Sabtu, Julai 03, 2010

SONGKOK DAN DI MASJID


SETIAP ke masjid di hari Jumaat saya pasti mendengar riuh rendah suara kanak-kanak di barisan paling belakang masjid. Di mana bapa mereka dan kenapa tinggalkan anak membuat bising tatkala khutbah sedang dibacakan di depan? Begitu selalu terbetik tanya di dalam diri saya  berhadapan situasi begini.

Saya bertanya demikian kerana ketika mereka kecil dahulu, kalau bersama ke masjid, saya pastikan anak-anak duduk di sebelah atau berhampiran saya.

Memang menyuruh anak yang masih kecil dan masih terlalu kecil ke masjid perkara yang baik. Tetapi membiarkan mereka sendiri bercampur kawan-kawan sebaya dan membuat bising, lain pula kisahnya.

Saya tidak fikir bapa mereka tiada bersama. Atau kalau tiada sekalipun, elok dipesankan anak-anak agar kalau ke masjid janganlah berbuat bising.

Apa yang selanjutnya saya fikirkan mungkin agak keterlaluan. Anak-anak ini, yang berbuat bising dan nakal ketika di masjid, besarnya nanti saya fikir  bakal menjadi anak yang kurang menghormati dan kurang tahu  bersopan.

Saya tahu ini hanya telahan.  Tetapi peristiwa malam kelmarin yang lalu kembali menguatkan yakin saya akan benarnya telahan saya ini.

Kalau di masjid ketika kecilnya sudah tidak diajar bersopan dan bersikap hormat,  sebanyak dan sedikit perangai negative itu akan terbawa-bawa sesudah membesar dan menjadi dewasa ketika berhadapan dengan orang lain.

 

Kisahnya begini.

Malam kelmarin kami sekeluarga ke sebuah restoren yang agak ekslusif di sebuah perkampungan nelayan yang kini semakin membangun dan berubah wajah kampungya.

Usai makan, saya menuju ke ruang membasuh tangan.

Melihat paip membasuh  tangan sedang digunakan pelanggan yang lebih dulu tiba, saya berdiri menanti giliran  berhampiran tiang. Jarak di antara tiang dan tempat membasuh tangan itu tidak pun sampai lima kaki.

Tiba-tiba dua pemuda berkain pelaikat dan  bersongkok,  tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan melintas dan berdiri di hadapan saya. Begitu pelanggan tadi selesai membasuh tangan, salah seorang daripada mereka  menyerbu  ke singki dan mencuci tangan.

Saya terperanggah.

Tidak tahu bersabar dan menunggukah? Atau saya yang sudah sedia tercegat menunggu giliran ini tidak dilihat atau cuma hantu yang tidak kelihatan di mata dua pemuda bersongkok itu?

Begitu saya bergumam sendiri di dalam hati.

Dan lebih tersentak, pemuda bersongkok yang usai mencuci tngannya itu kemudiannya hampir  menabrak saya. Tanpa sebarang ucap sopan meminta lalu atau salam dia menyelonong melintas di sebelah, berhampiran tiang tempat saya berdiri.  Walhal di sebelah kiri ruang masih luas dan lapang.

Memang pun songkok belum pasti melambangkan apa-apa.

Tetapi kembali ke kumpulannya saya lihat  teman-teman pemuda itu semuanya bersongkok dan yang perempuannya berjilbab.  Malah di antara mereka ada seorang yang  lebih berusia  yang juga bersongkok dan berjanggut putih.

 

Saya yakin mereka pelajar sekolah agama. Atau kalau tidak pun, baru pulang dari masjid atau baru usai mempersembahkan lagu nasyid di suatu acara pentas atas nama seni Islam anjuran sebuah institusi.

Di mata saya, pemakai songkok dan berpakaian seperti mahu ke masjid adalah orang yang baik, alim, atau paling tidak pun, selalu merendahkan diri dan tahu bersopan dengan orang lain.

Kerana itu, sangat janggal di mata saya kalau mereka yang berpakaian demikian laku dan perangai mereka kurang sopan dan beradab.

Mungkin saya agak keterlaluan dan sensitive tidak tentu hala.

Tetapi saya memang pun tidak meminta dihormat keterlaluan. Sebagai orang yang lebih tua berbanding mereka, cukup sekadar salam dan sopan meminta laluan. Kalau benar hendak cepat dan tergesa sangat, beritahulah secara sopan dan bukannya meredah melintas saya yang sedang sedia tercegat menunggu giliran. Cukup sekadar itu. Setidaknya, sebagai  bukti jati diri kita yang masih Melayu dan ukhwah seagama.

Setidaknya dengan begitu, sepadanlah perbuatan dengan songkok yang diletakkan di kepala.

Tetapi malam itu, janggal sungguh kelakuan pemuda itu di mata saya.

Bersongkok dan berpakaian orang masjid, tetapi tidak tahu bersopan. Atau kata mudahnya: kurang ajar.

Tetapi sekali lagi, saya pun tahu, songkok bukanlah apa-apa dan tidak mustahil akhir-akhir ini sekadar menjadi hiasan sahaja.

Dengan songkok atau apa-apa pakaian yang boleh disangkakan sebagai alim dan berperangai baik-baik, seorang boleh menjadikannya topeng untuk menipu dan membuat sesuatu yang tidak baik terhadap orang lain.

Saya tahu dan sedar itu.

Memang pun songkok boleh diperagakan sesiapa sahaja. Tidak kira apa pun agama dan bangsa dan tiada sebarang undang-undang secara sahih yang menetapkan peraturan memakainya.

Walhal oleh sasterawan yang tergila-gilakan anugerah gelaran negara.

Jun 25, 2010

5 ulasan:

Kelon Eric Bana berkata...

Kalau kecil dan belum mumayiz masih boleh kira.

Kalau sudah beruban dan masih berborak dibelakang tandas time khutbah itu nampaknya pasca tersalah asuhan, atau tidak ditegur sejak kecil.

Hazwan Ariff Hakimi berkata...

tuan, kalau tuan datang ke sini tentu akan terkejut. skin-head pun lebih bersopan-santun daripada 'ahli masjid.' begitulah ...

namun harus diakui bahawa pakaian melambangkan identiti dan martabat seseorang (pada zaman ini). mereka yang tajarrud mungkin boleh disalah anggap dan dipandang rendah, lantas hilanglah thiqah (kepercayaan) masyarakat kepada yang tajarrud tadi.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Klon dan Hazwan: sekdarnya dari sudt pandangan saya. Tidak semestinya benar.

Marsli N.O

MARSLI N.O berkata...

Maaf.Ejaan yang benar, Sdr Kelon.

MKriza berkata...

Tahniah atas kemenangan di HSKU.