Rabu, Mac 13, 2013

INDIE




KATA ini sudah saya dengar dikoarkan sejak tahun 2000 atau akhir 1990-an. Mungkin untuk semacam pengisytiharan mengenai sekelompok orang yang kononnya tidak sudi berada di mainstream dan hanya mahu bergerak secara bebas. Istilahnya dilabelkan dengan filem, muzik, teater dan  sastera.

Mungkin juga kata ini, indie, semacam label yang disebut dengan rasa megah, yang konon membawa makna mengemukakan sesuatu yang lain di segi aliran dan cara berfikir di dalam karya. 

Di dunia seni dan sastera negeri ini, siapa sahaja  boleh mendakwa segala macam untuk meninggikan martabat diri atau egonya sendiri: penyair, pembuat filem, pengarang, blogger, pemusik, seniman, penerbit atau penyanyi. 

Apa lagi kalau sudah punya sejumlah teman, penyokong, penggemar atau pengikut. Walau kadang-kala dakwaan itu ternyata hanyalah sesuatu yang palsu dan bukan sepatutnya kerana apa yang disebut sebenarnya jauh panggang dari api.

Sehingga semakin lama makna indie dalam erti kata yang sebenar itu pun semakin menjadi lusuh dan tidak bernilai. Antaranya kerana kepongahan yang lebih kepada gaya dan aksi tetapi bukan dalam sikap, pemikiran dan inti dalaman karya.

Apa lagi bila kelompok yang mengaku dirinya indie mengisytiharkan pula di dalam kelompoknya punya seorang jenderal, atau ada yang mengaku dirinya jenderal. 

Jika sudah begitu, apa yang indienya?

Mac 12, 2013

Tiada ulasan: