Sabtu, Januari 28, 2012
TOKOH
AKHIRNYA hanyalah pengulangan demi pengulangan untuk mengisi dan memenuhkan baki waktu dan ruang yang masih ada. Kalau berhenti nanti dikatakan sudah macet, pikun dan tidak mampu. Ketakutan mendorong mereka yang kurang kukuh jiwa dan raganya, apa lagi jika kurang berfikir juga, melakukan segala sesuatu yang sebenarnya tidak perlu dan malah langsung tidak memberikan makna apa-apa.
Misalkan seorang penyair. Tidak semestinya saban jam, hari, minggu dan bulan perlu menyiarkan karya puisinya kalau yang dimuntahkan hanyalah sampah yang sangat memualkan.
Mencari kesempurnaan bukan perkara yang salah kerana kesempurnaan adalah tujuan. Tetapi bukan hanya luaran. Apalah erti dan makna andai karyanya dinobat sempurna dan menjulang ke puncak melangit, ditambah dengan pelbagai gelar hebat dan melambung, ketika perangai dan peribadi pemilik karya menyerupai haiwan dan syaitan.
Waktu tidak pernah tinggal dan diam. Usia kita yang kian menipis mengajak kita kian hampir ke tanah di mana jasad bermula.
Kita barangkali terlupa atau dengan sengaja menjadikan diri manusia pelupa. Kerana itu saling berebut dan mengejar, malah kalau perlu memijak, pijaklah kepala siapa sahaja yang dirasakan boleh dan perlu dipijak.
Akhirnya kembali kepada tanah yang itu juga siapa pun dia. Dan sebelum benar-benar tiba saat itu, kenapa kerana gelar secuil itu kita tega untuk tidak menjadi diri kita yang manusia?
Saya hanya bertanya dan memperingatkan diri sendiri. Tanpa terlalu ingin menjadi tokoh atau ditokoh-tokohkan oleh siapa pun mereka.
Januari 27, 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan