Khamis, Julai 22, 2010

KERANA DENDAM, SAYA MELAWAN

SEGALA cerca yang pernah saya dengar, segala kutuk yang pernah saya  terima semasa kecil, rasanya seperti baru semalam berlalu. 

Saya tahu dan sedar. Berbapakan seorang anak Jawa pendatang dan hidup di sebuah kampung di pantai timur semenanjung, ditambah dengan sifat saya yang selalu melawan segala sesuatu  yang dirasakan tidak adil, menjadikan sebab yang amat munasabah untuk menghina dan mengutuk saya.  

Terutamanya oleh mereka yang berasa dirinya lebih tua, lebih tahu dan berusia matang ketimbang diri saya yang waktu itu berusia sekitar sembilan tahun. 

Malah kadang-kala saya fikir, kerana ketika itu saya sudah tidak punya bapa  dan hanya menumpang hidup di tanah saudara mara di sebelah nenek, maka mereka berasa punya sebab dan alasan yang lebih kukuh untuk mengutuk dan menghina saya sebagai anak pendatang yang selalu membawa masalah.

Bukan tidak pernah terjadi pula, tidak hanya kutuk dan hinaan secara lisan yang memedihkan telinga serta melukakan hati saya yang mendengar, tetapi juga tindakan berbentuk fizik: sekeh, lutu dan tinju.

Namun saya tetap kembali cuba melawan dengan cara saya sendiri. Walau tahu tidak sepadan badan dan tubuh, namun lawan tetap lawan. Tumbukan saya balas dengan libasan batang kayu atau balingan batu.

Sehingga kini setelah dewasa, saya tidak sudah berfikir: apakah kerana saya sudah tidak punya ayah dan kebetulan arwah  seorang anak dari tanah Jawa, maka saya wajar dikutuk dan dihina hanya kerana kesalahan kecil, seperti misalnya terlalu lama menimba air untuk mandi di perigi  milik jiran?

Sampai kini saya masih tidak boleh melupakan segala  yang pernah melukakan hati dan perasaan. Segalanya bagai masih terngiang dan terbayang-bayang diruang pandangan.

Segala perbuatan mereka terhadap diri saya, walau apa pun sebab dan alasan mereka, memang sukar untuk saya lepaskan begitu sahaja dari ruang ingatan.

Sungguh saya tidak pandai berbohong. Saya tahu saya mungkin atau memang seorang pendendam.   Saya tahu ini suatu yang tidak elok. Dendam yang disimpan di dalam  diri sendiri sebenarnya adalah ulat atau bara api yang secara berdikit-dikit  akan memakan atau membakar diri saya sendiri. Saya sepatutnya belajar memaaf dan melupakan.

Tetapi anda yang tidak mengalaminya tentulah semudah itu mengucapkan kata. Tetapi ketika segala kata pedih dan melukakan perasaan itu kembali terngiang, hanya kita sendiri sahaja yang tahu bagaimana rasanya.

Saya tahu sifat berdendam itu tidak elok.

Tetapi pada sisi lain, saya fikir, kerana dendam dan tidak mudah melupakan itulah  maka  saya sentiasa mempunyai semangat untuk bangkit dan melawan segala halangan. Andai kata saya bercita-cita mahu menjadi sesuatu, saya akan usahakan sampai jaya.

Saya sentiasa melawan. Melawan rasa sunyi, melawan halangan dan rasa malas di dalam diri, melawan apa sahaja yang saya rasakan tidak benar dan tidak adil, tentunya dengan cara saya  sendiri.

Malah kerana itu juga saya menjadi kejam dengan diri sendiri.  Memaksanya berjaga sampai jauh hari. Melupakan kenikmatan  dan keseronokan tertentu  demi  memastikan beroleh sesuatu yang lebih bermakna.

Saya rasa saya berjaya dan beroleh apa yang saya inginkan ini kerana sifat saya yang berdendam dan terus menerus melawan apa sahaja yang menjadi halangan di hadapan.

Saya memang dengan sedar telah menukarkan perasaan dendam itu menjadi bahan bakar atau bahan api yang membakar semangat dan jiwa saya.  Semangat agar berusaha keras dan tidak mudah  putus asa. Tidak mudah menjadi cengeng dan pengecut.

Kerana itulah, dendam itu tidak menjadi ulat yang memakan diri saya.  Tidak  juga menjadi  api yang membakar diri saya.

Saya telah menukarkan sifat dendam itu dari negatif kepada positif. 

Dalam kata lain, walau semasa kecil saya selalu dikutuk dan dihina kerana miskin, tidak berharta dan tidak berbapa, tetapi saya tetap tidak menjadikan hinaan dan kutukan itu sebagai sesuatu yang sampai boleh mematahkan semangat saya.

Kemudian, setelah semakin berangkat menjadi dewasa,  saya juga tidak pernah berasa hina dan malu kerana tidak sempat belajar  hingga ke peringkat yang terlalu tinggi. Kekurangan di segi itu, saya usahakan untuk menambahnya secara lain. Lebih banyak membaca, bertanya dan mencari pengetahuan dari pelbagai sumber dan oknum.

Saya fikir, saya menjadi kuat dan bersemangat kerana memiliki rasa dendam itu.   Kerana dendam itu, saya bangkit melawan dan kerana itu tidak  mudah patah dan tewas.

Apa lagi ketika terngiang kata hina dan kutuk itu di telinga: anak orang luar selalu membawa sial!

Ya, saya memang anak orang luar. Tetapi sial apakah yang telah saya bawa?

Sungguh. Saya tidak pernah berasa sesal dan kesal kerana menjawab dan melawan.

Walau  kerana itu saya diberikan label tambahan sebagai: budak  kurang ajar! 

Setidaknya, hari ini, budak kurang ajar ini sudah menulis dan menerbitkan paling sedikit tujuh buah buku!

Tetapi anda yang pernah mengatakan saya budak kurang ajar, atau anak anda, atau cucu anda,  bagaimana pula?

Khabarnya, ada yang terlibat jenayah.

Saya kasihan.

Julai 22, 2010

 

Tiada ulasan: