Khamis, Ogos 05, 2010

SAYA SEBENARNYA TERSANGAT MALU DI PENTAS

SETIAP kali tampil ke pentas, saya sebenarnya tidak pernah pun berasa bangga atau  ingin menyombong-nyombongkan diri dengan perasaan hebat atau berasa lebih istimewa ketimbang orang lain.

Pentas bagi saya adalah sebuah dunia yang lain. Dunia selain yang saya hidup dan depani sehari-hari.  Pentas juga adalah sebuah kehidupan yang lain,  sebuah kehidupan  yang sama sekali berbeza dengan dunia kehidupan seharian yang saya kenal.

Kerana itu, pentas bagi saya perbadi adalah sebuah dunia yang menyediakan cabaran serta dugaan. Dugaan di mana saya mesti bertarung membuang segala perasaan gugup, gementar dan malu.

Kerana itu jugalah setiap kali tampil ke pentas, saya tampil dengan sangat waspada dan persiapan agar tidak mudah ditewaskan olehnya. Kemudiannya, begitu turun dari pentas  saya perlu pula bertarung dengan perasaan sendiri untuk membuang jauh segala perasaan terhina dan malu di dalam diri sendiri.  

Saya katakan begitu kerana selalunya, sesudah usai membacakan sajak, berucap atau beraksi  sebagai pemain sesuatu watak untuk suatu persembahan teater di pentas,  saya selalu berasa malu yang amat tidak terperi.

Saya katakan begitu kerana sebentar tadi, ketika di pentas itu, seluruh diri saya jadi perhatian orang yang menonton, tidak soal apakah mereka suka atau benci, seluruh diri saya telah mereka tonton secara luar dan dalamnya.

Kerana itulah, saya sebenarnya tidak pernah rasa atau ingin berbangga kerana telah tampil ke pentas, di hadapan dan diperhatikan oleh sekian jumlah penonton.

Sungguh. Saya sebenarnya berasa tersangat malu dan memang tidak pernah ingin berbangga-bangga kerana kononnya telah mampu berdiri di pentas: membacakan sajak, berlakon teater atau sekadar bercakap tentang sesuatu.

Berdiri di pentas, atas nama sastera dan seni bagi saya peribadi adalah tanggungjawab yang telah sejak mula dipilih dengan hati rela.

Namun, di sebaik hati rela itu, hati dan jiwa di dalam kadang berperang dilema dan digelisahkan dengan pelbagai tanya.

Jujur dan ikhlaskah aku ketika berbuat dan mengucapkan? Jika ada yang menjemput dan membayar, setimpalkah apa yang saya  berikan dengan  apa yang telah mereka bayar?

Niat di hati bukan ingin menunjuk atau mengatakan saya lebih hebat dan lebih baik ketimbang orang yang lain.

Kerana, yang selalu saya cuba hindari tidak lain adalah  jangan sampai terjadi  saya  menjadi lupa diri dan tidak lagi mengenal ruang di mana  berpijak serta berdiri.

Lebih-lebih lagi tatkala saya mulai menjadi kesurupan lantaran asyiknya menghayati perasaan dan makna setiap kata dan jiwa watak yang saya perankan.

Saya ketika itu mungkin sedang  meminjam jiwa orang lain. Tetapi saya tidak boleh kehilaangan dirinya  sendiri  dan melupakan tempat asal mula dirinya berpijak.

Pentas bagi saya adalah sebuah dunia dan kehidupan yang sekejap saya pinjam untuk saya jadikan wadah menyatakan sesuatu, tentunya dengan cara seni. Kerana tuntutan seninya itulah maka saya berusha untuk sejujur mungkin menyatakan dan berbuat sesuatu yang sesuai dan wajar dengan tuntutannya.

Semoga saya tidak terlalu mengada-ada dan berlebih-lebihan.
Ogos 5, 2010

3 ulasan:

Diari 929 berkata...

:)

Zawawi Aziz berkata...

Berjalan terus dengan yakin,
penyokong tegar tetap ada,
'di mana-mana'

edolah berkata...

moga dijauhkan daripada segala sifat mazmummah dalam diri...