Selasa, Oktober 04, 2011

TANPA MENAMAKAN DIA, ALANGKAH BODOHNYA SAYA


TANPA menamakan siapakah dia, begitulah saya menyebutkannya.

Saya tahu saya mungkin agak kasar dan kata-kata yang saya ucapkan kepada dia itu boleh membuat dia yang tidak akan saya namakan itu berasa tersinggung. Tetapi memang itu pun pilihan saya. Saya ingin berkata kepada dia tanpa berselindung, menyatakan apa yang saya fikir dan rasakan mengenainya, dengan harapan moga dia sudi untuk sedikit berubah dan menjadi lebih bererti.

Tetapi tatkala mendengar demikian jawapan dia, saya jadi kembali teringat percakapan saya yang kurang lebih sama dengan dia kira-kira 10 tahun yang lalu. Memang waktu itu, kurang lebih demikian jugalah jawapan dia dan saya berasa kecewa.

Namun mengenangkan dia adalah kawan dan sahabat, saya ingin berlaku jujur dengan dia. Saya tidak ingin berpura menyukai dan menyanjung karya dia semata-mata agar dia terus menyukai saya sebagai sahabatnya yang baik.

Saya tidak mahu begitu.  Andai saya rasakan karya dia kurang menukik dan mendalam kontemplasinya, saya akan menegor dia secara berterus terang. 

Memang pun dia tidak perlu berubah menjadi diri orang lain atau  mengikut sesuatu secara  membuta tuli. Apa lagi untuk dia mengiyakan segala kata-kata "nasihat" saya. Saya tidak mengharapkan dia begitu. Sebaliknya, yang ingin saya lihat adalah perubahan di dalam sikap pengkaryaannya, agar kelihatan lebih berhening, mendalam dan menukik lebih jauh dan murni ke dasar makna.

Tetapi begitulah. Saban tahun dia yang tidak akan saya namakan itu menerbitkan buku dan bila saya katakan kenapa tidak dia meneruskan sesuatu yang sudah dia mulai secara bererti di peringkat awal kehadirannya dahulu, dia menyamakan pula dirinya dengan Chairil Anwar, yang katanya kalau masih hidup juga tentu akan berubah dan menulis sesuatu yang seperti dia.

Saya tahu dia tersinggung dan seperti 10 tahun yang lalu, dia juga memang tidak bersedia menerima walau sedikit pun pendapat dan "nasihat" saya. Saya tidak kecewa tetapi berasa kesal dan sia-sia menasihati seorang kawan yang walau sedikit pun tidak ingin mendengar atau sekejap merenung "nasihat" saya.

Mungkin dia sudah berasa seronok kerana pernah mendapat pujian mengenai cara menulisnya itu daripada seorang ahli akademik, yang menulis sajaknya sendiri pun entahkan apa. Saya agak mungkin kerana itulah maka dia nampaknya walau sedikit pun tidak mahu berubah dan meninggalkan cara menulisnya yang saya  rasakan,  catatan kata di papan iklan lebih memikat dan memukau perhatian.

Suka hati dialah hendak menulis dan berbuat apa pun. Begitulah akhirnya saya memutuskan. Hidup dan mati dia, suka hati dialah. Untuk apalah saya bodoh dan mengada-ada sangat hendak berlagak lebih cerdik daripada dia.

Begitulah akhirnya saya memutuskan. Begitulah. Dan andai dia yang tidak akan saya namakan itu terbaca catatan saya ini, anggaplah catatan ini pun bukan membawa makna apa-apa kepada diri dia, kerana dia sudah berasa besar dan hebat di dalam dunia ciptaannya sendiri.

Jauh di sudut hati saya berasa terlalu bodoh dan sia-sia kerana bersungguh sangat mahu "menasihati" dia. Walhal, yang patut saya nasihati adalah diri saya sendiri agar tidak terus memperbodohkan dirinya sendiri dengan segala kerja yang sia-sia dan membazirkan waktu serta usianya sendiri.

Ya, sepatutnya itulah.

Oktober 4, 2011

Tiada ulasan: