Khamis, Mei 07, 2009

HARI PEKERJA


WALAU 1 Mei diisytihar Hari Pekerja namun saya tidak sedikit pun tergiur untuk sama ucapkan kepada diri dan meraikannya dengan ritual tertentu.

Sama seperti hari-hari biasa untuk ke tempat kerja, saya bangun seperti biasa dan mengulangi ritual yang sama. Hanya bezanya saya tidaklah berpakaian untuk ke pejabat dan berkenderaan ke sana.

Sepanjang hari yang diisytiharkan sebagai Hari Pekerja ini saya hanya berada di rumah, bersantai, bersama keluarga, membaca dan sedikit menulis.

Saya fikir pada bila-bila waktunya saya tetap juga seorang pekerja dan untuk meraikannya, saya tidak perlu menunggu tanggal 1 Mei.

Memang saya berasa seronok menjadi seorang pekerja dan sekaligus benar-benar merasakan dirinya sebagai seorang pekerja. Saya berasa bahagia dan gembira menjadi seorang pekerja.

Walau tidak saya nafikan ketika bekerja saya memang selalu bertembung dengan duga dan cabaran kerja, namun saya tetap juga mahu bergembira dan memujuk diri supaya tetap berasa bahagia.

Walau ketika bekerja saya tetap mempunyai seorang “tuan” namun tuan itu hanyalah atas nama birokrasi dan jabatan. Jadi kerana itu juga, saya menghormati “tuan” saya itu semata-mata atas nama birokrasi dan jabatan juga dan selebihnya dari itu tuan itu tidaklah bermakna apa-apa buat diri saya.

Bagi saya, kerja apa pun yang saya laksanakan, walau siapa pun yang bergelar tuan di atas dan di depan saya, yang menjadi tuan yang sebenar buat diri saya tidaklah lain selain diri saya sendiri.

Kerana itu jugalah saya berasa saya selalu meraikan diri saya sebagai seorang pekerja, yang bertuankan dirinya sendiri, pada bila-bila masa dan tarikh yang saya suka.

Kerana itu juga, tanggal 1 Mei bagi saya samalah seperti hari-hari dan tanggal lain yang tidak menimbulkan sebarang rasa bahagia dan istimewa buat diri saya. Walau kerana itu, konon kerana merai dan memperingati pekerja di seluruh dunia, saya juga berpeluang bercuti percuma dan tetap dbayar gaji, namun bagi saya itu pun tetap perkara yang biasa-biasa sahaja.

Saya berani berkata dan menulis begini, yang mungkin boleh kedengaran agak angkuh atau terlalu berlebih rasa percaya diri ini tidak lain kerana saya selalu berasa diri saya adalah tuan kepada diri saya sendiri.

Saya fikir sesiapa sahaja di dunia ini memang patut dan wajar berasa, berfikir dan benar-benar percaya bahawa dirinya sendiri adalah tuan kepada dirinya sendiri. Ini bererti yang menjadi tuan sebenar bukanlah sesiapa yang telah membayar kita upah untuk bekerja bagi pihak dirinya, apa lagi untuk seseorang atau sekelompok manusia yang memang telah kita pilih dengan percaya dan undi kita supaya menjadi pemimpin.

Soal upah yang diberi hanyalah urusan memberi dan menerima. Namun itu tidak bererti kita sekaligus juga memberikan diri dan jiwa kepada seseorang yang kita percaya menjadi tuan kepada diri kita atau kepada seseorang yang memang selalu mahu berlagak sebagai tuan.

Mei 1, 2009

5 ulasan:

maharam berkata...

Hari pekerja? Setiap saat dalam hidup ini dihabiskan untuk kerja. Kalau tak buat kerja sehari...rasa macam, "dunia hampir kiamat"

Apa dah jadi ya?

Rozlan Mohamed Noor (RMN) berkata...

Ahh... cukup ngam catatan ini. Seronok membaca, berselera menghadam.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Maharam: Salam dan terima kasih atas respon. Mahu atau tidak kita memang perlu sentiasa "bekerja". Kerja dalam erti kata yang sangat luas.

Sdr Rozlan Mohamed Noor: Semoga kita sentiasa tetap menjadi tuan kepada dirinya sendiri.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) berkata...

Adakala orang lain mahu 'mentuani'si kita. Apa patut si kita buat?

MARSLI N.O berkata...

Sdr Rozlan Mohamamed Noor: Di luaran atau secara fizikalnya mungkin dapat "dituaninya" kita. Tetapi tentukan tidak seluruh raga dan jiwa kita. Selagi tidak kita yang rela dan tega memberikannya. Tetapi tentu sulit menolak "dituani" kerana habuan dan ganjarannya selalunya tersangat besar. Apa pun, trsah kita juga.

Marsli N.O