Selasa, September 05, 2017

BERTUANKAN LEMBU CELAKAHLAH JUA AKAN DIRIMU

Cerita pendek MARSLI N.O

SEKARANG kau tengoklah sudah apa yang jadi dengan keadaan begini. Tidak usahlah hendak melalak meraung atau mengatakan segala kesal lagi di dalam hati tatkala segala yang terjadi begini kerana itu bukankah pilihan kau sendiri? 

Ya, sudah lupakah bagaimana dengan segala rela dan percaya kau dahululah yang memilih untuk bertuankan lembu?

Jangan kau marah atau menuduh aku berkata-kata ini terlalu kurang ajar dan celupar kerana segalanya sudah terbukti jelas di depan mata kau dan aku seperti itu. Seperti kata pepatah kalaupun menangis melahu-lahu sehingga keluar segala air mata dan sehinggakan bercampur dengan darah, apa yang berlaku tetaplah sudah pun berlaku dan begitu-begitu juga.

Tidak ada lagi guna kesal dan sedih kerana segala. Itulah sudah akhir dan akibah jika demikian memilihnya menjadikan tuan hanyalah seekor lembu.

Walau seekor lembu yang boleh berkata seperti layaknya seorang manusia. Tetapi apalah istimewanya dia kerana lembu tetaplah lembu.

Tetapi terpulanglah kepada kau hendak percaya atau tidak kerana aku berkata apa yang aku rasa perlu aku kata.

Tidaklah lembu apa lagi namanya kalau sebongkah besi sebegitu besar pun boleh terlepas terjual ke tangan asing dan kemudian berlagak bongok seperti lembu kenyang seperti tidak pernah terjadi suatu apa pun kejadian.

Atau kalau tidak pun dalam soal letak meletak harga itu juga tidak boleh diharap menjadi payung dan tempat segala jelata menyandarkan harapan. Memang lah bosan dan mual kalau setiap kali diberi dalih konon kerana seantero dunia harga melambung maka di sini juga perlulah sama dilambungkan harganya.

Itulah namanya lembu. Walau bijak dan pandai mengucap segala kata, tetapi seekor lembu tetaplah seekor lembu jua.

Dan ketika kau memilih akan dia menjadi tuan dan pendahulu untuk segala urusan dirimu, maka itulah namanya celaka akan segala yang menimpa jua dirimu!

Januari 3, 2010


Tiada ulasan: