Rabu, Mac 16, 2011

SENDIRI


SAYA tidak langsung berasa pelik dan terkejut kalau dunia saya semakin menjadi terasing dan sunyi. Malah secara diam-diam memang itu pun yang selalu ingin saya hadapi secara peribadi.  Kerana, hanya dengan terasing dan sunyi, saya akan punya lebih banyak waktu untuk merenung dan belajar mengisi segala kekurangan diri.

Apa lagi ketika mengenang pertambahan usia diri dan sekaligus menghitung segala amal dan bakti sendiri yang masih amat sedikit. Semakin saya berasa keterasingan dan sunyi bukan pun sebuah dunia yang menakutkan saya, tetapi sebenarnya adalah ruang yang akan memberi saya waktu untuk mengisinya dengan sesuatu yang lebih bererti.

Di usia semakin meningkat begini, bukan bererti saya semakin menjadi pendendam dan pembenci. Walau pernah saya terima segala caci dan maki, tetapi selalu saya cuba untuk memaafkan dengan cara menyebut kembali sesuatu yang pernah melukakan hati serta perasaan sendiri dalam bentuk yang lain.

Jadi saya tidak pernah berasa terkilan dan ingin bersedih jika semakin lama semakin menjadi pemilih kawan atau kian dipilih sebelum diterima menjadi kawan. Kerana saya sendiri sedar, saya bukanlah manusia sempurna yang dapat memuaskan hati serta perasaan semua orang.

Terus terang, saya tidak boleh dan memang tidak mudah menjadi penurut siapa pun. Kerana menyedari itu, saya sudah lama bersedia untuk menjadi seorang yang kurang disenangi dan lebih rela  menyendiri.

Saya tidak meminta  setiap kata-kata mesti diterima dengan angguk dan saya juga memang tidak ingin hanya menjadi pengangguk tanpa mengetahui dengan jelas duduk dan pasti sesuatu perkara.

Biarkan mereka atau siapa pun dia memilih kawan kerana kepentingan dan keuntungan.   Tetapi saya memilih  hanya dengan ikhlas dan kejujuran  untuk mengatakan apa yang benar dan apa yang tidak secara berhadapan.

Biar dituduh si celupar kerana pilihan untuk mengatakan tidak tanpa mengira siapa kerana saya tidak ingin menjadi penjilat walau betapa sekali nilai ganjarannya.

Saya akan tetap pergi dan sendiri. Sama ada terasing atau tidak, itu bukan soal.  Walau  hari ini dikhianati, dibenci dan jalan rezekinya cuba dipersulit dengan pelbagai hasad dan dengki, saya memilih untuk tidak pedului.

Kerana, hidup dan mati saya, penentuannya bukan pun oleh sesiapa yang bernama manusia.

Saya sudah terlalu bosan mendepani lakon dan segala sandiwara manusia dan dunia.  Jangan lagi memaksa dan mengajak saya menjadi sebahagiannya.

Kebodohan dan kecerdikan yang saya terima sebagai anugerahNya, membuat saya  selalu ingin mencari redha dalam menulis dan berkarya. 

Tidak mengapa kalau saya dibenci dan tidak diterima oleh sebahagian manusia.  Saya tidak memaksa dan tidak akan meminta-minta.

Allah Maha Besar.

Mac 16, 2010

5 ulasan:

Zawawi Aziz berkata...

Tidak kisah. Peminat hanya menunggu
hasil karya Saudara.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Zawawi Aziz: Sudahkah mengirim karya ke akhbar dan majalah?

MARSLI N.O

Zawawi Aziz berkata...

Belum, namun saya akan mencuba selepas ini, dengan izinNya.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Ooo, sunyi yg mengilhamkan lebih bermakna

AMMOSHAM berkata...

tuan, menjadi celupar tu bagus jugak kadang-kadang. teruskan berkarya.