Rabu, November 02, 2011

EMPAT BUKU SAJAK RAHIMIDIN ZAHARI


MALAM 29 Oktober, 2011. Di warung makan Jalan Choo Chung Kay, Kuala Lumpur. Saya menerima empat buku sajak persendirian dan bersama karya Rahimidin Zahari. Buku-buku tersebut ialah Rawana: sajak-sajak terpilih (persendirian); Perahu Fansuri (persendirian); Abrar (bersama Abdulhadi Muhamad, Rosli K Matari, Azmi Yusoff); dan Puisi Orang Bertujuh (Bersama Amiruddin Ali, Camar Putih, Jasni Matlani, Mohamad Saleeh Rahamad, Mohd Rosli Bakir dan Shamsudin Othman).

Semenjak Sekepal Tanah, gaya berpuisi Rahimidin Zahari sudah semakin diperkukuh dan memperjelaskan identiti kepenyairannya. Sebarang usaha untuk meniru gayanya ini oleh mana-mana penyair pun, akan mudah dapat ditebak asal dan usulnya adalah daripada Rahimidin Zahari.

Selain Zaen Kasturi, Malaysia memang tidak punya ramai penyair yang begitu sungguh-sungguh dan secara sedar memperkukuhkan gaya kepenyairannya. Dan Rahimidin Zahari adalah salah seorang selepas Zaen Kasturi. Sementara Shamsudin Othman masih dalam proses memperkukuhkan bentuk dan Ridzuan Harun pula seperti mahu terus bersenang-senang dengan dunia remaja yang secara tidak sengaja disangkutkan ke bahu kepenyairannya.

Di tengah hingar-bingar dunia puisi tanah air yang kian dijejali para penyair dan seniman palsu ini, kita setidaknya  dapat berasa bangga dan berbahagia memiliki penyair seperti Rahimidin Zahari, yang tetap dengan tekun,  jujur dan tanpa pamrih,  menampilkan satu demi satu puisinya, yang mengajak kita sekejap merenung dan berhening menghayati makna hidup dan keberadaan kita sebagai manusia di tengah para arogan politik (dan juga akademik serta sastera) yang selalu mahu berada di depan dan memaksakan kehendaknya. 

Memang puisi tidak mendatangkan wang, seperti ditanyakan Shamsudin Othman ketika forum Korea-Asean Poets Literature Festival (KAPLF) II di Perpustakaan Soeman HS di Pekanbaru, Riau pada pagi 28 Oktober 2011 yang lalu, namun setidaknya, puisi Rahimidin Zahari menyedarkan kita betapa selain wang, ada sesuatu yang lain yang lebih kita dambakan daripada hidup ini.

Dan itu tidak lain adalah sebuah makna dan kehidupan yang lebih bererti. Walau tanpa wang!

November 2, 2011

Tiada ulasan: