Jumaat, Mei 24, 2013

KENANGAN SEMINGGU DI MANILA


SEGALANYA  bermula pada jam 3.30 petang, 22 Disember 1994. Ketika di pejabat, menerima panggilan Zakaria Ariffin  dari Dewan Bahasa dan Pustaka, yang menanyakan apakah diri ini bersedia atau tidak jika dipilih untuk menghadiri sesuatu acara sastera di luar negara - Second ASEAN Writer's Conference/Workshop (Poetry).  

Tanpa banyak berfikir, walau pun menyedari bahasa internasional yang dikuasai tidak sebaik mana, diri segera menyanggupinya. Kenapa tidak?  Peluang begini tidak wajar dilepaskan dan inilah waktunya untuk menguji kekuatan serta keberanian diri. Jangan hanya berani berkokok di tempat sendiri, cubalah pula bersilat di gelanggang luar.  Dan yang penting, dengan berada di luar, diri berharap akan dapat belajar dan menimba sesuatu dari orang di daerah lain.

Kerana tekad ini jugalah, maka diri bersedia menerima segalanya dengan dada terbuka dan tidak mahu terlalu mengharapkan yang tidak-tidak. Yang penting, untuk belajar, diri perlu menjadi pemerhati dan peneliti. Dan, dari Zaen Kasturi yang sebelumnya telah menghadiri acara ini yang pertama kalinya diadakan di Pulau Pinang bersama S.M Zakir, juga telah diri ini dapatkan beberapa gambaran ringkas tentang telatah beberapa peserta yang pernah ditemuinya pada acara pertama tersebut. 

Ketika mengunjunginya di DBP, Pak Shamsuddin Jaafar juga telah menitipkan pesan agar diri saling bekerjasama dengan teman-teman peserta lain dari Malaysia dan perlu sentiasa waspada dengan dokumen diri. Selain itu, Pak Shamsuddin juga menyampaikan maklumat-maklumat lain yang kukira sangat penting kuberikan perhatian sentiasa: 1) Berlepas pada 27 Januari 1995 dengan penerbangan MH 704 jam 9.30 pagi dan perlu berada di lapangan terbang 90 minit lebih awal. 2) Di Manila, acara berlangsung di Nikko Garden Hotel. Penginapan peserta juga di sana. Kos hotel tersebut USD 90.00 satu hari. 3) Wang poket diberikan penganjur sebanyak USD 100.00 satu hari. Ini termasuk bayaran untuk hotel dan makan harian. Jadi mesti berjimat dan tidak membazir untuk perkara yang tidak perlu.

Untuk tidak terlalu jahil tentang sepak terajang dan tokoh-tokoh penyair  di Filipina, khususnya dari generasi lebih muda, bersama Rahimidin Zahari, diri   menye-longkar perpustakaan DBP untuk men- dapatkan maklumat. Dengan harapan, dengan sedikit latar dan data pengetahuan yang ada, diri nanti tidak akan terlalu buta bila perlu berinteraksi di luar acara formal dengan penyair tuan rumah.


27 Januari 1995, meninggalkan lapangan terbang antarabangsa Subang kurang lebih jam 9.55 pagi. Sebelum berangkat, Haji Hamzah dan Pak Shamsuddin Jaafar mengiringkan dengan beberapa pesan terakhir. Tiba di lapangan terbang antarabangsa Ninou Aquino kurang lebih jam 1.14 petang.  Terkial-kial mencari urusetia di Filipina yang katanya akan menunggu. Selepas hampir satu jam menunggu, akhirnya memutuskan untuk langsung ke tempat penginapan di Hotel Nikko Manila Garden di Makati. Lim Kim Hui membayar tambang vannya sebanyak 520 peso.

