Belakangan ini, soal kelesuan kritikan sastera kembali diperkatakan. Tidak sahaja oleh mereka yang berminat dengan isu ini, tetapi juga oleh mereka yang memang sudah pun bergelar pengkritik dan sarjana.
Saya memang ingin bercakap lanjut beberapa hal yang
dirasakan penting mengenainya.
Tetapi bila fikirkan ini bagaikan mengulang semula
apa yang pernah dibincangkan mereka yang lebih arif pada tahun-tahun sebelum
ini dan menyedari kritikan bukanlah bidang penguasaan, saya tidak jadi
meneruskan niat ini dan memilih untuk hanya bercakap beberapa hal ringkas
dan kurang penting mengenainya sahaja.
Benarkah kritik mampu menjulang dan mematangkan
karya seorang penulis?
Saya peribadi meyakini bahawa seorang penulis yang
tahu dan sedar peranannya sendiri sebagai penulis, tanpa adanya kritik dan
perhatian pihak lain, akan tetap juga menulis dan terus menulis.
Hanya penulis dalam golongan orang-orang lapar
sahaja yang berasakan, tanpa kritik dan pujian semangat berkarya mereka akan
menjadi kendur dan sekaligus juga amat percaya bahawa hanya dengan kritik
sahajalah, kemajuan dan ketinggian mutu sastera dapat dipacu.
Saya bukan anti kritik atau memandang kritikan
terhadap karya sebagai musuh.
Tetapi untuk dan perlu apa sebuah kritik, jika
pengkritik sekedar mempamerkan ego dan kebodohan dirinya sendiri di dalam
tulisan kritikannya jika hanya ghairah mempertanyakan keperibadian penulis dan
segala sesuatu yang tiada di dalam karya?
Misalnya mengungkapkan di dalam kritiknya,
"Kerana menulis dalam semua genre, kita sulit mengkategorikan apakah si A
seorang cerpenis atau penyair." Atau dalam tulisan kritikannya yang lain
disebutkan, "Si A terkenal sebagai penyair yang amat teliti memilih
kata-kata untuk puisinya. Tetapi entah kenapa, dalam puisinya yang ini, si A
kelihatan sembrono amat."
Lebih memualkan bila pengkritik berasakan dirinya
lebih cerdik dan ingin mengajar penulis bagaimana cara sebaiknya menuliskan
karya, tetapi bahan dan sumber karya penulis yang dirujuk sebagai bahan
kritikannya bukan karya dan bahan yang bersifat terkini.
Selepas era pengkritik Keris Mas, Yahya Ismail,
Shahnon Ahmad, Baha Zain, Muhammad Haji Salleh, Umar Junus, Shahlan Mohd Saman,
Othman Puteh, Mana Sikana, Anwar Ridhwan, Arbak Othman (beberapa nama sebagai
contoh) pada kurun waktu 70an, 80 dan 90an, saya peribadi tidak menemukan
tulisan kritikan yang benar-benar berwibawa, yang dapat dijadikan cermin oleh
pengkarya dan sekaligus mempamerkan kebijaksanaan serta kematangan fikiran si
pengkritik.
Kemunculan sejumlah nama pengkritik selepas itu,
pada kurun tahun 2000 ke atas ini, juga tidak banyak menghasilkan karya
kritik yang berwibawa.
Kehadirannya tetap ada, namun sifatnya lebih
kepada pengulangan dan ada kalanya seperti bertolak semula ke belakang.
Seperti juga manusia lain, saya kira pengkritik
karya sastera juga tergolong orang-orang lapar atau kalangan manusia yang
laparkan pujian dan sanjungan.
Kerana ini jugalah mereka marah dan mudah
tersinggung jika karya dan hasil kritikannya kembali dipersoalkan pengkarya.
Seolah-olah merasakan dirinya dewa dan orang mulia
suci yang tidak boleh disentuh!
-- MARSLI N.O
23.1.2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan