Rabu, September 02, 2020

KISAH SEORANG PEREMPUAN PEKERJA DAN SEORANG BOSS

INI kisah lama beberapa tahun yang lalu.

Mengisi senja seusai Asar ini, saya membongkar fail-fail tulisan lama di dalam komputer tua di kamar tulis saya. Terjumpa antaranya sebuah surat yang saya tulis kepada kepala sebuah jabatan di mana saya waktu itu  bertugas. Sebuah surat memperjelas serta menjawab suatu tuduhan seorang perempuan pekerja terhadap diri saya, yang saya kononnya telah memukul dan menyerang dirinya secara fizikal.

Kerana memang saya tidak langsung melakukan perbuatan yang didakwa itu, kes itu disenyapkan akhirnya dan saya meneruskan hidup dan tugas seperti biasa. Dan saya masih ingat punca dan mula tuduhan fitnah ini.

Saya sebelumnya telah menegor perempuan pekerja ini  kerana kesukaannya mencampuri urusan kerja unit lain dan mengadukan perkara yang tidak benar kepada ketua jabatan. 

Maksud saya, dia yang berkerja di bidang perawatan selalu mencampuri urusan saya di unit pentadbiran dan kerananya saya sudah berkali-kali dipanggil menghadap sang kepala untuk menjawab segala fitnah itu. Dan sang kepala, bila saya berikan penjelasan, menyuruh saya kembali ke ruang kerja saya begitu sahaja.

Kerana kehilangan sabar dan bosan saban hari dipanggil mengadap sang kepala lantaran fitnah-fitnah perempuan pekerja itulah maka saya menegor perempuan pekerja itu. Dan, saya selalu diperingatkan kawan-kawan agar tidak berbuat demikian. Kata mereka, "Kau jangan marah dia. Suami dia orang besar pangkat pengarah!"

Saya yang waktu itu hanya berkerja sebagai seorang kerani biasa dan bertugas menyelia rekod-rekod perubatan di ruang di mana saya bertugas di sebuah pusat perawatan jiwa milik kerajaan,  sangat berasa terganggu dan tertekan dengan situasi yang diciptakan tanpa kehendak saya itu.

Saban malam tidur saya jadi terganggu dan terjaga di tengah malam buta dengan pekik dan lolong dari baki igau serta mimpi ngeri.

Saya jadi hilang semangat untuk bekerja dan terpaksa setiap pagi benar-benar memaksakan diri untuk keluar bekerja. Rasa kecewa dan malas meraja di dalam jiwa. 

Namun kerana kenangkan saya ada enam mulut yang mesti diberi makan dan ada anak yang sedang belajar di pusat pengajian tinggi, rasa malas dan kecewa itu saya lawan dan berangkat ke tempat kerja dengan doa: "Tuhan, jadikanlah hari ini aku manusia yang penyabar dan tidak membunuh sesiapa!"

Kini saya sudah beberapa tahun meninggalkan ruang pekerjaan dan ruang tugas itu pun sudah belasan tahun saya tinggalkan. Saya berasa sangat berhutang kepada manusia yang telah menukarkan saya dari tempat bertugas "celaka" itu ke bahagian lain dan tidak lagi melihat ruang itu sebaik sahaja dinaikkan pangkat kepada seorang penyelia di unit sumber manusia di sebuah jabatan yang lain. 

Namun ingatan mengenainya masih tidak pudar dan padam. Wajah para watak dan pelakunya masih segar di ruang ingatan saya. Malah perempuan pembuat fitnah itu pernah saya jumpa suatu tengah hari di sebuah pusat membeli belah barang keperluan dapor. Hanya memakai baju-t lusuh, berambut kusut dan keadaan dirinya seperti belum mandi. 

Saya tahu dan selalu mempercayai. Hidup kita manusia, maju atau mundur, gagal atau jaya, miskin atau kaya, bukan ditentukan oleh sesama manusia. Tetapi bergantung usaha-usaha peribadi dan ketentuan daripada Allah SWT.

Perempuan pembikin fitnah ini, saya agak, hidupnya tidaklah lebih mewah dan lebih  bahagia berbanding saya yang pernah menjadi mangsa habuan fitnahnya. 

Begitu juga sang kepala yang di tugas jabatannya bergelar seorang pakar itu, pun saya tak rasa dia menjadi lebih cerdik dan mulia berbanding saya yang dahulu, kerana mempercayai dan memberi muka kepada perempuan pencipta fitnah itu, saban hari mencari salah, memperli dan menyindir saya. 

Malah saya diberitahu kawan yang masih bertugas di sana, meski gelaran jawatannya sang kepala itu semakin tinggi, namun dia tetap jua terpuruk di kamar, dan tetap menagih pengormatan daripada kakitangan bawahannya untuk mengakurkan segala perintah tongong dan bahlolnya, masih mengemis dan meminta penajaan tiket kapal terbang atau hotel untuk seminar di luar negara daripada syarikat yang menjualkan ubat-ubatan.

Malah, saya sangat yakin, amat yakin, dua manusia ini, tetaplah taraf dirinya tidak pun terangkat menjadi wali atau malaikat, semata-mata kerana daya usaha mereka selama saya bertugas di sana untuk membuat fitnah dan menyusahkan hidup saya.

Kerana siapa pun kita, akhirnya, akan kembali ke tanah juga!

@MARSLI N.O
2 Ogos 2015

Tiada ulasan: