Rabu, Julai 14, 2010

SEEKOR KERBAU, LIDAH DAN PENJUAL TOPENG*

Cerpen MARSLI N.O

1
SI CERDIK, SEEKOR KERBAU DAN SEKETUL BIJIH 

KAU hendakkah? Tanya si lahabau yang sudah entah berapa lama menekup benda dan perkara di bawah mangkuk ayan itu.

Si cerdik apa lagi, angguk sahajalah.

Kalau begitu, sekarang kau kenalah jaga benda ini. Pastikan jangan sampai terbuka dan diketahui orang rahsia dia.

Kerana berasa dan terfikir dia telah membuat tindakan dan mengambil keputusan yang cerdik, si cerdik pun meneruskan lagi anggukannya.

Tetapi begitulah selalunya nasib manusia yang mengaku dirinya cerdik. Nama dan rasa sahajalah cerdiknya, tetapi yang sebenarnya bodoh mengalahkan kerbau di sawah.

Kautahu tidak kenapa orang yang dikatakan sebagai bodoh itu selalu mengatakan mereka yang mengaku dirinya cerdik itu sebagai bodohnya mengalahkan kerbau?

Cuba kaubayangkan. Kalau di bawah mangkuk ayan yang dijaga-jaga sepanjang masa itu sebenarnya hanyalah seketul najis, akan apa sudahnya?

Maksud aku, siapa pasti yang di bawah mangkuk ayan itu seketul bijih emas? Kau? Dia? Atau para lahabau dan penyangak itu?

Memang tidak siapa yang tahu pasti.

Tetapi hendak dijaga dan dilindung-lindung juga konon jangan sampai ketahuan oleh sesiapa.

Memanglah. Bodohnya mengalahkan kerbau.


2
TENTANG BUDAYA DAN AMALAN-AMALAN

BERDEMO-DEMO itu kalau kau hendak tahu bukanlah datang dari budaya dan amalan bangsa kita yang bernama Melayu yang selama ini terkenal dengan sopan dan adab hormat dan menghormatinya.

Khususnya tatkala berhubung dan kait dengan sesiapa yang namanya pemimpin atau pemberi perintah, akan tiap segala kata dan ujaran tidaklah layak sama sekali dibantah dan disanggah-sanggah. Apa lagi sampai sampai mengemukakan saman dan menyaman.

Itu sungguhlah amat tidak kena pada tempat lagi adabnya.

Sesungguhnya itu adalah budaya songsang dan negative yang dibawa masuk dari luar. Bukan asal dan usulnya dari budaya bangsa kita. Oleh orang-orang yang tidak tahu hendak menghormati undang-undang dan adat sopan. Oleh bangsa babrbar dan tidak bertamadun.

Kepala hotak emak dan bapak dia.

Pijak perut orang, ludah atas muka, kencing atas kepala dan bahasa sendiri, buang pasir dalam periuk, berak dalam kuali, halau orang dari tanah dan kebun mereka, mengejar orang bagaikan mengejar kawanan babi, itu budaya mana pula? Budaya bangsa Melayu jugakah?

Memang kepala hotak dia. Cakap sahaja pandai macam maksum dan mulia sangat. Tetapi hakikatnya?

Haprak belaka.


3

BERAPA TELINGA DAN BERAPA LIDAH KAU?


TANPA bertangguh barang sedetik pun, begitu pagi ini kulihat si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu menampakan wajah dan dirinya di depanku, segera kutangkap dan kucekik lehernya sekuat-kuat hatiku.

Mari aku lihat dan periksa. Telinga kau berapa? Satu atau dua? Dan lidah kau? Berapa? Satu atau dua? Begitu aku menjerkah si hantu itu dengan bertubi tanya dan kulihat si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu terkial-kial mahu melepas lehernya dari cengkaman jari jemariku.

Cakap. Berapa. Cakap. Begitu aku menjerkah.

Si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu semakin kuat menggelepar dan kudengar gumaman suara dari bibirnya.

Aku sedikit melonggarkan cengkaman di leher si hantu itu.

Kalau apa pun, lepaskanlah cengkaman kau dari leher aku ini. Kalau tidak, bagaimana aku hendak bercakap. Walau tersekat-sekat, terdengar si hantu itu bersuara selepas kuberikan dia peluang untuk bercakap.

Kau tidak perlu cakap. Tidak perlu. Biar aku sendiri yang periksa. Berapa telinga yang kau ada dan lidah kau pula berapa. Satu atau dua?

Tanpa bertangguh, segera kukuakkan rambut si hantu yang panjang dan mengurai tetapi kusut dan masai itu.

Aku puas hati. Memang telinganya dua.

Sekarang kau jelirkan pula lidah kau. Aku hendak tengok berapa lidah kau. Nganga mulut kau luas-luas dan jelirkan lidah. Aku hendak tengok dan periksa. Berapa? Satu atau dua? Kuteruskan bentakku kepada si hantu itu.

Mendengar jerkahku itu, tanpa bertangguh, si hantu itu segera mengangakan mulut dan menjelirkan lidahnya.

Jelas di pandanganku. Si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu memiliki hanya satu lidah.

Bagus. Aku sudah puas dan pasti. Sekarang kau bolehlah hendak ke mana-mana pun. Aku tidak meragui kau lagi. Begitu kataku kepada si hantu itu. Dan di hadapanku, kulihat si hantu terkebil-kebil bagaikan cicak tertelan lidi.

Untuk apa kau periksa telinga dan lidah aku di pagi buta begini? Tanpa kupinta, kini si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu mengajukan tanya.

Itulah kau hantu. Apa kau tahu perkembangan dunia. Kerja kau hanya mengacau dan mengkerkah orang yang kau tak suka sahaja. Perkara dan benda lain kau tidak ambil tahu dan peduli. Itulah sebabnya. Kau tidak tahu lagikah? Sekarang ini sudah muncul satu wabak penyakit baru. Itu yang aku hendak kena hati-hati. Panjang lebar aku memperjelaskan kepada si hantu yang masih terkebil-kebil di depanku itu.

Penyakit? Penyakit apa pulak? Kau ini macam-macamlah.

Itulah kau. Mana kautahu perkembangan dunia? Sekarang ini sudah muncul satu wabak penyakit baru. Pakar-pakar perubatan yang hebat dan terkenal dalam dunia pun tidak tahu apa nama dia. Aku apalah lagi. Penyakit itu katanya menular di kalangan orang yang suka bercakap bohong dan tidak menepati janji sahaja. Mula-mula kena, telinga dia akan hilang dan tinggal satu. Lepas itu, lidah dia pula akan jadi dua atau pun bercabang. Begitu aku memperjelaskan lagi kepada si hantu yang masih terkebil-kebil itu.

Oh, patutlah. Aku ingatkan apa tadi. Tetapi penyakit itu berjangkit jugakah?

Di kalangan orang biasa macam aku ini tidaklah dia berjangkit. Tetapi kalau di kalangan sesiapa yang memegang kuasa dan bergelar politikus, khabarnya penyakit itu memang pun menular secara demikian. Mula-mula seorang, lepas itu seorang dan khabarnya, menurut apa yang diberitahu oleh seorang ahli sains yang mula-mula menemui virus penyakit itu, kalau tidak dibenteras segera, penyakit itu boleh berjangkit kepada siapa sahaja yang memegang kuasa dan menjadi ahli di dalam sesebuah pertubuhan atau parti politik yang berkenaan.

Begitu aku melanjutkan penjelasan dan kedua-dua bola mata milik si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu kulihat terbeliak.

Kenapa pula kau sampai demikian laku dan peri keadaannya? Kini kuajukan tanya kepada di hantu itu. Hairan juga aku melihat demikian peri dan lakunya yang tiba-tiba itu.

Aku rasa takut sungguh. Selama ini aku sangka penyakit-penyakit dari dunia hantu itu sudah hebat dan terlalu bahaya. Rupanya tidak. Penyakit dalam dunia manusia macam kau ini lagi baru aku tahu terlebih bahaya dan hebatnya. Patutlah dahulu aku pernah dengar orang nasihatkan aku agar jangan cuba hendak hidup dalam dunia manusia. Sekarang baru aku tahu. Rupa-rupanya, hidup dan menjadi manusia di dunia manusia itu banyak duga dan cabarannya. Kini, dengan kedua bola matanya masih terbeliak, kudengar si hantu itu panjang dan lebar melanjutkan bicaranya.

Entah kenapa, hatiku diusik rasa geli mendengar kata-kata si hantu itu.

Dahulu aku ingat hantu itu lebih hebat dan superior berbanding dengan manusia macam kau. Sekarang baru aku tahu itu tidak benar. Manusia yang lebih hebat. Patutlah manusia itu boleh jadi pemimpin. Sebab mereka ada otak dan  pandai. Bukannya macam otak hantu macam aku.

Hatiku semakin bertambah diusik rasa geli. Malah kalau kurang menahankan sabar dan diri, mahu rasanya aku ketawa sesungguh hati sampai berguling-guling di lantai. Tetapi aku tahu, aku manusia dan di depanku si hantu itu.

Apa pun, aku mesti menjaga martabat manusiaku di depan si hantu yang mengaku kini sudah menjadi manusia dan menggelarkan dirinya sebagai Mat itu.

Kerana aku manusia dan dia hantu.

Walaupun yang banyak membuat onar dan kerosakan di dunia ini juga manusia, terutamanya manusia yang memiliki satu telinga dan dua lidah.

Dan aku bukan sebahagian dari mereka, kerana aku masih memiliki dua telinga dan satu lidah.

4
MANJIS DAN PERNIAGAAN TOPENG-TOPENGNYA

BUAT apalah kau melangut dan tercenung sampaikan begitu sekali. Kauingat apa? Kaufikir kalau kaupecahkan otak milikmu sehinga bersepai-sepai kerana memikirkan itu maka segala yang sedang merusuhkan hati dan mindamu itu akan usaikah? Apalah kau ini. Tidak sudahnya kau ini membuat perkara yang bodoh dan lagi bahlol itu.

Tersentak aku jadinya mendengar sergah itu. Aku yang memang sejak tadi sendirian tercenung di kamar itu segera mengalihkan pandang. Di hadapan pandangan kulihat tersergam berdiri sesosok jasad hitam dan legam sedang tersengih-sengih.

Cis, datang lagi kau si hantu yang entahkan apa. Ke mana selama ini kauhilang melenyapkan diri dan malam ini apa pula mimpi datang mengacau-ngacau aku di sini. Tanpa berselindung aku menghamun si hantu yang sudah lama tidak kelihatan dan datang menggangu aku di kamar itu.

Ha. Ha. Ha. Ketawa yang amat galaknya akan si hantu yang selalu mengaku dan memperkenalkan dirinya sebagai telah menjadi manusia dan menggunakan nama Mat itu.

Apalah kau. Buat apa aku hendak datang secara sengaja-ngaja kalau tidak ada sesuatu yang hendak aku kata dan ceritakan dengan engkau. Selamba sahaja si hantu itu menjawab dan berkata-kata. Dan aku tahu memang dasar si hantu, walau kumaki seguni atau selori sekalipun manakan dia pedulinya. Perangai hantunya tetaplah hantu juga. Kalau tidak datang mengganggu dan mengacau tentulah bukan hantu namanya.

Hah, kalau begitu apalah cerita. Buat apa kau hendak berseloka dan bermadah panjang lagi. Sudahlah dan ceritakanlah sahaja. Aku pun sudah lama tidak mendengar cerita karut dan marut dari mulut kau, wahai si hantu.

HI. Hi. Hi. Apalah kau ini. Nama sahaja penyair dan pengarang. Hendak juga mendengar dan menjiplak cerita dari si hantu seperti aku. Apalah. Heh, kau ini sudah habis idea sangatkah hingga begitu sekali menunggu cerita aku dari si hantu ini?

Sudahlah. Kalau hendak kaucerita, cerita sahajalah. Kalau tidak mahu berambus dan pergi sahajalah dari kamarku ini. Tanpa sebarang lapik dan alas aku langsung menyeranah si hantu itu.

Sabarlah. Kalau sungguh pun hendak sangat aku bercerita, biarlah aku duduk dan berasa selesa dahulu. Lainlah kau. Kalau sudah naik syekh dan semangat tidak sedar berdiri dan terkinja-kinja di depan orang. Kadang-kadang hinggakan berbuih air liur kau meleleh di pipi tidak juga kausedar.

Celaka sungguh si hantu ini. Sempat juga diambilnya ruang dan peluang hendak mengutuk aku. Tanpa suara aku memaki si hantu itu di dalam hati.

Sudahlah. Ceritakanlah sahaja. Kini aku menjerkah. Dan si hantu segera menghentikan kata sambil kedua-dua bola matanya terkebil-kebeil menatap wajahku ke atas dan ke bawah.

Kauingat tak dengan Si Manjis? Manjis yang itu. Yang selalu mundar dan mandir kalau ada sesuatu itu.

Hah, kenapa pula dengan dia? Sudah jadi orang kaya jutawankah sekarang dia? Atau sudah hilang lenyap dipenggal kepala oleh si pemberi hutang.

Bukanlah. Sekarang dia sudah mula dengan kesukaan baru. Kautahu apa dia?

Heh, hantu sungguh kau ini? Kalau aku tahu buat apalah pula hendak aku bazirkan masa dan waktu melopong di depan kau wahai si hantu?

Itulah yang hendak aku beritahukan ini. Sekarang ini Manjis yang dulu hobinya berjalan dan terbang ke sana dan ke mari kini sudah menetap kejap di atas muka bumi. Manjis sudah tidak mahu berterbangan ke sana dan ke mari lagi. Kau tahu tidak? Sekarang ini Manjis sudah menjadi ahli perniagaan dan namanya pun keudengar semakin menjadi tersohor kerana niaganya itu.

Apa sebenarnya yang diniagakan dia sehingga begitu sekali tersohor dia?

Hah, itulah yang aku sebagai hantu sendiri pun berasa pelik. Aku ingat kau sendiri pun susah hendak mahu percaya.

Sudahlah. Kau ceritalah apa sebenarnya. Apa yang dia niagakan? Apa? Cepatlah kau cerita. Kudesak si hantu itu agar segera meneruskan ceritanya.

Manjis berniaga topeng. Macam-macam jenis topeng. Ada topeng rimau, ada topeng kucing, ada topeng anjing, babi, biawak. Tetapi itu semua tidaklah laku dan laris sangat kalau hendak dibandingkan dengan topeng yang satu lagi.

Topeng apa pula?

Itulah. Kalau fikir dalam-dalam memanglah sangat tidak logik.

Aku tahulah itu. Tetapi topeng apa?

Aku pun rasa tidak yakin hendak beritahu kau. Bukan apa. Aku takut nanti kau ingat aku hendak bermain-main pula.

Aku tahulah. Tetapi apa dia.

Si hantu yang mengaku sudah menjadi manusia dan kini menggelarkan dirinya sebagai Mat itu merenung wajahku ke atas dan ke bawah.

Apa dia? Cepatlah kaucerita. Buat apa hendak kau tangguh-tangguh lagi. Kini aku terus mendesak dan mendesak.

Manjis sekarang ini menjadi kaya jutawan hanya dengan berniaga topeng. Dan topeng yang dia niagakan itu bukanlah sebarang topeng. Topeng yang dia niagakan itu namanya topeng bahasa. Kerana topeng itulah Manjis kini tidak sahaja menjadi seorang kaya jutawan secara tiba-tiba tetapi sekaligus juga menjadi orang terpandang dan ke mana-mana disanjung puja.

Aku diam dan beberapa ketika kembali tercenung. Aku tidak pasti apakah si hantu itu benar-benar menyampaikan cerita atau sekadar hendak mempermainkan diriku.

Benarkah Manjis kini menjadi kaya jutawan kerana berniaga topeng bahasa? Dan kalau benar apa yang dia perniagakan itu, lama terngiang tanya ini di benak milikku: bahasa milik siapakah yang kini diperniagakan Manjis?

Tanya itu terus terngiang-ngiang di benakku. Terngiang dan terus terngiang.

Dan malam itu, ketika tidur, aku didatangi mimpi negeri.

Di sekelilingku, kulihat darah tergenang di mana-mana. Aku terrkapai-kapai berenang ingin menyelamatkan diri. Di sana-sini terdengar ratap, raung dan tangis manusia yang warna kulitnya sama sawo seperti kulit milikku.

Dan di atas sebuah singgahsana, kelihatan Manjis berdiri dengan angkuh dan sombongnya. Sambil dikerumuni segerombolan orang yang kulihat asing, Manjis melambung-lambungkan huruf demi huruf yang bermula dengan m dan berakhir dengan u.

“Tawarlah. Siapa yang memberi harga paling mahal dan tinggi, akan kuserahkan ini kepada kalian,” dari jauh kudengar Manjis berteriak. Teriak Manjis disahut pula dengan sorak bertagar-tagar yang bersipongang entah dari mana.

Ketika kemudian aku tersentak dan jaga. Bertalu kembali tanya menerjahi benak dan aku tidak pasti apakah itu sebenarnya hanyalah suatu mimpi atau memang sesuatu yang sudah benar-benar terjadi.

Sungguh aku tidak pasti.

Sumber siaran: Mingguan Malaysia  11 Julai 2010 dengan judul LIDAH, KERBAU DAN SEEKOR ORANG

Tiada ulasan: