Isnin, September 21, 2020

KERANA MEMBACA

KALAU saya ikutkan rasa malu kerana kekurangan diri, tentulah saya tidak akan sanggup terus menulis dan menerbitkan buku.

 

Siapalah saya. Setakat tamat sekolah tingkatan satu dan terkial-kial belajar sendirian dan kemudian berpayah serta dicemoh ketika ke sebuah pejabat kerajaan yang menguruskan peperiksaan calon persendirian. Namun dengan cekal usaha di teruskan juga demi untuk mendapatkan sekeping sijil.

 

Tetapi semua rasa kekurangan diri itu akhirnya saya lupakan dan pejamkan mata. Walau sedar dan tahu kelemahan diri serta kekurangan ilmu, sejak dari usia muda sehingga kini saya teruskan menulis dan menulis.

 

Saya sedar dan alami sendiri. Betapa hidup ini keras dan kejam. Tetapi saya tidak pernah mahu menyalahkan keadaan. 

 

Lalu saya memanfaatkan rasa marah di dalam diri untuk kembali bangkit melawan dan terus melawan, menyalurkannya secara positif, membalikkan segala sesuatu menjadi tantangan hidup yang perlu saya atasi hingga beroleh kejayaan.

 

Kemudian, kerana tidak mahu terus menerus mengharapkan belas kasihan orang atau siapa sahaja pihak yang berasakan dirinya maha berkuasa menentukan terbit atau tidak karya seseorang, saya berusaha menjadi penerbit secara kecilan.

 

Walau saya tahu menerbit dan menjual buku sastera adalah kerja bunuh diri, namun saya tidak peduli.

 

Saya tidak ingin  jadi pengemis dan mengemis. Jatuh atau bangun, maju atau mundur diri dan karya seseorang, saya yakin amat bergantung kepada daya dan usaha seorang individu yang tidak kenal jeran dan sekaligus bertawakal kepada ketentuan Allah SWT!

 

Saya sedar dan tahu. Ilmu saya masih sedikit. Karya saya tidak sehebat apa pun. Buku yang saya terbitkan pun, hiasan kulitnya setaraf buku budak sekolah rendah. Saya tahu dan sedar itu.

 

Namun walau tetap rasa malu dan kerdil diri, saya lupakan semua itu. Saya jalan terus dan jalan terus.

 

Selain doa dan usaha tidak pernah henti, saya membina kekuatan diri dan fikir dengan belajar dan terus belajar melalui buku-buku dan pemerhatian.  Saya berusaha menggali, membaca dan terus meneliti segala bahan dan sumber yang dapat menambahkan pengetahuan dan ilmu sendiri.

 

Saya percaya dan amat yakin, jika bukan kerana buku-buku yang saya baca dan kutip segala ilmu di dalamnya, sebagai seorang penulis yang hanya memiliki sekeping sijil, saya pasti tidak akan ke mana-mana.

 

Namun sebagai pembaca, pembeli dan pengumpul buku, saya tidak membeli, mengumpul dan membaca buku secara semberono.

 

Sebagai pembeli, pengumpul dan pembaca buku, saya sangat pemilih dan kerana itu juga beberapa tahun lalu saya pernah membuang dari perpustakaan peribadi saya hampir seratus buku dan puluhan majalah yang saya anggap membuang waktu untuk terus dibaca dan disimpan.

 

Ya, membaca dan terus membaca. Kerana membaca dan kerana memanfaatkan segala mutiara ilmu darinya, saya mampu membina peribadi sendiri untuk berdaya tahan dan tidak mudah mengalah.

 

(c) MARSLI N.O

12.9.2020

 

Tiada ulasan: