Rabu, Januari 11, 2012

KASUT DAN SELIPAR


KASIHAN. Pahala bersolat dan berjemaah di masjid menjadi cacat hanya kerana sepasang selipar atau kasut yang harganya di bawah lima atau seratus ringgit. Atau oknum begini memang dengan sengaja datang berjemaah ke masjid dengan niat pulang nanti menyarungkan selipar atau kasut yang lebih baru, yang memang dia tahu itu adalah milik orang lain, yang dia sauk tanpa sebarang rasa malu dan bersalah.

Saya tidak begitu hairan dan terkejut kalau kejadian ini berlaku di bandar.  Tetapi peristiwa singgah bersolat Maghrib di sebuah masjid jamek di sebuah perkampungan nelayan semalam, benar-benar buat saya lama berfikir. 

Apakah kerana munculnya sepasang selipar yang kelihatan masih terlalu baru maka mata si penyauk yang memang demikian niatnya mudah terpancing seusai Maghrib semalam?  Saya tidak tahu dan tidak ingin ambil tahu soal itu.  Dan harganya, memang pun tidak sampai lima ringgit.

Tetapi yang buat saya agak lama berfikir adalah mengenai sikap sosial dan beragama di dalam komuniti di perkampungan nelayan ini.

Apakah ceramah ugama yang berkumandang saban malam dari corong pembesar suara di masjid yang dapat di dengar jelas oleh penduduk sekitarnya masih belum memadai menjadikan penduduknya lebih insaf dan menyedari soal dosa dan pahala, walau yang dicuri hanya sekadar  sepasang selipar?

Kalau demikian untuk apa saban malam ceramah agama dikemundangkan kalau hati dan jiwa pendengarnya masih belum dapat didik serta ditundukkan agar menjadi lebih manusiawi?  Tidakkah itu membazir namanya?

Saya tahu banyak yang tidak bersetuju dengan saya kerana menghubungkaitkan soal kecurian sepasang selipar dengan kegagalan ceramah agama atau usaha-usaha untuk lebih memberikan kesedaran agama di kalangan jelata.

Tetapi buat saya peribadi, untuk apa saban malam melontarkan ceramah kalau di luar masjid, kebejatan, konflik sesama sendiri, perebutan dalam parti atau JKKK tetap berleluasa juga?

Tiada yang salah dengan ceramah. Tetapi bila sikap berasa diri lebih mulia kerana selalu berada di masjid dan membuang peduli urusan dunia di luar masjid sebagai urusan yang perlu diselesaikan oleh orang lain, saya kira inilah yang silapnya.

Saya tidak peduli pun selipar yang hilang itu menyebabkan saya sekejap berkaki ayam menuju ke kenderaan. Yang saya fikirkan, bagaimana kalau yang terkena itu adalah musafir yang kebetulan singgah bersolat sebelum meneruskan perjalanannya yang masih panjang?

Apakah tidak mereka berfikir: di masjid yang indah dan baru di sebuah perkampungan nelayan begini pun, selipar yang tidak sampai lima ringgit pun sanggup dicuri?

Saya meredakan segala kejadian. Tetapi di dalam fikiran, tetap juga itu yang saya fikirkan: sudah seberkesan manakah usaha kita mendidik ahli masyarakat kita lebih mencintai agama dan menghayati segala ajarannya?

Atau kita sebenarnya sekadar berpura bersungguh-sungguh tetapi pada hakikatnya, sekadar melepaskan batuk di tangga?

Januari 11, 2012

2 ulasan:

Arman Zafri berkata...

Nyatanya adalah sekadar dipinggiran kata, lunak, namun belum mampu terkesan pada tingkah budaya masyarakat. Curi selipar di masjid adalah perkara biasa kesudahannya. Ketakutan dosa sudah tiada akibat pelakunya berleluasa tak mampu dikekang oleh perundangan sedia ada, apatah akidah jauh dari yang sesungguhnya.

Tetamu Istimewa berkata...

Barangkali yang mencuri itu buta. Buta segala-galanya.