Jumaat, Julai 09, 2010

DATANGLAH. TETAPI DENGAN IKHLAS DAN JUJUR

SAYA tidak suka diekor dan dibuntuti sesiapa. Sejak kecil saya sudah belajar berjalan sendiri. Begitu semakin membesar dan mendewasa, ketika memilih untuk terlibat dengan seluruh jiwa dan raga sebagai "sasterawan" dan "seniman" perasaan tidak suka dibuntuti atau diekori sesiapa itu kian saya jadikan benteng serta cermin tempat saya selalu melihat diri sendiri.

Pilihan saya jelas. Biarlah setiap orang  hanya menjadi dirinya sendiri dan bukan orang lain. Dan sasterawan atau  seniman yang sebenarnya, bukan seekor kambing yang sekadar tahu mengembek. Atau seorang yang tahunya membodek dan memuji-muji melulu. Apa lagi kalau sekadar menjadi seekor anjing yang sanggup menjilat asalkan beroleh laba.


Saya tidak peduli dan tidak berasa perlu untuk menuduh sasterawan yang demikian tidak layak memanggul gelar itu. Biarkan itu menjadi hak dan pilihan hidup mereka sendiri sebagai sasterawan dan seniman.  Dan saya tetap di jalan keyakinan saya.

Saya tahu saya tidak hidup di rimba sendiri. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, walau tidak suka diekor serta dibuntuti,  saya tidak boleh mengambil sikap tidak peduli dan menyendiri sepanjang waktu.  Apa lagi dalam konteks sebagai sasterawan dan seniman. Sekali waktu atau berkali-kali saya didatangi manusia lain yang mengaku juga ingin belajar menjadi sasterawan dan seniman.

Mahu tidak mahu saya memujuk diri agar menerima dan berinteraksi dengan mereka.  Tetapi saya tahu  saya bukanlah tokoh besar atau dewa  seni dan sastera, yang mampu memberikan mereka petua, nasihat dan pelbagai resep ajaib bagaimana sesungguhnya  jalan dan cara yang paling baik untuk menyegerakan diri mereka menjadi sasterawan dan seniman?

Saya sungguh tidak tahu dengan jelas dan tidak berani menyanggupi dengan janji-janji yang saya sendiri tahu masih palsu dan ragu-ragu. Untuk menyatakan bahawa dengan begini atau begitu maka menjadilah mereka seorang sasterawan atau seniman.

Saya bermula dari dunia sendiri yang sentiasa bergulat dengan galau jiwa dan rasa tidak senang terhadap banyak kejadian yang menurut hemat  saya kurang adil dan memangsakan orang-orang kecil dan tidak punya, cuba melihatnya hingga ke akar umbi dan tanpa terpengaruh oleh mana-mana lambang parti atau ideologi .

Kerana itu saya memilih untuk menyatakan dengan atau melalui wadah sastera dan seni. Tetapi mereka? Sungguh saya tidak tahu bagaimana latar hidup mereka.

Saya memutuskan akhirnya hanya menyatakan secara ringkas. Menjadi sasterawan dan seniman adalah  satu pilihan hidup dan kerana itu wajar  diladeni dengan ikhlas dan jujur.

Maksud saya, kita tidak perlu untuk berasa malu mengaku kebodohan, kekurangan  dan kealpaan sendiri. Andai tidak maka tidaklah jawab kita. Kalau memang tidak tahu maka mengakulah kita akan ketidaktahuannya itu dan bersedialah untuk belajar dari sesiapa sahaja.

Ketika menyatakan itu saya tidak pula menganggap bahawa saya sebenarnya lebih tahu dan bijak dari mereka yang datang bertanya dan meminta. Saya menyatakan hanya apa yang saya rasakan betul dan selamanya menjadi pegangan hidup saya sebagai sasterawan dan seniman.  

Dengan pegangan hidup yang sedemikian rupa jugalah, terus terang saya mengaku saya sangat membenci ketidakjujuran dalam bersastera dan berseni. 

Saya tidak tahu dan pasti apakah yang sudah saya katakan itu turut diamalkan oleh mereka yang datang mendekati dan bertanya. Walau mungkin pernah beberapa tahun bersama, dan kemudian memilih jalan sendiri-sendiri, saya tidak sangat terkilan bila kembali menjadi penyendiri.  Dunia saya memang tetap begini.  Tidak perlu sesiapa pun untuk cuba menjadi saya. 

Saya mungkin diam dan seperti tidak bergerak. Tetapi tetap punya karya yang dari waktu ke waktu dterbitkan.  Tetapi mereka?  

Saya mungkin tidak terkenal dan  tidak disebutkan namanya  terlalu kerap oleh sesiapa berbanding mereka.  

Tetapi saya masuk ke dunia ini bukan kerana nama dan sebutan yang melulu. Saya hanya ingin berkarya, secara jujur dan apa adanya.

Saya tidak perlukan gelar dan menjadi terkenal kalau setakat tidak lebih sebagai pencacai politik dan kerana  hanya untuk secuil projek, sanggup menjilat pantat sesiapa yang kononnya berkuasa dan mabuk dengan kuasa penentunya itu.

Saya tidak berniat atau bermaksud  mengatakan bahawa saya lebih jujur dan ikhlas ketimbang orang yang lain.

Tetapi di mana salahnya kalau mereka yang lebih terkenal itu masih juga berada di takuk yang sama ketika kali pertama datang bertanya dan meminta? Apakah kerana kurang menyelidik dan mengisi otaknya dengan ilmu? Atau kerana dimabukkan oleh pujian-pujian yang palsu?
Saya masih tetap ingin begini. Tidak mahu sesiapa cuba mengkeori dan membuntuti.

Sayangnya, mereka yang dibebaskan memilih menjadi dirinya itu melupakan sesuatu.

Seni dan peribadi senimannya tidak bakal berkembang dan maju jika tanpa kejujuran dan keikhlasan siapa yang memilihnya. Kejujuran dan keihklasan adalah sinonim yang tidak boleh dipisahkan di dalam seni. Tanpa kejujuran dan keikhlasan, seni hanya menjadi barang mainan dan lacuran.

Saya pun mungkin  tidak selalunya jujur dan ikhlas. Tetapi mengelak untuk tidak berbuat khianat, yang berselindung atas nama seni dan sastera bagi saya lebih memadai ketimbang menikmati segala nikmat yang diperoleh dengan cara  yang jelas tidak bermoral.

Seni dan sastera adalah cermin. Segala kebohongan, dusta dan ,perbuatan bejat tidak mudah diselindung walau dengan hiasan apa pun.

Barangkali, kerana tiadanya jujur dan ikhlas itulah maka itu yang menimpa diri. Walau bertahun sedah menggulati seni, pencapaiannya tetap begitu-begitu juga. Orang berteater dia berteater juga, tetapi mutu dan pencapaiannya hanya begitu sahaja. Tidak bertambah atau lebih baik dari sebelumnya.

Yang jelas kian menggemari dan menyanjung dia, hanyalah teman-teman segolongan dan pegawai-pegawai seni yang sama bodoh dan baghal.

Memang mereka patut dikasihan.

Julai 9, 2010


4 ulasan:

Hazwan Ariff Hakimi berkata...

tuan, sekadar perkongsian bagi mengukuhkan pendirian tuan di atas:

two roads diverged in a wood, and I —
I took the one less traveled by
and that has made all the difference.

('the road not taken' oleh robert frost)

saya selalu kagum dengan pendirian tuan. saya berasa sungguh bertuah jika dapat bertemu dan berdiskusi dengan tuan dalam majlis2 sastera di malaysia suatu hari nanti iA.

salam hormat daripada saya.

Zawawi Aziz berkata...

Telah menyatakannya dengan gagah,
maka ia akan sempurna,
dihormati dan dikenangi.

Md Nizar Parman berkata...

Salam tahniah dan kunjungan. Md Nizar bin Parman.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Hazwan Ariff Hakimi: Saya membca reaksi Sdr dengan takzim dan lebih banyak renungan ke dalam. Memang selalu ada luka yang disembunyikan, yang mengalir menjadi darah kreatif.

Moga nanti kita ketemu dan berdiskusi. Harap tolong ingatkan saya kalau seperti tidak ramah dan lupa. Kerana saya sebenarnya selalu linglung di dunia sendiri. Yang kadang ditanggapi sebagai sombong atau arogan.

MARSLI N.O

Sdr Zawawi Aziz: Saya melihat sajak Sdr tetap berbara. Cubalah sebarkan pula ke akhbar dan majalah. Selamat terus berkarya.

MARSLI N.O

Sdr Md Nizar: Maaf kalau saya sedikit berkata kelmarin. Nanti di ruang lain kita bicara lebih panjang dan lanjut. Selamat terus berkarya.

MARSLI N.O