Sabtu, Februari 13, 2010

SAYA TIDAK AKAN MEMAKI. UNTUK SEGALA PENGGANGGU DAN PEMBULI. KERANA ITU TIDAK PENTING

SEJAK malam 10 Februari 2010 yang lalu saya tidak pasti entah berapa jam setiap malam sehingga menghampiri Subuh, malah menghampiri pagi, saya bercokol di depan komputer buku di kamar kreatif saya ini melebihi waktu biasa.

Puncanya, saya mencuba dan terus mencuba untuk mengembalikan senarai pembaca dan kawan-kawan yang menjadikan blog saya ini sebagai link di blog mereka, yang saya berikan judul Mereka Membaca, yang telah berubah ke bahagian header agar berada semula di tempat asalnya iaitu di sebelah kiri blog.

Namun itulah yang terjadi dan memaksa saya terus menghadap komputer. Apa yang berubah letaknya itu tidak dapat saya kembalikan ke tempat asalnya dan sebarang usaha untuk menambah kotak baru dan menaip semula senarai-senarai blog, juga tidak dapat dikembalikan ke kedudukan asalnya.

Seingat saya, kejadian itu bermula selepas saya memasukkan blog seorang penyair dari Perak sebagai tambahan link dan begitu saya klik save, bila blog ini diview, senarai Mereka Membaca telah menghilang dari bahagian tepi kiri blog dan berubah letaknya di bahagian header.

Tetapi saya tidak bermaksud ingin mengatakan bahawa dari blog penyair itulah peristiwa ini bermula. Sebaliknya, saya lebih kepada menyatakan bahawa ini lkerana kurangnya tahu saya. Kerana, secara berterus terang saya akui betapa pengetahuan saya mengenai komputer dan siber sangat terbatas serta diperoleh hanya secara uji dan cuba semata-mata. Lantaran itulah, bila menghadapi kejadian sebegini, yang mungkin terlalu mudah dan simple bagi mereka yang mengetahui, menjadikan saya kelam-kabut.

Sungguh saya tidak tahu dan pasti apa puncanya. Dan seingat saya, ini bukan kejadian pertama yang saya alami.

Sebelum ini, senarai nama-sama sahabat yang saya letakkan di link Dunia Membaca juga pernah terganggu dan menghilang. Namun apa yang hilang itu masih dapat dikembalikan dan diletakkan di tempat asalnya bila saya kembali memasukkannya satu demi satu.

Malah sebelum ini juga selalu berlaku waktu untuk mengakses ke blog saya sendiri memakan waktu yang agak tidak masuk akal dan bermula dengan warna kelam yang entahkan apa.

Ini belum lagi diambil kira gangguan kecil berupa sindir, perli atau makian yang ditinggalkan di kotak reaksi yang s
ebahagiannya kerana telah dinasihatkan oleh seorang kawan supaya dionkan arahan read dan approved, maka terlebih dahulu dapat dibaca dan tidak dibiarkan lepas. Atau juga yang mencatat di kotak bicara dengan nama samaran dan rujukan yang sengaja tidak dijelaskan destinasi menyatakan sesuatu yang memang tujuannya untuk membuli atau menyakitkan hati.

Mendepani hal-hal sebegini, saya lama tercenung dan berfikir, terutama bila kembali mengenangkan betapa sejak pertama kali memilih berblog di siber, gangguan yang diterima tidak pernah sudah.

Walhal seingat saya, niat saya berblog hanyalah untuk menyatakan pendapat dan cerita diri saya sendiri, tanpa sebarang maksud hendak berlagak konon dirilah maha tahu dan maha hebat dan bijak ketimbang orang lain.

Apa lagi sebagai seorang yang sedikit sebanyak turut melahirkan karya. Tujuannya berblog juga adalah sebagai suatu upaya untuk sedikit menghebahkan karya yang ada kepada pembaca yang sudi membaca dan sudi hendak membeli buku atau penerbitan saya.

Ketika menulis dan mencatat itu, seingat saya, tidak pernah satu nama pun saya sebutkan secara terbuka yang boleh menyebabkan sesiapa atau mereka segera terasa bahawa memang dia yang saya maksudkan di dalam tulisan atau catatan ketika saya menulis di blog ini.

Saya berpendirian, tidak ada sebab untuk sesiapa perlu bersikap termakan cili kalau memang bukan dia yang berbuat dan malah ketika menuliskan kisah-kisah itu, saya seboleh mungkin cuba untuk menyembunyikan identiti mana-mana oknum.

Agar dengan begitu, begitu saya berniat, pembaca mendapat kesan bahawa kisah yang saya paparkan boleh dan mungkin berlaku di mana-mna sahaja dan bukan hanya di sebuah jabatan atau daerah yang khusus. Setidaknya, agar apa yang dicatatkan menjadi cermin buat pembaca yang lain agar tidak kembali mengulangi.

Tetapi yang terjadi? Pembaca yang membaca dan mengikuti perkembangan blog ini dari awal pastilah tahu sejarah dan kisahnya. Ada yang datang mengganggu dengan menyamar konon dirinya anak Amirul Fakir. Ada yang datang dengan lagak sebagai pemerhati dan suci bagaikan wali.

Tentulah saya tidak kuasa melarang atau menghalang sesiapa agar jangan menulis apa yang ingin mereka tuliskan mengenai blog ini atau mengenai diri saya.

Tetapi yang berlegar di fikiran saya ketika menuliskan catatan ini ialah mengenai mereka yang rajin dan teramat pandai ini.

Begitu banyak blog dan tulisan yang menghina bahasa, bangsa dan malah nabinya, tetapi peliknya, tidak pula mereka yang rajin dan pandai ini hendak menggangu dan menyerang habis-habisan.

Sungguh. Setelah beberapa tahun menjadi warga dan menulis di blog, semakin saya memahami sifat manusianya.

Meski agak kasar dan kejam kesimpulannya. Tetapi saya rasa itulah hakikatnya. Apa yang tidak di sini? Angkuh? Tidak boleh dipercayai? Berlagak suci? Hanya nampak kroni dan dirinya sahaja yang hebat? Terlalu banyak kalau hendak disenaraikan.

Kepada mereka yang meletakkan blog saya ini sebagai salah satu link di blog mereka, saya mohon maaf atas segala cacat teknikal akibat kurang tahunya saya mengenai penyelesaian. Walau tidak dapat saya paparkan kembali di senarai Mereka Membaca, saya tetap menyimpan maklumat mengenai blog mereka di dalam bentuk bertulis.

Kepada pembaca blog TANAH - AIR - API - ANGIN saya ini pula, saya fikir sudah waktunya jika mahu, kalian menyalin kandungan blog saya ini sebagai bahan rujukan. Kerana mungkin dalam waktu terdekat saya akan memadamkan semua kandungan yang ada di dalam blog ini dan membuka atau memulai sebuah blog lain yang lebih baru dan lain, yang rasa saya akan lebih tidak berselindung dan lebih kurang ajar dari kebiasaan diri saya sebelum ini.

Apa pun, saya tidak pernah berasa kecewa dengan apa yang terjadi. Dan tentu sahaja, kerana tidak menganggap kalian pengganggu dan pembuli sebagai manusia penting dan bermaruah, saya tidak akan kembali memaki-maki siapa sahaja yang pernah menyusahkan saya dan blog ini.

Walau apa pun yang berlaku dan gangguan, saya akan tetap dan terus menulis.

Februari 13, 2010

Tiada ulasan: