Selasa, Jun 26, 2012

SAYA KEMBALI ...



BIARKAN mereka bercakap dan menyatakan kehendak ini dan itu. Semakin jelas bahawa yang mereka katakan sikap terbuka atas nama akademik itu bermakna: Awak mesti dengar dan ikut apa yang saya cakap dan hendak.

Akhirnya kita sebagai peribadi sendiri yang memutuskan arah dan mahu ke mana. Kerana kita tidak menulis kerana arahan serta suruhan sesiapa. Kita menulis kerana kehendak dan tuntutan jiwa sendiri. Tanpa peduli label, gelar dan  tuntutan yang lain.  Menulis adalah persoalan jiwa dan peribadi sendiri.

Begitulah selalu. Ketika menuntut dan meminta kononnya sesuatu yang bukan kaca dari penulis atau penyumbang, sudah dinilai sendirikah apakah yang sudah sedia diterbit memang sesuatu yang sudah “berlian”?

Atau tidakkah kenampakan jelas seperti projek kroni dan para lingkungan bila yang sedia ada mutu dan nilai “berlian”nya dapat dipersoal?

Sekali lagi itulah kenyataan yang tidak perlu terlalu lama difikir dan merusuhkan otak. Tugas penulis, sekali lagi, tidak lain hanyalah menulis dengan darah hayat dan semangat jiwanya sendiri.

Persoalan kroni tetap ulang dan berulang. Hanya waktu, tempat dan pelakunya sahaja yang bertukar.

Dan akhirnya, ketika kita bercakap dan berteriak  meminta karya bertaraf dunia untuk mengernyit ke Hadiah Nobel, kita  pura-pura lupa dan secara terangan juga bersandiwara, betapa sastera kita bukan menjadi wadah manusia mengasuh akal intelek serta kemerdekaan mindanya,  sebaliknya dijadikan kandang yang kian dipersempitkan agar manusianya menjadi pengekor dan pengangguk buta segala ajaran yang disebutkan siapa sahaja yang kebetulan berasa dirinya berkuasa menentukan: Bagaimana dan mahu ke mana sastera kita.

Lantaran itulah, karya sastera kita, di segi teknik dan kreativiti, tanpa malu dan silu bertolak 10 tahun ke belakang dan tidak ingin dibebaskan berlari sekehendak daya kreaativitijnya.oleh para penilai dan akedemikus yang berasa dirinya terlalu banyak tahu.

Akhirnya, saya ingin kembali ke dalam diri sendiri.  Walau apa pun kata mereka. Walau bagaimana pun penilaian mereka. Kerana, saya tidak menulis untuk segelintir mereka. Tetapi kepada pembaca karya saya. Walau hanya segelintir mereka.

Jun 26, 2012

1 ulasan:

imlan adabi berkata...

biarkan si luncai dengan labu-labunya!