Di kaunter pendaftaran hotel, namaku dan Rahimidin tidak terdaftar sebagai pesertarasmi dari Malaysia, yang tercatat di sana nama Imlan Adabi dan Saibil Madun. Selaku ketua delegasi dari Malaysia, Lim Kim Hui terpaksa bersungguh memperjelas dan meyakinkan kepada petugas kaunternya bahawa aku dan Rahimidin Zahari adalah peserta gantian, mungkin malangnya di pihak Malaysia, tidak siapa yang memaklumkan hal itu kepada mereka di Filipina. Selepas hampir setengah jam Lim menerang dan memperjelaskan kepada  petugas di kaunter pendaftaran hotel itu, baharulah aku dan Rahimidin didaftar dan berikan kamar. Terbeliak juga bola mata bila melihat bilnya untuk bilik bersendirian sebanyak US $ 98.88 sehari. Permintaan Lim untuk berkongsi kamar disarankan oleh petugas lelaki di kaunter yang kelihatan ramah itu agar diuruskan nanti dengan pihak urusetia. 

Setelah setengah jam berada di kamar, baru dihubungi oleh salah seorang urusetianya agar turun kembali ke lobi kerana peserta dari beberapa negara lain sudah mulai tiba. Di lobi bersalaman dengan Pak Taufik Ismail yang mengetuai delegasi dari Indonesia bersama  Agus R. Sarjono dan Acep Zamzam Noor, Asmin dari Singapura dan seorang peserta dari Thailand.
Elsa Balibao dan Jay Giovanni Bautista, Pegawai Protokol dari National Commission for Culture and the Arts (NCCA) memberikan alasan kenapa tidak menanti di lapangan terbang dan menyerahkan sampul berisikan wang sebanyak US $ 800 didharab dengan 24 (nilai peso bagi US $1) = 19,200.00 peso. Ditolak pula ongkos makan tengahari sebanyak 3,507.00 peso berbaki 15,693.00 peso. 

Untuk menghematkan belanja, diri memilih untuk berkongsi kamar dengan peserta. Demi Rahmidin, tanpa sebarang cikcok aku dengan rela mengalah dan memilih untuk berkongsi kamar dengan peserta dari Thailand, Theerasart Phaineephinas (Chekchon).  Rahimidin Zahari yang mengaku lebih selesa dengan teman sesama Malaysia berkongsi kamar dengan Lim Kim Hui.  Inzura Haji Kosnin pula dengan Abidah El Khalieqy dari Indonesia. Setiap kamar, memang tersedia dua katil besar yang sangat selesa untuk ditiduri oleh dua orang dan kerana itu, walau berkongsi kamar, diri dan teman kamarku punya atau tidur di katilnya sendiri.

Namun setelah semakin mendekati hari terakhir, baru diri perasan teman sekamarku dari Thailand ini agak jarang tidur di kamar dan bila ditanyakan dia mengaku berbual sehingga larut malam dan tidur di kamar peserta berbangsa China dari Singapura. Kemudiannya, ketika suatu pagi dia memberitahu dia berasa takut bila mendengar aku menjerit-jerit di dalam tidur lantaran gangguan mimpi yang menakutkan, aku semakin mengerti kenapa dan apa puncanya dia agak jarang bermalam di kamarnya sendiri. Mungkin dia berasa gerun dengan penampilanku yang saban hari memakai seluar gerila dan malamnya pula ngeri mendengar pekikanku ketika tidur.

Selama seminggu di Manila, apa sebenarnya yang diri ini temui dan pelajari? Kesan pertama, hanya Malaysia dan Filipina selaku tuan rumah  saja menghantar peserta di bawah usia 40 tahun sebagaimana yang disyaratkan. Sedangkan Brunei Darussalam 2 pesertanya melebihi 40, demikian juga 2 peserta dari Thailand dan Indonesia dengan Pak Taufik Ismail selaku ketua delegasi pasti saja usianya melebih 40.

Di segi pembentangan kertas kerja yang mewakili negara, yang benar-benar melihat puisi dalam hubungan dengan community hanya kertas Lim Kim Hui sedangkan dari negara lain kelihatannya lebih cenderung membicarakan tentang sejarah dan perkembangan puisi di negara masing-masing. 

Agak terperanjat juga diri bila di sesi brainstorming, yang merenggut hampir separuh hari acara, mengesani betapa sebahagian besar peserta dalam sekelip mata bagaikan menukarkan dirinya yang  penyair kepada pembuat dasar atau orang-orang birokrasi - yang berbicara dan sesekali bertelagah pendapat tentang judul yang akan menjadi tajuk utama perbincangan sepanjang acara. Hebat sekali judulnya: The Promotion of Poetry on a National and Regional Basis, Including Government and Corporate Support, Formal Education, Media, Translation and the Establishment of a Literary Network dengan turutannya yang lain on Development Issues and Human Relationships dan on Poetry and Nature.  

Dalam diam, diri bertanya sendirian, perlu apakah sebanyak itu waktu dihabiskan untuk mempersolkan soal sedemikian dan tidak pula langsung membicarakan soal-soal yang lebih menjurus kepada soal dalaman untuk membangunkan jasad puisi itu sendiri - agar masing-masing peserta menemukan dan dapat berkongsi kekuatan dari inti dan khazanah puisi negara lain sekitar ASEAN - seperti yang diucapkan oleh Pengarah Eksekutif NCCA, Carmen D. Padilla dalam ucapan pembukaannya yang antara lain menyebutkan: "...learn from the literature and ASEAN neighboures"? 

Untuk tidak terlalu merasa dirugikan oleh keadaan diri sengaja mencari ruang untuk mengenali dan belajar sesuatu di luar acara formal - waktu minum atau berbual-bual di luar acara.
Dari peserta Filipina, meski seakan sengaja mahu dinafikan oleh mereka, diri mengesani betapa persoalan siapa yang mesti dinomborsatukan menjadi satu persoalan yang agak panjang. Di mana, selain penyair yang menulis di dalam bahasa Inggeris, penyair yang menulis dalam bahasa etniknya seperti Tagalog dan Bikol kelihatan saling bertanding untuk dinomborsatukan. 

Begitu juga dengan Singapura. Dari ketua delegasinya, Simon S.C Tay, seorang peguam, terdengar keluhan tentang akar yang sedang dicari, khususnya oleh beliau peribadi yang menulis dalam bahasa Inggeris.  
Selain soal identiti, betapa penyair Filipina diri ini kesani sebenarnya tidaklah sebegitu untung nasibnya berbanding dengan penyair di Malaysia. Romulo Pascual Baquiran, Jr., selaku ketua delegasinya mengakui  buku-buku puisi penyair Filipina yang diterbitkan untuk pertama kali dan seterusnya tidak melebih 500 naskhah dan beliau kelihatan membeliakkan bola mata bila diberitahu betapa di Malaysia penyair mudanya atau baru sekalipun paling sedikit buku puisinya yang diterbitkan dicetak sekitar 1,000 naskhah. Ini belum lagi dengan soal kumpulan penyair wanitanya yang gencar mahu menegakkan kefeminismenya dan pengaruh kumpulan penyair gay.

Berbeza pula dengan Thailand. Menurut Chekchon, pemuda penyair dari Thailand yang juga merupakan seorang penuntut dari Akedami Perfileman Moscow, yang telah menerbitkan 6 buku puisi, 1 novel dan 1 kumpulan cerita pendek,  menjelaskan betapa dengan menulis dalam bahasa ibundanya karya-karya beliau dan lain-lain penulis di Thailand mendapat sambutan hangat. di kalangan masyarakat, khususnya remaja. Dengan begitu, menurut  Chekchon, penyair atau pengarang di Thailand boleh hidup dengan penerbitan hasil karyanya.  Ketika ditanyakan bagaimana Thailand dapat membina minat membaca khususnya terhadap karya sastera dalam bahasa ibundanya yang tinggi di kalangan rakyatnya,  penyair muda ini antara lain mengatakan hal ini berlaku kerana tradisi membaca dan cintakan buku yang ditanamkan sejak kecil lagi di kalangan masyarakat Thailand  dan didokongi pula oleh ongkos cetaknya yang agak murah.
Soal atau masalah merasa kehilangan akar, konflik identiti seperti yang didepani oleh penyair di Filipina sebaliknya tidak menjadi atau timbul sebagai masalah bagi negara yang memiliki bahasa pengantar utama dan nasionalnya seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Dan ini diakui  sendiri oleh Pak Taufik Ismail, sewaktu berbual dengan beliau semasa minum. "Kita beruntung ya kerana tidak menghadapai masalah seperti mereka," kata Pak Taufik dengan wajah ceria.

Kerana itu jugalah, kepada teman penyair dari Filipina  diri katakan kenapa tidak segala unsur dan khazanah taradisi dari etnik-etnik itu digabungkan menjadi satu bentuk penciptaan puisi yang tidak semata-mata berkiblatkan teori perpuisian yang diwarisi dari barat. Dan agak menghairankan juga bila teman penyair ini mengatakan betapa dalam menghasilkan puisi beliau selalu mempertimbangkan soal rima dan ritma puisinya sedangkan menurut diri ini tidak lagi begitu dipedulikan lagi oleh penyair generasi baru di Malaysia, kerana yang dicari adalah kebebasan untuk berkreativiti dan berusaha menghasilkan sesuatu yang lebih ke depan dari yang sedia ada -- dengan unsur-unsur tradisi diserapkan sebagai terasnya sahaja.
Mungkin kerana merasakan lebih mudah berinteraksi sesama bangsa serumpun, waktu malam yang senggang lebih banyak diisi bersama Acep Zamazam Noor dan Agus R. Sarjono dan sesekali berbual agak panjang dengan Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah dari Brunei Darussalam.

Agus R. Sarjono, pengajar Jurusan Teater di ASTI Bandung datang bersama kumpulan puisi pertamanya Kenduri Air Mata  sementara Acep datang dengan sebahagian puisinya yang akan diterbitkan dalam kumpulan Sejumlah Tempat dan Nama-Nama . Sebagai anak pesantren, Acep membentangkan kertas pendek berjudul Pesantren, Santri dan Puisi yang antara lain membicarakan tentang  pesantren sebagai tempat bermulanya alam kepenyairan dari kalangan para santri.

Ampuan Haji Brahim pula, sebagai pensyarah di Universiti Brunei Darussalam, selain menulis puisi juga mengarang novel. Dua novel beliau yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei ialah Mangsa (1990) dan Pamor (1993).

Tidak hanya berduskusi di sepanjang siangnya, di malam keempat, bertempat di Hotel  Mandarin, peserta menghadiri makan malam yang ditaja oleh penerbit akhbar Manila Bulletin. Ada acara baca sajak. Diri tampil membacakan sebuah sajak panjang, yang memang ketika di tanah air dengan sengaja ditulis dan dibaca di beberapa acara dengan niat mahu menyindir mereka yang menyambut malam ulang tahun kemerdekaan negaranya hanya dengan konsert nyanyian, pesta hiburan dan majlis tari menari. Judul sajak ini “Di Malam Menjelang Merdeka Ini, Aku  Tidak Ingin Menjadi Monyet”. 

Memang sajak itu ditulis khusus untuk dibacakan di pentas dan dengan begitu juga diri  sangat memperhitungkan unsur-unsur dramatik di dalamnya, kerana itu jugalah, diri  tidak begitu sangat terasa hati, berasa meluat atau terlalu  ambil peduli bila pengacaranya, seorang penyair muda tuan rumah yang mengaku dirinya gay mengatakan apa yang diri bacakan itu bukanlah puisi tetapi sesuatu yang teaterikal. Malah, ketika  pemuda penyair yang menjadi pengacara majlis ini di akhir acara membacakan sebuah puisinya  yang jelas berbau gay, yang antara lain menyebut “bola” dan “telur” yang disambut dengan cemuhan sebagai “geli” dengan gelengan kepala oleh penyair Singapura, Asmin, saat itulah rasa meluat di dalam diriku kepada pemuda pengacara yang gay itu menjadi membara.

Di malam terakhir pula, bertempat di sebuah bungalow peranginan milik seorang pengusaha restoren di Tagaytay juga demikian, ada acara lawatan dan jamuan yang disponsor oleh Anvil Publishing. Di sana diri  hanya membacakan sebuah sajak pendek “Kata Tidak”. Dan diri juga, ketika acara baca sajak ini, entah kenapa terasa agak gelisah dan kurang selesa tatkala terperasan melihat bagaimana tatapan mata  Elsa Balibao yang begitu menonong  kepada Asmin yang membacakan sebuah sajaknya dengan gaya mantera. Dalam ucapan aluan serta pengenalannya, wakil Anvil Publishing, Karina A. Bolasco memperjelaskan antara lain bahawa Anvil Publishing tidak saja selaku penerbit tetapi juga memiliki 20 buah kedai buku dengan nama National Book Store di seluruh Filipina. Karina juga mengakui, kebanyakan buku puisi penyair Filipina, meski kos cetaknya agak mahal, tetap diterbitkan juga, namun  sekitar 500 naskhah saja.

Usai acara baca sajak, di meja makan, aku duduk di samping Pak Taufik Ismail yang itulah kali petama diri melihat bacaan sajak "Indonesiaku" oleh Pak Taufik secara real. Sebelum ini berita atau kisah pembacaan sajaknya itu hanya kubaca di majalah Horison. Kepada Pak Taufik kuberitahu ini dan kukatakan juga aku suka dengan cara dan gaya bacaannya itu. Pak Taufik pula membalas dengan mengatakan, "Kamu punya identiti sendiri, ya?" Dan aku lantas membalas dengan mengatakan, "Kerana itulah, Pak Taufik, aku kurang disenangi di negeriku sendiri."   

Sepanjang di sana, meski mulai hari kedua tubuh ini  diserang demam dan selsema, namun semangat kreatif dan ilham puisi terasa begitu membara dan berkobar. Diri memang pada mulanya berasa agak terkejut dan hairan, namun terkejut dan hairan itu diri manfaatkan agar tidak menjadi sia-sia  dengan cara mencatat dan menuliskan apa sahaja ilham yang datang ke kertas. Sebahagiannya dirasakan memang langsung menjadi puisi dan sebahagian yang lain adalah catatan-catatan yang ketika kembali ke tanah air dilanjut dan diperbaiki agar menjadi puisi yang lebih baik dan utuh. Seluruh ilham dan sajak itu kemudiannya dikumpul dan muatkan di bahagian Kepada Angin Juga di dalam kumpulan sajakku dengan judul yang sama, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008. Memang, sebelum mengirimkan manuskrip kumpulan sajak ini untuk pertimbangan penerbitan di sana, sejak tahun 1995 hingga tahun 2005, deraf sajak-sajak ini yang kurapikan di dalam sebuah buku khas, kubawa ke mana sahaja aku pergi dan bergerak dan selalu pula aku mengeditnya di mana yang kurasakan perlu.

Kukira, teknik pemerhatian, fokus dan  penghayatan yang kupelajari dari praktik-praktik teaterku ketika di tanah air sangat membantu daya peka persepsi dan sensitivitiku sepanjang di sini. Pada sisi yang lain juga, niat dan tekad yang diri tanamkan sebelum berangkat  untuk meletakkan diri sebagai pemerhati dan peneliti itu mungkin turut menjadi sensitiviti dan persepsi diri terbuka luas dan bersedia menerima serta merakamkan apa sahaja yang dilihat, didengar atau dibaca.  

Ketika bertembung dengan seorang perempuan membetul-betulkan mini skirtnyua di dalam lift dan hasil gabungan memperhatikan seorang wanita yang seolah-olah sedang menantikan seseorang di coffe house di lobi hotel misalnya, aku menuliskan puisi ini:

Dia Menunggu

dia menunggu
sambil membiarkan luka dari petikan piano
mendendangkan lagu demi lagu dari sukmanya

dia tahu betapa sepi tak terbius oleh gogokan bir
apa lagi kehangatan di ranjang

kerana masa lalunya yang telah parah
tetap seperti laut yang beriak

dan dia menunggu
tetapi bukan seseorang.

Nikko Garden Hotel Lounge, Manila


Nancy
(perempuan di lobi hotel)

kini tanpa lelaki
dia berbaring
sambil menggumamkan sunyi
dalam kenangnya

dan dia tahu
sepinya tidak dapat dibiuskan dengan gogokan bir
atau berkali-kali menjaja cinta.

Mandarin Hotel, Manila

Atau ketika bersama Acep, Agus, Lim dan Rahimidin diiringi Jay Giovanni Bautista berjalan ke Emrita  Street, melawat monumen kemerdekaan Filipina dan hati tersentuh ketika melihat di trotoar: seorang wanita sedang mendodoikan bayi dan di sampingnya seorang lelaki sedang berbaring keletihan. Sedangkan di seberang jalan, di dalam sebuah retoren  ramai pelanggannya sedang menikmati juadah dan hidangan. Atau  suatu senja, ketika  sedang berehat melepaskan letih setelah berputar sekitar kawasan perniagaan Makati  bersama  Acep, Agus, Lim dan Rahimidin, didatangi seorang anak perempuan sekitar usia lapan tahun, yang walau pun pengemis tetapi sangat tahu menjaga maruah dirinya saat menerima air minuman daripada Agus R Sarjono, dengan cara menterbalikkan kedudukan penyedut minuman bekas hirupan Agus ke bawah dan menghirup semula di bahagian penyedut yang tidak terkena bibir Agus.

Kesan dan sentuhan perasaan ini juga menelorkan beberapa puisi yang juga kemudiannya diri dikumpul dan muatkan di bahagian Kepada Angin Juga di dalam kumpulan sajak dengan judul yang sama, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008. Antaranya:

Emrita

“hidup ini medan laga aku mengerti,” begitu kata sebuah tubuh
ketika malam kian melemparkan dingin dari bibir sumbingnya
dan sebuah kiosk memicingkan kelopak matanya
menahan gementar

seperti ibu yang pengasih
kau menidurkan mereka dengan ninabobok

dan kembang yang kaupungut di suatu pojok
sudah tak keruan warnanya.

Emrita Street, Manila.

Demikianlah yang ditemui oleh diri selama seminggu di Manila. Bersama Lim Kim Hui, Rahimidin Zahari dan Inzura Haji Kosnin.  Dan kalau ada yang terasakan agak menjengkelkan di hati hanya ini: ucapan salah seorang penyair Filipina (yang mengaku dirinya seorang gay) yang mengatakan sastera di ASEAN akan bertambah maju kalau ditrajui oleh seniman-seniman gay dan keduanya khabar yang diri ini dengar dari penyair wanita Filipina bahawa sebahagian besar peserta dari Filipina adalah gay!

Namun, gay atau apa pun, secara peribadi diri sejak mula, datang ke Manila hanya kerana puisi semata-mata. Dan inilah yang diri katakan di depan dua penyair tuan rumah yang merungut tidak puas kerana berasa diri mereka dianaktirikan oleh negaranya sendiri  ketika bersarapan di hari terakhir. 

“I’m come here for  poetry, not for politics or others.”

Dua penyair Filipina itu, lelaki dan perempuan, merenungku dengan mata terbeliak dan saling bertukar pandangan. 

Buat diri, urusan politik dan selebihnya serahkan sahaja kepada mereka yang bukan penyair!

@MARSLI N.O

 

2 ulasan:

Rositah Ibrahim berkata...

catatan ini membuat saya terhimbau jua kenangan sewaktu diberi peluang ke 4th ASEAN youth painting workshop and exhibition di Manila....kenangan ini membuat saya malu kepada diri sendiri kerana tiada pencapaian peribadi yang membanggakan.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Rositah Ibrahim: Pencapaian kita tidak bermakna kita mesti bermula sebaik sahaja selesai sesuatu acara. Tetapi ketahanan dan kejayaan di kemudian hari itu bagi saya lebih bermakna. Kerana ini adalah bukti kita tidak pernah mengalah atau dapat ditewaskan oleh apa pun.
Sdr masih berlum terlewat untuk memulakan sesuatu yang lebih bererti.

-MARSLI N.O