Jumaat, April 16, 2010

KERANA MENULIS, SAYA ADA


SAYA sebenarnya sedang bersiap  sedia untuk mati dan  saya  tahu masih tidak banyak bekal saya untuk di bawa ke dunia selepas saya mati. Dosa-dosa saya masih banyak, kesalahan-kesalahan saya juga tetap menimbun banyak. Namun saya pasrah dan meyakini Allah lebih mengetahui dan amat pengasih terhadap hambanya.

Saya harap saya tidak terlambat dan sempat menghabiskan catatan-catatan yang sudah saya tulis sejak beberapa tahun sebelum ini. Saya ingin meninggalkan itu selepas saya pergi dan saya harap biarlah itu menjadi warisan untuk anak dan keluarga saya  nanti.

Saya tahu dan sedar saya tidak banyak memiliki harta berupa benda, juga tidak punya kepandaian untuk menyunglap, membodek, menjilat dan menipu semata-mata demi memastikan agar saya dapat menimbunkan harta dunia. Malah secara sangat sedar dan insaf, saya lebih rela  hidup tanpa kepandaian itu dan sama sekali tidak mahu mewariskan sebarang timbunan harta yang  jelas tidak halal itu untuk dinikmati oleh anak dan keluarga selepas saya mati. 

Kepandaian saya hanya menulis, dan itu pun tentulah tidak sehebat kepandaian menulis orang-orang selain diri saya yang tentunya lebih hebat karya tulis mereka.

Namun, walau saya tahu karya tulis saya tidaklah sehebat karya tulis orang lain,  saya tetap juga mahu terus menulis dan menulis.  Walau apa yang saya tulis saya tahu, tidak lain hanyalah kisah-kisah biasa mengenai orang-orang yang juga biasa-biasa,  yang selalu hidupnya dirundung malang dan menjadi mangsa, namun saya tetap dan terus ingin menuliskannya juga.

Tentu sahajalah saya menjadi bersemangat dan ingin terus menulis itu kerana saya juga tahu  ada manusia yang berbaik hati mahu memilih dan menyiarkan karya tulis saya.  Malah saya mengaku, selain manusia berbaik hati yang memilih dan sudi menyiarkan karya saya itu,  saya menjadi selalu bersemangat untuk menulis dan terus menulis itu  juga kerana saya tahu ada pembaca yang tetap sudi membaca karya saya yang sifatnya sangat biasa-biasa itu.

Di bantu oleh manusia berbudi dan baik hati yang bertugas di pelbagai akhbar, majalah dan media, juga dengan dorongan secara langsung dan tidak langsung pembaca yang membaca karya saya tanpa jemu, menjadi pendorong agar saya terus menulis, terutamanya bila sesekali dijengahi rasa jemu atau tatkala sesekali jiwa menjadi gelisah ketika  diduga oleh kritik serta  hinaan mereka yang berlagak terlalu tahu dan bijak.

Tentu sahajalah kepandaian saya itu bukan sesuatu yang hendak saya banggakan dengan pongah dan sombong diri.  Saya insaf.  Kepandaian menulis itu tidak lain dan tidak bukan  adalah anugerah dari Allah juga. Tanpa anugerahNya, tentulah saya tidak mampu menulis atau memiliki kepandaian itu, walau hanya sedikit dan secara biasa-biasa sahaja.  Dan kerana itu saya ingin tetap selalu bersyukur dan menjadi penulis yang hanya menulis secara jur dan apa adanya sahaja.

Maksud saya, kalau saya tidak sepenuhnya tahu mengenai sesuatu, ketika menulis, saya akan terus terang mengaku bahawa saya memang kurang tahu.  Dengan begitu juga, di dalam tulisan saya yang biasa-biasa itu, saya selalu mahu mengelak agar tidak terdorong untuk berlagak-lagak suci bagaikan wali atau tahu semua dan segala.

Terus terang, dengan menulis saya dapat merasa bahagia, sentiasa ceria, berguna,  dan dapat berkongsi memberikan makna.  Malah lebih penting dari itu, kerana dan dengan  menulis itulah maka saya berasa saya ada.

Tetapi sekali lagi ingin saya tegaskan,  saya tidak ingin berlagak-lagak  dengan keberadaan saya itu dan sama sekali tidak mahu berpongah diri mendakwa karya saya  lebih hebat dan baik ketimbang karya orang lain.  Biarlah semua itu, sama ada baik atau tidak, bagus atau tidak, ditentukan sendiri oleh pembaca  yang sudi membaca karya saya.

Saya sedar saya hanyalah manusia biasa yang tidak punya kelebihan apa-apa. Kerana itu, kalau ada sesuatu yang sudah saya tuliskan itu, kisah-kisah biasa yang tiada apa-apa itu, dapat sedikit memberi sesuatu yang berguna kepada sesiapa  sahaja yang sudi  membaca karya saya,  saya sangat berterima kasih  dan bersyukur.

Walau saya tahu saya tidak menulis dengan niat yang sombong dan angkuh, kononnya untuk:  mendidik, mendakwah dan memberikan ilmu kepada pembaca.

Untuk semua itu, biarlah pembaca yang sudi membaca karya saya menilai dan menentukannya sendiri.

Kerana sekali lagi saya tegaskan, saya hanya ingin menulis dana kerana menulis itulah maka saya berasa saya ada.

April 15, 2010

6 ulasan:

Hashim Zabidi berkata...

Merendah diri amat kok!

Pak Marsli, kamu tetap ada. Dan adakanlah diri itu selengkapnya, seperti: Nampak bila dipandang, terasa bila dipegang dan menyahut bila dipanggil.

MARSLI N.O berkata...

Salam Pak Hashim: Terima kasih atas peringatan yang sangat menginsafkan itu. Semoga sudi membaca versi terkini yang sudah saya edit dan tambahkan di sana sini itu.

Semoga memoar Pak hashim itu juga menjadi kenyataan untuk diterbitkan, walau dalam bentuk POD atau DIY. Tahniah kerana masih bersemangat menulis.

Naim berkata...

Ini suatu muhasabah yang bagus. Saya suka pengakuan yang luhur ini. Tahniah! Semoga terus maju.

@naimisa

MARSLI N.O berkata...

Sdr Naim: Saya terima tanggapan Sdr ini sebagai peringatan terhadap diri saya agar lebih bersikap jujur dengan diri sendiri. Semoga Sdr sentiasa beroleh kejayaan yang lebih.

mohamadkholid berkata...

sedih pula saya baca entri sdr ni

MARSLI N.O berkata...

Sdr Mohamad Kholid: Saya juga turut bersedih untuk banyak peristiwa yang patut dirasakan sedih. Selamat terus berkarya.