Rabu, Ogos 03, 2011

SIAPA?


KETIKA  naskhah setebal 150 halaman itu saya sodor dan letakkan di meja, dia merenung wajah saya ke atas dan ke bawah.

Sebelumnya, ketika saya perkenalkan diri saya kepada beliau lewat percakapan di dalam telefon, cara dia bertanyakan soalan mengenai peribadi saya sebagai penulis, membuatkan saya mudah menduga  betapa dia yang bercakap dengan saya ini memang tidak tahu pun bahawa saya ada dan wujud di tanah sastera tanah air.

Saya tidak salahkan dia. Usianya walau sudah agak berusia tetapi saya agak dia bukanlah punya banyak waktu untuk mengambil tahu siapa yang wujud dan muncul di dunia penulisan.

Saya agak, kesebokan dia menguruskan perniagaan keluarga, memastikan agar sentiasa  beroleh laba dan untung lebih penting bagi dia daripada sekadar menelaah siapa yang sudah lama menjadi penulis  dan siapa yang bukan.

Sebagai sebuah rumah penerbitan yang memilih menerbitkan buku yang sedemikian rupa,  saya kira apa yang dia pentingkan apakah buku yang bakal diterbitkan itu laku dijual atau tidak. Persoalan siapa penulis dan sudah berapa lama seorang itu menulis, saya agak, bagi dia tidaklah menjadi perkara penting untuk diambil perhatian.

Saya berfikir, kalau saya duduk di tempat dia, menguruskan sebuah perniagaan yang menggajikan sejumlah orang, tentulah soal untung itu yang perlu saya berikan perhatian utama.

Kerana, tanpa keuntungan, bagaimana saya hendak membayar pekerja yang saya gajikan dan bagaimana juga saya hendak mengecap hasil daripada syarikat yang saya uruskan.

Di sinilah saya selalu berusaha mewajar dan meletakkan diri dalam keadaan sedar.  Sebuah nama bukanlah janji yang pasti betapa sebuah manuskrip yang saya kirimkan kepada mana-mana rumah penerbitan akan mudah diterima.

Saya mungkin hebat dan terkenal, tetapi itu bukan jaminan. Andai saya menulis sebuah karya yang menurut hemat penerbit  jika diterbitkan tidak akan laku dijual dan boleh merugikan syarikatnya,  pasti karya saya akan ditolak mentah-mentah.

Saya memang sudah beberapa kali dipilih atas nama negara hadir ke acara sastera di luar negara. Karya saya diterbit dan diterjemahkan ke bahasa Korea, Thai, Arab dan Rusia.  Tetapi sekali lagi, itu tidak akan diambil peduli oleh mana-mana penerbit yang meletakkan untung sebagai matlamat syarikatnya.

Bagi mereka pengalaman lama menulis dan karya sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa, bukan menjadi penentu apa yang saya tulis boleh menjadi laku dijual atau tidak.

Bagi sebuah syarikat atau rumah penerbitan yang mengutamakan untung, apa yang boleh menjadi laku serta mendatang untung kepada syarikatnya, hanyalah apa yang dikehendaki serta digemari pembaca terbanyak. Tulislah apa sahaja yang disukai pembaca, maka itulah yang diterima serta bersetuju untuk diterbitkan.

Sastera? Seni? Lupakan dahulu. Itu belum pasti laku dijual. Kita menjual apa yang pembaca hendak baca, beli dan cari. Bukan menjual apa yang kita hendak pembaca beli dan baca.

Jadi, lupakanlah berapa lama sudah saya menulis dan menjadi penulis. Lupakanlah soal nama saya yang sudah diketahui di kalangan khalayak  sastera luar negara. Lupakanlah soal perjuangan mengangkat martabat dan mutu sastera yang saya perjuangkan selama ini.

Di mata mereka yang menjadikan untung sebagai matlamatnya, siapalah saya di mata mereka.  Saya hanyalah debu yang bisa diterbangkan angin ke mana-mana, kecuali saya boleh menghasilkan sesuatu yang mendatangkan laba yang banyak buat mereka.  Selain itu, tiada sebarang sebab untuk saya mereka acuh dan lirikkan pandangan walau sebelah mata.

Apakah saya kecewa? Tentulah tidak dan kerana itulah saya tetap juga menulis dan terus menulis menurut apa yang saya yakini. Walau saya tahu sastera dan seni yang saya tulis payah untuk diterima oleh mana-mana rumah penerbitan yang mengutamakan keuntungan, namun itu tidak pernah melunturkan semangat saya untuk terus menulis.

Tidak mengapa.  Saya tidak pernah ingin dan mahu berharap supaya orang atau pihak lain berubah menurut apa yang saya inginkan.

Saya hanya mahu menulis dan terus menulis. Hanya itu kebahagian saya. Dan saya percaya, saya belum tiba ke penghujung jalan. Karya sastera dan seni tetap ada penggemarnya, walau pun sedikit.

Namun saya puas.

Kerana itu jugalah saya tidak pernah berasa tersinggung andai saya tidak mereka kenal atau acuhkan.

Saya tidak hidup dan membesar kerana kenal atau acuhan mereka. Saya hidup kerana Allah yang menentukan saya hidup atau tidak.

Jadi, soal siapa saya di mata mereka, sungguh tidak penting!

Ogos 3, 2011 

Tiada ulasan: