MARSLI N.O

Zarif Hassan berkata...

Tuan,

Seorang rakan pernah berbisik kepada saya lalu berkata...

"Aku benci melihat pertandingan ratu cantik dunia. Cantiknya hanya di mata juri tiada pada yang lain"

Masa dan zaman akan membuktikan sesuatu yang tidak ternilai pada waktu kini.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Zarif: Ya. Selalunya begitulah.