Sabtu, Mei 21, 2011

SUSU PERCUMA?


ANAK aku tunjuk sekeping borang malam itu. Ini borang untuk ayah tandatangan. Borang kebenaran menerima bekalan susu percuma di sekolah. Kata anak aku.

Tanpa perlu berfikir lama, aku terus sahaja cakap dan beritahu dia. Kau cakap dengan cikgu sekolah kau, katakan berikanlah susu itu kepada murid lain yang lebih memerlukan. Kita tidak memerlukan susu percuma itu. Kita boleh beli susu sendiri. Tidak perlu tunggu susu percuma dari sesiapa.

Anak aku tidak banyak soal. Borang yang telah aku tandatangani dan aku tandakan di bahagian yang  tertera TIDAK BERSETUJU, aku serahkan kepada dia.

Berikan borang ini kepada guru sekolahmu. Begitu kataku menutup bicara dan menyambung baca buku yang kubiarkan sekejap ternganga di hujung kakiku.

Selang beberapa malam selepasnya, anakku beritahu guru kelasnya bertanya apa pekerjaanku dan kenapa aku tidak bersetuju dia menerima bekalan susu percuma itu. 

Aku hanya tersenyum dan berasa tidak perlu untuk berikan sebarang reaksi.

Tetapi beberapa hari selepas itu, anakku membawa pulang sekeping borang baru berhubung dengan isu susu percuma itu. Kandungan borang itu, mengajukan tanya dan sebab kenapa menolak bekalan susu percuma itu.

Aku tahu tidak ada guna kubentak atau kumarahi anakku. Dia tidak tahu apa-apa. Borang itu kuambil dan kusimpan diam-diam tanpa menulis sebarang jawapan atau berasa perlu untuk dikembalikan kepada siapa pun yang menitipkannya lewat anakku. Entah ke mana dan di mana sudah borang soal balas itu kucampak atau kubuang!

Itu peristiwa beberapa bulan yang lalu. Dan kelmarin, kutonton di tv rungutan ibu bapa mengenai susu percuma itu. Dirungutkan mengenai kesahihan sijil halalnya, dan paling mengejutkan aku, susu percuma itu didatangkan dari Korea!

Dan semalam, petugas dari sebuah jabatan yang berkaitan dengan kesihatan dan makanan bergegas ke sebuah sekolah, tidak begitu jauh jaraknya dari rumahku. Khabarnya murid yang meminum susu yang dibekalkan  di bawah label percuma itu mengalami muntah dan sakit perut. Cerita dan berita itu, tentu sahaja tidak akan keluar atau dapat dibaca di dalam akhbar yang mengaku dirinya pembela bangsa Melayu.

Yang jelas, cerita dan kisah  lama berulang lagi.

Susu dibekalkan dan diagih kepada pelajar. Pelajar yang meminum susu muntah dan sakit perut.

Siasatan dijalankan. Hasil siasatan entahkan apa dan disalahkan pihak sana serta sini. Namun penyelesaiannya tiada juga.

Inilah perkaranya yang mendorong aku selalu ingin berkata alangkah bodoh dan baghalnya kau.  Kau bekalkan susu, tetapi tempat menyimpan susu yang sesuai kenapa kau abaikan. Atau kau ingat susu yang berkotak-kotak untuk beratus murid itu cukup dan memadai dengan hanya disimpan di dalam setor alat tulis di sekolah?

Kalau itulah yang kau fikirkan, memanglah bodoh dan baghalnya kau!

Sebab itulah juga aku tidak pernah perlu untuk berasa menyesal kerana tidak pernah benarkan anak aku terlibat dengan projek susu percuma ini. 

Kalau tidak minum susu yang didakwa sebagai percuma itu, anak-anak aku masih tetap mampu menjadi murid yang manusia. Dan aku harap, semoga, dengan cara mengelak menerima susu yang percuma itu, mereka juga tidak akan sampai sama menjadi bodoh dan baghal seperti kau!

Mei 21, 2011

1 ulasan:

NASSURY IBRAHIM berkata...

Yang percuma itu susu basi atau susu beracun!