Sabtu, Jun 01, 2013

MENERIMA


PENGALAMAN bekerja  di sebuah  pusat perawatan psikiatri beberapa tahun dahulu telah memungkin saya melihat dengan mata kepala sendiri perlakuan abnormal manusia ketika dalam keadaan di luar kontrol atau kawalan sedarnya sendiri.

Tetapi saya tidak melihat segala perlakuan mereka ini  dengan mata penghukum atau menjatuhkan nilai begitu atau begini. Sebaliknya, selain memang atas tuntutan tugas,  dengan mata seniman, saya melihat perilaku mereka ini sebagai suatu fenomena, gejala, tanda-tanda, untuk saya kembali menyedarkan diri sendiri dan lebih memahami perangai manusia yang mengaku diri mereka sihat dan walafiat di dunia nyata yang juga kononnya dikatakan bertamadun dan sihat itu.

Ternyata di dunia yang didakwa sebagai sihat dan penuh dengan manusia bertamadun itu sebenarnya sama sahaja dengan dunia di dalam pusat perawatan psikiatri.  Yang berbeza, manusia yang mengaku dirinya sihat dan bertamadun di dunia nyata ini mempunyai kecerdikannya yang tersendiri untuk menyembunyikan keperibadian sebenar dirinya di dalaman yang bejat, busuk dan senewen dengan cara  menyarung dan bertukar topeng mengikut waktu serta keperluan masing-masing.

Saya tahu kesimpulan yang saya simpulkan sendiri ini mungkin agak terlalu. Tetapi saya tetap yakin dan berpegang kepada kesimpulan itu kerana saya mengalami sendiri sebahagian besar peristiwa atau kejadian yang saya jadikan patokan itu.

Katalah saya paranoid atau terlalu sering berhalusinasi, saya tidak peduli. Pengalaman disakiti, digunjing dan dicerca, yang sebahagian besar watak dan pemain utamanya adalah manusia yang dijempoli banyak pengagumnya sebagai berilmu dan berintelek, yang sudah terlalu jenuh saya terima semakin menguatkan keyakinan saya mengenai kegilaan manusia yang konon diakui sihat dan hidup di dunia bertamadun itu. 

Apa lagi kalau saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana kalau yang abnormal itu pun sebahagiannya bertugas di pusat-pusat untuk memberikan kesihatan mental dan fizik kepada manusia, yang dengan segala tipu daya serta muslihat mahu menjatuhkan sesamanya demi kenaikan pangkat atau gred.

Secara peribadi saya sudah tidak begitu terlalu berasa disakiti lagi dengan segala perbuatan mereka. Kerana, semakin berusia saya juga  semakin memahami perangai dan resam mereka yang bernama manusia. Dengan begitu, saya juga semakin berasa tidak perlu dan tidak ingin untuk bersedih memikirkan segala.

Saya tidak akan merubah keyakinan saya. Pengalaman disakiti dengan cerca, gunjing dan fitnah, sudah cukup banyak mengajar saya untuk bertahan dan mencarikan penawar untuk mengubat segala duka lara sendiri. Saya tidak lagi perlu misalnya untuk berasa hairan memikirkan kenapakah sesuatu yang tidak pernah saya ucapkan  tidak semena-mena  disebarluaskan konon sayalah yang telah mengucapkan.

Saya sedar, hidup dan mati saya bukan kerana cerca atau gunjing orang lain. Begitu juga dengan rezeki dan peluang. Saya tahu mereka yang bernama manusia hanyalah peminjam, namun bukan penentu. Kerana saya lebih percaya kepada Dia yang mencipta dan memberi. Mati dan hidup, atau rezeki saya, bukan manusia yang menjadi penentu. Saya meyakini itu.

Kerana itu jugalah saya menciptakan sajak ini. Rasa sakit dan terhina kerana gunjingan untuk sesuatu yang tidak pernah saya perbuat, atau cercaan, saya tawarkan dengan doa dan zikir kepada Dia Maha Pencipta.  Saya tidak akan terlalu bersedih lagi kerana perbuatan bejat sesama manusia.

Marsli N.O
MENERIMA

Segala yang cuba 
mereka sembunyikan
di sebalik topeng 
terdedah dan terbuka juga

kebohongan, hipokrasi 
dan ego manusia

dan kerana sudah lama tahu
juga  belajar menerima
hakikat dunia dan manusia

aku tidak lagi menjadi
perasa yang terlalu berduka 

SBPI, Kuantan
Oktober 31, 2012

Sumber siaran: Berita Harian, Ahad 25 November  2012

Jun 1, 2013



Tiada ulasan: