Khamis, Februari 07, 2013

KEBONGKAKAN

SEMAKIN banyak membaca pendapat dan pemikiran orang lain di buku-buku, blog atau sebarang wadah dan media lain semakin saya tidak ingin menjadi orang lain. 

Persetan dengan mereka yang berlagak hebat dan mengada-ada, suka menunjuk-nunjuk betapa mereka kononnya lebih bijak dan lebih banyak tahu, lebih banyak membaca ketimbang orang lain, lebih  mengenal aliran-aliran pemikiran si anu atau si ini, bergerak dari falsafah ke falsafah dari pelbagai tokoh dan nama besar, yang kerananya tentulah menjadikan orang lain lebih bodoh ketimbang dibanding dengan dirinya dan untuk itu juga, dia menjadikan segala kehebatan serta kebijaksanaannya itu untuk menuduh, menuding dan mencerca orang lain, atas tiket akademik dan perkembangan ilmu, kononnya.

Saya hanya ingin menjadi diri saya sendiri dan memilih untuk meneruskan kebongkakan saya dengan cara saya yang juga sendiri. Bersikap tidak peduli kepada siapa sahaja yang berlagak dan mengada-ada kerana berpendapat hanya pendapatnya sahaja yang betul dan benar.

Saya hanya ingin menulis, bercakap, bergerak dan berdiri hanya dengan keyakinan saya sendiri. Tidak ingin memetik-memetik dan tidak ingin dengan bangganya bercerita betapa saya terlalu banyak tahu dan mengenal segala nama dan karya pengarang hebat di dunia, sedang sepanjang hidup  saya tidak pernah sekali atau satu pun menuliskan sesuatu yang datang dan lahir dari pemikiran khas milik saya sendiri walau di mana pun.

Hidup hanyalah tenggang sementara menunggu kematian.  Saya tidak mahu bazirkan waktu hidup saya hanya dengan meniru dan berdiri di bayah bayang orang lain, meski betapa pun hebatnya.

Segala yang bersamaan hanyalah kerana kebetulan. Kerana saya memang ingin menulis kan demikian. 

Februari 7, 2013.

Tiada ulasan: