Rabu, Februari 29, 2012

BAHANA


SAYA ke sana 26 Februari 2012 lalu sebagai penonton dan sekaligus  ingin merakamkan sebuah peristiwa sejarah yang tidak banyak sedikit melibatkan juga diri dan keselamatan nyawa saya, keluarga saya, serta jiran-jiran saya. Saya katakan begitu kerana jarak antara rumah saya dengan apa yang dianggap sebagai bakal mendatangkan bencana itu tidak pun sampai 2o kilometer dari rumah saya.

Pagi itulah, saya melihat sendiri bagaimana tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman, puluhan  atau mungkin belasan ribuan rakyat berkumpul menyatakan sikap dan bantahan mereka. Pinta mereka hanya ini: HENTIKAN.

Siapa sahaja yang berkepentingan boleh menuduh dan berkata saya pemimpi yang takutkan sesuatu yang sebenarnya tiada apa-apa sebenarnya.  Saya tidak peduli.

Tetapi saya tidak bercakap atas atau dengan apa pun alasan politik di pihak mana pun. Bagi saya ini isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan kerana itu saya tidak ingin bercakap bertele-tele mengenainya. 

Siapa sahaja di pihak sana atau di parti politik  mana pun boleh bercakap atas nama kuasa dan wibawa yang mereka miliki bahawa tiada apa pun bahaya yang bakal mendatangkan bencana terhadap kehidupan saya dan mereka yang lain di kawasan ini.

Tetapi kalau itu memang benar, kenapa pula sebuah syarikat keparat itu sanggup bersusah payah datang ke negeri lain untuk mendirikan kilangnya? Kenapa tidak dirikan sahaja kilang itu di negaranya sendiri? Kenapa tidak?

Sebenarnya logik begini terlalu mudah untuk difaham serta dimengerti. Namun demi kepentingan serta muslihat yang hanya  mereka sendiri tahu apakah maksud serta niat di sebaliknya, logik yang sebegini mudah pun cuba disunglap dan diputarbelitkan.

Saya tidak fikir mereka yang bergelar pemimpin di atas sana atau yang tidak berada di atas sana terlalu bodoh untuk mengerti atau langsung tidak  faham apa maksud sebenar niat dan hasrat segala rayuan dan desakan yang dikemukakan oleh rakyat.

Tetapi kenapakah mereka masih bermatia-matian cuba mempertahankan segala tindakan. Dengan pelbagai dalih dan cara untuk mereka-rekakan alasan?

Saya tidak fikir saya terlalu bodoh untuk faham dan mengerti. Memang dari kilang itu nanti akan dihasilkan bahan yang kemudian akan dipergunakan dalam banyak peralatan seperti mislanya telefon bimbit, peralatan tertentu kenderaan dan sebagainya. 

Tetapi bagaimana dengan sisa atau bahan buangan dari kilang itu? Ke mana hendak dibuang atau dihumbankan? Ke sebuah pulau atau ke sebuah negara lain yang tidak berpenghuni? Di mana? Tolong sebutkan?

Atau kata mereka hendak dikitar semula. Dengan cara apa? Melalui kolam takungan yang dalamnya ratusan meter? Tetapi selepas itu, ke mana pula air buangannya hendak disalirkan? Ke dalam sungai Balok dan dialirkan pula masuk ke laut? Semudah itukah?

Terus terang sahaja bagi saya ini semua wayang dan tipuan belaka. Untuk kepentingan sekelompok orang nyawa dan keselamatan lebih banyak manusia tega dipermainkan sesuka hati.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan negaranya, semakin lama saya semakin berasa jemu, jelak dan bosan dengan segala permainan ini.

Terserahlah anda mahu mendengar dan berbuat sesuatu atau tidak. Saya sudah terlalu banyak secara baik, sopan dan bersantun merayu dan merayu.  

Terserah.

Februari 29, 2012

1 ulasan:

jhnrdzi berkata...

saya tak sempat hadir kerana ada urusan lain. Tapi sebagai mahasiswa yang menuntut di kuantan sekalipun, saya menyokong padu dengan usaha mereka.

Ada sebab mengapa si anjing-anjing korporat itu datang jauh ke malaysia untuk didirikan kilang bahana seperti itu.

Moga perjuangan untuk masa depan yang cerah ini dirahmati.