Selasa, Mac 30, 2010

TIADA BESAR, TIADA KECIL


WALAU memang menyimpan niat di dalam hati untuk ke pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang berlangsung sejak 19 hingga 28 Mac 2010, namun pemergian saya  ke sana di hari terakhir  petang 28 Mac 2010 kelmarin sebenarnya dalam keadaan agak tergesa dan  secara spontan sahaja. 

Saya katakan begitu kerana begitu terjaga pagi 28 Mac 1tu,   selepas mandi serta Subuh  pada jam 6.15 pagi  saya tergerak hati untuk keluar  dan spontan saya berpakaian serta kemudiannya secara bersantai-santai  mengendarai kenderaan ke Temerloh tanpa suatu niat yang khusus.

Tiba di Temerloh kurang lebih jam 10.00 pagi saya agak lama juga tercangak-cangak sendiri dan seperti selalu, begitu tiba di sesuatu destinasi saya akan cuba mengingati nama-nama teman berhampiran. Begitu saya teringat berhampiran di Bera saya punya teman bernama Sahrunizam, seorang penyair yang bagus dan berwawasan. Langsung saya hubungi Sahrunizam lewat telefon dan memberi tahu niat untuk ke pesta buku dan mengajak beliau untuk ke sana. Niat itu sebenarnya  saya sebutkan secara spontan kepada beliau.

Tanpa sebarang dalih dan aling-aling Sahrunizam menyanggupi untuk datang dengan memberi  tempoh waktu sekitar satu jam untuk tiba. 

Sementara menunggu Sahrunizam tiba, saya bersarapan dua keping roti canai dan segelas  teh o ais tanpa gula.   Usai sarapan, saya mengambil kesempatan berjalan-jalan ke pekan sehari  di sepanjang tepian sungai Temerloh yang airnya berwarna coklat keruh. 

Di pekan sehari itu, tergiur melihat  gantungan baju "bundle" yang kelihatan masih baru dan elok, saya membeli dan menawar dengan harga  RM 15.00 untuk dua helai baju bercorak kotak dan sehelai lagi berwarna biru muda.

Sahrunizam  tiba kurang lebih jam 12.30 tengah hari. Tanpa sebarang soal dan jawab, selepas memparkir keretanya berhampiran terminal bas Temerloh, Sahrunizam langsung menjebloskan dirinya ke dalam Proton Saga saya. Begitu Sahrunizam sudah melabuhkan punggungnya ke kerusi, segera  saya menekan pedal minyak menuju ke Kuala Lumpur melewati jalan ke Mentakab dan kemudian Karak, Bentong dan Gombak.

Di Gombak, Sahrunizam bersetuju ketika saya minta pendapatnya untuk memparkir kereta di setesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra di Gombak. Bayaran parkir di situ RM 3.00 untuk kemasukan sehari. 

Ketika itu saya sempat merenung jam di pergelangan tangan kiri , waktu  menunjukkan sudah  2.30 petang. Sahrunizam mengangguk ketika saya tanyakan apakah saya memecut juga ketika di perjalanan.  Kalau kena saman pun pedulilah, janji cepat tiba. Begitu saya rungutkan sendirian di depan Sahrunizam.

Dari setesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Gombak Sahrunizam membeli tiket untuk dirinya dan saya  ke setesen Masjid Jamek dan kemudian bertukar pula ke setesen PWTC.

Tiba di PWTC sudah kurang lebih jam 3.30 petang. Kami masuk melalui laluan menurunkan barang di sebelah tepi PWTC  dan Sahrunizam yang menjadi jurupandu saya ketika sudah berada di dalam PWTC untuk mencari gerai IKAPI.

Memang agak berlama saya di gerai IKAPI memilih dan menimbang-nimbang harga buku dengan wang di dalam dompet dan ingin mempastikan apakah buku yang dibeli memang buku yang benar-benar inti.  

Sahrunizam yang pernah berbelanja membeli buku di kota Jakarta memberitahu betapa tidak wajarnya harga buku yang ditetapkan di gerai ini. Saya pun memang bersetuju dengan pendapatnya. 

Bayangkan, jika harga buku di dalam rupiah  sebanyak 35,000 maka harganya yang dicatat dalam RM adalah 35.00. Tentulah ini satu manipulasi harga yang melampau. Sedangkan, Rupiah 10,000  boleh dihitung sendiri berapa di dalam RM. Mungkin atas dalih kos pengangkutan manipulasi ini berlaku. Saya malas hendak bertanya atau bertekak dengan petugasnya.

Hanya, selepas enam buku yang dipilih diletakkan di kaunter dan saya pinta agar jumlah bayarannya dihitung terlebih dahulu, saya terpaksa mengalah bila harganya menjangkau RM 150.00. Maka terpaksa memilih hanya tiga buah dengan harga RM 75.00 dan selepas potongan menjadi RM 65.00.  

Namun saya cuba memujuk dan memohon agar harganya di genapkan menjadi RM 60.00 sahaja untuk tiga buah buku yang (walau isinya tetaplah tebal) tetapi agak nipis sebenarnya. Mujur rayuan saya diperkenan dan dengan terima kasih yang berbunga-bunga saya membayar harganya.  Mungkin mendengar saya datang dengan jarak 250 kilometer kurang lebih telah membuatkan hati petugasnya menjadi lembut dan sedikit simpati.

Dari tingkat bawah saya dan Sahrunizam ke tingkat atas untuk ke gerai  Utusan dan Dewan Bahasa dan Pustaka pula. 

Di laluan menghala ke gerai, saya bertembung dengan Dr. Jusang Bolong, pengarang novel Ralat. Selepas berbasa-basi, Dr. Jusang bertanyakan dua buku yang saya terbitkan secara "underground" dan harganya. Tanpa banyak soal Dr. Jusang membuka dompet dan menghulur harga untuk buku sajak " Di Negeri Mabok" dan kumpulan cerpen kolaj saya "Politikus, Badut & Sebuah Cermin". 

Ketika itu juga Ishak Hamzah menepok bahu saya dan kami bersalaman. Bila saya berpaling semula selepas memasukkan wang yang dihulurkan Dr. Jusang ke dalam dompet, Ishak Hamzah sudah hilang dari pandangan saya ditelan kerumunan manusia.

Sahrunizam yang memandu saya ke gerai Utusan Publication. Saya memilih sejumlah buku yang diterbitkan di bawah serial Hadiah Sastera Utusan yang dijual dengan harga RM 2.00 atau RM 3.00. Saya membeli setiap judul yang dipajang sebanyak 15 judul.

Oleh kerana di seberangnya terpajang gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), saya meninggalkan 15 judul buku murah terbitan Utusan itu di kaunter bayaran sementara saya menjengah ke sana. Sahrunizam juga turut meninggalkan buku yang dipilihnya di kaunter tersebut.

Memang banyak buku yang menggiurkan saya di gerai ITNM. Namun saya terpaksa mengalah bila berdepan dengan masalah dompet.

Di gerai ITNM ini, saya perasan seorang pemuda berkaca mata sudah agak lama berdiri memperhatikan ke arah saya. Saya sangkakan dia sebenarnya memperhatikan pajangan buku berhampirn saya.

Bila dia menyapa dan bertanya nama barulah saya tahu bahawa dia sebenarnya memang hendak menyapa saya tetapi mungkin berasa segan.

Selepas dia perkenalkan dirinya sebagai Al-Ghazali Sulaiman, saya langsung bertanya apakah dia memang menulis.  Saya harap kalau dia memang menulis, dia tidak akan berasa tersinggung bila demikian tanya yanag saya ajukan.  Tujuan saya bertanya demikian semata-mata kerana hendak pastikan apakah dia juga seorang penulis atau hanya seorang yang minat dan suka membaca karya sastera.

Bila dia mengaku memang menulis, saya lanjutkan lagi dengan tanya di mana karyanya disiar, apakah di majalah Tunas Cipta atau di mana.

Pemuda yang perkenalkan  dirinya sebagai Al-Ghazali Sulaiman ini memberitahu beberapa sajaknya telah disiarkan di Berita Harian dan Berita Minggu.

Kerana tidak begitu banyak yang saya tahu mengenai diri dan karyanya, saya tidaklah berani hendak berkata banyak. Saya khuatir kalau tersalah cakap nanti akan menyinggung pula perasaannya dan malah paling saya khuatir kalau sampai timbul kesan di hatinya betapa saya memandang rendah dan remeh akan dirinya.

Selepas meminta  alamat  blognya, saya antara lain mengesyorkan agar dia terus menulis dan tidak lekas jemu.

Saya dengan senang hati bersetuju ketika dia meminta untuk bergambar bersama dan Sahrunizam tolong menekan punat kamera digital milik Al-Ghazali.

Ketika bergambar, saya seboleh mungkin cuba menunjukkan senyum yang ramah dan ikhlas. Setidaknya saya ingin memanifestasikan dalam keadaan saya yang demikian ini pun masih ada juga penulis yang berusia lebih muda dan gagah, yang lebih cerdik dan berpendidikan, yang sudi mengajak saya berfooto dengan dirinya.

Ketika saya memegang bahunya, sedikit pun tidak terfikir dalam kepala saya betapa dia ini penulis kecil dan saya penulis besar. Kalau memang besar pun, yang pasti hanyalah badan dan perut saya sahaja. Yang selainnya tiadalah yang besarnya.

Saya fikir pada bila-bila waktu dan dalam keadaan apa pun, itulah sikap dan pendirian saya.  Bagi saya sepatutnya tiada sebarang kasta di dalam sastera. Tiada Dato, Datin, Tan Sri, Tun,  atau apa-apa  gelaran yang sampai boleh meletakkan penulis dan sesamanya di dalam kotak-kotak bernama kasta.

Kamu Dato, Datin atau tan Sri itu di luar sastera. Kalau di dalam sastera, semuanya sama sahaja tarafnya dan yang berbeza hanyalah di segi mutu dan pencapaian karyanya sahaja.

Tetapi realitinya memanglah ini tidak berlaku. Di mana-mana acara sastera, Dato, Datin, Tan Sri, Tun itulah yang didahulu dan diletakkan di depan. Dan kalau ada sesuatu acara sastera, selagi Dato, Datin, Tan Sri, Tun yang dijemput tidak tiba, alamat tunggulah sampai berpeluh dan berasap dahulu.

Di sinilah berlakunya kepincangan. Dunia  sastera yang membicarakan kesejagatan dan kesamarataan, kebenaran dan keadilan antara sesama manusia kini sudah berubah menjadi dunia tempat para aparat-aparat, oknum-oknum, dan juak-juak yang mencari  nama dengan  cara mengampu setiap mereka yang bergelar Dato, Datin, Tan Sri, Tun dan yang seumpamanya, sedangkan bagi kalangan jembel dan marhaen yang juga sama menulis dan berkarya, walhal sudah belasan tahun dipandang sepi atau sebelah mata sahaja.

Andai kata ada orang bergelar dan berpangkat, misalnya Jenderal, Kapten, Mejer  apalagi Dato, Datin, Tan Sri, Tun yang menerbitkan karya dengan  sesebuah penerbitan, maka karya orang-orang bergelar dan berpangkat ini  akan dilancar dengan majlis atau penuh kehormatan upacara dan walau inilah karyanya yang pertama atau kedua, maka akan  dideretkanlah dia juga di dalam senarai  untuk duduk  sebaris dengan sasterawan yang sejati dan tulen di dalam  sesi bertemu pembaca atau peminat. 

Lebih menjengkelkan lagi, walau baharu menulis satu atau dua buku, tetapi kerana oknum ini orang bergelar dan berpangkat atas  nama Jenderal, Kapten, Mejer  apalagi Dato, Datin, Tan Sri, Tun, maka digelarkanlah dia juga sebagai golongan  penulis terkenal, kononnya.

Inilah realiti  di dunia sastera Melayu kita. Sikap feudalisme masih dibiak pelihara dan malah  seperti tidak mahu dilupus hapus. Mereka yang memang hidup dan matinya memberikan jiwa untuk sastera  dipandang seperti kucing kurap sahaja oleh para birokrat sastera yang dengan niat hendak mendapat  pangkat serta pujian tanpa silu dan malunya terus mengampu-ampu mereka yang bergelar dan berpangkat seperti Jenderal, Kapten, Mejer  apalagi Dato, Datin, Tan Sri, Tun.

Itulah realitinya dan saya memang tidak mahu terlibat atau menjadi sebahagian dari mereka.  Biarkanlah mereka hendak membodek dan mengampu sekalian orang berpangkat seperti Jenderal, Kapten, Mejer,  Dato, Datin, Tan Sri, Tun dan lain-lain itu. Saya tetap saya.  Di mata saya, baik Sahrunizam atau Al-Ghazali Sulaiman, tiada siapa yang besar dan tiada siapa yang kecil.

Jadi kepada Al-Ghazali Sulaiman, di hati saya saudara tetap seorang penulis dan sasterawan. Teruslah menulis. Usah pedulikan soal siapa besar dan siapa kecil. Atau siapa yang lebih alim dan siapa yang tidak. Pokoknya menulis dan tidak hipokrit.

Saya  rasa saudara Al-Ghazali faham apa yang saya maksudkan.

Dari gerai ITNM saya dan Sahrunizam kembali ke kaunter bayaran di gerai milik Utusan. Sahrunizam merungut panjang bila dua buku karangan Zaid Akhtar pilihannya yang ditinggalkan di kaunter bayaran itu sudah lesap. Dicari di rak jualan, buku tersebut juga sudah tiada.

Saya pula, ketika menghitung jumlah buku yang saya tinggalkan tidak terusik, langsung sahaja membayar harganya. Tetapi setelah pulang dan meneliti satu demi satu judulnya, baru perasan betapa ada buku yang saya beli sebanyak dua naskhah bagi setiap judul, walhal saya ingat benar betapa saya sudah memilih hanya satu naskhah bagi setiap judul. 

Rasanya saya juga menerima nasib yang sama dengan Sahrunizam. Buku pilihan saya diambil dan diganti dengan judul milik si pengambil.  

Namun saya memujuk diri agar tidaklah berasa rugi atau membazir sangat kerana buku-buku itu nanti akan saya hadiahkan kepada kawan-kawan yang menunjukkan minat untuk membaca karya sastera.


Sumber Foto: Dari blog Sdr Al-Ghazali Sulaiman

Mac 30, 2010

6 ulasan:

kelompen berkata...

saudara Marsli
kemssfsn dipinta, kerana hari Ahad itu, memang ada kerja sendiri yang sudah tertangguh, setelah dimaklumi saudara ada di Temerloh. Memang terasa ingin mengenali saudara, secara dekatnya. Insya Allah, ketemu lagi nanti.

benuasuluk berkata...

Sdr. MNO,
saya datang membaca catatan sdr hingga selesai; hanya sayang tidak dapat bertemu sdr. dan sahrunizam hari tu. Saya tinggalkan pwtc sekitar pukul 2 petang setelah tiba pukul 8 pagi. Teringin juga ingin kembali berfoto. Sudah lama tidak berfoto dengan sdr. Sahrunizam pula ingat-ingat saya langsung tak pernah ada saya berfoto dengannya.

Unknown berkata...

Salam Tuan Marsli NO.

Terima kasih atas nasihat yang diberikan. Budi Tuan tak mampu untuk saya balas.

Tentang buku Tuan yang hilang di kaunter UPND, saya tumpang simpati. Niat sedekah aja ya.

Oh ya, kirim salam saya kepada Cikgu Sahrunizam!

MARSLI N.O berkata...

Sdr Kelompen: Nanti ada waktu dan rezeki kita tetap juga akan bertemu muka.

Sdr Benua Suluk: Moga kita tetap dapat kembali bersua muka lagi nanti.

Sdr Al-Ghazali: Teruslah menulis.

Marsli N.O

N Faizal Ghazali berkata...

Salam Pak Masli N.O, seronok membaca catatan-catatan di sini. Semoga terus urban ya.. ha ha ha..

MARSLI N.O berkata...

Sdr N Faizal Ghazali: Sekadar menyindiri diri sendiri.

Marsli N.O