Rabu, April 01, 2015
MENYENDIRI
SAYA sedar dan memang tahu ketika sejak mula memilihnya.
Inilah jalan dan lorongnya buat kehidupan saya sebagai
seorang manusia. Dan semakin lama berjalan dan meneruskan hayatnya di sini,
semakin saya akuri betapa segalanya tidak selama indah dan mudah di jalan ini.
Namun inilah sudah yang menjadi pilihan kehidupan saya.
Saya tahu memang, tidak semua orang dapat menerima dan mudah memahami tindak
dan pilihan saya ketika sedang secara penuh mengalami proses penghayatan untuk
suatu pengkaryaan.
Kerananya, saya selalu menjadi mangsa salah anggap dan
ditohmah pelbagai: sombong, berlagak atau lebih sudu daripada kuah. Dan
mendepani semua demikian, hanya sabar dan istigfar sahajalah yang menjadi
penghalang agar tidak bertindak bodoh atau kembali memberikan tindak balas
keterlaluan.
Perit dan memang menyakitkan menahan serta menyimpan semua
itu di dalam perasaan. Tetapi akhirnya, saya semakin menjadi sedar dan tahu.
Kenapa saya mesti menjadi sedih dan meminta segala pengertian daripada orang lain, sedangkan sejak mula memang ini
pilih dan jalan hidup saya?
Akhirnya inilah pilihan saya. Daripada saya sentiasa dituduh
menyakitkan hati dan perasaan orang lain, kerana kata-kata atau tulisan saya,
yang pada awalnya saya niatkan hanya untuk menyatakan apa yang saya fikir dan
rasai secara berterus terang, tanpa niat untuk menunjukkan saya lebih baik dan
hebat berbanding orang lain, kini biarlah saya memilih untuk menjadi penyendiri
secara penuh.
Hari ini dan kini, anggap atau prasangkailah apa saja.
Saya begitu atau saya begini, silakanlah. Hari ini dan kini, saya sudah terlalu
bosan dan letih untuk menjawab dan kembali memperjelaskan segala tohmah dan
salah anggap. Hari ini dan kini, saya memilih untuk bersikap tidak peduli.
Kerana, hari ini dan kini, saya hanya ingin mengisi usia
saya yang tidak banyak berbaki lagi ini,
dengan sesuatu yang lebih bermakna serta bererti untuk diri saya sendiri.
Kerana, saya sedar dan tahu, betapa selama ini saya sudah
terlalu banyak membuang waktu menjadi gelisah, gundah dan marah semata-mata
memikirkan segala tohmah, hina dan gunjing yang dilontarkan orang.
Selamat tinggal segala keriuhan dan kepongahanmu, dunia
sementara!
April 1, 2015
@MARSLI NO kini adalah penulis lepas dan sepenuh masa yang sering
berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya
kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan