Sabtu, Oktober 01, 2011

NADIR BUMI DAN SAYA


SAYA mungkin menurut anda seorang manusia yang sangat bodoh kerana menolak sesuatu projek yang kononnya datang atas nama pembangunan, apa lagi seperti dikatakan anda dan kelompok anda, projek itu bakal memberikan pekerjaan kepada ribuan penduduk dan jiran-jiran sekitar kampung saya.

Tidak mengapalah. Saya sedikit pun tidak berasa tersinggung dengan gelar yang seperti itu.  Kata tuduh dan cemuh  memang pun selalu menjadi mainan ucap di bibir sesiapa yang apa bila kehendak dan hasratnya tidak mahu  diturut serta diikut.  Walau yang dianggap atau dituduh bodoh itu pada hakikatnya lebih cerdik daripada manusia cerdik yang berasa dirinya sendiri lebih cerdik itu.

Memanglah anda dan konco-konco anda mencanangkan ke mana-mana tiada apa yang bahaya dengan Kilang itu. Memanglah, anda dan konco-konco anda memang bijak bermain kata-kata.

Memang pun, siapa kata Kilang itu bahaya? Siapa kata? Siapa kata produk atau bahan akhir untuk menghasilkan pelbagai peralatan daripada kilang itu bahaya?  Siapa kata? Siapa kata? 

Dengan orang yang disangkakan bodoh, begitulah anda dan konco-konco anda mencanang serta mendakwa. 

Memang pun Kilang itu tidak bahaya kerana ia hanyalah sebongkah besi dan campuran batu serta simen. Apa yang yang bahayanya kerana ia hanyalah sebuah bangunan kilang yang bercokol gagah yang cara dibangunkan bagai sengaja hendak disembunyi serta disorok?

Begitu juga produk yang dihasilkan daripada apa yang diproses di kilang ini. Katakanlah itu mentol lampu, disk brake atau apa sahajalah alat dan peralatan yang boleh dihasilkan nanti. Memang pun tidak ada apa bahayanya.

Tetapi tidakkah anda dan konco-konco anda tahu dan berfikir ke mana pula sisa daripada kerja-kerja penghasilan bahan dan produk itu hendak dihumbankan? Ke mana? Ke dalam sungai Balok dan langsung mengalir masuk ke dalam laut Balok?  Atau ke mana?

Nampaknya, anda ghairah bercerita mengenai duit yang masuk dan bukan berfikir dalam-dalam mengenai kesan jangka panjangnya kepada rakyat dan penduduk sekitar.

Anda mengatakan Kilang itu tidak bahaya memang betullah. Sebabnya, Kilang itu hanyalah nama sebuah syarikat atau kilang. Yang bahaya adalah sisa buangan daripada kilang itu. Sebab itulah   banyak penduduk risau dan gelisah. Bagi mereka, kilang itu adalah seekor raksasa rakus yang  menunggu masa hendak membaham penduduk sekitarnya.

Sisanya. Itulah yang dirisaukan. Ke mana hendak dihumbankan? Di bawa dan dibuang keluar negeri? Negeri mana yang bangang dan bodoh sanggup menerimanya?

Anda dan konco-konco anda berkata sisa kilang itu tidak berbahaya.

Tetapi kalau tidak berbahaya, kenapa selepas bertahun-tahun kilang yang kurang lebih sama di Bukit Merah, Perak demikian pula halnya. Selepas bertahun-tahun berjuang akhirnya  para penduduk sekitarnya berjaya mendapatkan perintah mahkamah agar kilang tersebut ditutup. Tetapi apakah anda tidak tahu atau memang sengaja buat-buat tidak tahu  betapa selepas bertahun-tahun kilang itu ditutup, kenapa kerja membersihkan sisanya sampai hari ini  masih juga belum selesai? Kenapa sampai begitu sekali halnya kalau tidak bahaya? Kenapa?

Memanglah bagi anda dan konco-konco anda kilang itu  tidak bahaya. Sebabnya mudah sahaja. Kilang itu bukan pun berada di sebelah rumah anda. Kalau tidak tentulah anda pun berkeriau dan menjerit juga. 

Tidak mengapalah kalau anda mengatakan saya bodoh. Tidak mengapa.

Cuma yang mungkin anda lupa, tidak semua orang boleh begitu mudah diperbodohkan oleh sesiapa pun. Nampaknya memang itulah yang anda lupa atau sengaja buat-buat lupa.

Ah, anda bercakap mengenai ketelusan maklumat.  Sudahlah. Janganlah asyik hendak borak dan cuba  bodohkan mereka yang anda agak serta fikir boleh terus diperbodohkan.

Sudahlah.

Oktober 1, 2011

Tiada ulasan: